Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Memaparkan catatan dengan label Risalah Dakwah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Risalah Dakwah. Papar semua catatan

Jumaat, 2 Jun 2017

Realiti Masjid Abad Ke-21

Masjid adalah tempat sujudnya insan yang bertaqwa kepada Allah dan ini juga simbol perpaduan seluruh umat Islam, di mana sahaja tempat yang mempunyai masjid bererti di situ wujudnya orang-orang yang bertaqwa dan bersaudara. Dalam Islam, masjid berfungsi sebagai sentral untuk melakukan solat dan beraktiviti ibadah (Islamic place of worship) sungguhpun amal ibadah bagi seorang Muslim itu tidak terhad hanya di ruang masjid sahaja.

Penampilan kita dan isi masjid akan mencerminkan darjat hubungan antara manusia dengan Allah dan antara manusia dengan manusia. Sabda Rasullullah ﷺ:
أَحَبُّ الْبِلَادِ إِلَى اللَّهِ مَسَاجِدُهَا وَأَبْغَضُ الْبِلَادِ إِلَى اللَّهِ أَسْوَاقُهَا
“Tempat yang paling dikasihi oleh Allah di sesuatu negeri atau qaryah itu ialah masjid-masjid-Nya, dan tempat yang paling dibenci Allah ialah pasar-pasar (kerana terdapat aktiviti penipuan dan seumpamanya).” (Riwayat Muslim)

Salah seorang missionari Kristian, Samuel Marinus Zwemer (1867 – 1952) pernah menulis:
سيظلُّ الإسلام صخرة عاتية تتحطَّم عليها كل محاولات التبشير ما دام للمسلمين هذه الدعائم الأربع: القرآن، والأزهر، واجتماع الجمعة الأسبوعي، ومؤتمر الحج السنوي العام
“Islam akan tetap menjadi kukuh seumpama batu karang walaupun menerima ancaman gerakan missionari selama kaum Muslimin berpegang dengan empat hal ini; al-Quran, al-Azhar (masjid tempat ilmu dan bersosial), pertemuan mingguan pada hari Jumaat dan muktamar haji tahunan.”

Pada umumnya wajah masjid akan bergantung kepada taraf iman manusia. Semakin tinggi keimanan, maka semakin makmurlah masjid. Dapatlah dikatakan bahawa aktiviti dan penampilan masjid merupakan satu alat pengukur yang dapat memberi petunjuk apakah umat manusia itu dalam keadaan tebal imannya ataupun nipis. Firman Allah Taala di dalam surah al-Hajj, ayat 40:
وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيراً وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ
“Dan kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan manusia yang lain, nescaya diruntuhkan tempat pertapaan segala gereja-gereja kaum Nasrani dan tempat sembahyang kaum Yahudi dan juga masjid-masjid yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya. Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Berkuasa.” (Surah al-Hajj, ayat 40)

Peranan Masjid Memenuhi Keperluan Fardhu ‘Ain dan Fardhu Kifayah

Masjid di negara kita semakin berkembang jumlahnya, serta mutu bangunannya bertambah indah. Ada masjid yang mewah dan meriah serta makmur, ada juga yang mewah tetapi sunyi sepi. Ada pula yang dhaif bangunannya tetapi aktif dengan berbagai-bagai kegiatan dan kebajikan, dan ada juga yang kecil terpencil serta lemah kegiatannya.

Masalahnya sekarang, ialah sejauh manakah masjid-masjid itu telah digunakan sesuai dengan ketentuan yang digariskan oleh syariat, iaitu sebagai tempat ibadat, tempat menuntut ilmu, tempat berdakwah dan sebagainya lagi. Sejauh manakah kita telah memakmurkan masjid sesuai dengan ketentuan Allah dan Sunnah Rasulullah ﷺ, iaitu menjadikan masjid sebagai pusat pertemuan dan pencetus rasa tanggungjawab umat Islam menepati keperluan-keperluan fardhu ‘ain dan fardhu kifayah.

Di zaman kegemilangan Islam, umat Islam telah berhasil menjadikan masjid sebagai markaz pelaksanaan hubungan antara manusia dengan Allah Taala (Ibadat) dan hubungan manusia dengan manusia (Muamalat). Situasi itu berlangsung sejak abad ke-6 Masihi hingga ke abad 13 Masihi iaitu selama tujuh abad, sehingga kita masih dapat menyaksikan peninggalan sejarah umat Islam yang lalu itu mampu melampaui batas ruang dan waktu hingga kini.

Umat Islam ketika itu benar-benar telah mengamalkan ibadat dan muamalat atau dalam kata lain amalan fardhu ‘ain dan fardhu kifayah sekaligus tanpa terpisah atau dipisahkan. Iaitu ibadat yang mengatur hubungan manusia dengan manusia (kemasyarakatan). kesan daripada itu, mereka mampu mewujudkan keselamatan dan kesejahteraan bagi seluruh umat manusia.

Masjid Mengajar Umat Berdisiplin

Di dalam masjid kita diajar disiplin ala ketenteraan dengan arahan-arahan imam sebagaimana berikut:
سَوُّوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصَّفِّ مِنْ تَمَامِ الصَّلَاةِ
“Luruskan saff sesungguhnya meluruskan saff adalah sebahagian dari kesempurnaan solat.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah)

لَا تَخْتَلِفُوا فَتَخْتَلِفَ قُلُوبُكُمْ
“Jangan bersikap berbeza-beza,  sehingga hati kalian juga cenderung kepada sikap berbeza-beza (perselisihan).” (Khuzaimah di dalam Sahih-nya)

وَلِينُوا بِأَيْدِي إِخْوَانِكُمْ
“Dan bersikap lembutlah terhadap tangan-tangan saudaramu.” (Riwayat Ahmad dan Abi Daud)

إنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَلا تَخْتَلِفُوا عَلَيْهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا قَالَ : سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، فَقُولُوا : رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا، وَإِذَا صَلَّى جَالِساً فَصَلُّوا جُلُوساً أَجْمَعُونَ
“Diangkat imam untuk dituruti. Maka janganlah kamu bersalah-salahan ke atasnya. Apabila imam bertakbir maka kamu bertakbirlah, jika imam rukuk, maka rukuklah kalian. Dan jika Imam menyebutسَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ”, maka jawablahرَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ”. Apabila imam bersujud, maka sujudlah kalian. Dan apabila imam solat dalam keadaan duduk maka kalian solatlah dalam keadaan duduk semuanya.”

Dalam riwayat lain mengatakan:
وَإِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُواْ
“Dan apabila imam membaca al-Quran, maka diamlah (dengarkan bacaannya).” (Riwayat Muslim)

الَّذِي يَخْفِضُ وَيَرْفَعُ قَبْلَ الْإِمَامِ إنَّمَا نَاصِيَتُهُ بِيَدِ شَيْطَانٍ
“Orang yang tunduk dan bangun mendahului imam bererti dia dikuasai syaitan.” (Riwayat al-Tabarani)

أَمَا يَخْشَى أَحَدُكُمْ إذَا رَفَعَ رَأْسَهُ قَبْلَ الْإِمَامَ أَنْ يُحَوِّلَ اللَّهُ رَأْسَهُ رَأْسَ حِمَارٍ
“Tidakkah kalian takut, apabila kalian mengangkat kepala dan rukuk mahupun sujud mendahului imam, maka Allah jadikan kepala kalian kepala keldai.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abi Daud)

Pemikiran Sempit Umat Moden Mengenai Masjid

Sejak abad ke-14 Masihi, kita menyaksikan pergeseran peranan masjid, iaitu masjid berubah wajah hanya menjadi tempat ibadat fardhu semata-mata, sedangkan muamalatnya lepas terkeluar dari masjid, hal-hal fardhu kifayah tidak diuruskan di masjid lagi. Kenyataan ini berlangsung terus sehingga secara sedar atau tidak sedar, inilah masa kemunduran umat Islam, yang mengakibatkan sempitnya peranan masjid hinga ke abad ini.

Keadaan ini ditokok tambah dengan prilaku sesetengah umat Islam sendiri, apabila berada di masjid bertuhankan Allah dan kalau di luar masjid pula bertuhankan harta, wanita, pangkat dan kuasa. Ada yang juga berfikir kalau mahu berpolitik mesti di luar masjid sahaja, hal ini tidak betul dan menyebabkan umat Islam mundur. Oleh kerana itu, kita harus mengembalikan peranan masjid secara utuh ke arah satu paradigma satu baru, iaitu sebagai tempat ibadat dan muamalat yang berpedoman kepada al-Quran dan al-Sunnah.

Di dalam al-Quran banyak sekali kandungan ayat-ayat tentang ibadat, muamalat, kemasyarakatan, ekonomi, pengadilan, hubungan si kaya dengan si miskin dan lain-lain. Dengan demikian kesungguhan untuk mengembalikan peranan masjid dengan suatu paradigma baru amatlah penting. Fahaman yang keliru terhadap Islam dan bagaimana mengembalikan peranan masjid haruslah dilurus dan dibetulkan sehingga masjid kembali berperanan dalam mengembangkan nilai-nilai duniawi dan ukhrawi serta mampu berperanan sebagai pengendali perubahan sosial, budaya masyarakat.

Masjid Memacu Perpaduan Umat

Masjid adalah tempat membina perpaduan berteraskan al-Quran dan al-Sunnah. Di dalam al-Quran, kata “Masjid” sama ada dalam bentuk tunggal atau jamak diulang penyebutannya sebanyak 28 kali. Apabila ia dicampur dengan perkataan lain seperti saff, bait dan buyut yang dimaksudkan masjid maka jumlah penyebutannya menjadi 46 kali. Hal itu menjadikan masjid berperanan sebagai tempat persatuan umat Islam.

Islam menganjurkan solat di masjid, dengan kata lain solat yang dilakukan dengan berjamaah. Hukum solat berjemaah adalah sunat mua’kkadah (sangat dituntut) dan sangat dipentingkan dalam Islam. Hal ini sekaligus membezakan di antara hubungan Muslim dengan masjid dan hubungan umat Nasrani (Kristian) dengan gereja yang hanya dikunjungi sekali dalam seminggu.

Masjid terikat dalam kehidupan Muslim sehari-hari, jika timbul sifat malas pada seorang Muslim untuk solat berjamaah, saudara-saudaranya akan bertanya dan mencarinya. Apabila terbukti sakit mereka akan menjenguknya dan menziarahinya. Apabila sibuk, mereka akan membantunya. Apabila bermusafir, mereka akan mendoakan keselamatannya. Dan apabila lupa mereka masing-masing akan nasihat-menasihati. Perkara ini menyebabkan masjid menjadi tempat pertemuan umat Islam sehari-hari.
Dalam Islam, masjid tidak pernah dikhususkan hanya untuk bangsa dan taraf sosial tertentu. Semuanya beribadah di dalam masjid tanpa mengira warna kulit, fahaman politik dan mazhab asalkan ia mengikut acuan al-Quran dan Sunnah Nabi. Masjid tidak seperti gereja yang mengkhusukan aliran-aliran tertentu sahaja seperti Katholik, Protestan, Anglican, Orthodoks dan sebagainya. Masjid juga tidak mengira warna kulit seperti amalan gereja yang mengkhususkan untuk orang kulit putih dan orang kulit hitam.
Umat Islam hari ini tidak kurang jumlah besarnya di seluruh dunia, jumlah yang memang boleh mendatangkan kegerunan bagi pihak musuh, lebih-lebih lagi dengan kebangkitan umat Islam di beberapa negara di seluruh dunia. Tetapi oleh kerana kita tidak bersatu padu dalam erti kata yang sebenar, suka mengejek antara satu sama lain kerana berlainan mazhab, maka jadilah kita umat Islam umat yang lemah dan serba serbi kekurangan.

Kita hanya bersatu pada satu-satu ketika sahaja, tidak sepanjang masa. Kepentingan diri telah bertapak dan menetap di hati kita, yang kaya dengan kemewahannya, sedang yang miskin terus-menerus dengan deritanya. Perpaduan kita bermusim hanya terletak di bibir tidak menyerap ke lubuk hati. Kita hanya dapat bernasyid dan berpantun mengenai perpaduan-perpaduan, tetapi tidak mempraktikkan  dalam kehidupan sehari-harian.

Pergilah ke masjid dan solat berjamaah, mudah-mudahan kita tergolong di kalangan mereka yang diberitakan oleh Nabi ﷺ sebagai umatnya yang membawa cahaya benderang di Hari Kiamat:
بَشِّرِ الْمَشَّائِينَ فِي الظُّلَمِ إِلَى الْمَسَاجِدِ بِالنُّورِ التَّامِّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berjalan menembus kegelapan menuju masjid, akan datangnya cahaya yang terang benderang di Hari Kiamat.” (al-Hakim di dalam al-Mustadrak)

Jumaat, 29 April 2016

Mengenali Dr. Zakir Abdul Karim Naik

Lawatan tokoh dakwah daripada India, Dr. Zakir Abdul Karim Naik yang termasyhur namanya kerana kepakarannya dalam bidang perbandingan agama menjadi polemik di antara kawan dan lawan. Walaupun asal pengajiannya bidang perubatan, inilah anugerah Allah kepada sesiapa yang dikehendakinya dengan kelebihan menolong agama-Nya (Islam) yang berbeza dengan agama-agama dan ideologi lain, sama ada yang berasal daripada agama samawi (Yahudi dan Kristian) atau tidak samawi iaitu agama-agama lain seperti Hindu, Buddha, Majusi dan lain-lain atau perbandingan di antara Islam dan ideologi ciptaan manusia dalam urusan cara hidup.

Ada kalangan yang mempertikaikan kedatangannya semata-mata, sebelum mendengar dan membaca hujahnya. Ada pula yang memprotes secara keras, ancaman dan menggunakan bahasa yang kesat. Sepatutnya menggunakan kaedah ilmu dan fikiran yang waras dan adil. Sepatutnya juga seseorang itu jangan dilihat nama dan rupa bangsa dan agamanya sahaja, bahkan hendaklah dilihat buah fikirannya melalui lisan, tulisan dan akhlaknya. Orang yang beriman pula diminta supaya menerima setiap kebijaksanaan laksana barang tercicir yang wajib dipungut walau daripada mana datangnya.

Paling menghairankan beliau bergerak bebas di negara Barat yang paling kuat Kristiannya dan dibenarkan berceramah dan berdialog di India, tanah tumpah darah agama Hindu dan paling kuat Hindunya serta paling ramai penganutnya. Adakah boleh dikatakan Kristian dan Hindu di Malaysia ini paling kuat di dunia ini lebih daripada negara Barat dan India?

Jawapannya tidak sekali-kali, kerana agama Islam telah berjaya meng-Islamkan orang-orang Melayu, raja dan rakyat, yang sebelumnya beragama Hindu. Kaum beragama lain yang ada di sini pada hari ini, adalah pendatang yang dibawa oleh penjajah Inggeris, namun mereka tetap diterima oleh masyarakat Islam menjadi warganegara dalam masyarakat majmuk.

Pendakyah Kristian yang datang daripada Barat dan mereka yang dilatih oleh pihak gereja juga gagal memurtadkan orang Melayu yang telah Islam, hanya segelintir yang tidak cukup untuk dimasukkan dalam nisbah perkiraan penduduk mengikut pecahan agama, itupun yang terpencil dengan buta huruf, kemiskinan dan lain-lain.

Kaum Melayu yang beragama Islam tetap berpegang dengan ajaran Islamnya, walaupun secara semangatnya sahaja tanpa ilmu. Namun semangat Islam juga menerima kewujudan masyarakat majmuk, yang tetap hidup dalam masyarakat Melayu Islam di atas konsep masyarakat Madani dan seluruh manusia laksana satu keluarga. Inilah yang ditunjukkan oleh al-Quran, sehingga seorang atau satu keluarga penganut agama lain termasuk  kaum India beragama Hindu atau China beragama Buddha boleh hidup tanpa gangguan di kampung Melayu daripada semua Melayu penganut Islam di sekelilingnya, hanya pergeseran yang sangat  terpencil. Keadaannya tidak seperti kumpulan minoriti Muslim di kebanyakan negara bukan Islam, yang terdekat dan paling malang ialah kaum Muslimin Rohingya di Myanmar, sebelumnya di Bosnia dan negara-negara lain.

Sesiapa yang mengikuti ceramah Dr. Zakir Naik dan dialognya secara jujur dan berfikir secara waras dan ilmu tanpa fanatik dan emosi akan mendapati beliau menyampaikan maklumatnya berkenaan berbagai-bagai agama secara perbandingan dengan hujah daripada kitab berbagai-bagai agama dengan menyebut nombor ayat dan bilangannya. Menyebut titik persamaan dari segi percaya kepada Allah atau Tuhan, yang pada hakikatnya Maha Esa dengan bahasa masing-masing. Dalam masa yang sama mendedahkan perkara yang salah dari segi ketuhanan sehingga berlakunya syirik dalam agama lain. Begitu juga dalam perkara baik dan buruk mengikut fitrah yang bersih sebelum diganggu oleh sebab-sebab sampingan yang mendatang dan merosakkan.

Sebenarnya pendekatan berhujah adalah cara yang dilaksanakan oleh semua para Rasul yang berakhir dengan Nabi Muhammad sallallahu’alaihi wasallam yang disebut secara dasar dalam semua kitab agama yang asal sebelum dipinda dan dicipta kitab-kitab yang lain oleh kalangan agamawan berbagai-bagai agama. Inilah mesej yang didedahkan dan ditegaskan oleh al-Quran.
قلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ
“Katakanlah (wahai Muhammad sallallahu’alaihi wasallam), wahai ahli Kitab! Marilah kepada satu kalimah yang sama di antara kami dan kamu. Bahawa kita tidak boleh beribadat melainkan kepada Allah sahaja dan tidak boleh menyekutukan-Nya (Allah dari segi ketuhanan) dengan sesuatu yang lain, dan tidak boleh mengambil sesama kita dilantik menjadi tuhan-tuhan selain Allah. Jika sekiranya mereka berpaling, maka katakanlah: “Sebenarnya kami adalah orang-orang Islam.” (surah Aali-Imran: ayat 64)

Firman Allah;
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تُحَاجُّونَ فِي إِبْرَاهِيمَ وَمَا أُنْزِلَتِ التَّوْرَاةُ وَالْإِنْجِيلُ إِلَّا مِنْ بَعْدِهِ أَفَلَا تَعْقِلُونَ (65) هَا أَنْتُمْ هَؤُلَاءِ حَاجَجْتُمْ فِيمَا لَكُمْ بِهِ عِلْمٌ فَلِمَ تُحَاجُّونَ فِيمَا لَيْسَ لَكُمْ بِهِ عِلْمٌ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ (66) مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَكِنْ كَانَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ (67) آل عمران
“Wahai ahli Kitab! Mengapa kamu berhujah berkenaan Ibrahim? Padahal tidaklah diturunkan kitab Taurat dan Injil melainkan selepasnya. Adakah kamu tidak berakal? Adakah kamu berhujah dalam perkara yang kamu tidak ada ilmu pengetahuan berkenaannya? Padahal Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak ada ilmu berkenaannya. Ibrahim bukannya seorang Yahudi dan bukan juga seorang Nasrani (Kristian). Sebenarnya dia (Ibrahim) adalah penganut agama asal iaitu Islam (Muslim). Dan dia (Ibrahim) juga bukannya daripada kalangan Musyrikin.” (surah Aali-Imran: ayat 65-67)

Ayat-ayat ini menjelaskan kepada semua penganut agama-agama yang memuliakan Nabi Ibrahim alaihissalam mengikut kepercayaan mereka, menunjukkan adanya asas persamaan. Ada yang percaya adalah Rasul Allah dan bapa kepada para rasul dan ada pula yang melantik Ibrahim menjadi tuhan yang dipuja.

Maka apa salahnya Dr. Zakir Naik mengemukakan hujah perbandingan daripada kitab berbagai-bagai agama yang boleh dirujuk pada naskhah asalnya serta menegaskan apa yang disebut di dalam al-Quran supaya semua pihak berfikir secara waras dan jujur, jangan fanatik tanpa perhitungan akal.

Saya ucapkan syabas kepada Dr. Zakir Naik kerana inilah pendekatan semua Para Rasul yang menghadapi kelahiran agama yang dicipta oleh manusia sejak Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa sehingga berakhirnya dengan Nabi Muhammad sallallahu’alaihi wasallam tanpa paksaan terhadap penganut agama lain berkonsepkan firman Allah;
لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لَا انْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
“Tidak ada paksaan dalam agama, sesungguhnya telah nyatalah petunjuk yang sebenar yang berbeza dengan kesesatan. Maka sesiapa yang beriman kepada Allah dan kufur (menolak) sesiapa yang melampaui batas kebenaran, sesungguhnya dia telah berpegang teguh dengan (kebenaran) laksana simpulan tali yang teguh yang tidak dapat dirungkai lagi dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (surah al-Baqarah: ayat 256)

Firman Allah;
وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ
“Katalah yang benar daripada Tuhan kamu. Sesiapa yang mahu dia beriman dan sesiapa yang mahu (sebaliknya) dia bebas menjadi kafir.” (surah al-Kahfi: ayat 29)

Al-Quran juga menegaskan pendekatan dialog;
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
“Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui terhadap sesiapa yang sesat daripada jalannya dan lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (surah al-Nahl: ayat 126)

Allah membuka peluang berfikir menentukan kepercayaan dan amalannya dan bertaubat hanya di alam dunia, pintunya ditutup apabila memasuki alam kematian dan akhirat.

Kesempatan pertemuan saya bersama Dr Zakir Naik dengan perbincangan ilmu yang bermanfaat. Saya menyaksikan kebenaran firman Allah;
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
“Bahawa sesiapa yang bersungguh-sungguh di jalan Kami, nescaya kami tunjukkan kepadanya jalan-jalan Kami dan Allah sentiasa bersama-sama orang-orang yang melakukan kebaikan.” (surah al-Ankabut: ayat 69)

Allah mengurniakan kepadanya ingatan luar biasa menghadapi pihak yang lain daripada Islam mengajak kepada yang baik dan terbaik, bukannya seperti syaitan yang mengajak kepada kemungkaran dan maksiat dan mencegah segala kebaikan. Begitu juga sesiapa yang beramal dan berjuang dengan ilmu yang dikurniakan oleh Allah kepadanya, nescaya Allah menambahkan ilmunya dengan cara yang tidak terkira dan luar biasa.

Sejarah Para Rasul disepanjang zaman menunjukkan orang yang terbaik yang disaksikan oleh kaumnya sendiri akan sifat kebenarannya, apabila tidak ada hujah terhadapnya dituduh syaitan, penjahat, ahli sihir dan lain-lain. Maka pengikut para rasul disepanjang zaman pasti menerima iktibar daripadanya.

Doakan Dr. Zakir Naik meneruskan mesej dakwah ini, bersama kurniaan Allah, kesihatan bersama taqwa dan dipanjangkan usia dengan amal yang soleh. Amin.

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS). Beliau pernah melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah tahun 1969-1973, kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar ke peringkat M.A (Siasah Syariyyah). Semasa di Timur Tengah, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Sa’id Hawwa, Profesor Muhamad al-Wakeel serta Dr. Abdul Satar al-Qudsi.

Sabtu, 13 Februari 2016

Pemikiran Imam Hasan al-Banna Terhadap Ikhtilaf Umat Islam

Pada zaman dunia di hujung jari, sangat jarang kita dapat menjumpai para pendakwah Islam dan tokoh-tokoh ulama masa kini yang benar-benar memahami adab ikhtilaf seperti kefahaman yang dilumati oleh Imam Hassan al-Banna. Beliau mentarbiyah para pengikutnya dengan fahaman jernih. Ini kerana keinginannya yang sangat kuat melihat kesatuan umat Islam, dan usahanya yang bersungguh-sungguh, diiringi kesedarannya menyatukan gerakan-gerakan Islam. Biarpun usaha beliau tidak sepenuhnya terlestari pada zaman ini, bahkan ada yang sinis menggelarnya “utopian” dan “aspiran”, sekurang-kurangnya beliau dapat menyatukan usul dan fahaman Islamiyyah dalam gerakan dakwah. Dalam hubungan ini beliau telah membina – Usul 20 – yang terkenal menjadi rujukan seluruh gerakan Islam di seluruh dunia.

Adalah terlalu ideal untuk membayangkan terciptanya perpaduan secara drastik. Prosesnya mungkin memakan masa (tadarruj); yang penting semua pihak harus dirangsang terus-menerus ke arah perpaduan. Hassan al-Banna mengakui bahawa perbezaan pendapat dalam perkara-perkara furu’ dan hukum-hakam amaliah tidak mungkin dapat dihindarkan. Oleh itu, beliau telah mengutarakan masalah ini pada beberapa risalah dakwahnya. Sungguh indah dan banyak memberi faedah. Dalam risalahnya yang bertajuk – “Dakwatuna” (Dakwah Kita) – beliau berbicara tentang ciri-ciri dakwah adalah bersifat umum, tidak hanya disalurkan secara selektif, tidak memihak kepada pendapat yang mahsyur di kalangan manusia dengan corak yang tertentu sahaja, tetapi tepat menuju kepada inti agama dan jiwanya, bercita-cita untuk menyatukan matlamat sehingga amal yang dilakukan menjadi lebih positif dan hasilnya menyeluruh.

Hassan al-Banna bersama kebenaran di mana sahaja, beliau gemar melakukan permuafakatan dan bencikan anasir pertikaian melampau dalam masyarakat Islam. Baginya, cubaan yang paling berat kepada umat Islam ialah perpecahan dan pertikaian, sedangkan asas kemenangan itu ialah kesatuan. Sedangkan natijah tidak akan berakhir dengan baik khususnya kepada Gerakan Islam yang berpecah melainkan jika mereka memulakan langkah awal dengan perpaduan dan ukhuwah.

Imam Malik radhiallahu anhu pernah berkata kepada Abu Ja’afar;
لا تفعل فإن أصحاب رسول الله - صلى الله عليه وسلم - اختلفوا في الفروع، وتفرقوا في البلدان، وكل مصيب في رأيه، فلا نستطيع أن نخطئ أحدا منهم في اجتهاده، أو نلزم الناس برأي أحد منهم.
“Jangan kamu buat begitu kerana Para Sahabat Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam juga berselisih dalah perkara furuk (masing-masing mempunyai ilmu hujah) dan masing-masing telah bertebaran di beberapa buah kota, pandangan mereka juga masing-masing berada di atas kebenaran. Kita tidak mahu menyalahkan salah seorang daripada mereka kerana masing-masing berijtihad, kita juga tidak mahu manusia hanya mengagungkan satu pendapat sahaja (nescaya nanti akan berlaku fitnah).”

Lihatlah Imam al-Syafi’e rahimahullah membentuk “qaul qadim” di Iraq, kemudiannya membentuk qaul “jadid” di Mesir. Kedua-dua aliran pandangan itu diambilnya dengan apa yang terang dan nyata, beliau berusaha dengan sesungguhnya (berijtihad) supaya umat Islam berada dalam kebenaran. Ijma’ atas perkara furu’ adalah tuntutan yang mustahil, bahkan tidak mungkin berlaku dengan tabiat agama ini kerana itulah ketetapan Allah yang mengkehendaki bagi fekah agama ini sejalan dengan perkembangan semasa. Dengan itu seharusnya kita bersifat lembut, tidak “rigid” terhadap satu-satu pandangan.
Sedangkan Para Sahabat Nabi juga berbeza pendapat sekalipun mereka orang yang paling dekat dengan Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam, dan paling tahu mengenai qarinah-qarinah hukum. Lalu mengapa pula halnya kita bertegang urat, bersumpah seranah dalam perkara-perkara yang remeh-temeh yang tidak ada kepentingannya? Begitu juga para imam mazhab, manusia kurniaan Allah yang paling alim tentang Kitab-Nya dan Sunnah Rasul-Nya, turut berbeza pendapat antara satu sama lain, lalu kenapa kita tidak berlapang dada seperti mereka?
Sikap Hassan al-Banna tentang perbezaan pendapat dalam masalah fekah menunjukkan kedalamannya mengenai tabiat agama, sejarah dan realiti yang berlaku kepada umat Islam. Di antara pendirian bersifat amaliyah yang diceritakan mengenainya, beliau pergi menziarahi salah sebuah kampung untuk menyampaikan kuliyah. Kebetulan hari itu bulan Ramadan. Penduduk kampung di situ telah berpecah kepada dua golongan yang saling berselisih-faham tentang jumlah rakaat solat Tarawih. Adakah 20 rakaat sebagaimana yang dilakukan semasa pemerintahan Umar al-Khattab dan terus diikuti oleh manusia berabad-abad selepasnya, ataupun 8 rakaat sahaja sebagaimana telah warid dari perbuatan Baginda Nabi sallallahu‘alaihi wasallam?

Pendapat yang bertentangan dianut dengan fanatik oleh tiap-tiap golongan sehingga menyebabkan mereka berkelahi kerana masing-masing mendakwa bahawa kebenaran berada di pihaknya. Justeru Hassan al-Banna menerangkan kepada mereka sejelas-jelasnya; 
 التراويح سنة واتحاد المسلمين فريضة، فكيف نضيع فريضة من أجل سنة؟! وأنهم لو صلوا في بيوتهم دون أن يتعادوا ويتشاجروا، لكان خيرا لهم وأقوم.
“Mengerjakan tarawih itu hukumnya sunat, adapun kesatuan kaum Muslimin ini wajib. Adakah patut (dalam syariat Allah yang suci ini) kita abaikan yang wajib kerana hendak memelihara yang sunat? Seandainya mereka (tetap memelihara ukhuwah) balik ke rumah tanpa berkelahi dan berbantah-bantah (agar tiap-tiap kamu dapat mengerjakan solat tarawih mengikut bilangan yang dianggapnya lebih kuat dalilnya) itu adalah lebih baik.”

Dalam peristiwa yang lain Hassan al-Banna pernah ditanya mengenai perkara “tawassul”, belum sempat orang yang bertanya itu melanjutkan lagi persoalannya lantas beliau menjawab;
يا أخي أظنك لا تريد أن تسألني عن هذه المسألة وحدها، ولكنك تريد أن تسألني كذلك في الصلاة والسلام بعد الأذان، وفي قراءة سورة الكهف يوم الجمعة، وفي لفظ السيادة للرسول الجس في التشهد، وفي قراءة القرآن وهل يصل ثوابها إلى الميت أو لا يصل، وفي هذه الحلقات التي يقيمها أهل الطرق وهل هي معصية أو قربة إلى الله؟ وأخذت أسرد له مسائل الخلاف جميعا التي كانت مثار فتنة سابقة وخلاف شديد فيما بينهم.
“Saudaraku, aku rasa engkau tidak hanya ingin bertanya tentang ini sahaja bukan? Tetapi engkau juga ingin bertanya tentang bacaan doa dan salawat setelah azan, bacaan surah al-Kahfi pada hari Jumaat, lafaz Sayyidina untuk Rasulullah dalam tasyahud, bacaan al-Quran adakah sampai pahalanya sampai kepada mayat atau tidak? Termasuklah perkumpulan yang diadakan ahli-ahli tarekat, apakah hal itu merupakan bentuk kemaksiatan ataukah taqarrub kepada Allah? Aku sengaja mengungkapkan kepada mereka tentang pelbagai masalah khilafiyah yang menjadi sebab terjadinya fitnah lampau dan perselisihan keras di antara mereka.”

Pemuda itu kehairanan dengan apa yang dikemukakan oleh Hassan al-Banna sambil mengatakan;
نعم أريد الجواب على هذا كله
“Ya, benar. Saya memang ingin jawapan mengenai itu semua.”

Antara kenyataan Hassan al-Banna kepada pemuda tersebut;
هذه المعرفة لا تفيدكم شيئا، وقد قضيتم في جو الفتنة منذ سنوات، وفيها الكفاية. وهذه المسائل اختلف فيها المسلمون مئات السنين ولا زالوا مختلفين والله تبارك وتعالى يرضى منا بالحب والوحدة ويكره منا الخلاف والفرقة، فأرجو أن تعاهدوا الله أن تدعوا هذه الأمور الآن وتجتهدوا في أن نتعلم أصول الدين وقواعده، ونعمل بأخلاقه وفضائله العامة وإرشاداته المجمع عليها، ونؤدي الفرائض والسنن وندع التكلف والتعمق حتى تصفو النفوس ويكون غرضنا جميعا معرفة الحق لا مجرد الانتصار للرأي.
“Pengetahuan kamu tentang hal ini sama sekali tidak akan membawa manfaat. Kalian sudah tenggelam dalam iklim fitnah sejak bertahun-tahun. Itu sudah cukup. Masalah seperti ini telah diperselisihkan kaum Muslimin ratusan tahun lamanya dan mereka masih saja berselisih. Meskipun demikian, Allah tetap redha apabila kita saling mencintai dan saling menjalin perpaduan. Allah benci apabila kita berselisih dan berpecah belah. Oleh kerana itu, saya berharap agar kamu berjanji kepada Allah untuk dapat meninggalkan persoalan-persoalan seperti ini mulai sekarang. Kita bersungguh-sungguh untuk bersama-sama mempelajari dasar-dasar agama dan kaedah-kaedahnya, mengamalkan ajaran-ajaran agama secara umum dan yang kita sepakati bersama, serta kita amalkan kewajipan-kewajipan dan sunnah-sunnahnya sekaligus. Kita tinggalkan sikap takalluf (mengada-ada) dan ta’ammuq (terlalu dalam menyelami persoalan) agar jiwa kita dapat jernih. Tujuan kita hanyalah mengetahui kebenaran, bukan sekadar memenangkan suatu pendapat.”

Dalam “al-Sohwatu al-Islamiyah Bayna al-Juhud wa al-Tatorruf”, ketika pemikiran Hassan al-Banna ini diceritakan Syaikh Dr Yusuf al-Qaradawi, tiba-tiba muncul persoalan lain yang ditujukan seseorang kepadanya;
 هذا فرار من قول الحق، وبيان السنة من البدعة، وهذا واجب.
“Kenyataan (Hassan al-Banna) adalah melarikan diri dari kebenaran, lari menjelaskan sunnah dari perbuatan bidaah sebagai urusan yang wajib dilakukan.”

Lalu al-Qaradawi menjawab membela reaksi Hassan al-Banna menangani isu-isu ikhtilaf;
 هذا صحيح حين يدور الأمر بين حلال و حرام، أو بين حق وباطل، أما الأمور التي اختلفت فيها المدارس الفقهية، وغدا لكل منها فيها وجهة، ودار الأمر فيها عادة بين الجائز والأفضل فلا داعي للتشدد والتعنت فيها.
“Betul jika perkara itu berkisar di antara yang halal dan haram, di antara hak dan yang batil. Adapun perkara-perkara yang menjadi perselisihan dalam aliran-aliran fikah, di mana masing-masing mempunyai hujjah yang pelbagai, dan perkara itu biasanya berkisar di antara yang harus dan yang lebih afdhal, maka tidak ada sebabnya kita bersikap keras dan menyusahkan orang untuk berpegang dengan satu pendapat sahaja.” 

Demikianlah beberapa butiran kisah Hassan al-Banna yang dapat kita jadikan bahan renungan dalam rangka menggagaskan sebuah Piagam Perpaduan Ummah. Tidak ada formula sebaik manapun yang dapat mewujudkan perpaduan andainya hati mereka yang terlibat tidak bersedia untuk berpadu. Mudah-mudahan Allah berkenan melimpahkan nikmat kelembutan dan kedamaian hati kita semua. Usaha mengatasi bencana akibat khilaf ini harus bermula dengan muhasabah diri melakukan penilaian introspektif untuk mengenal pasti pengetahun, hukum-hakam dan ayat mana yang telah kita abaikan. 

Gagasan kesatuan umat Islam ini sama sekali tidak boleh diabaikan kerana;
  1. Allah dan Rasul memerintahkan umat Islam bersatu-padu
  2. Musuh Islam tidak menjalankan agenda menjatuhkan Islam secara individual tetapi secara berorganisasi di samping hubungan yang padu di antara organisasi-organisasi yang lain
  3. Tidak akan mampu jamaah bersendirian mengenepikan jamaah-jamaah yang lain dalam mengangkat syiar Islam
Sesungguhnya memelihara perpaduan memang sukar, dan lebih sukar lagi memadukan semula yang sudah pecah bertaburan. Demikianlah kalau sudah tidak ada lagi sikap saling percaya di kalangan umat. Bagaimana mungkin kita mengharapkan berlakunya pertemuan, perundingan dan perdamaian yang tulen kalau di lubuk hati masing-masing tersimpan rasa tidak percaya kepada pihak lain. Kerana itu langkah ke arah mewujudkan perpaduan harus juga bermula dengan usaha menumbuhkan sikap saling percaya dan hormat-menghormati di kalangan sesama umat sepertimana sikap yang pernah ditunjukkan oleh Hassan al-Banna.

Isnin, 31 Ogos 2015

Kewajiban Berdakwah Kepada Masyarakat Non-Muslim (Bukan Islam)

Terlebih dahulu izinkan saya memperkenalkan diri secara ringkas. Nama saya ialah Shah Kirit bin Kakulal Govindji. Pelik bukan? Kebiasaan di Malaysia, apabila seseorang itu masuk Islam, dia dikehendaki menukar nama bapa dia kepada Abdullah. Sebenarnya tidak ada satu pun nas dari Al-Quran mahupun Hadith Sahih yang mewajibkan seseorang yang masuk Islam mesti tukar nama bapa dia kepada Abdullah!

Saya telah dilahirkan sebagai seorang Islam tetapi ibu bapa saya telah membesarkan saya sebagai seorang Hindu. Tuan-tuan dan puan-puan mesti hairan, ini adalah kerana di dalam Islam kita percaya bahawa setiap kanak-kanak di dunia ini dilahirkan dalam fitrah Islam tetapi ibu bapalah yang mencorakkan mereka menjadi Nasrani, Yahudi, Majusi, Hindu, Buddha mahupun sebagai seorang ‘Free Thinker’.
مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Ibu bapalah bertanggungjawab mencorakkan anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Justeru itu saya lebih suka menggunakan perkataan ‘Revert’ daripada ‘Convert’ apabila seseorang itu menganuti agama Islam kerana mereka kembali kepada fitrah kejadian mereka.

Punca awal saya masuk Islam adalah atas dasar perkahwinan. Ya, kerana saya mahu berkahwin dengan perempuan Islam. Saya cakap ‘direct’ kerana di kalangan masyarakat kita ada sejenis ‘penyakit’, termasuklah di kalangan kakitangan Jabatan Agama Islam. Apabila sesorang itu menyampaikan hasrat untuk memeluk agama Islam, dia akan diperli atau disindir seperti, “Kenapa masuk Islam? Kalau tidak kerana perempuan Melayu memang tidak sah!”

Salahkah kami masuk Islam kerana mahu berkahwin? Sebenarnya masuk Islam kerana mahu berkahwin tidak salah. Mungkin itu Qada’ dan Qadar, bersabit dengan perkahwinan seseorang itu mendapat hidayah dari Allah. Yang salah ialah sudah masuk Islam tidak mahu belajar dan tidak mahu beramal dengan Islam. Yang turut salah ialah masyarakat Islam setempat yang tidak mahu membimbing atau membantu orang yang baru masuk Islam.

Jika kita perhatikan keadaan sekeliling, kita akan dapati ramai yang masuk Islam adalah kerana perkahwinan. Ini adalah kerana orang-orang Islam di Malaysia hampir-hampir tidak ada melakukan dakwah kepada orang-orang bukan Islam sekeliling mereka. Sudahlah tidak buat kerja, sindir orang pula!

Alhamdulillah, hari ini kita sebagai orang-orang Islam sedar bahawa Islam bukanlah milik orang-orang Arab atau Melayu sahaja tetapi adalah untuk seluruh umat manusia. Malangnya kita umat Islam hari ini telah lalai dari tanggungjawab yang diamanahkan Allah kepada kita untuk menyampai dakwah Islam kepada mereka yang belum terima hidayah lagi. Allah mencela golongan seperti ini dalam surah al-Baqarah ayat 140;
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن كَتَمَ شَهَادَةً عِندَهُ مِنَ اللَّهِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan yang telah diberikan Allah kepadanya? Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.”

Na’uzubillah, janganlah kita termasuk dalam golongan ini. Allah memberikan penghormatan kepada kita orang-orang Islam di dalam surah Ali Imran ayat 110;
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia.”

Kita pun rasa sangat seronok mendengarkan ayat ini. Namun begitu kita lupa bahawa setiap penghormatan itu datang bersama tanggungjawab. Lagi besar suatu penghormatan maka lagi beratlah tanggungjawab yang harus dipikul. Tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah kepada kita orang-orang Islam yang melayakkan kita di gelar ‘sebaik-baik umat’ juga disebut dalam ayat yang sama;
تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
“(Kerana) kamu menyuruh membuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah.”

Ini bermakna kita harus menjadi masyarakat ‘amar maaruf nahi munkar’ iaitu melakukan dakwah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam secara serentak. Allah berfirman dalam surah al-Asr ayat 2-3;
إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ
“Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.”
إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.”

‘Berpesan-pesan dengan kebenaran’ bermakna melakukan ‘amar maaruf nahi munkar’ yakni melakukan dakwah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam. Ayat ini jelas menunjukkan tanggungjawab melakukan dakwah bukan tugas Ustaz, Imam atau Jabatan Agama sahaja tetapi adalah tanggungjawab setiap orang Islam.

Di dalam Khutbah terakhir, Rasulullah s.a.w telah bertanya kepada Para Sahabat yang tidak kurang dari 110,000 orang, “Adakah aku telah sampaikan pesanan Islam?”

Para Sahabat-pun secara serentak menjawab, “Ya Rasulullah! Kamu telah sampaikan.”

Maka Rasulullah s.a.w seterusnya memerintahkan mereka;
فَلْيُبْلِغِ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ
“Sampaikanlah kepada mereka yang tidak hadir.”

Para sahabat pun faham akan perintah Rasulullah s.a.w lalu keluar dari negeri Arab menyampaikan dakwah Islamiyah. Maka Islam telah pun sampai ke Negeri Cina, India, Sepanyol dan seterusnya ke Malaysia. Alhamdulillah, Para sahabat-sahabat Nabi dahulu tidak ada sikap macam kita iaitu hanya mahu bercerita tentang Islam sekiranya ada yang bertanya, tetapi sebaliknya telah bertebaran ke pelbagai pelusuk dunia dalam menyampaikan syiar Islam.

‘Master key’ untuk melakukan dakwah kepada orang-orang bukan Islam ada diterangkan dalam Surah Aali-Imran ayat 64;
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاء بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلاَّ نَعْبُدَ إِلاَّ اللَّهَ وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلاَ يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ
“Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dan kamu, iaitu kita semua tidak sembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya suatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah.”

Untuk mencari kalimah-kalimah yang bersamaan antara kita dengan mereka, maka kita hendaklah mengkaji kitab mereka (bukan untuk beriman tetapi) untuk mencari ayat-ayat yang menjurus kepada tauhid. Sekiranya di peringkat permulaan kita hanya menggunakan Al-Quran dan Hadith sahaja mungkin orang-orang bukan Islam ini menolak kerana mereka belum beriman kepada Al-Quran. Sekiranya kita menggunakan Bible maka orang-orang Kristian terpaksa menerimanya. Berikut adalah antara hujah-hujah yang boleh kita gunakan dari Bible terhadap orang-orang Kristian:

“Hear, O Israel; The Lord our God is one Lord.” [Mark 12:29]

Apabila kita mulakan dakwah kepada orang-orang Hindu, adalah lebih baik sekiranya kita mulakan dengan konsep ketuhanan dalam Islam yang terdapat dalam Surah al-Ikhlas;
قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘(Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa;”
اللَّهُ الصَّمَدُ
“Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;”
لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ
“Ia tiada beranak, dan pula tiada diperanakkan;”
وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ
“Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya”

Seterusnya kita boleh bincangkan mengenai ayat-ayat yang ada persamaan di dalam kitab-kitab mereka contohnya Veda, Upanishad, Purana, Maha Bharata, Ramayana dan yang paling popular di kalangan orang-orang Hindu adalah Bhagavad Geeta. Berikut adalah beberapa contoh yang boleh kita gunakan:

“He is One only without a second.” (Chandogya Upanishad 6:2:1)

“There is no likeness of Him.” (Svetasvatara Upanishad 4:19)

“His form is not to be seen, no one sees Him with the eye.” (Svetasvatara Upanishad 4:20)

“There is no image of Him.” (Yajurveda 32:3)

“He is bodiless and pure.” (Yajurveda 40:8)

Namun begitu dalam kita menyampaikan dakwah kepada orang-orang bukan Islam, adalah penting kita sentiasa mengambil kira nasihat yang diberikan oleh Allah di dalam surah al-Nahl ayat 125;
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.”

Adakah kita menggunakan hikmat kebijaksanaan dan menasihatkan dengan cara pengajaran yang baik dan lemah lembut bila menyampaikan dakwah Islamiyah kepada orang-orang bukan Islam? Jarang sekali. Kebiasaannya bila ada orang bertanya mengenai Islam, jawaban yang lazim diberikan adalah, “Dalam Islam kita mesti sembahyang 5 kali sehari, Bulan Ramadhan mesti puasa satu bulan dari pagi sampai senja – tidak boleh makan atau minum, mesti bayar zakat, tidak boleh makan ‘kerbau pendek’ (khinzir), tidak boleh minum (arak), mesti kena ‘potong’ dulu (berkhatan), pergi masjid mesti pakai songkok dan kain, kalau pergi solat Hari Raya mesti pakai baju Melayu (seolah-olah solat itu tidak sah tanpa memakai baju Melayu!)”

Saya perhatikan bahawa kita sebenarnya lebih banyak ‘me-Melayu-kan’ seseorang yang masuk Islam dari meng-Islamkannnya. Kita memberikan gambaran seolah-olah Islam ini adalah satu agama yang sangat menyusahkan umatnya. Sepatutnya kita jangan terlalu rigid berkenaan fikah (halal dan haram) pada peringkat permulaan. Yang harus diutamakan adalah tauhid, apabila iman dia sudah meresap dan mantap barulah kita sampaikan bab-bab fikah secara beransur-ansur ikut kemampuan seseorang individu. Bila iman sudah kukuh di hati, seseorang itu akan mengerjakan perintah Allah tanpa perlu disuruh, in'sya-Allah.

Saya ingin mengajak semua yang hadir disini termasuklah diri saya agar marilah kita semua bangkit dari lena kita. Kita telah lama tidur dengan mata celik. Marilah kita bangkit dan laksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah kepada kita untuk menyampaikan dakwah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah kepada sesama Islam.

Berhenti dari memberikan alasan. Bila saya mengajak orang untuk berdakwah, mereka selalu memberikan alasan dan minta tunggu. Hendak tunggu apa lagi? Allah memberikan amaran kepada kita dalam Surah al-Taubah ayat 24;
قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
“Katakanlah (wahai Muhammad); Jika bapa-bapa kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”

Marilah kita berhenti dari memberikan alasan-alasan seperti berikut;
  • Tunggulah saya pandai; sampai bila-bila pun kita tidak akan cukup pandai sekiranya kita tidak cuba dari sekarang. Sekali lagi saya rujuk kepada hadith diatas iaitu, “Sampaikanlah walau satu ayat”. 
  • Tunggu bila ada orang bertanya baru nak cerita tentang Islam; sekali lagi saya rujuk kepada petikan dari Khutbah terakhir Rasulullah s.a.w, “Siapa-siapa yang hadir disini sampaikanlah kepada yang tidak hadir”. 
  • Negara kita negara majmuk, sensitif untuk melakukan dakwah; di zaman Nabi Muhammad s.a.w terdapat tidak kurang dari 360 suku kaum. Ini tidak menghalang baginda memberikan dakwah kepada kaum Musyirikin pada masa itu malahan baginda telah berjaya menyatu-padukan semua kaum tersebut di bawah panji Islam!
  • Agama ini urusan peribadi, jangan masuk campur dalam hal orang lain; Dalam Islam ia menjadi tanggungjawab semua orang-orang Islam mencampuri urusan orang lain apabila ia melibatkan perkara akidah; ‘amal maaruf nahi munkar’.

Biodata Penulis

Bahan disediakan oleh: Shah Kirit bin Kakulal Govindji
E-mail: shah@saba.com.my
Hand phone: 019-555 7770

Selasa, 25 Ogos 2015

Dakwah Fardiyyah: Marhalah Yang Perlu Dilalui Para Pendakwah


Sebuah buku lama yang ditulis oleh Syeikh Abdul Halim al-Kinani, seorang pendakwah yang terkenal dengan keiltizamannya membawa Islam kepada ummah. Syeikh Muhammad Abdullah al-Khatib memuji karya al-Kinani sebagai bingkisan yang kecil pada saiznya, tetapi sangat besar pada nilai dan pengertiannya. Terutama apabila beliau menjelaskan marhalah dakwah fardiyyah. Perkongsian ini agar sama-sama kita merealisasikan satu usaha murni dalam perjuangan membawa Islam sampai kepada setiap insan di mana sampainya cahaya matahari. Berikut ada beberapa peringkat Dakwah Fardiyyah menurut al-Kinani :-

Mewujudkan Kasih sayang, Kepercayaan dan Saling Mengenali

Ia merupakan peringkat (marhalah) pertama dan paling asas dalam dakwah. Ia perlu dilaksanakan dengan baik justeru ia akan memainkan peranan yang besar untuk menjayakan malah menyempurnakan peringkat seterusnya. Terutama dalam usaha untuk meyakinkan dan mempengaruhi sasaran dakwah kita (madu’u). Pada peringkat ini mempunyai beberapa nokhtah yang perlu diberi perhatian oleh kita khasnya pendakwah;
  • Keikhlasan amalan, dakwah, komitmen agama dan kebaikan yang diserunya.
  • Wibawa, pemahaman, pengalaman, kesesuaian pendakwah untuk diambil dan diterima segala nasihat dan pandangannya.
Segala noktah ini tidak akan datang tanpa usaha atau secara spontan. Ia memerlukan pendakwah yang layak dipercayai. Sementara orang yang layak dipercayai ialah orang yang mempunyai akhlak dan adab-adab Islam serta komitmen yang tinggi terhadap hukum hakam Islam. Mengenali sasaran dakwah (madu’u) secara mendalam dan jelas sehingga dia dapat mengenali personaliti dan kunci kepada peribadinya. Ini meletakkan pendakwah boleh menggunakan cara interaksi yang tepat dan berkesan dalam usaha mempengaruhi dan meyakinkannya. Antara noktah penting untuk mencapai objektif peringkat ini disebut oleh Syeikh Abdul Halim al-Kinani ialah;
  • Pendakwah mesti mengikhlaskan niatnya dan berdoa untuk sasaran dakwahnya semasa ketiadaannya agar Allah Taala membuka pintu kepada hidayah, melapangkan dadanya kepada dakwah dan menyelamatkannya dari neraka.
  • Memelihara adab-adab pergaulan dan berbicara dengannya.
  • Bersungguh-sungguh untuk melihat dan bertemunya secara berterusan serta bertanya khabarnya apabila dia tiada.
  • Berwajah ceria ketika bertemu.
  • Mulakan dengan salam dan berjabat tangan.
Syeikh Abdul Halim al-Kinani menyebut lagi bahawa pengukur kepada kejayaan pada peringkat ini ialah melihat kepada bagaimana jawapan kepada soalan-soalan berikut :-
  • Adakah sasaran dakwah menganggap pendakwah sebagai rakan yang lebih istemewa dari rakan-rakannya yang lain?
  • Adakah sasaran dakwah pernah bercakap dengan pendakwah menggunakan bahasa yang mesra dan biasa ataupun masih bersifat hipokrit atau waspada?
  • Adakah sasaran dakwah merasa atau memperlihatkan rasa jauh diri atau tidak selesa terhadap beberapa sifat, cara interaksi dan percakapan pendakwah?
  • Adakah sasaran dakwah merasa minat untuk menziarahi pendakwah? Adakah dia pernah menjemput pendakwah untuk menziarahinya?
  • Adakah pendakwah dapat merasakan sasaran dakwah memberi respons yang baik terhadapnya pada setiap kali pertemuan, salam, pergaulan, percakapan dan lain-lain?
  • Adakah sasaran dakwah mula berbicara tentang perasaan, keperihatinan, keadaan dan segala apa yang bermain dimindanya?
  • Adakah dia menemui pendakwah untuk menyelesaikan segala masalah dan situasi yang menimpanya?
  • Adakah dia merasakan bahawa pendakwah layak dan sesuai untuk ditanya dan diminta pandangan?
  • Adakah dia diam untuk mendengar percakapan pendakwah dan menyertainya atau dia akan membantah, membidas atau langsung tidak ambil peduli.
  • Adakah wujud kesan yang jelas dari amalan bertukar-tukar hadiah antara pendakwah dan sasarannya?
Dengan menjawab semua soalan-soalan ini pendakwah mampu mengukur sejauh mana kejayaannnya pada peringkat yang pertama ini dan sejauh mana ia mencapai matlamat yang diharapkan. Syeikh Abdul Halim al-Kinani menyebut bahawa faktor utama kepada segala masalah yang melanda umat Islam bukannya kerana aspek kekurangan kuantiti (bilangan) penganut, harta benda, kekuatan material atau lain-lain aspek dan kemudahan. Sebaliknya segala masalah (konflik dan krisis) yang berlaku adalah disebabkan kelemahan yang menimpa jiwa dan penyakit al-wahnu (cinta dunia dan takutkan mati) yang menguasai hati, di samping kelalaian (dengan kemewahan dunia) yang akhirnya melumpuhkan semangat serta mematikan kesungguhan dan keazaman mereka.

Kelemahan umat hari ini sebahagiannya tidak mampu menghadapi godaan dan syahwat dunia. Hati juga tidak mampu menjadikan jiwa terlepas dari dosa dan kehinaan. Inilah penyakit yang paling dahsyat menimpa ummah dewasa ini. Umat Islam tidak akan mampu menyelesaikan dan memadamkan gejala, kehinaan dan kebejatan yang dihadapi ini kecuali dengan melakukan perubahan total dalam peribadi seseorang Muslim. Perubahan yang dilakukan hendaklah perubahan dasar dan mendalam, bukan hanya perubahan luaran dan kulit semata-mata. Titik mula kepada perubahan ini ialah membangkitkan iman dan aqidah di dalam hati. Apabila makrifatullah mula menyelinap di dalam hati seseorang manusia, pasti sahaja ia akan berubah menjadi insan yang bertaqwa dan soleh.

Syeikh Abdul Halim al-Kinani turut menggariskan langkah-langkah teknikal untuk mencapai matlamat dakwah diperingkat ini :-
  • Pendakwah hendaklah menjadi ikutan yang baik, benar-benar komited dan terkesan dengan pengertian iman sebelum memindahkannya kepada sasaran dakwah.
  • Perbincangan secara langsung dan dua hala berlaku antara pendakwah dan sasaran dakwah (madu’u). Ia bertujuan untuk memindahkan pengertian-pengertian dan cetusan-cetusan iman ketika ziarah, pertemuan dan perbualan.
Syeikh Abdul Halim al-Kinani turut menyarankan agar pendakwah memimpin sasaran dakwah (madu’u) secara praktikal :-
  • Mendorong dan menggalakkan supaya bertaubat dan menjelaskan kepentingan untuk segera bertaubat.
  • Meninggalkan segala dosa, maksiat dan mungkar serta tidak lagi mengekalinya. Serentak itu merangsangnya untuk melakukan taat dan ibadat kepada Allah.
  • Mendorong agar mengikat diri dengan al Quran dan sunnah. Mendengar, membaca, memahami, melaksana dan menghayatinya.
  • Memberikan peringatan (inzaar) dan galakan kepada madu’u (sasaran dakwah).
  • Memberi galakan dan ancaman agar tertanam rasa ingin mengabdikan diri kepada Allah dengan melaksanakan segala hukum-hakam Allah dan dalam masa yang sama takut akan azab Allah akibat kecuaian dan kedegilan melaksanakan syariat Allah Taala.
  • Memberi amaran dan ingatan supaya mengharapkan rahmat dan keampunan Allah sebelum mati sedang mati itu datang secara tiba-tiba dan azab Allah itu sangatlah pedih.
  • Islam adalah cara hidup yang mesti diterima oleh semua. Tiada siapa yang berhak menghalang Islam ini dikembangkan sebagaimana tiada siapa yang berhak menghalang dirinya sendiri dari menerima Islam, cara hidup yang diwahyukan Allah Taala.

Sabtu, 15 Ogos 2015

6 Petua Dalam Mencari Keberkatan Dalam Pekerjaan


Setiap manusia hidup pasti memerlukan kewangan dalam menyediakan kemudahan asas dalam hidup, dan tentunya keperluan hidup tersebut dapat kita peroleh dengan jalan bekerja. Bekerja merupakan jalan untuk mendapatkan rezeki yang diberikan Allah kepada munusia. Oleh karena itu dalam mencari pekerjaan sebagian sarana meraih rezeki Allah tersebut, memerlukan syarat agar rezeki yang kita dapat adalah rezeki yang halal dan berkat serta ada manfaat untuk diri kita dan orang lain.

Tazkirah hari ini, USM ingin berkongsi sedikit tentang  beberapa nasihat yang bermanfaat bagi yang sedang mencari kerja aga rezeki yang kita dapat ada keberkatan di sisi Allah. Di antara petua dalam mencari pekerjaan tersebut adalah:-
Meyakini Bahawa Setiap Jiwa Sudah Ditentukan Rezekinya oleh Allah
Setiap manusia sudah ada ketentuan rezekinya masing-masing. Jangan kita takut mati tidak dapat  rezeki. Kalau sudah ada jaminan yang  demikian, maka  setiap orang yang bekerja teruslah bekerja, jangan khuatir dengan rezeki yang Allah. Dari Ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda;
إِنَّ رُوْحَ القُدُسِ نَفَثَ فِي رَوْعِي إِنَّ نَفْسًا لاَ تَمُوْتَ حَتَّى تَسْتَكْمِلَ رِزْقُهَا ، فَاتَّقُوْا اللهَ وَأَجْمِلُوْا فِي الطَّلَبِ ، وَلاَ يَحْمِلَنَّكُمْ اِسْتَبْطَاءَ الرِّزْقُ أَنْ تَطْلُبُوْهُ بِمَعَاصِي اللهَ ؛ فَإِنَّ اللهَ لاَ يُدْرِكُ مَا عِنْدَهُ إِلاَّ بِطَاعَتِهِ
“Sesungguhnya ruh qudus (Jibril), telah membisikkan ke dalam batinku bahawa setiap jiwa tidak akan mati sampai sempurna  semua bahagian rezekinya (masing-masing). Kerana itu, bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah cara dalam mendapatkan rezeki tersebut. Jangan sampai tertundanya rezeki mendorong kalian untuk mencari rezeki  tersebut dengan cara bermaksiat kepada Allah. Kerana rezeki di sisi Allah tidak akan diperoleh kecuali dengan taat kepada-Nya.” (riwayat al-Tabarani).

Hadis di atas, Allah memerintahkan kita untuk mencari rezeki dengan cara yang halal. Jangan mencari rezeki dengan cara melakukan dosa dan maksiat kepada Allah dengan menghalalkan segala macam dosa kepada-Nya.
Cari Pekerjaan yang Halal Di Sisi Allah, Jauhi Pekerjaan Haram
Dalam mendapatkan pekerjaan untuk meraih rezeki Allah, Carilah pekerjaan yang halal dan jauhilah yang haram. Dari Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda;
أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا اللَّهَ وَأَجْمِلُوا فِى الطَّلَبِ فَإِنَّ نَفْسًا لَنْ تَمُوتَ حَتَّى تَسْتَوْفِىَ رِزْقَهَا وَإِنْ أَبْطَأَ عَنْهَا فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَجْمِلُوا فِى الطَّلَبِ خُذُوا مَا حَلَّ وَدَعُوا مَا حَرُمَ
“Wahai umat manusia, bertakwalah engkau kepada Allah, dan tempuhlah jalan yang baik dalam mencari rezeki, kerana sesungguhnya tidaklah seorang hamba akan mati, hingga ia benar-benar telah menganyam seluruh rezekinya, walaupun terlambat datangnya. Maka bertakwalah kepada Allah, dan tempuhlah jalan yang baik dalam mencari rezeki. Tempuhlah jalan-jalan mencari rezeki yang halal dan tinggalkan yang haram.” (riwayat Ibnu Majah).

Jika pekerjaan yang ditempuh adalah pekerjaan yang halal, tentu akan berpengaruh pada makbulnya do’a. Sebaliknya, jika yang ditempuh adalah cara yang tidak halal, lihat saja bagaimana akibat buruknya. Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda;
ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِىَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
“Kemudian Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menceritakan tentang seorang laki-laki yang telah menempuh perjalanan jauh, sehingga rambutnya kusut, masai dan berdebu. Orang itu mengangkat tangannya ke langit seraya berdo’a; Wahai Rabbku, wahai Rabbku. Padahal, makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan diberi makan dari yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan do’anya?” (riwayat Muslim)

Yusuf bin Asbath berkata;
بَلَغَنَا أنَّ دُعَاءَ العَبْدِ يَحْبِسُ عَنِ السَّمَاوَاتِ بِسُوْءِ المطْعَمِ
“Telah sampai pada kami bahawa do’a seorang hamba tertahan di langit kerana makanan jelek (haram) yang ia gunakan.”

Lihatlah para salaf sangat memperhatikan apa yang mereka makan dalam perutnya. Ada yang bertanya kepada Sa’ad bin Abi Waqqash;
تُسْتَجَابُ دَعْوَتُكَ مِنْ بَيْنَ أَصْحَابِ رَسُوْلِ اللهِ  – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – ؟ فَقَالَ: مَا رَفَعْتُ إِلَى فَمِي لُقْمَةً إِلاَّ وَأَنَا عَالِمٌ مِنْ أَيْنَ مَجِيْئُهَا، وَمِنْ أَيْنَ خَرَجَتْ
“Apa yang membuat do’amu mudah dikabulkan dibanding para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam lainnya?” Sa’ad mejawab; Aku tidaklah memasukkan satu suapan ke dalam mulutku melainkan aku mengetahui dari manakah datangnya dan dari mana akan keluar,” jawab Sa’ad.

Dari Wahb bin Munabbih, berkata;
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَسْتَجِيْبَ اللهُ دَعْوَتَهُ، فَلْيُطِبْ طُعْمَتَهُ
“Siapa yang berharap do’anya dikabulkan oleh Allah, maka perbaikilah makanannya.” (Dinukil daripada Jaami’ul ‘Ulum wal Hikam, 1: 275-276).
Cari Pekerjaan Yang Mendatangkan Keberkatan, Bukan Dengan Besarnya Gaji Yang Diperolehi.
Ada sahabat yang pernah bertanya pada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam;
أَىُّ الْكَسْبِ أَطْيَبُ قَالَ عَمَلُ الرَّجُلِ بِيَدِهِ وَكُلُّ بَيْعٍ مَبْرُورٍ
“Wahai Rasulullah, mata pencarian (kasb) apakah yang paling baik?” Beliau bersabda, “Pekerjaan seorang laki-laki dengan tangannya sendiri dan setiap jual beli yang mabrur (diberkahi).” (riwayat Ahmad).

Hadis di atas menunjukkan kepada kita bahawa para sahabat tidak bertanya manakah pekerjaan yang paling banyak pendapatannya dan untungnya. Namun, yang mereka tanya adalah manakah yang paling thoyyib (diberkahi). Sehingga dari sini kita ketahui bahawa tujuan dalam mencari rezeki adalah mencari yang paling berkat, bukan mencari manakah pekerjaan yang pendapatannya paling besar. Kerana pendapatan yang besar belum tentu berkat di sisi Allah. (Demikian penjelasan berharga dari Syaikh ‘Abdullah bin Shalih al-Fauzan dalam Minhatul ‘Allam, 6: 10).

Pekerjaan yang gajinya besar jika tidak ada keberkatan, terkadang sampai melalaikan ibadah bahkan sampai sanggup meninggalkan solat, buruk perangai serta bersikap sombong pada orang lain.
Jauhkan Pekerjan Dengan Jalan Meminta-Minta dan Mengemis Pada Orang lain
Dari ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, ia berkata bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda;
مَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَسْأَلُ النَّاسَ حَتَّى يَأْتِىَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَيْسَ فِى وَجْهِهِ مُزْعَةُ لَحْمٍ
“Jika seseorang meminta-minta (mengemis) pada manusia, ia akan datang pada hari kiamat tanpa memiliki sekerat daging di wajahnya.” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Hubsyi bin Junadah, ia berkata bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda;
مَنْ سَأَلَ مِنْ غَيْرِ فَقْرٍ فَكَأَنَّمَا يَأْكُلُ الْجَمْرَ
“Barangsiapa meminta-minta padahal dirinya tidaklah fakir, maka ia seakan-akan memakan bara api.” (riwayat Ahmad).

Perlu difahami bahawa hanya tiga orang yang diperbolehkan meminta-minta sebagaimana disebutkan dalam hadis Qabishah, di mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda;
يَا قَبِيصَةُ إِنَّ الْمَسْأَلَةَ لاَ تَحِلُّ إِلاَّ لأَحَدِ ثَلاَثَةٍ رَجُلٍ تَحَمَّلَ حَمَالَةً فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَهَا ثُمَّ يُمْسِكُ وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ جَائِحَةٌ اجْتَاحَتْ مَالَهُ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ – أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ – وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ فَاقَةٌ حَتَّى يَقُومَ ثَلاَثَةٌ مِنْ ذَوِى الْحِجَا مِنْ قَوْمِهِ لَقَدْ أَصَابَتْ فُلاَنًا فَاقَةٌ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ – أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ – فَمَا سِوَاهُنَّ مِنَ الْمَسْأَلَةِ يَا قَبِيصَةُ سُحْتًا يَأْكُلُهَا صَاحِبُهَا سُحْتًا
“Wahai Qabishah, sesungguhnya meminta-minta itu tidak halal kecuali untuk tiga orang:
(1) Seseorang yang menanggung hutang orang lain, ia boleh meminta-minta sampai ia melunasinya.
(2) Seseorang yang ditimpa musibah yang menghabiskan hartanya, ia boleh meminta-minta sampai ia mendapatkan sara hidup, dan;
(3) Seseorang yang ditimpa kesengsaraan hidup sehingga ada tiga orang yang berakal dari kaumnya berkata, ‘Si fulan benar-benar telah tertimpa kesengsaraan’, maka boleh baginya meminta-minta sampai mendapatkan sara hidup. Meminta-minta selain ketiga hal itu, wahai Qabishah adalah haram dan orang yang memakannya bererti memakan harta yang haram.”
(riwayat Muslim).

Perlu difahami bahawa orang miskin yang sebenarnya adalah seperti yang disebutkan dalam hadis daripada Abu Hurairah berikut, dia berkata bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda;
لَيْسَ الْمِسْكِينُ الَّذِى تَرُدُّهُ الأُكْلَةُ وَالأُكْلَتَانِ، وَلَكِنِ الْمِسْكِينُ الَّذِى لَيْسَ لَهُ غِنًى وَيَسْتَحْيِى أَوْ لاَ يَسْأَلُ النَّاسَ إِلْحَافًا
“Yang namanya miskin bukanlah orang yang tidak menolak satu atau dua suap makanan. Akan tetapi miskin adalah orang yang tidak punya kecukupan, dan ia malu atau tidak meminta dengan cara memaksa.” (riwayat Bukhari)

Orang miskin sebenarnya bukan pengemis. Orang miskin adalah yang sudah ada pekerjaan, namun masih tetap belum mencukupi keperluan asasnya dan masih meminta-minta kepada orang lain dengan jalan memaksa.
Cari Pekerjaan Yang Tidak Menyusahkan Orang Lain
Salah satu pekerjaan yang terlarang iaitu menimbun barang sehingga mematikan stok barang di pasaran, terutama untuk barang asas yang diperlukan masyarakat banyak. Dalam hadis disebutkan;
لاَ يَحْتَكِرُ إِلاَّ خَاطِئٌ
“Tidak boleh menimbun barang, jika tidak, maka ia termasuk orang yang berdosa.” (riwayat Muslim)

Apa hikmah larangan menimbun barang? Imam Nawawi berkata (terjemahannya), “Hikmah terlarangnya menimbun barang kerana ia dapat menimbulkan mudarat bagi orang  ramai.” (Syarh Shahih Muslim, 11: 43).
Perbanyakkan Do’a Agar mendapatkan Rezeki Yang Halal
Tanpa do’a dan tanpa banyak memohon kepada Allah, kita sulit mendapatkan yang halal. Hanya dengan banyak berdoa kepada Allah, kita akan dipermudahkan jalan untuk meraih sumber yang halal. Teruskan meminta kepada Allah untuk mendapatkan pekerjaan yang halal sebagaimana yang Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam ajarkan kepada kita;
اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
“Ya Allah cukupkanlah aku dengan yang halal dan jauhkanlah aku dari yang haram, dan cukupkanlah aku dengan kurnia-Mu dari bergantung pada selain-Mu.” (riwayat al-Tirmidzi).

Ya Allah berkatilah usaha kami untuk mendapatkan sumber rezeki yang halal dan jauhkanlah dari kami ya Allah dari sumber rezeki yang tidak halal. Mudah-Mudahan rezeki yang Engkau berikan kepada kami akan mendapatkan keberkatan dalam hidup kami untuk menghambakan diri serta mengabdikan diri kepada-Mu.

Biodata Penulis

Ustaz Sihabuddin Muhaemin (USM). Kritik dan saranan yang membina sangat dialu-alukan. SMS (012-6653988) atau layari laman facebook USM - Sihabuddin Muhaemin

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews