Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Ahad, 30 Ogos 2015

Busana Islam VS Tabarruj

Busana Muslimah sudah menjadi trend hari ini. Jubah dengan pelbagai fesyen dan fabrik, tudung dengan pelbagai corak, potongan dan cara pemakaiannya. Persoalannya ialah benarkah busana tersebut telah benar-benar menepati cara berpakaian menurut syariat Islam? Benar-benar Busana Muslim?

Konsep yang mudah tentang menutup aurat sama ada lelaki atau perempuan ialah longgar tidak fit, tidak nipis atau jarang dan tidak berlebih-lebihan. Menutup aurat atau sekadar membalut, membungkus atau packing aurat? Sebab tabarruj tetap boleh terjadi walaupun wanita itu menutup aurat.

Pencerahan;

Contohnya hari ini kita dapat lihat di khalayak ramai wanita yang bertudung tetapi berpakaian menampakkan bentuk tubuh atau sanggul, berfesyen hingga menjadi perhatian, memakai wangi-wangian atau solekan yang berlebihan. Ini semua dikira sebagai tabarruj.

Ibnu Manzur berkata (maksudnya), “Tabarruj ialah seorang wanita mendedahkan kecantikan dan keelokannya kepada lelaki (yang bukan suaminya).”

Firman Allah dalam sebahagian surah al-Nur, ayat 31;
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.”

Abul A’la al-Maududi berkata, “Jika kalimat tabarruj dipergunakan kepada kaum wanita, justeru ia mengandungi pengertian;
  • Wanita yang menunjukkan kecantikan wajahnya, daya tarik tubuhnya kepada lelaki asing (bukan mahramnya).
  • Wanita yang mendedahkan kecantikan pakaian dan perhiasannya kepada lelaki asing. (rantai leher, kaki dan lain-lain)
  • Wanita yang mempromosikan dirinya, kemanjaannya, gerak-gerinya dan keharumannya.
Dalil Pengharaman Tabarruj
وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأُولَى
“Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu;” (surah al-Ahzab: 33)

Sifat-sifat tabarruj di zaman jahiliyyah itu seperti:-
  • Seorang wanita yang keluar dari rumah dan berjalan di antara lelaki.
  • Wanita yang berjalan berlenggak-lenggok dan penuh gaya, genit dan gedik (3G)
  • Wanita yang memakai wangian yang menggoda.
  • Wanita yang mengenakan pakaian yang dihiasi batu permata.
  • Wanita yang mengenakan kerudung namun anting-anting dan kalungnya tetap diperlihatkan.
  • Wanita yang berkerudung tetapi bersanggul tinggi seperti bonggol unta.
Tabarruj juga boleh berlaku kepada orang lelaki, walaupun aurat mereka lebih ringan, tetapi masih ada yang menampakkan aurat. Contoh memakai baju dan seluar ketat sehingga kelihatan bentuk badan yang sasa atau bentuk punggung. Sengaja mencukur janggut, bersolek atau berdandan seperti wanita, atau berhias berlebih-lebihan kerana mahu kelihatan menonjol dan dikagumi. Berpakaian dan peliharalah penampilan agar nampak bersih dan kemas secara sederhana. Banyak wang yang dibazirkan untuk tujuan kosmetik dan fesyen, seperti tidak yakin dengan kecantikan diri yang telah diberi oleh Allah.

Kesimpulan

Islam tidak menentang kecantikan selagi mana ia tidak melampaui batas. Dengan suami atau isteri, silakan berhias secantiknya. Apabila terdedah kepada bukan mahram, tutupi keinginan tersebut. Cukuplah untuk berpakaian sopan menutup aurat, kemas dan bersih sekadarnya sahaja. Sebab kita nak cari redha Allah dan bukan redha manusia sahaja.

Biodata Penulis

Himpunan catatan Ustaz Kay berkaitan kehidupan berlandaskan Islam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews