Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Ahad, 23 Ogos 2015

10 Kesalahan Lazim Suami Kepada Isteri


Isteri itu adalah amanah Allah kepada suami. Dewasa ini, kita banyak mendengar tentang berita-berita kes penceraian dalam keluarga Melayu Islam di Malaysia. Ada yang baru berkahwin tidak sampai dua minggu sudah bercerai. Padahal, zaman bercinta yang mengambil tempoh bertahun-tahun boleh bertahan. Maka, di sini beberapa kesalahan-kesalahan suami yang banyak dilakukan terhadap isterinya yang mungkin menjadi asbab kepada peningkatan kes penceraian di Malaysia.

(1). Tidak Mengajarkan Agama dan Hukum Syariat Kepada Isteri

Ada para isteri tidak mengetahui bagaimana cara solat yang betul, hukum haid, nifas dan tidak mendidik anak-anak secara Islam. Bahkan ada yang terjerumus ke dalam pelbagai jenis kesyirikan. Yang menjadi perhatian seorang isteri hanyalah bagaimana cara memasak dan menghidangkan makanan tertentu, cara berdandan yang cantik dan sebagainya. Tidak lain semua kerana tuntutan suami, sedangkan masalah agama, terutama ibadahnya tidak pernah ditanyakan oleh suami. Padahal Allah berfirman;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلائِكَةٌ غِلاظٌ شِدَادٌ لا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
“Hai orang–orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yg di perintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintakan.” (al-Quran, surah al-Tahrim ayat 6)

Maka para suami diminta untuk tidak sesekali mengabaikan hal ini, kerana semuanya akan diminta dipertanggungjawapkan ke atasnya. Hendaklah benar-benar mengajarkan agama kepada isterinya, baik dilakukan sendiri atau melalui perantara. Antara lain yang dapat dilakukan; menghadiahkan buku-buku tentang Islam dan hukum-hukumnya serta berbincang bersama-sama, kaset/ cd ceramah, mengajak isterinya menghadiri ke majlis-majlis ilmu yang disampaikan oleh para ulama. Dan yang paling praktikal, ajaklah solat berjamaah di rumah atau di surau/ masjid misalnya.

(2). Suka Mencari Kekurangan dan Kesalahan Isteri

Dalam suatu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw melarang lelaki yang berpergian dalam waktu yang lama, pulang menemui keluarganya di waktu malam, kerana dikhuatirkan akan mendapati pelbagai kekurangan isteri dan cela isterinya. Bahkan suami diminta bersabar dan menahan diri dari kekurangan yang ada pada isterinya, juga ketika isteri tidak melaksanakan kewajipannya. Kerana suami juga mempunyai kekurangan dan celaan seperti sabda Rasulullah saw;
لَا يَفْرَكْ مُؤْمِنٌ مُؤْمِنَةً إِنْ كَرِهَ مِنْهَا خُلُقًا رَضِيَ مِنْهَا آخَرَ
“Janganlah seorang suami yang beriman membenci isterinya yang beriman. Jika dia tidak menyukai satu akhlak darinya, dia pasti meredhai akhlak lain darinya.” (riwayat Muslim)

(3). Memberi Hukuman yang Tidak Sesuai Dengan Kesalahan Isteri

Hal ini termasuk bentuk kezaliman terhadap isteri, antara lain iaitu;
i- Menggunakan pukulan di tahap awal pemberitahuan hukuman. Padahal Allah berfirman mestilah dinasihati terlebih dahulu, kemudian berpisah tempat tidur, kemudian barulah pukulan yang tidak menyebabkan kecederaan kepada isteri;
وَاللاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ
“Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuz-nya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka dan pukullah mereka.” (al-Quran, surah al-Nisa ayat 34)

ii- Mengusir isteri dari rumahnya tanpa ada kebenaran secara syar’ie. Firman Allah;
لا تُخْرِجُوهُنَّ مِنْ بُيُوتِهِنَّ وَلا يَخْرُجْنَ إِلا أَنْ يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ
“Jangan kamu keluarkan mereka (isteri kamu) dari rumah mereka dan janganlah mereka (diizinkan) keluar kecuali kerana mengerjakan perbuatan keji yang terang.” (al-Quran, al-Talaq ayat 1)

iii- Memukul wajah isteri, mencela dan menghinanya.

Dalam al-Sunan dan al-Musnan dari Mu’awiyah bin Haidah al-Qusyairi ia berkata, “Ya Rasul Allah, apakah hak isteri atas suaminya?”

Baginda Nabi saw menjawab;
أَنْ يُطْعِمَهَا إِذَا طَعِمَ وَأَنْ يَكْسُوَهَا إِذَا اكْتَسَى وَلَا يَضْرِبْ الْوَجْهَ وَلَا يُقَبِّحْ وَلَا يَهْجُرْ إِلَّا فِي الْبَيْتِ
“Hendaklah engkau memberinya makan jika engkau makan, memberinya pakaian jika engkau berpakaian, tidak memukul wajah, tidak menghinakannya & tidak memulau (boikot) kecuali di dalam rumah.” (riwayat Ibnu Majah)

(4). Culas Dalam Memberi Nafkah Kepada Isteri

Isteri berhak mendapatkan nafkah, kerana dia telah membolehkan suaminya bersenang-senang kepadanya, dia telah mentaati suaminya, tinggal di rumahnya, mengasuh dan mendidik anak-anaknya. Dan jika isteri mendapati suaminya culas dalam memberi nafkah, bakhil, tidak memberikan nafkah kepadanya tanpa ada kebenaran syar’ie, maka dia boleh mengambil harta suami untuk mencukupi keperluannya secara ma’aruf (tidak berlebihan dan melampau) meskipun tanpa pengetahuan suaminya. Firman Allah;
وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
“Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma’aruf.” (al-Quran, surah al-Baqarah ayat 233)

Sabda Rasulullah saw;
إِذَا أَنْفَقَ الرَّجُلُ عَلَى أَهْلِهِ يَحْتَسِبُهَا فَهُوَ لَهُ صَدَقَةٌ
“Jika seorang muslim mengeluarkan nafkah untuk keluarganya sedangkan dia mengharapkan pahalanya, maka nafkah itu adalah sedekah baginya.” (Muttafaq ‘alaih)

(5). Sikap Keras, Kasar, Tidak Lembut Terhadap Isteri

Rasulullah saw bersabda;
أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِهِمْ خُلُقًا
“Mukmin yang paling sempurna adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik–baik kalian adalah yang paling baik tehadap isteri-isterinya.” (riwayat al-Tirmidzi)

Maka suami hendaklah berakhlak baik terhadap isterinya dengan bersikap lembut dan menjauhi sikap kasar.

(6). Keengganan Suami Membantu Isteri Dalam Urusan Rumahtangga

Ini adalah kesalahan yang paling banyak menjangkiti para suami. Padahal lelaki yang paling utama yakni Rasulullah saw tidak segan silu membantu pekerjaan isterinya. Ketika Aisyah r.ha ditanya tentang apa yang dilakukan Rasulullah saw di rumahnya, beliau menjawab;
كَانَ يَكُونُ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ فَإِذَا سَمِعَ الْأَذَانَ خَرَجَ
“Baginda membantu pekerjaan isterinya dan jika datang waktu solat, maka beliau pun keluar (untuk solat).” (riwayat Bukhari)

(7). Menyebarkan Rahsia dan Aib Isterinya
أَشَرِّ النَّاسِ عِنْدَ اللَّهِ مَنْزِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفْضِي إِلَى امْرَأَتِهِ وَتُفْضِي إِلَيْهِ ثُمَّ يَنْشُرُ سِرَّهَا
“Sesungguhnya di antara orang yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat adalah seseorang yang menggauli isterinya dan isterinya menggaulinya kemudian dia menyebarkan ahsia-rahsia isterinya.” (riwayat Muslim)

Dalam hadis ini diharamkan seorang suami menyebarkan apa yang terjadi antara dia dengan isterinya terutamanya di tempat tidur. Juga diharamkan menyebutkan perinciannya, serta apa yang terjadi kepada isterinya baik berupa perkataan mahupun perbuatan lainnya.

(8). Sikap Terburu-buru Menceraikan Isteri

Islam menganggap penceraian adalah perkara yang dibenci sekalipun ia harus kerana perbuatan itu akan menyeret kepada kerosakan, kacau bilaunya pendidikan anak-anak dan sebagainya. Maka, hendaknya perkataan cerai/ talak itu tidak digunakan sebagai bahan gurauan. Rasulullah saw teleh bersabda;
ثَلَاثٌ جَدُّهُنَّ جَدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جَدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلَاقُ وَالرَّجْعَةُ
“Ada tiga perkara yang kesungguhannya dan gurauannya tetap sama dianggap sungguh-sungguh iaitu; nikah, talak (cerai) dan rujuk.” (riwayat Abu Daud, al-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Memang perselisihan antara suami isteri sering terjadi, kadangkala sampai mengarah kepada penceraian. Akan tetapi penceraian ini tidak boleh dijadikan sebagai langkah awal dalam menyelesaikan perselisihan yang berlaku. Bahkan harus diusahakan pelbagai cara untuk mengembalikan suasana harmoni dalam kehidupan berumahtangga. Rasulullah saw bersabda;
إِنَّ إِبْلِيسَ يَضَعُ عَرْشَهُ عَلَى الْمَاءِ ثُمَّ يَبْعَثُ سَرَايَاهُ فَأَدْنَاهُمْ مِنْهُ مَنْزِلَةً أَعْظَمُهُمْ فِتْنَةً يَجِيءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ فَعَلْتُ كَذَا وَكَذَا فَيَقُولُ مَا صَنَعْتَ شَيْئًا قَالَ ثُمَّ يَجِيءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ مَا تَرَكْتُهُ حَتَّى فَرَّقْتُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ امْرَأَتِهِ قَالَ فَيُدْنِيهِ مِنْهُ وَيَقُولُ نِعْمَ أَنْتَ
“Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian ia mengutus para tenteranya. Maka tentera yang paling dekat dengan Iblis adalah yang paling besar fitnahnya (penyesatannya). Maka datanglah salah satu tenteranya dan melapor; Aku telah melakukan ini dan itu, maka Iblis berkata; Engkau belum melakukan apa-apa, kemudian datanglah tentera yang lain dan melapor; Aku telah menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya. Maka Iblis pun mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata; Engkau tentera terbaik.” (riwayat Muslim)

(9). Berpoligami Tanpa Memperhatikan Neraca Syari’at

Menikah untuk kedua kali, ketiga dan keempat kali merupakan salah satu perkara yang Allah yang diharuskan. Akan tetapi yang menjadi catatan di sini bahawa sebahagian orang yang ingin menerapkan keharusan ini/ telah menerapkannya perlulah memperhatikan sikapnya dari perbuatan melalaikan keadilan dan tanggungjawab terhadap isteri-isterinya. Terutamanya isteri yang pertama, termasuklah anak-anaknya.
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً
“Kemudian jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka (kahwinlah) seorang sahaja.” (al-Quran, surah al-Nisa ayat 3)

Sikap ini merupakan keadilan yang diperintahkan Allah. Memang benar berpoligami merupakan harus di dalam syariat Islam, tetapi jika seseorang tidak mampu melaksanakannya dengan baik dan tidak memenuhi syarat-syaratnya atau tidak boleh memikul tanggungjawabnya, hal ini boleh menjuruskan kerosakan sesebuah rumahtangga, menghancurkan anak-anak dan menambah permasalahan keluarga serta masyarakat. Maka, fikirkanlah akan akibatnya dahulu dan perhatikanlah dengan saksama kemampuan diri sebelum melakukan poligami.

(10). Langsung Tidak Cemburu

Para suami yang membiarkan keindahan dan kecantikan isterinya dinikmati oleh orang ramai, membiarkan isteri menampakkan auratnya ketika keluar rumah, membiarkan isteri bertepuk tampar dengan lelaki-lelaki lain. Bahkan sebahagiannya ada yang bangga kerana telah memiliki isteri yang cantik yang boleh menyihir ‘pandangan’ kebanyakan orang. Padahal wanita di mata Islam adalah makhluk yang sangat mulia, sehingga keindahan dan keelokannya hanya diperuntukkan atau dikhususkan buat suaminya sahaja, tidak sesekali dijaja ke mana-mana pun. Seorang suami yang memiliki kecemburuan terhadap isterinya tidak akan membiarkan isterinya berjabat tangan dengan lelaki lain yang bukan mahram.

Perhatikan ancaman Rasulullah saw terhadap lelaki yang tidak memiliki kecemburuan terhadap keluarga (isteri);
ثَلَاثَةٌ لَا يَنْظُرُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الْعَاقُّ لِوَالِدَيْهِ وَالْمَرْأَةُ الْمُتَرَجِّلَةُ وَالدَّيُّوثُ
“Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat mereka pada hari kiamat iaitu seseorang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, wanita yang menyerupai lelaki dan dayus (lemah sifat cemburu).” (riwayat al-Nasa’ie)

0 ulasan:

Catat Ulasan

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews