Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Selasa, 1 September 2015

8 Syarat Utama Pakaian Muslimah


Seorang wanita muslimah yang beriman dan taat kepada ajaran agamanya, akan sentiasa menjadikan rumah sebagai benteng yang melindunginya dari segala macam fitnah yang akan merosak kehidupan dunia dan akhiratnya. Sentiasa taat kepada Allah Yang Menciptakan dan Memuliakannya, Yang Memerintahkannya untuk hidup makmur di dalam rumah. Allah berfirman dalam al-Qur’an surah al-Ahzab ayat 33;
وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ
“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu.”

Jika ada keperluan mendesak yang mengharuskan seorang muslimah untuk keluar rumah, maka hendaklah ia memakai pakaian yang sesuai dengan aturan syariat. Secara garis besarnya, ada 8 syarat utama pakaian seorang wanita Muslimah menurut syariat Islam iaitu :-

(1). Pakaian yang menutupi aurat

Allah berfirman dalam al-Quran surah al-Nuur ayat 31;
وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِن
“Katakanlah kepada wanita yang beriman; Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya.”

Dalam ayat yang lain, Allah berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 59;
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang beriman; Hendaklah mereka menlabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Ada perbezaan pendapat tentang batasan aurat perempuan bagi selain mahram. Sebahagian ulama menganggap seluruh tubuh wanita adalah aurat termasuk wajah dan dua telapak tangan. Di antara hujjah yang mereka gunakan adalah firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 53;
وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ ذَلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِن
“Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri- isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir, cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka.”

Demikian pula dengan hadis Ibnu Mas’ud ra, bahawa Rasulullah saw bersabda;
المَرْأَةُ عَوْرَةٌ، فَإِذَا خَرَجَتْ اسْتَشْرَفَهَا الشَّيْطَان
“Wanita adalah aurat, apabila keluar rumah, syaitan akan memuliakannya.” (riwayat al-Tirmidzi) 

Sedangkan pendapat yang lain menganggap bahawa seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan telapak tangan. Pendapat yang mereka gunakan di antaranya, menafsirkan pengecualian pada ayat 31 dalam surah al-Nuur di atas; { إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا } dengan “wajah dan telapak tangan”.

Demikian pula dengan hadis ‘Aisyah ra.h yang kesahihannya diperselisihkan, bahawa Asma’ binti Abi Bakr menghadap Rasulullah saw dengan pakaian tipis. Maka Rasulullah saw berpaling darinya dan bersabda;
يَا أَسْمَاءُ، إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا - وَأَشَارَ إِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ
“Ya Asma’! Sesungguhnya seorang wanita jika telah memasuki masa baligh, tidak boleh kelihatan bahagian tubuhnya kecuali ini dan ini.” - Rasulullah menunjuk wajah dan telapak tangannya. (riwayat Abi Daud)

Akan tetapi mereka tetap menyarankan untuk menutup wajah dan telapak tangan, dan bahkan mewajibkannya jika kerosakan akhlak wanita sudah semakin bermaharajalela. Adapun batasan aurat perempuan di hadapan mahramnya adalah selain tangan, betis, kepala dan leher. Sedangkan batasan aurat perempuan di hadapan perempuan Muslimah lainnya adalah antara pusat dan lutut. Namun sebaiknya wanita Muslimah tetap memakai pakaian yang menutup seluruh badan kecuali kepala, telapak tangan, dan telapak kaki di hadapan mahramnya atau sesama wanita untuk menghindari mafsadah (kerosakan) yang tidak diingini.

(2). Motif dan warnanya tidak terlalu menjolok mata, dan tidak mengundang perhatian serta fitnah kepada laki-laki

Seorang wanita diperintahkan memakai pakaian untuk menutupi kecantikan tubuhnya dan jauh dari perhatian lelaki. Akan tetapi jika pakaian itu sendiri malah menambah perhatian dan boleh mengundang nafsu lelaki, maka jelas pakaian itu tetap dilarang. Allah berfirman dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 33;
وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى
“Janganlah berpakaian dan bertingkah laku seperti pakaian jahiliyah yang dahulu.”

Mereka menggunakan pakaian dan bertingkah laku semata-mata untuk menarik perhatian serta mengundang syahwat lelaki-lelaki.

(3). Tidak terlalu ketat serta menampakkan susuk tubuh

‘Usamah bin Zaid ra berkata, “Rasulullah saw memberiku pakaian qibthiyah (pakaian buatan Mesir) yang tebal, lalu aku berikan kepada isteriku.”

Maka Rasulullah saw bertanya kepadaku;
مَا لَكَ لَمْ تَلْبَسِ الْقُبْطِيَّةَ؟
“Kenapa engkau tidak memakai qibthiyah?”

Aku menjawab, “Ya Rasulullah pakaian itu telah kuberikan kepada isteriku.”

Lalu Rasulullah saw bersabda;
مُرْهَا فَلْتَجْعَلْ تَحْتَهَا غِلَالَةً، إِنِّي أَخَافُ أَنْ تَصِفَ حَجْمَ عِظَامِهَا
“Perintahkan kepadanya untuk melapisinya dengan pakaian dalam, aku khuatir pakaian itu akan menampakan bentuk tubuhnya.” (riwayat Ahmad)

(4). Tidak terlalu jarang dan tidak tembus pandang

Wanita yang memakai pakaian yang jarang dan tembus pandang adalah salah satu dari dua golongan ahli neraka yang tidak pernah dilihat oleh Rasulullah saw di masanya. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda;
وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ، رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ، لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ، وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا، وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا
“Dan wanita-wanita berpakaian tetapi sama juga dengan bertelanjang bogel (kerana pakaiannya terlalu tipis atau tembus pandang, terlalu ketat, atau pakaian yang merangsang nafsu lelaki kerana sebahagian auratnya terbuka, berjalan dengan berlenggok-lenggok, mudah dirayu atau suka merayu, rambut mereka (dipasak) bagaikan bonggol unta. Wanita-wanita tersebut tidak dapat masuk syurga, bahkan tidak dapat mencium bau syurga. Padahal bau syurga itu dapat tercium dari kedudukan begini dan begini.” (riwayat Muslim)

(5). Tidak memakai wangi-wangian yang terlalu menusuk hidung

Pakaian wanita dan bau wangian akan mengundang nafsu lelaki yang menciumnya akan menimbulkan kerosakan. Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari ra bahawa Rasulullah saw bersabda;
أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَة
“Sesiapa sahaja daripada kaum wanita yang memakai wangian, lalu melewati suatu kaum dan mencium baunya, maka ia adalah penzina.” (riwayat al-Nasa’ie)

(6). Tidak menyerupai pakaian lelaki-laki
       
Abu Hurairah ra berkata;
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ، وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ
“Rasulullah saw melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita, dan wanita yang memakai pakaian lelaki.” (riwayat Abi Daud)

(7). Tidak menyerupai pakaian wanita kafir atau fasiq

Abdullah bin ‘Amr ra berkata, “Rasulullah saw melihatku memakai pakaian berwarna kuning, maka beliau bersabda;
إِنَّ هَذِهِ مِنْ ثِيَابِ الْكُفَّارِ فَلَا تَلْبَسْهَا
“Sesungguhnya ini adalah pakaian orang kafir maka janganlah engkau memakainya.” (riwayat Muslim)

Dalam hadis Ibnu Umar ra, bahawa Rasulullah saw bersabda;
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
“Barang siapa yang meniru suatu kaum, maka ia termasuk golongan mereka.” (riwayat Abi Daud)

(8). Tidak memakai pakaian syuhrah (pakaian untuk tujuan bermegah-megah)

Yang dimaksudkan pakaian syuhrah adalah pakaian yang dipakai untuk tujuan membanggakan diri dan menyombongkan diri. Baik dari segi harganya atau modelnya, seperti memakai pakaian yang mahal agar dikatakan  glamour atau pakaian kusut masai agar dikatakan sebagai zuhud. Hadis Ibnu Umar ra, bahawa Rasulullah saw bersabda;
مَنْ لَبِسَ ثَوْبَ شُهْرَةٍ فِي الدُّنْيَا، أَلْبَسَهُ اللَّهُ ثَوْبَ مَذَلَّةٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، ثُمَّ أَلْهَبَ فِيهِ نَارًا
“Barangsiapa yang memakai pakaian syuhrah di dunia, Allah akan memakaikannya pakaian kehinaan di akhirat kemudian dibakar dengan api neraka.” (riwayat Ibnu Majah)

Syarat-syarat pakaian yang telah disebutkan di atas bukan bertujuan untuk mendiskriminasikan atau menyekat hak asasi kaum wanita, akan tetapi aturan ini dibuat semata-mata untuk menjaga martabat dan kesucian wanita muslimah agar tidak dirosakkan oleh tangan manusia yang mengkehendaki kehancuran dan kebejatan akhlak dan moral kaum wanita. Aturan tersebut dibuat oleh Allah swt Zat Yang Maha Mengetahui tabiat kaum wanita, dan ditetapkan oleh junjungan alam baginda Rasulullah saw yang sangat menyayangi umatnya terlebih lagi bagi kaum wanita.

Ya Allah semoga para wanita Muslimah di kalangan kami sentiasa mendapat taufik dan hidayah-Mu. Lindungi wanita Muslimah kami daripada fitnah yang akan merosak kehidupan mereka. Tetapkan hati mereka untuk selalu menjaga syariat-Mu dengan baik.

Biodata Penulis

Ustaz Sihabuddin Muhaemin (USM). Kritik dan saranan yang membina sangat dialu-alukan. SMS (012-6653988) atau layari laman facebook USM - Sihabuddin Muhaemin

0 ulasan:

Catat Ulasan

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews