Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Selasa, 1 September 2015

3 Kriteria Kemerdekaan Dalam Pandangan Islam


Kemerdekaan dan kebebasan merupakan harapan semua umat manusia di atas dunia ini. Kerana ia merupakan perkara yang paling berharga yang dicita-citakan oleh setiap manusia. Dalam ungkapan Arab terdapat pepatah yang berbunyi;
لا شيء أثمن من الحرية
“Tidak ada sesuatu yang lebih mahal (berharga) daripada kemerdekaan.”

Daripada ungkapan ini menunjukkan bahawa, kemerdekaan dianggap sebagai penentu antara mati dan hidupnya manusia. Apabila seorang kehilangan kemerdekaan, sesungguhnya ia sudah mati meskipun ia masih bernafas, makan-minum, dan berjalan-jalan.

Khalifah Umar al-Khattab mengingatkan kita semua agar menjaga kemerdekaan itu serta tidak siapapun yang berhak memperhambakan orang lain kerana setiap orang dilahirkan oleh Allah dalam keadaan bebas dan merdeka.
متى استعبدتم الناس، وقد ولدتهم أمهاتهم أحرارًا
“Sejak bila kamu memperhambakan manusia, sedangkan mereka dilahirkan oleh ibu-ibu mereka dalam keadaan bebas (merdeka).”

Dalam perspektif Islam, kemerdekaan itu sendiri dimaknai sebagai kemampuan (al-qudrah) yang membuat seorang mampu melakukan atau tidak melakukan sesutau atas dasar kehendak dan pilihan (bebas)-nya sendiri. Setiap manusia dianugerahkan oleh Allah dengan kebebasan, iradah, atau masyi’ah. Manusia dapat memilih dan melakukan sesuatu atas kehendak dan pilihan bebasnya serta atas kehendak bebasnya itu pula ia diminta pertanggungjawaban.
  • Kebebasan Agama, (Hurriyat al-Din)
Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 256 :-
لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
  • Kebebasan berfikir (Hurriyat al-Fikr)
  • Kebebasan Berpendapat (Hurriyat al-Qaul).
Kebebasan yang terakhir ini diwujudkan, antara lain kebebasan melakukan amar makruf dan nahi mungkar. Allah berfirman dalam surah Aali-Imran, ayat 110;
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”

Kebebasan yang diajarkan Islam adalah kebebasan yang bertanggung jawab, adil dan beradab. Menurut Syekh Yusuf al-Qaradawi, kebebasan dalam Islam mesti memenuhi tiga kriteria dasar yang tidak boleh dilampaui sebagaimana berikut;
(1). Kebebasan untuk menegakkan kebenaran (al-haqq) bukan kejahatan (al-fusuq)

Islam memberi kebebasan kepada setiap orang untuk memilih agama, berfikir dan berilmu, serta menyampaikan pendapat kerana semua ini merupakan sesuatu yang hak. Sebaliknya, atas nama kebebasan, seseorang tidak boleh serta merta melakukan tindakan kejahatan atau keburukan, seperti mencuri, korupsi, dan minum arak, berzina, kerana semua ini merupakan sikap buruk, bukan kebenaran.

(2). Kebebasan yang tidak menimbulkan bahaya atau mudharat baik bagi dirinya mahupun orang lain

Dalam Islam, setiap tindakan yang merugikan diri sendiri dan orang lain, haram hukumnya. Ini sejalan dengan kaedah hukum Islam;
لا ضرر ولا ضرار
“Ditegah mendapat bahaya dan membahayakan orang lain.”
 
(3). Kriteria adab (akhlak) atau perkara yang wajar

Kriteria yang terakhir ini menjadi penyempurna dari dua kriteria sebelumnya yang membuat kebebasan menjadi bernilai tinggi. Sebagai contoh, dalam situasi lalu lintas, kita bebas dan boleh memilih jalan mana saja yang akan dilalui. Akan tetapi, setiap kita dilarang untuk melanggar peraturan lampu isyarat, had kelajuan, tanda amaran jalan dan seumpamanya supaya tidak membahayakan diri dan orang lain. Ketiga-tiga keriteria di atas ini mesti diperhatikan dan tidak boleh dilanggar atau dilampaui.

Setelah kita merdeka, kita sebagai bangsa diharapkan sudah mampu membezakan antara kemerdekaan dan kebebasan yang tiada batasan, antara demokrasi dan anarki, dan antara ketuhanan dan kesyaitanan.

Ya Allah semoga kemerdekaan yang Engkau anugerahkan kepada kami dapat kami syukuri selayaknya,  serta dapat menggunakan kemerdekaan yang telah Engkau berikan kepada kami untuk menegakkan Islam dan dakwah. Mudah-Mudahan kami sentiasa menjadi insan yang pandai bersyukur dalam hidup kami.

Biodata Penulis

Ustaz Sihabuddin Muhaemin (USM). Kritik dan saranan yang membina sangat dialu-alukan. SMS (012-6653988) atau layari laman facebook USM - Sihabuddin Muhaemin

0 ulasan:

Catat Ulasan

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews