Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Sabtu, 19 Disember 2015

Hakikat Kemaafan


Firman Allah bermaksud, “Tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antara kamu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar, dan juga tidak dianugerahkan melainkan kepada orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.”

Berikut tadi terjemahan surah Fushilat, ayat 34-35 yang berbunyi;
وَلا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ. وَمَا يُلَقَّاهَا إِلاَّ الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلاَّ ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ

Salah satu cara menolak kejahatan adalah memberi maaf kepada orang yang berbuat salah. Memberi maaf merupakan ajaran Islam yang sangat mulia. Memberi maaf termasuk kebaikan hati yang dapat menghindarkan diri dari permusuhan dan dendam yang tidak pernah padam. Kerana fitrah manusia lebih suka menumpukan kepada salah dan silap, jika seseorang itu melakukan sesuatu perkara yang baik dan bagus sekalipun untuk tempoh yang lama, tetapi kerana kesilapan satu minit sahaja maka ramai yang terlupa mengenai perkara yang baik yang bertahun-tahun lamanya itu dan sebaliknya hanya mengingati kesilapannya yang satu.
   
Justeru, hakikat memberi maaf adalah menggugurkan hak untuk mengingati kejadian masa lalu untuk membalas dendam akibat perbuatan yang telah lepas, meskipun dia dapat melempiaskan pembalasannya ke atas orang yang bersalah kepadanya. Jadi, sang pemaaf itu adalah orang yang tidak mengambil haknya untuk menyakiti, mencaci maki, memusuhi orang lain yang telah menzalimi dan menyakitinya, meskipun ia sanggup dan mampu melakukannya. Orang yang pemaaf seperti itulah yang dijanjikan oleh Allah swt akan pahala (kebaikan dunia dan akhirat). 

Firman Allah;
وَجَزَاء سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِّثْلُهَا فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ لا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ
“Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan serupa. Maka barangsiapa memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya (menjadi tanggungan) Allah. Sungguh Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.” (surah al-Syura, ayat 40)
  
Di dalam al-Quran terdapat sebuah kisah yang akan menjelaskan betapa besarnya nilai kemaafan. Ia sifat yang diangkat di dalam al-Quran agar dipraktikkan oleh umat Nabi Muhammad saw. Kisah Nabi Yusuf as mewarnai keagungan sifat ini, baginda merupakan anak kesayangan bagi Nabi Ya’akub as sehingga dicemburui oleh saudara-saudaranya yang lain. Lalu saudara-saudaranya merancang untuk mengkhianati Nabi Yusuf dan mencampakkannya ke dalam perigi lama agar menjadi buruan serigala. Nabi Yusuf diselamatkan Allah menerusi sekumpulan musafir dari Mesir, lantas beliau dijadikan hamba sehinggalah difitnah dan dipenjara. Di akhir penceritaan kisah ini, Nabi Yusuf telah dilantik oleh pemerintah Mesir menjadi bendahara negara. Ditakdirkan Allah, Nabi Yusuf as bertemu semula dengan saudara-saudaranya yang telah merancang kejahatan terhadap dirinya. Dengan kekuasaan yang ada pada Nabi Yusuf, tentu mudah untuknya membalas perbuatan khianat saudara-saudaranya itu. Namun sikap pemaaf baginda telah menghindarinya dari bersikap sedemikian. Kisah ini dirakamkan Allah sebagai sebaik-baik kisah;
نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ أَحْسَنَ الْقَصَصِ بِمَا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ هَـٰذَا الْقُرْ‌آنَ وَإِن كُنتَ مِن قَبْلِهِ لَمِنَ الْغَافِلِينَ
“Kami menceritakan kepada kalian kisah yang paling baik dengan mewahyukan al-Quran ini kepada kamu, dan sesungguhnya sebelum (Kami mewahyukan) ini, kamu adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui.” (surah Yusuf: 3)

Tatkala saudara-saudara Yusuf menyesali perbuatan salah mereka terhadapnya;
قَالُواْ تَاللَّهِ لَقَدْ آثَرَكَ اللَّهُ عَلَيْنَا وَإِن كُنَّا لَخَاطِئِينَ
“(Saudara-saudara Yusuf) Mereka berkata, Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan taqwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah.”

Lantas, jawab Nabi Yusuf as;
قَالَ لاَ تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ يَغْفِرُ اللَّهُ لَكُمْ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
“(Yusuf) berkata, Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia-lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang mengasihani.” (surah Yusuf: 91-92)

Memaafkan adalah puncak kemuliaan hati orang yang disakiti atau dizalimi. Dalam sejarah Islam, pemberian maaf (pengampunan) tidak hanya menarik simpati musuh-musuh Islam untuk memeluk Islam, tetapi juga menunjukkan betapa keseluruhan Islam dibangunkan atas fondasi kemanusiaan yang kukuh iaitu persaudaraan, persatuan, perdamaian, dan toleransi. Dr. Musthafa al-Siba’ie, dalam bukunya, من روائع حضارتنا (Pesona Peradaban Kaum Muslimin) menyatakan bahawa memberikan maaf adalah kunci perpaduan dan sinergi potensi umat manusia. Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad saw memperlakukan terhadap orang-orang kafir Quraish yang ditempelak kekalahan saat terjadinya Fathu al-Makkah (Pembebasan Kota Makkah). Baginda saw bertanya kepada mereka;
يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ وَيَا أَهْلَ مَكَّةَ مَا تَرَوْنَ أَنِّي فَاعِلٌ بِكُمْ؟
“Wahai sekalian Quraish dan wahai masyarakat Makkah apakah kamu menyangka bahawa aku akan melakukan (pembalasan) terhadap kamu semua?”

Kafir Quraish menjawab;
خَيْرًا أَخٌ كَرِيمٌ وَابْنُ أَخٍ كَرِيمٍ
“(Kami berharap engkau) berbuat yang baik terhadap kami, wahai saudara yang baik budi, anak keturunan mulia.”

Jawab Rasulullah saw;
فَإِنِّي أَقُولُ لَكُمْ كَمَا قَالَ يُوسُفُ لِإِخْوَتِهِ؛ لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ اذْهَبُوا فَأَنْتُمُ الطُّلَقَاءُ
“Sungguh aku akan katakan kepada kamu sebagaimana Nabi Yusuf as terhadap saudara-saudaranya; Kamu pada hari ini tidak akan disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah lalu), beredarlah kalian sebebasnya!” (Zaadul Ma’ad, Ibn Qayyim al-Jawziyyah)

Memberi maaf itu tidak selalu mudah kerana kadar kesalahan orang lain terhadap kita ada yang besar (sukar untuk dimaafkan) dan ada yang remeh (perkara-perkara kecil). Bagaimanapun prinsip utama bagi yang bersalah, terutama kepada sesama manusia adalah meminta maaf dan sekaligus mengembalikan hak-hak yang pernah dirampas atau diambilnya secara tidak halal kepada yang dianiaya. Pada masa yang sama, Allah memberikan kelebihan untuk dianugerahkan kepada Muslim yang memberikan maaf kepada orang yang pernah berlaku salah terhadapnya.
مَا عَفَا رَجُلٌ عَنْ مَظْلِمَةٍ إلَّا زَادَهُ اللَّهُ بِهَا عِزًّا
“Tidaklah seseorang hamba yang memaafkan perbuatan zalim orang lain (terhadap dirinya) melainkan akan Allah tambah dengan darjat kemuliaan.” (riwayat Ahmad)
  
Memberikan maaf termasuk sifat orang bertaqwa, diangkat martabatnya di sisi Allah dan sekaligus merupakan manifestasi dari sikap hamba Allah yang soleh cerminan para Nabi dan Rasul. Demikianlah antara doa Rasulullah saw agar Allah memaafkan kaum yang menzaliminya saat baginda berdakwah ke Taif;
رَبِّ اغْفِرْ لِقَوْمِي، فَإِنَّهُمْ لاَ يَعْلَمُونَ‏
“Ya Tuhan maafkan kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.” (riwayat al-Bukhari)

Rasulullah saw turut memujuk hatinya dengan suatu doa yang berbunyi;
اَلّلهُمَّ إِنِّي أَشْكُوْ إِلَيْكَ ضَعْفَ قُوَّتِي وَقِلَّةَ حِيْلَتِي وَهَوَانِي عَلَى النَّاسِ، يَا رَبَّ العَالَمَيْنَ، أَنْتَ رَبُّ المُسْتَضْعَفِيْنَ وَأَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِيْنَ، وَأَنْتَ رَبِّي. إِلَى مَنْ تَكِلُنِي؟ إِلَى بَعِيْدٍ يَتَجَهَّمُنِي؟ أَمْ عَدُوٍّ مَلَّكْتَهُ أَمْرِي؟ إِنْ لَمْ يَكُنْ بِكَ غَضَبٌ عَلَيَّ فَلا َ أُبَالِي غَيْرَ أَنَّ عَافِيَتَكَ هِيَ أَوْسَعُ لِي، أَعُوْذُ بِنُوْرِ وَجْهِكَ الَّذِي أَشْرَقَتْ لَهُ الظُّلُمَاتُ، وَصَلُحَ عَلَيْهِ أَمْرُ الُّدُنْيَا وَالآخِرَةِ، أَنْ يَحِلَّ عَلَيَّ غَضَبُكَ أَوْ أَنْ يَنْزِلَ بِي سَخَطُكَ لَكَ العُتْبَى حَتَى تَرْضَى وَلاَ حَوْلَ وَلا َقُوَّة َإِلا َّ بِالله
“Ya Allah! Sesungguhya daku mengadu kepadamu akan kelemahan upayaku, kurangnya usahaku dan hinanya aku di kalangan manusia. Wahai Tuhan sekalian alam, Engkaulah Tuhan (yang membela) golongan lemah, Engkaulah yang Maha Mengasihani, dan Engkaulah Tuhanku. Kepada siapa Engkau serahkan aku, di kejauhan aku disisihkan, atau kepada musuh yang diberikan kuasa padanya untuk menggagalkan urusanku? Tidaklah mengapa jika Engkau tidak murka padaku (jika itu hanyalah penghinaan makhluk bernama manusia kepadaku semata-mata), tetapi aku lebih mengharapkan naungan kesejahteraan daripada-Mu. Aku mohon berlindung dengan nur wajah-Mu yang menerangi kegelapan dan memperelokkan urusan dunia dan akhirat. Lindungilah daku dari kemurkaan-Mu atau apa yang mungkin menimpaku disebabkannya. Hanya kepada Engkaulah aku pasrahkan diri sehingga Engkau redha. Sesungguhnya tiada daya-upaya dan tiada kekuatan melainkan dengan Allah.” (riwayat al-Tabarani)

Terdapat satu riwayat kisah kelembutan jiwa pejuang Palestin di zaman ini bernama Dr. Abd al-Aziz al-Rantissi, biarpun beliau dikenali tegas dan keras di hadapan rejim Zionis. Kelembutan itu digambarkan oleh isterinya, Ummu Muhammad sebagai tokoh yang memiliki jiwa yang besar sehingga dunia ini dilihat kecil padanya kerana mendambakan kehidupan akhirat yang kekal abadi. Pengalaman itu diceritakan Ummu Muhammad ketika beliau sedang mengemas rumah, secara tidak sengaja terlanggar peti televisyen sehingga mengakibatkan skrin tv tersebut pecah-berderai. Dalam suasana sekatan ekonomi terhadap rakyat Palestin, tidak mungkin mereka dapat mengganti alat yang rosak apatah lagi membeli televisyen yang baharu. Itulah satu-satunya perkakas rumah yang mengumpulkan satu keluarga berhibur dan mendapatkan info saluran-saluran berita. Ketika wajah Ummu Muhammad kelihatan resah dan bimbang, suaminya Abd al-Aziz al-Rantissi dengan tenang memujuknya;
قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ
“Allah telah menentukan dan setiap yang dikehendaki-Nya akan dilakukan-Nya (setiap sesuatu itu ada tempoh akhirnya).”

Firman Allah di dalam surah Aali-Imran, ayat 134;
وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
“Dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.”

Memberikan kemaafan, mengajak kebaikan dan berpaling daripada orang-orang jahil, degil dan kalis nasihat (yakni menurut Ibnu Kathir; tidak membalas kejahatan mereka dengan perbuatan yang serupa) juga adalah saranan al-Quran kepada umatnya;
خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ
“Berilah kemaafan, ajaklah kepada kebaikan dan berpalinglah daripada orang-orang jahil.” (surah al-A’araf: 199)

Lantaran itu, belajarlah memaafkan kesalahan orang lain kerana ia adalah seni menikmati kehidupan bahagia. Alangkah menderita dan terseksanya, jika seseorang terus-menerus menyimpan kesumat kebencian dan dendam kepada orang lain. Alangkah sengsaranya jika hati diberati emosi dan ammarah yang tidak berkesudahan. Belajar memaafkan jauh lebih mulia daripada menunggu orang lain mendapat akibat dari kesalahannya. Kerana itu, hidup ini akan lebih indah jika ungkapan “tiada maaf bagimu” diubah menjadi “aku sudah maafkan semuanya” (kosong-kosong) dan seumpamanya. 

Bagaimanapun memaafkan bukanlah bererti menafikan penegakan hukum dan keadilan, sebaliknya ia adalah demi mengangkat moral kemanusiaan. Mereka yang terbukti bersalah berdasarkan syarak Allah, mestilah diberikan tindakan yang tegas. Jika hukuman sudah dijalankan dan yang berkenaan menyedari akan kesalahannya, wajarlah dimaafkan kerana sesungguhnya kemaafan Allah swt itu lebih tinggi mengatasi kemarahan-Nya;
فَمَن تَابَ مِن بَعْدِ ظُلْمِهِ وَأَصْلَحَ فَإِنَّ اللَّهَ يَتُوبُ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
“Maka sesiapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (surah al-Maidah: 39)
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Maha Mulia, dan Engkau cintakan kemaafan, maka maafkanlah daku.”

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia

0 ulasan:

Catat Ulasan

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews