Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Selasa, 27 Oktober 2015

Keutamaan Berpuasa Pada Hari ‘Asyura (10 Muharram)

Bulan Muharram adalah salah satu bulan yang dimuliakan Allah dari 12 bulan yang ada. Allah berfirman dalam al-Quran surah al-Taubah ayat 36;
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالأَْرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ
“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya ada empat bulan haram (yang dimuliakan).”

Ayat di atas menjelaskan bahwa di antara 12 bulan itu ada bulan-bulan mulia yang jumlahnya ada 4 bulan. Kemudian, bulan apa sahajakah yang dimuliakan Allah? Dalam hadis yang diriwayatkan oleh sahabat Abu Bakar ra, bahawa Rasulullah saw bersabda;
السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ: ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ، ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ. وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
“Setahun itu ada 12 bulan, dan di antaranya ada 4 bulan mulia, 3 berurutan; Zul Qa’idah, Zul Hijjah, Muharram, dan Rajab Mudhar yang ia itu berada di antara Jumada dan Sya’aban.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hari ‘Asyura iaitu hari kesepuluh dari bulan Muharram memiliki banyak keutamaan dan kemuliaan sejak dari zaman dahulu kala yang di sebutkan dalam al-Quran dan al-Sunnah. Dalam syariat Nabi Muhammad saw, Hari ‘Asyura dimuliakan kerana memiliki beberapa kelebihan. Di dalam hadis-hadis yang sahih diterangkan tentang keutamaan berpuasa pada Hari ‘Asyura tersebut. Di antara kelebihan puasa pada Hari ‘Asyura adalah dapat menghapus dosa setahun yang lalu. Diriwayatkan dari Abu Qatadah ra, ada seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah saw tentang puasa Hari ‘Asyura. Baginda saw menjawab;
وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
“Puasa Hari ‘Asyura, sungguh aku berharap kepada Allah agar menghapuskan dosa setahun yang telah lalu.” (Riwayat Muslim)

Dari Abu Qatadah al-Ansari lagi bahawasanya;
وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَاشُورَاءَ؟ فَقَالَ: يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ
“Rasulullah saw ditanya tentang puasa Hari ‘Asyura, maka baginda menjawab; Ia menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.” (Riwayat Muslim)

Hari ‘Asyura adalah kurniaan dari Allah kepada umat Nabi Muhammad saw. Dijadikan puasa satu hari itu sebagai penghapus dosa-dosa setahun penuh. Hari ‘Asyura adalah hari yang agung, pada hari tersebut Allah menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya Bani Israel dari Fir’aun dan bala tentaranya. Untuk mensyukuri nikmat yang agung tersebut, kaum Yahudi berpuasa pada hari tersebut.
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ الله عَنْهُمَا، قَالَ: قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المَدِينَةَ فَرَأَى اليَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ: «مَا هَذَا؟»، قَالُوا: هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ هَذَا يَوْمٌ نَجَّى الله بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ، فَصَامَهُ مُوسَى، قَالَ: «فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ»، فَصَامَهُ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ
Dari Ibnu Abbas berkata: “Nabi saw tiba di Madinah, maka baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa Hari ‘Asyura. Baginda bertanya kepada mereka: “Ada apa ini?”

Mereka menjawab, “Ini adalah hari yang baik. Pada hari ini Allah menyelamatkan Bani Israel dari musuh mereka. Maka Nabi Musa berpuasa pada hari ini.”

Nabi saw bersabda, “Saya lebih layak dengan Nabi Musa dibandingkan kalian.” Maka baginda berpuasa ‘Asyura dan memerintahkan para sahabat untuk berpuasa ‘Asyura.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Niat puasa sunat 10 Muharram tersebut boleh dibacakan sebagaimana berikut (tidak menjadi masalah niat tersebut dinyatakan ringkas dalam Bahasa Melayu);
نَوَيْتُ صَوْمَ مِنْ يَوْمِ عَاشُوْراَء سُنَّةً لِلّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku puasa sunat Hari ‘Asyura kerana Allah Ta’ala.”
Syarak mewajibkan niat dalam setiap ibadah termasuk puasa tanpa syarat untuk melafazkannya dalam Bahasa Melayu atau Arab. Maka tidak sah puasa tanpa niat. Untuk puasa sunat, jika tidak sempat sahur atau lupa berniat puasa, masih boleh melakukan niat puasa sunat sejurus solat Subuh. Ini adalah pendapat mazhab Syafie, Hanbali (yakni sebelum waktu Zohor) dan Hanafi (berpendapat sebelum waktu Maghrib) dengan syarat individu itu masih belum melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum, bersetubuh dengan isteri dan sebagainya. Jika seseorang itu telah melakukan perkara tersebut, maka dia tidak boleh lagi melakukan puasa sunat.
Imam al-Ghazali menyebut dalam kitabnya Mukhasyafat al-Qulub bahawa pada Hari ‘Asyura berlaku peristiwa-peristiwa berikut;
  1. Terbunuhnya Sayyidina Hussain (cucu Nabi) di Karbala’.
  2. Nabi Adam a.s diciptakan Allah.
  3. Dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga.
  4. Diterima taubat Nabi Adam a.s.
  5. Dicipta Arashy, Kursi, langit, matahari, bulan, bintang-bintang.
  6. Nabi Ibrahim a.s dilahirkan.
  7. Allah menyelamatkan Nabi Ibrahin a.s daripada api Namrud.
  8. Allah menyelamatkan Nabi Musa a.s dan pengikutnya.
  9. Fir’aun lemas.
  10. Nabi Isa a.s dilahirkan.
  11. Diangkat Nabi Isa a.s ke langit.
  12. Diangkat Nabi Idris a.s ke langit.
  13. Mendaratnya kapal Nabi Nuh a.s dengan selamat di atas bukit Judy.
  14. Nabi Sulaiman a.s diberi kerajaan yang besar.
  15. Dikeluarkan Nabi Yunus a.s dari perut ikan Nun.
  16. Nabi Ya’akub a.s dapat melihat kembali selepas daripada menjadi buta.
  17. Dikeluarkan Nabi Yusuf a.s daripada telaga buta.
  18. Disembuhkan Nabi Ayyub a.s daripada penyakitnya.
  19. Hujan yang pertama turun dari langit kebumi.
Puasa ‘Asyura juga adalah puasa yang ditekankan oleh Rasulullah saw. Baginda Nabi begitu bersemangat untuk melakukannya. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata;
مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ إِلَّا هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَهَذَا الشَّهْرَ يَعْنِي شَهْرَ رَمَضَانَ
“Aku tidak penah melihat Nabi Muhammad saw bersemangat untuk berpuasa pada suatu hari yang lebih beliau utamakan atas selainnya melainkan  pada hari ini, iaitu Hari ‘Asyura dan pada satu bulan ini, iaitu puasa pada bulan Ramadhan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Puasa di bulan Muharram itu adalah seutama-utamanya puasa selepas berpuasa di bulan Ramadhan. Rasulullah saw mendorong kita untuk banyak melakukan puasa pada bulan Muharram. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda;
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ
“Puasa yang paling utama setelah (puasa) Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah iaitu pada bulan Muharram. Sementara solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam.” (Riwayat Muslim)

Berkaitan dengan puasa ‘Asyura ini. Ibnu al-Qayyim dalam Kitab Zaadul Ma‘ad (2/76) berpendapat bahawa urutan puasa Muharram ini ada tiga:
  1. Yang paling sempurna berpuasa satu hari sebelum dan sesudahnya, iaitu pada 9, 10 dan 11 Muharram.
  2. Berpuasa pada hari ke sembilan dan kesepuluh, inilah pendapat yang paling banyak disebutkan dalam riwayat  hadis yang sahih.
  3. Berpuasa hanya pada sepuluh Muharram sahaja.
صُومُوا اليَومَ التَّاسِعَ والعَاشِرَ وَخَالِفُوا اليَهُودَ
“Berpuasalah kamu pada hari yang ke sembilan dan hari yang ke sepuluh dan bezakanlah dengan (puasa) Yahudi” (Sunan al-Baihaqi)

Antara doa yang baik dipohonkan kepada Allah bersempena Hari ‘Asyura (tidak menjadi masalah doa-doa yang lain sekalipun dibacakan dalam bahasa Melayu, apa yang penting berdoa kepada-Nya mengharapkan keampunan-Nya); 
يَا مُحْسِنٌ قَدْ جَــاءَكَ المُسِيْئُ، وَقَدْ أَمَرْتَ يَا مُحْسِنٌ بِالتَّجَــاوُزِ عَنِ المُسِيْئِ، وَأَنْتَ المُحْسِنُ وَأَنَـــا المُسِيْئُ، فَتَجَــاوَزْ عَنْ قَبِيْحِ مَا عِنْدِي بَجَمِيْلِ مَا عِنْدَكَ، فَأَنْتَ بِالمَعْرُوْفِ مَوْصُوْفٌ، أَئْتِنِي مَعْرُوْفَكَ، وَأَغْنِنِي بِــهِ عَنْ مَعْرُوْفِ مِنْ سِوَاكَ، بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
“Wahai Zat Yang Maha baik, sungguh telah datang kepada-Mu orang yang berdosa ini, wahai Zat Yang Maha baik, sungguh Engkau telah menyuruh agar memaafkan kesalahan orang yang berdosa, sedangkan Engkau Maha baik dan aku pula berdosa, oleh sebab itu hapuskanlah keburukan yang datang dari sisiku dengan keindahan yang ada di sisi-Mu, Engkau disifati dengan sifat makruf (baik), oleh itu anugerahkanlah kepadaku sifat makruf-Mu itu, dan cukupkanlah daku dengan makruf-Mu itu sehingga aku tidak memerlukan makruf daripada selain Engkau, dengan berkat rahmat-Mu, wahai Allah Yang Maha Pengasih.”

Mudah-Mudahan Allah memberi kemudahan kepada kita untuk dapat melaksanakan ibadah puasa tersebut dan diganjari keampunan daripada-Nya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews