Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Isnin, 15 Mei 2017

Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS): Disiplin dan Prinsip

Sepertimana yang sedia maklum, kehidupan Nabi Muhammad ﷺ sarat dengan hukum-hakam, penelitian, rahsia dan segalanya. PAS yang mengemudi bahtera gerakan Islam ini juga sedang mengikut rentak hidup dan perjuangan Rasulullah ﷺ agar perjuangan ini diberkati Allah Taala.

Kita juga maklum, elemen terbesar dalam PAS ialah Tarbiah, Siasah dan Dakwah. Mengikut neraca ilmiah gerakan Islam, Dakwah mensasarkan masyarakat umum di peringkat takrif (memperkenalkan), manakala Tarbiah di peringkat Takwin (Pembinaan) dan Siasah di peringkat Tanfiz (Pelaksanaan).
BPMS yang diamalkan oleh PAS terikat dengan konsep “Dakwah Islam” yang mempunyai skop yang luas. Saya tidak ingin mengulas kesemua peringkat itu, cuma sekadar ingin fokus kepada BPMS dan beberapa disiplin yang perlu difahami dengan takrifan yang tepat.
Secara umumnya, kita juga perlu faham bahawa BPMS bukanlah bermaksud berlunak dengan dasar UMNO atau berdiam diri dengan kezaliman, akan tetapi ia terikat dengan 7 kriteria yang akan dinyatakan nanti.

Di dalam konteks tarbiah, istilah ini sangat jauh tersimpang jika disalahfahami. Contohnya menjemput pengisi yang tiada latar belakang tarbiah, pengisi yang tidak kenal usrah, pengisi yang mempertikai PAS, untuk menyampaikan pengisian tarbiah dalaman PAS atas alasan BPMS.

Selain itu, kita juga faham tentang konsep “ta'awun”, sepertimana firman Allah :
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
“Bertolong tolonglah dalam perkara kebajikan dan ketaqwaan, dan janganlah kamu bertolong tolong dalam perkara dosa dan permusuhan.” (al-Maidah: 2)

BPMS meletakkan kriteria “Politik Dakwah Amar Makruf dan Nahi Mungkar”, iaitu bersetuju dengan mana mana usaha untuk memartabatkan Islam, meninggikan syariat dan sebagainya.

Di sana ada beberapa istilah yang perlu difahami oleh ahli PAS iaitu perbezaan antara tahaluf siyasi dan ta'awun siyasi. Iaitu beza pada perkataan “Pakatan atau Persefahaman Politik” dan “Kerjasama Politik”. PAS sudah pun mengumumkan bahawa PAS hari ini bersama Gagasan Sejahtera, dan tidak “berpakat” dengan Pakatan Harapan.

Kita juga perlu faham bahawa di dalam Islam ada Prinsip dan Kelonggaran (الثوابت والمتغيرات). Ketidakfahaman dalam hal ini menyebabkan perselisihan yang banyak, di samping kekeliruan mereka terhadap dasar dasar Islam.

BPMS ada kelonggaran متغيرات dan pasti ada prinsip ثوابت nya. Sepertimana dakwah ada seninya yang boleh berubah, dakwah juga ada prinsip dan disiplinnya yang perlu dipertegaskan. Inilah yang dinyatakan dalam kriteria pertama BPMS iaitu Politik Bertunjangkan Prinsip.

Kita juga biasa mendengar Hadis Nabi ﷺ berbunyi :
انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا. فَقَالَ رَجُلٌ : يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا ، أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ ؟ قَالَ : تَحْجِزُهُ عَنِ الظُّلْمِ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ.
“Bantulah saudara kamu yang zalim, atau dizalimi. Seorang lelaki bertanya, Wahai Rasulullah , aku menolong sekiranya mangsa kezaliman, bagaimana kami membantu orang zalim? Nabi menjawab: Hendaklah kamu menghalang atau mencegah kezalimannya. Inilah yang dimaksudkan dengan menolongnya.”

Nabi ﷺ juga pernah bersabda menghuraikan maksud asabiyyah yang diharamkan dalam Islam, sepertimana yang ditanya oleh Wathilah bin al-Asqa' kepada Rasulullah ﷺ :
قُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا الْعَصَبِيَّةُ؟ قَالَ: " أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ "
“Aku bertanya: Wahai Rasulullah , apa itu asobiyyah? Nabi bersabda: Kamu membantu kaum kamu atas dasar kezaliman.” (Riwayat Abi Daud)

Kesimpulannya, dalam BPMS terikat dengan syariat Islam, yang mungkin boleh digambar melalui butiran berikut:
  1. BPMS yang difahami dengan betul, bukan dengan andaian akal mana mana individu.
  2. BPMS yang membenarkan kerjasama dalam perkara kebajikan dan ketaqwaan, bukan dalam perkara dosa dan permusuhan.
  3. BPMS yang bukannya berpakat dengan mana mana pakatan yang mengadaikan prinsip Islam. Akan tetapi BPMS yang bertegas bahawa setiap penyelesaian itu adalah Islam.
  4. BPMS yang berprinsip, dan bukan BPMS yang longgar selonggar longgar nya. Tiada BPMS atas dasar kezaliman, sekalipun membantu orang zalim menentang kezaliman lain.
Ucapan dasar Presiden Muktamar 2017 yang bertajuk “Sejahtera Bersama Islam”, padat dengan isi dan hikmah yang perlu difahami dengan baik oleh para amilin. Sebelum sampai kepada butiran “Meneruskan Budaya Politik Matang dan Sejahtera”, Tuan Guru Presiden memulakan dengan memahat aqidah dan menekankan ketaqwaan.

Asas Aqidah yang menjadi prinsip perlu dipertegaskan dan tidak boleh dilonggarkan sewenang wenangnya. Sekiranya tiada asas aqidah tunjang ini, maka BPMS mungkin akan disalahfahami oleh para amilin. Tuan Guru Presiden menekankan prinsip dalam keterbukaan Islam.

Tuan Guru Presiden menukilkan firman Allah di dalam Surah Fussilat, menghuraikan konsep dakwah yang tidak menggadaikan prinsip:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ (33)وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ (34) وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ (35) وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (36)
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)! (33) Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. (34) Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. (35) Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (36)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menulis di dalam Tafsir al-Munir menghuraikan ayat ini dengan meletakkan tajuk “Dakwah Kepada Allah dan Adab-Adabnya”. Beliau memulakan huraian tajuk ini dengan meletakkan beberapa prinsip dakwah, iaitu seruan kepada Allah sebagai matlamat.
وبعد بيان أصول الدعوة إلى الله وتوثيق العلاقة بين العبد وربه، ذكر الله تعالى آداب الدعاة وتحسين العلاقة بين العباد بعضهم ببعض، فقال: وَلا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ، ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ أي لا تساوي بين الفعلة الحسنة التي يرضى الله بها ويثيب عليها، وبين الفعلة السيئة التي يكرهها الله ويعاقب عليها،
“Setelah Allah menerangkan prinsip dakwah kepada Allah dan ikatan hubungan di antara manusia dan Tuhannya, Allah menyatakan pula tentang adab pendakwah dan memperbaiki hubungan sesama hamba, dengan firman-Nya (bermaksud), ...Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; Iaitu tidak sama di antara kelakuan baik dan diredhai Allah serta diganjari pahala, dengan kelakuan jahat yang dibenci Allah dan dibalas terhadapnya.”

Iaitu Allah menggesa kepada para pendakwah supaya tidak menyamakan perbuatan baik dengan perbuatan jahat. Jangan samakan memperjuangkan kepentingan poket sendiri, dengan perjuangan menegakkan Islam.

Nabi ﷺ Tidak Menggadaikan Prinsip

Kita semua tahu bahawa Nabi Muhammad ﷺ mendekati pemerintah dan berdakwah kepada mereka. Kita boleh lihat dalam “asbab al-nuzul” sebab penurunan ayat pertama Surah Abasa yang menceritakan dakwah Nabi ﷺ kepada pemerintah Quraisy. Bahkan perkara ini dihuraikan lagi oleh Syeikh Abdul Karim Zaidan dalam kitab أصول الدعوة (Prinsip prinsip Dakwah) yang menyenaraikan golongan pemerintah dan orang kenamaan sebagai sasaran dakwah.

Dalam ketekunan kita menyampaikan Islam kepada pemerintah, berhati hatilah agar tidak terjebak dengan “suapan” mereka. Ya, kita pernah membaca Sirah Nabi ﷺ yang ditawarkan dengan tawaran yang hebat oleh Utbah bin Rabi'ah:
يَا ابْنَ أَخِي، إنْ كُنْتَ إنَّمَا تُرِيدُ بِمَا جِئْتَ بِهِ مِنْ هَذَا الْأَمْرِ مَالًا جَمَعْنَا لَكَ مِنْ أَمْوَالِنَا حَتَّى تَكُونَ أَكْثَرَنَا مَالًا، وَإِنْ كُنْتَ تُرِيدُ بِهِ شَرَفًا سَوَّدْنَاكَ عَلَيْنَا، حَتَّى لَا نَقْطَعَ أَمْرًا دُونَكَ، وَإِنْ كُنْتَ تُرِيدُ بِهِ مُلْكًا مَلَّكْنَاكَ عَلَيْنَا؛ وَإِنْ كَانَ هَذَا الَّذِي يَأْتِيكَ رِئْيًا تَرَاهُ لَا تَسْتَطِيعُ رَدَّهُ عَنْ نَفْسِكَ، طَلَبْنَا لَكَ الطِّبَّ، وَبَذَلْنَا فِيهِ أَمْوَالَنَا حَتَّى نُبْرِئَكَ مِنْهُ.
“Wahai saudaraku! sekiranya engkau melakukan dakwah kamu ini kerana mahu mendapatkan harta kekayaan, kami sanggup mengumpulkan sebahagian daripada harta kekayaan kami dan akan kami serahkan kepadamu sehingga engkau menjadi antara orang yang terkaya di antara kami. Sekiranya engkau mengidamkan kehormatan dan pangkat daripada usaha dakwahmu ini, kami mampu menjadikan engkau sebagai pemimpin kami dan menurut segala keputusanmu. Ataupun engkau mahu menjadi raja kami? Kami juga boleh mengangkatmu menjadi raja kami. Sekiranya apa yang membuatkan engkau melakukan dakwah ini adalah disebabkan penguasaan jin yang berada di dalam tubuhmu dan engkau tidak dapat melepaskan diri daripada penguasaan jin tersebut, kami sanggup mencari tok bomoh atau tabib yang mampu menyembuhkanmu. Berapa tinggi pun biaya perubatannya kami sanggup menanggungnya.”

Nabi Muhammad ﷺ pun menjawab:
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ. حم. تَنْزِيلٌ مِنَ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ. كِتَابٌ فُصِّلَتْ آيَاتُهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ. بَشِيرًا وَنَذِيرًا فَأَعْرَضَ أَكْثَرُهُمْ فَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ. وَقَالُوا قُلُوبُنَا فِي أَكِنَّةٍ مِّمَّا تَدْعُونَا إِلَيْهِ وَفِي آذَانِنَا وَقْرٌ وَمِن بَيْنِنَا وَبَيْنِكَ حِجَابٌ فَاعْمَلْ إِنَّنَا عَامِلُونَ. قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَاسْتَقِيمُوا إِلَيْهِ وَاسْتَغْفِرُوهُ وَوَيْلٌ لِّلْمُشْرِكِينَ
“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Haa, Miim, Turunnya Kitab ini dari Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Turunnya Kitab ini dari Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Ia membawa berita yang mengembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya. Dan mereka berkata: Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk agamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami)! Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu; maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredaan-Nya), serta pohonlah kepada-Nya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah lalu). Dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu yang lain)...”

Nabi ﷺ pun membacakan ayat al-Quran, iaitu surah Fussilat dari awal hinggalah ayat ke 13, yang sarat dengan garisan disiplin sebagai seorang pedakwah yang menjaga prinsipnya. Nabi ﷺ boleh saja menjadi pemerintah, seorang yang kaya, dan berpengaruh dengan cara meninggalkan jalan dakwah sepertimana yang ditawarkan, akan tetapi Baginda ﷺ tidak memilih cara yang keji itu sebagai jalan perjuangannya. Kita bagaimana?

Kriteria BPMS sudah pun disebarkan dan pernah dibentangkan. Namun, suka untuk saya ulangi di sini kriteria kriteria tersebut:
  1. Politik Bertunjangkan Prinsip
  2. Politik Dakwah Amar Makruf Nahi Mungkar
  3. Politik Memfokuskan Penyelesaian Islam
  4. Politik Mengurangkan “Politiking”
  5. Politik Utamakan Keamanan, Diplomasi dan Bertentang Dasar Bukan Fizikal
  6. Politik Sebenar Bukan Sekadar Persepsi
  7. Politik Rasional dan Professional
Setiap butiran sudah pun dibuat huraiannya yang ringkas dan padat. Malangnya ada yang hanya menterjemahkan BPMS itu sekadar “baik dengan semua orang”. Maka orang ini akan mengabaikan prinsip Islam semata mata mahu dikatakan baik menurut perspektif manusia.

Sedangkan dalam Huraian Kriteria BPMS meletakkan bahawa PAS bertegas dengan prinsip matlamat tidak menghalalkan cara الغاية لا تبرر الوسيلة. Dalam bab syariat, perlu dijaga dengan baik. Dalam bab adab dan akhlaq perlu diperhatikan. Manakala dalam bab aqidah perlu diutamakan.

Tiada istilah berpakat belakang tabir dengan individu UMNO atau mana mana parti yang bertentangan dasarnya dengan PAS, atas nama BPMS. Luruskan kefahaman kita terhadap istilah BPMS, dan hindari daripada melonggarkan prinsip prinsip perjuangan PAS.

0 ulasan:

Catat Ulasan

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews