Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Memaparkan catatan dengan label Ibadah Haji. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ibadah Haji. Papar semua catatan

Sabtu, 22 Ogos 2015

Khurafat di Kalangan Jemaah Haji Asia Tenggara


Pengaruh khurafat ternyata masih kuat. Di dalam masyarakat Islam Asia Tenggara masih terdapat amalan-amalan khurafat di dalam berbagai-bagai lapangan kehidupan. Di dalam perniagaan masih percaya kepada Feng Shui. Dalam pertanian masih percaya kepada Semangat Padi. Dalam mencari rezeki di lautan masih ada yang percaya kepada Gamala Ikan dan berbagai-bagai lagi. Bukan sahaja di dalam mencari rezeki ada berbagai-bagai khurafat, ketika hendak melakukan ibadat kepada Allah pun masih diresapi berbagai-bagai khurafat. Antara yang ketara ialah khurafat-khurafat di dalam ibadat haji.

Khurafat di Tanah Air Sebelum Tiba di Tanah Suci
  1. Tidak boleh memijak bendul rumah. Kalau dipijak alamat tidak balik semula.
  2. Sesudah bertolak dari kawasan rumah, tidak boleh memandang ke belakang melihat rumah. Kalau dipandang, pekerjaan hajinya tidak sempurna kerana hatinya teringat-ingat ke rumah.
  3. Membawa uri, rambut dan kuku bayi untuk ditanam di Tanah Haram supaya anak tersebut menjadi orang ternama dan disukai ramai.
  4. Setelah balik dari menunaikan haji, mesti berkurung diri di rumah selama 40 hari yang disebut iddah haji. Barulah haji itu berkat dan melekat di hati, kalau melanggar, sia-sialah haji.
Khurafat di Tanah Suci Makkah
  1. Mesti mencari tiang Jin di dalam Masjid al-Haram. Peluk kuat-kuat boleh memanjangkan umur.
  2. Boleh mendapat toyol dengan bersembahyang sunat sebanyak-banyaknya secara menghadap tiang tersebut untuk dibawa balik toyol itu sebagai khadam.
  3. Jin yang dibawa balik dari Makkah adalah Jin yang baik kerana mereka adalah Islam.
  4. Menampal duit syiling yang siap bergam di bawah pintu Baitullah dan dibawa balik untuk dibuat ibu duit bagi tujuan melariskan perniagaan, mendapat jodoh dan memurahkan rezeki.
  5. Memungut anak-anak batu di Arafah untuk dibawa balik bagi pelaris, jika dicampak di dalam perigi ikan, maka ikan akan menjadi banyak. Jika ditabur di kebun tanaman, maka buah-buahan akan menjadi. Jika diletak di dalam kedai, maka akan ramai pelanggan.
  6. Mencuri tali-tali khemah di Padang Arafah dan Mina untuk dijadikan tangkal bagi tujuan pelaris jualan dan memperbanyakkan tangkapan ikan.
  7. Membawa balik Tanah Arafah untuk upacara “Memijak Tanah” buat pertama kali bayi untuk menghindarkannya dari sebarang penyakit dan gagah berani.
  8. Tidak boleh melihat cermin semasa di dalam Ihram. Jika dilihat muka akan menjadi hodoh dan orang tidak suka melihatnya.
  9. Menyapu-nyapu tiang masjid dan diusap ke muka untuk menambah seri wajah.
  10. Mengetuk-ngetuk pintu dan gelang kuncinya di kawasan Sa’ie sebagai simbolik kepada mengetuk pintu rezeki. Jika tidak membuatnya, rezeki akan tertutup selama-lamanya.
  11. Bersetubuh dengan isteri di dalam Masjid al-Haram boleh mendapat anak yang mudah masuk syurga.
  12. Orang yang mandul boleh segera mendapat anak jika bersetubuh dengan suaminya di dalam Masjid dua kali dari arah pancur emas sekali kerana kepercayaan pancur emas itu melambangkan kemaluan Nabi Adam dan sekali lagi dari arah yang menghala ke Hajar Aswad kerana Hajar al-Aswad melambangkan kemaluan Siti Hawa.
  13. Kain ihram perlu dibawa balik dan diwasiatkan bila mati nanti hendaklah dikafan dengan kain itu bagi menghindar diri dari seksa kubur.
  14. Beli kain putih khusus yang hendak dijadikan kafan dan basuh dahulu dengan air zam-zam di Mekah, disimpan dan diwasiatkan untuk dijadikan kain kafan. Dengannya Munkar dan Nakir tidak berani memukul badan yang dibalut dengan kain tersebut.
  15. Kalau berlaku hujan, maka mandilah di bawah curahan air dari pancur emas agar sembuh segala penyakit dan tidak akan terkena penyakit hawar.
  16. Tiang-tiang masjid boleh dibeli untuk diwakafkan. Sekiranya ada orang yang menawarkannya, maka jangan disoal banyak, beli sahaja akan menjaminkan masuk syurga.
  17. Mandi bertelanjang di telaga Ja’aranah boleh memikat suami dan cepat mendapat jodoh bagi yang belum bersuami.
Dan berbagai-bagai khurafat lagi yang masih diamalkan oleh masyarakat Islam Asia Tenggara.

Amalan Khurafat dan Kaitannya dengan Hukum Syarak

Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut adalah ditegah oleh syarak kerana di samping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan akidah seseorang dan ia juga menambahkan amalan-amalan bid’ah yang buruk sepertimana tersebut dalam hadith Rasulullah saw;
إياكم ومحدثات الأمور فإن كل بدعة ضلالة
“Jauhilah oleh kamu akan perkara-perkara bid’ah (yang diada-adakan), setiap yang bid’ah itu sesat.”

Sabda Rasulullah saw lagi;
من أحدث فى أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد
“Siapa mengada-adakan di dalam agama kami sesuatu yang tidak ada di dalamnya, maka yang dikerjakannya itu adalah tertolak.”

Mengamalkan amalan khurafat dengan tidak disedari boleh menjauhkan diri daripada Allah, walhal kedatangan jemaah haji ke Tanah Suci ialah untuk menghampirkan diri kepada Allah serta menyucikan diri dari segala dosa dengan tujuan mandapat haji mabrur. Amalan khurafat adalah bertentangan dengan akidah Islam sekali gus menjejaskan iman seseorang atau menyebabkan syirik kepada Allah, iaitu salah satu dosa yang tidak diampuni Allah. Firman Allah (surah al-Nisa’, ayat 48);
إِنَّ اللَّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاء وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa juga), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa besar.”  

Oleh demikian, setiap Muslim wajib berhati-hati ketika menelusuri pentas kehidupan global supaya tidak mudah terjerumus ke kancah khurafat dengan memperkukuhkan ilmu akidah di samping mengenal pasti ciri amalan khurafat.

Punca Terpautnya Seseorang Kepada Amalan Khurafat

Di antara punca-puncanya adalah seperti berikut :-
  1. Tidak mempunyai asas yang kukuh di dalam pengetahuan agama di mana mudah menerima perkara-perkara yang dianggap menarik baginya.
  2. Mempelajari daripada guru-guru atau ketua-ketua yang tidak bertanggungjawab.
  3. Terikut-ikut dengan amalan jemaah haji lain kerana menyangka amalan itu adalah amalan yang betul.
  4. Sudah terbiasa melayani nafsu ammarah.

Jumaat, 21 Ogos 2015

4 Martabat Ibadah Haji


Ibadah haji merupakan rukun Islam yang kelima yang wajib dikerjakan oleh setiap orang Islam yang mampu memenuhi syarat-syarat untuk melaksanakannya. Setiap Jemaah haji yang mengunjungi Baitullah al-Haram pasti menginginkan dan mendambakan pencapaian ke tahap Haji Mabrur iaitu haji yang diterima oleh Allah dan balasan yang akan diterimanya iaitu syurga, tetapi tahukah  bahawa terdapat 4 tingkatan (martabat) dalam pelaksanaan Ibadah Haji?

Firman Allah dalam al-Qur’an surah Al-Baqarah ayat 197;
الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ ۗ
“Masa untuk mengerjakan Ibadah Haji itu ialah beberapa bulan termaklum, oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya dengan niat mengerjakan Ibadah Haji itu, maka tidak boleh mencampuri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan Haji.”

Tazkirah ini akan mengulas sedikit tentang peringkat ibadah haji tersebut. Adapun empat peringkat ibadah haji tersebut adalah :-
  1. Haji Mardud
  2. Haji Maqbul
  3. Haji Makhsus
  4. Haji Mabrur
Haji Mardud

Haji Mardud ialah haji yang tidak diterima oleh Allah kerana tidak sempurna syarat-syarat dan rukunnya atau sebab-sebab yang lain yang menyebabkan hajinya tidak diterima atau ditolak oleh Allah.

Haji Maqbul

Haji Maqbul ialah haji yang sah dan diterima oleh Allah dan orang yang mengerjakan Haji Maqbul ini dianggap sebagai telah menunaikan perintah Allah secara fekahnya dan telah menyempurnakan rukun Islam yang kelima tanpa diberi pahala. Hal ini disebabkan kerana akhlak yang tidak dipelihara semasa melaksanakan ibadah haji tersebut.

Haji Makhsus

Haji Makhsus ialah Ibadah haji yang dilakukan oleh orang-orang yang tertentu yang sempurna segala syarat dan rukunnya, ia bukan sahaja sekadar dianggap sah dan diterima oleh Allah tetapi diampunkan segala dosanya. Rasulullah saw bersabda:
مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ، فَلَمْ يَرْفَثْ وَلَمْ يَفْسُقْ، خَرَجَ مِنْ ذُنُوْبِهِ كَيَوْمٍ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ
“Sesiapa yang menunaikan ibadah Haji, tidak ia melakukan keburukan dan kekejian, maka kembalilah ia seperti hari yang dilahirkan oleh ibunya.” (riwayat al-Bukhari, Ibnu Majah, al-Nasaie dan Ahmad)

Haji Mabrur

Haji Mabrur ialah tingkatan haji yang paling tinggi dan istimewa, tidak semua boleh mendapatkannya. Haji Mabrur bukan sahaja sekadar dianggap menunaikan kewajipan, tetapi selain dari diampunkan segala dosanya, ia juga akan dimasukkan ke dalam syurga. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda;
والْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ
“Haji Mabrur itu tiada balasan (ganjarannya), melainkan syurga.” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Di manakah kedudukan kita di antara empat kategori ibadah Haji di atas? Alangkah bertuah dan bersyukurnya kita jika dapat meraih tahap Haji Mabrur kerana janji Allah SWT itu adalah pasti. Dalam sebuah hadis qudsi Rasulullah saw bersabda:
قَالَ اللَّه: أَعْدَدْتُ لِعِبَادِى الصَّالِحِينَ مَا لاَ عَيْنَ رَأَتْ، وَلاَ أُذُنَ سَمِعَتْ، وَلاَ خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ
“Allah berfirman; Telah Aku siapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh kenikmatan yang tidak pernah dilihat mata, tidak pernah didengar telinga, dan tidak pernah terdetik di hati manusia.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ya Allah terimalah semua amalan dan ibadah kami. Jadikan haji kami adalah haji yang mabrur yang akan mendapatkan janji daripada-Mu pahala berupa syurga yang Engkau janjikan.

Biodata Penulis

Ustaz Sihabuddin Muhaemin (USM). Kritik dan saranan yang membina sangat dialu-alukan. SMS (012-6653988) atau layari laman facebook USM - Sihabuddin Muhaemin

5 Tanda Haji Mabrur di Sisi Allah


Ajaran Islam dalam semua aspeknya memiliki hikmah dan tujuan tertentu. Hikmah dan tujuan ini diistilahkan oleh para ulama dengan maqashid syari’ah (tujuan diperintahkan sesuatu  syariat), iaitu berupa maslahat yang dapat  diraih seorang hamba, baik di dunia maupun di akhirat kelak. Sabda Nabi Muhammad saw dalam sebuah hadith al-qudsi;
قَالَ اللَّه؛ أَعْدَدْتُ لِعِبَادِى الصَّالِحِينَ مَا لاَ عَيْنَ رَأَتْ، وَلاَ أُذُنَ سَمِعَتْ، وَلاَ خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ
“Allah berfirman (yang ertinya): Telah Aku siapkan untuk hamba-hamba-Ku yang saleh berupa kenikmatan yang tidak pernah dilihat mata, tidak pernah didengar telinga, dan tidak pernah terdetik di hati manusia.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Untuk kelebihan dalam pelaksanaan ibadah haji secara khusus, Rasulullah saw bersabda;
والْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ
“Haji yang mabrur tidak lain pahalanya adalah syurga.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Setiap orang yang pergi untuk menunaikan ibadah haji mencita-citakan haji yang mabrur. Haji mabrur bukanlah sekadar haji yang sah. Mabrur bererti diterima oleh Allah swt, dan sah bererti menggugurkan kewajiban secara hukum syarak kerana sudah lengkap  syarat dan rukunnya. Boleh jadi haji seseorang sah kewajiban berhaji baginya telah gugur secara fekahnya, namun belum tentu hajinya diterima oleh Allah. Jadi, tidak semua yang hajinya sah, akan mendapat kurnia haji yang mabrur. 

Untuk  mengetahui, bagaimana mabrurnya haji seseorang? Apa perbezaan antara haji yang mabrur dengan yang tidak mabrur? Tentunya yang menilai mabrur tidaknya haji seseorang adalah Allah semata-mata. Kita tidak dapat memastikan bahawa haji seseorang adalah haji yang mabrur atau tidak. Para ulama menyebutkan ada tanda-tanda mabrurnya haji, berdasarkan keterangan al-Quran dan al-Hadis, namun itu tidak mampu memberikan kepastian mabrur atau tidaknya haji seseorang. 

Di antara tanda-tanda haji mabrur yang telah disebutkan para ulama adalah: 

1
Harta Yang Halal
Harta yang diguna pakai untuk pergi haji adalah harta yang halal.

Allah tidak menerima suatu amalan yang baik kecuali yang sumbernya datang dari halal, sebagaimana ditegaskan oleh sabda Rasulullah saw;
إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا
“Sesungguhnya Allah adalah zat yang Maha baik, tidak menerima (suatu amalan) kecuali yang baik.” (riwayat Muslim) 

Orang yang ingin mabrur hajinya harus memastikan bahawa seluruh harta yang ia pakai untuk haji adalah harta yang halal, terutama mereka yang selama mempersiapkan biaya pelaksanaan ibadah haji tidak lepas dari transaksi yang syubahat dan haram. Sabda Rasulullah saw lagi;
والْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ
“Haji mabrur tidak ada balasannya yang lain kecuali syurga.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Justeru, haji mabrur adalah ibadah yang ikhlas kerana iman dan taqwa yang dipersembahkan ke hadirat Allah semurni-murninya, bersih dari unsur-unsur duniawi. Haji mabrur tentulah bukan kerana kepentingan niaga, politik dan kebanggaan. 

2
Hati Yang Ikhlas
Amalan-amalan selama pelaksanaan ibadah haji dilakukan dengan ikhlas dan baik, sesuai dengan tuntunan Rasulullah saw.

Penuhi rukun-rukun dan kewajibannya yang mesti dijalankan, dan semua larangan yang perlu ditinggalkan. Jika terjadi kesalahan dalam ibadah haji tersebut, maka hendaknya segera melakukan tebusannya dengan membayar Dam yang telah ditentukan. Di samping itu, haji yang mabrur juga perlu memperhatikan keikhlasan hati, seiring dengan kemajuan zaman yang semakin sukar untuk menjaga keikhlasan dalam  beribadah. Mari merenungkan perkataan Syuraih al-Qadhi;
الحاج قليل، والركبان كثير، ما أكثر من يعمل الخير ولكن ما أقل الذين يريدون وجهه
“Yang (benar-benar) berhaji sedikit, meski jamaah haji banyak. Alangkah banyak orang yang berbuat baik, tetapi alangkah sedikit yang ikhlas kerana Allah dalam perbuatan baik tersebut.”  (Lathaiful Ma’arif fima li Mawasimil ‘Am Minal Wazhaif 1/68). 

3
Amalan Berganda
Hajinya dipenuhi dengan banyak amalan baik, seperti zikir, solat di Masjid al-Haram, membaca al-Qur’an dan membantu teman seperjalanan.

Ibnu Rajab berkata (Lathaiful Ma’arif 1/67);
وإنما يكون مبروراً باجتماع أمرين فيه؛ أحدهما: الإتيان فيه بأعمال البر، والأخر: إجتناب أفعال الأثم فيه
“Dan adalah haji mabrur itu terkumpulnya dua perkara di dalamnya, iaitu (1) amalan-amalan kebajikan, serta (2) menghindarkan diri dari perbuatan dosa.” 

Di antara amalan khusus yang disyariatkan untuk meraih haji mabrur adalah bersedekah dan berkata-kata baik selama haji. Rasulullah saw pernah ditanya tentang maksud haji mabrur, maka baginda menjawab;
إِطْعَامُ الطَّعَامِ وَطِيبُ الْكَلاَمِ
“Memberi makan dan berkata-kata dengan baik.” (riwayat al-Baihaqi dan al-Hakim) 

4
Menghindari Keji & Dosa
Tidak berbuat dosa dan maksiat serta kemungkaran selama dalam pelaksanaan Ibadah Haji.

Maksiat dilarang dalam agama kita, dalam semua kondisi, situasi dan lokasi. Dalam kondisi ihram, larangan tersebut menjadi lebih tegas dan jika dilanggar, maka haji mabrur yang diimpikan akan tercicir. Di antara yang dilarang selama pelaksanaan ibadah haji adalah rafats, fusuq dan jidal. Allah berfirman dalam al-Qur’an Surah al-Baqarah ayat 197;
الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَعْلُومَاتٌ فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلاَ رَفَثَ وَلاَ فُسُوقَ وَلاَ جِدَالَ فِي الْحَجِّ
“(Musim) haji adalah beberapa bulan yang diketahui, barang siapa yang menetapkan niatnya dalam bulan-bulan itu untuk mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats, fusuq dan berbantah-bantahan selama mengerjakan haji.” 

Nabi Muhammad saw bersabda;
مَنْ حَجَّ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ
“Barang siapa yang haji dan ia tidak rafats dan tidak fusuq, ia akan kembali pada keadaannya saat dilahirkan ibunya.” (riwayat Muslim dan Ahmad) 

Menurut Imam al-Ghazali (Ihya Ulumiddin 1/261); 
  1. Rafats adalah semua bentuk kekejian dan perkara yang tidak berguna. Termasuk di dalamnya bersenggama, bercumbu atau membicarakannya, meskipun dengan pasangan sendiri selama ihram.
  2. Fusuq adalah keluar dari ketaatan kepada Allah, apapun bentuknya. Dengan kata lain, segala bentuk maksiat adalah fusuq yang dimaksudkan dalam hadis di atas.
  3. Jidal adalah berbalah dan berbantah-bantahan secara berlebihan yang menimbulkan emosional amarah. Ketiga-tiga hal ini dilarang selama ihram. 
Adapun di luar waktu ihram, bersenggama (berjimak) dengan pasangan kembali diperbolehkan, sedangkan larangan yang lain tetap tidak boleh. Demikian juga, orang yang ingin hajinya mabrur harus meninggalkan semua bentuk dosa selama perjalanan ibadah haji, baik berupa syirik, bid’ah mahupun maksiat. 

5
Lebih Baik Dari Sebelumnya
Setelah kembali dari ibadah haji, amal ibadahnya serta akhlaknya menjadi lebih baik dari yang sebelumnya.

Salah satu tanda diterimanya amal seseorang di sisi Allah adalah diberikan taufik dan hidayah untuk melakukan kebaikan lagi setelah amalan tersebut. Sebaliknya, jika setelah beramal saleh melakukan perbuatan buruk, maka itu adalah tanda bahwa Allah tidak menerima amalannya. Ibadah haji adalah ibarat kehidupan di sebuah madrasah. Selama kurang lebih satu bulan para jamaah haji disibukkan oleh berbagai ibadah dan pendekatan diri kepada Allah. Bertaubat setelah melaksanakan haji, berubah menjadi lebih baik, memiliki hati yang lebih lembut dan bersih, ilmu dan amal lebih mantap dan benar, kemudian istiqamahlah di atas kebaikan itu adalah salah satu tanda haji yang mabrur.

Orang yang hajinya mabrur menjadikan ibadah haji sebagai titik tolak untuk membuka lembaran baru dalam menggapai redha Allah. Al-Hasan al-Basri mengatakan;
الحجُ المبرور، أن تعودَ زاهدًا في الدنيا، راغبًا في الآخرة
“Haji mabrur adalah pulang dalam keadaan zuhud terhadap dunia dan mencintai akhirat.” Beliau juga mengatakan, “Tandanya adalah meninggalkan perbuatan-perbuatan buruk yang dilakukan sebelum haji.” (Lathaiful Ma’arif 1/67). 

Ibnu Hajar al-Haitami turut mengatakan (maksudnya), “Dikatakan bahawa tanda diterimanya haji adalah meninggalkan maksiat yang dahulu dilakukan, menggantikan teman-teman yang buruk menjadi teman-teman yang baik, dan mengganti majlis kelalaian menjadi majlis zikir dan kesedaran.” (Qutul Qulub 2/44) 

Wahai saudaraku sekalian, yang menilai mabrur tidaknya haji seseorang hanyalah Allah semata-mata. Para ulama hanya menjelaskan tanda-tandanya sesuai dengan ilmu yang telah Allah berikan kepada mereka. Jika tanda-tanda ini ada dalam ibadah haji kita, maka hendaknya kita bersyukur di atas taufik dan hidayah dari Allah, dan teruslah berdoa agar ibadah kita dapat diterima di sepanjang hayat kita. Adapun jika tanda-tanda itu tidak ada, maka kita harus berhati -hati dan  perbanyakkan istighfar dan memperbaiki amalan kita. 

Berdoalah kepada mereka yang menunaikan haji sebagaimana doa yang telah diajarkan oleh Ibnu Mas’ud dan Ibnu ‘Umar;
اللهم اجعله حجا مبرورا و سعيا مشكورا و ذنبا مغفورا
“Ya Allah kurniakanlah kepada mereka haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.” 

Ya Allah terimalah amalan serta ibadah kami. Jadikan haji kami Ya Allah haji yang mabrur untuk berharap janji berupa syurga-Mu yang telah Engkau janjikan. Amiin Yaa Rabbal ‘Aalamiin.

Biodata Penulis

Ustaz Sihabuddin Muhaemin (USM). Kritik dan saranan yang membina sangat dialu-alukan. SMS (012-6653988) atau layari laman facebook USM - Sihabuddin Muhaemin

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews