Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Ahad, 30 Ogos 2015

Ananiah


Ananiah berasal dari bahasa arab iaitu kata “ana” yang bererti “saya”. Adapun yang dimaksudkan dengan ananiah adalah sikap mementingkan diri sendiri atau ego atau ingin menang sendiri tanpa mempedulikan orang lain disekelilingnya. Sifat ini sangat tercela, dan membahayakan di dalam pergaulan masyarakat. Ananiah termasuk penyakit hati, apabila dibiarkan akan berkembang menjadi sombong, kikir, takabur yang diiringi sifat iri dan dengki. Sifat Ananiah akan mendatangkan kebinasaan bagi pemilik sifat tersebut dan termasuk sifat tercela yang harus dijauhi oleh setiap orang mukmin sebab dapat menjerumuskan manusia kepada sikap individualistik dan membuka jalan kepada sikap permusuhan dan kebencian di antara sesama manusia. Firman Allah;
وَلا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلا تَمْشِ فِي الأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (surah Luqman: 18)

Nabi Muhammad saw bersabda;
دَبَّ اِلَيْكُمْ دَاءُ الْاُمَمِ قَبْلَكُمْ الْبَغْضَاءُ وَالْحَسَدُ هِيَ حَالِقَةُ الدِّ يْنِ لاَحَالِقَةُ الشَّعْرِ
“Telah menimpa kepadamu suatu penyakit umat-umat sebelum kamu iaitu benci membenci dan dengki. Dialah pencukur agama, bukan pencukur rambut.” (riwayat al-Thabrani)

Semua penyakit, pasti mendatangkan bahaya. Sifat ananiah akan mendatangkan bahaya bagi dirinya sendiri dan orang lain. Bahaya ananiah bagi diri sendiri ialah dimurkai Allah, dijauhi kawan-kawan, menyeksa diri sendiri, orang lain enggan untuk menolongnya dan dibenci ramai orang. Bahaya ananiah bagi orang lain pula ialah haknya berkurangan dalam berkawan dan bergaul, hak orang lain untuk memperoleh bantuan akan berkurangan dan orang lain akan merasa tergganggu ketenteram dan keselesaan dalam hidupnya.

Cara untuk menghindari sifat ananiah ini ialah kita harus sedar bahawa ananiah akan berbahaya untuk dirinya sendiri dan orang lain. Ingatlah bahawa ananiah adalah penyakit hati, tiada seorang pun yang dapat menyembuhkan kecuali dirinya sendiri. Nabi saw bersabda;
اَلاَ وَاِنَّ فِى الْجَسَدِ مُضْغَةً اِذَا صَلُحَتْ صَلُحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَاِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ اَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ
“Ketahuilah, di dalam tubuh manusia ada segumpal daging. Apabila segumpal daging itu baik, baiklah tubuh seluruhnya, dan apabila daging itu rosak, rosaklah tubuh seluruhnya. Ketahuilah olehmu, bahawa segumpal daging itu adalah qalbu (hati).” (riwayat al-Bukhari)

Kita juga harus menyedari bahawa manusia mempunyai hak dan martabat yang sama, menyedari bahawa perbuatan ananiah termasuk perbuatan dosa dan kita perlu membiasakan diri untuk bersedekah.

Kerana pada dasarnya, manusia adalah makhluk yang selalu hidup berdampingan bersama dalam rangka untuk memenuhi keperluan hidupnya. Manusia tidak dapat memenuhi keperluannya sendiri, melainkan selalu mahu untuk bekerja sama dengan orang lain. Allah memerintahkan agar kita hidup untuk saling tolong-menolong dan memiliki ambil berat terhadap orang lain serta setiasa menyedari bahawa setiap manusia mempunyai kekurangan dan kelebihan masing-masing. Sebagaimana Firman Allah;
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبَرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.” (surah al-Maaidah: 2)

Sikap seperti ini sangat dilarang di dalam Islam kerana akan menimbulkan bibit-bibit perpecahan di kalangan umat manusia, hingga Nabi Muhammad saw bersabda;
أحب الناس إلى الله تعالى أنفعهم للناس
“Manusia yang paling disukai Allah ialah manusia yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain.” (riwayat Muslim)

Riwayat lain menyebut;
خير الناس أنفعهم للناس
“Manusia yang baik adalah yang bermanfaat kepada manusia yang lain.” (riwayat al-Thabrani)

Serta dalam hadith lain menyebutkan;
مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ، وَمَنْ لَمْ يُصْبِحْ وَيُمْسِ نَاصِحًا لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِكِتَابِهِ ولإِمَامِهِ ولِعَامَّةِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ
“Barangsiapa tidak mementingkan urusan umat islam, maka tidaklah ia termasuk dari golongan mereka itu. Dan barangsiapa yang dalam sehari-hari tidak berlaku jujur kepada Allah, kepada rasul-Nya, kepada kitab-Nya, kemudian kepada imam (pemimpin) mereka dan kaum Muslimin, tidaklah ia dari mereka.” (riwayat Muslim)

Sikap ananiah sangat tidak patut dimiliki oleh manusia kerana bertentangan dengan naluri manusia itu sendiri, akan tetapi realitinya di dunia ini masih sahaja ada orang yang memiliki sikap ananiah. Mereka tidak peduli terhadap orang lain bahkan orang lain dianggapnya hilang  dalam kehidupannya. Sifat ini juga sangat merugikan, baik dirinya sendiri mahupun orang lain seperti sahabat, rakan taulan yang lazimnya kehidupan sosial harus saling memahami, akan tetapi apabila salah satunya itu ego atau mementingkan diri dan yang lain turut takut menegurnya dan hanya berani bercakap di belakang, lalu timbul masalah dan ikatan sahabat itu hancur menjadi bermusuhan secara tidak langsung kerana ego kita tidak mempunyai kawan. Orang akan benci pada kita dan bahkan mungkin boleh membuat putusnya hubungan silaturrahim. Kerana itulah Islam melarang umatnya memiliki sifat dan perilaku ananiah. Islam menganjurkan untuk saling mengambil berat dan tolong menolong antara satu sama lain.

Setiap muslim harus mampu menghindari perilaku ananiah kerana ananiah adalah sikap yang tidak terpuji, dapat mendatangkan merbahaya dan petaka bagi diri sendiri dan juga orang lain. Perkara yang harus diperhatikan untuk menghindari perilaku ananiah dalam kehidupan seharian kita ialah tanamkan keimanan yang kuat agar tidak mudah tergoda oleh pujuk rayu syaitan yang selalu berusaha menjerumuskan manusia ke jurang kesalahan dan dosa. Banyakkan membaca dan belajar pelbagai ilmu pengetahuan, serta bergaullah dengan orang-orang yang bijak, banyak ilmunya, mulia akhlaknya, serta taat beribadah, sehingga kelak dapat meneladaninya dalam kehidupan sehari-hari. Hindari pergaulan dengan mereka yang memiliki sikap ego, suka mementingkan diri sendiri dan tidak memiliki ilmu yang cukup. Justeru, kita perlu hindari sikap ananiah itu mulai sekarang.

Biodata Penulis

Dr. Muhammad Faisal Ashaari merupakan pensyarah di Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

0 ulasan:

Catat Ulasan

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews