Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Ahad, 16 Ogos 2015

Panduan Psikologi Islam Dalam Mendidik Anak-Anak


1— Jika melihat anakmu menangis, jangan buang waktu untuk mendiamkannya. Cuba tunjuk burung atau awan di atas langit agar dia melihatnya, dia akan terdiam. Kerana psikologi manusia saat menangis, adalah menunduk. Rasulullah saw pernah merawat kesedihan kanak-kanak yang kehilangan ayah di medan perang. Rasulullah saw menghiburkan anak tersebut dengan berkata, “Sukakah kamu bila aku menjadi ayahmu, Fatimah menjadi kakakmu, Aisyah menjadi ibumu, Ali sebagai pakcikmu, Hassan dan Hussain menjadi saudaramu?”

Kanak-kanak itu berkata, “Patutkah aku tidak suka, ya Rasulullah?”

Kemudian, Rasulullah saw membawa kanak-kanak itu ke rumahnya, diberinya pakaian yang paling indah, memandikannya lalu mengajaknya makan. Sesudah itu, kanak-kanak itu pun keluar bermain dengan kawan-kawannya yang lain, sambil tertawa-tawa kegirangan. Melihat perubahan kanak-kanak itu, kawan-kawannya merasa hairan lalu bertanya, “Tadi kamu menagis, mengapa sekarang bergembira?”

Jawabnya, “Tadi aku kelaparan, sekarang sudah kenyang. Tadi aku tidak berpakaian, sekarang pakaianku indah, tadi aku kehilangan ayah, sekarang ayahku Rasulullah dan ibuku Aisyah.”

2— Jika ingin anak-anakmu menghentikan permainan, jangan berkata, “Dah, sudah main, stop sekarang! now!. Tetapi katakan kepada mereka, “Main 5 minit lagi yaaa”. Kemudian ingatkan kembali, “Dua minit lagi ya...”. Kemudian barulah katakan, “Dah ya, waktu main sudah habis”. Mereka akan berhenti bermain.

Rasulullah saw pernah bersujud lama dalam solatnya sehingga para sahabat mengira baginda sedang menerima wahyu. Kejadian itu diberitakan kepada Rasulullah saw lalu baginda menjawab, “Tidak ada apa-apa, aku ditunggangi kedua-dua orang cucuku, maka aku biarkan sampai mereka berdua (Hassan dan Hussain ra anhuma) puas.”

3— Jika anak-anak sedang bertelingkah atau menyebabkan keadaan riuh di sesuatu tempat, dan engkau ingin mengalih perhatian mereka, maka katakanlah, “Siapa yang mau mendengar cerita ibu? angkat tangan...”. Salah seorang akan mengangkat tangan, kemudian disusul dengan anak-anak yang lain, dan semuanya akan diam.

Rasulullah saw suka menghiburkan kanak-kanak, kadang-kadang baginda memangku mereka. Baginda pernah mengajak anak-anak pakciknya iaitu Abbas ra untuk berbaris lalu berkata, “Siapa yang terlebih dahulu sampai kepadaku akan aku beri sesuatu (hadiah).”

Merekapun berlumba-lumba menuju baginda, kemudian duduk di pangkuannya lalu Rasulullah saw mencium dan memeluk mereka.

4— Katakan kepada anak-anak sewaktu mahu tidur: “Tidur sayang, esok pagi kan kita solat subuh”, maka perhatian mereka akan selalu ke akhirat. Cuba elakkan berkata, “Jom tidur, esokkan sekolah”, akhirnya mereka tidak solat subuh kerana perhatiannya adalah dunia.

5— Nikmati masa kecil anak-anakmu, kerana waktu akan berlalu sangat cepat. Kenakalan dan kekanak-kanakan mereka tidak akan lama, ia akan menjadi kenangan. Bermainlah bersama mereka, tertawalah bersama mereka, berguraulah bersama mereka. Al-Aqraa bin Harits melihat Nabi Muhammad saw mencium Hassan ra. Lalu berkata, “Wahai Rasulullah, aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium mereka.”

Rasulullah bersabda, “Aku tidak akan mengangkat engkau sebagai pemimpin apabila Allah telah mencabut rasa kasih sayang dari hatimu. Sesiapa yang tidak memiliki rasa kasih sayang, nescaya dia tidak akan di sayangi.”

Antara tabiat lazim Rasulullah saw ialah sering berkunjung ke rumah-rumah para sahabat Ansar, memberi salam kepada anak-anak serta mengusap kepala mereka sambil mendoakannya.

6— Tinggalkan HP seketika, dan matikan juga TV. Jika ada sahabat yang menelefon urusan tak penting, katakan, “Maaf, saya sedang sibuk dengan anak-anak”. Semua ini tidak menyebabkan jatuhnya wibawamu, atau hilangnya keperibadianmu. Orang yang bijaksana tahu bagaimana cara menyeimbangkan segala sesuatu dan menguasai pendidikan anak. Pernah seorang kanak-kanak  bermain-main dengan cincin di tangan Rasulullah saw. Tiba-tiba ayahnya membentak anak itu, maka Rasulullah pun berkata, “Biarkanlah dia.”

Kemudian Rasulullah saw berkata pula kepada anak itu, “Bermainlah sepuas hatimu, Nak!

7— Jangan lupa berdoa dan bermohon kepada Allah. Dengarkan doa kita didepan anak-anak supaya mereka tahu betapa pentingnya mereka pada kita. Pernah seorang anak kecil dibawa kepada Rasulullah saw supaya didoakan dan dimohonkan berkah dan diberikan nama. Anak tersebut dipangku oleh Rasulullah saw. Tiba-tiba anak itu kencing, lalu orang tuanya berteriak dan memarahinya. Rasulullah saw berkata, “Jangan dihentikan anak-anak yang sedang kencing, biarkanlah dia sampai selesai kencingnya.”

Rasulullah saw pun berdoa dan memberikan nama yang sesuai kepada anak itu, kemudian baginda memberi pesan kepada orang tuanya supaya jangan simpan perasaan tidak senang terhadap air kencing anaknya itu. Ketika mereka telah pergi, Rasulullah saw mencuci sendiri pakaian yang terkena kencing anak tadi.

0 ulasan:

Catat Ulasan

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews