Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Selasa, 1 September 2015

Tinggalkan Sahaja Perkara Syubhat


Kalimah syubhat berasal dari bahasa Arab, ertinya keadaan sama, serupa, keadaan gelap, kabur, samar, tidak jelas. Dalam Ensiklopedia Hukum Islam, syubhat diertikan sebagai sesuatu yang ketentuan hukumnya tidak diketahui secara pasti, apakah halal atau haram. Dalam pengertian yang lebih luas syubhat ialah sesuatu yang tidak jelas apakah benar atau tidak, atau masih mengandungi kemungkinan benar atau salah.

Abdurrahman al-Rasyid, dalam bukunya Halal Haram Menurut al-Quran dan Hadis, mendefinisikan syubhat adalah setiap perkara yang tidak begitu jelas antara halal dan haram bagi manusia. Hal ini dapat terjadi kerana tidak jelasnya dalil dan mungkin kerana tidak jelasnya jalan untuk memahami nas atau dalil yang ada terhadap suatu peristiwa.

Menurut Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulumuddin, syubhat adalah sesuatu yang masalahnya tidak jelas kerana di dalamnya terdapat dua macam keyakinan yang berlawanan yang timbul dari dua faktor yang menyebabkan adanya dua keyakinan tersebut.

Hukum syubhat didasarkan pada hadis Rasulullah sallallahualaihi wasallam;
حَدّثناَ قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيْدٍ أَنْبَأَناَ حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ عن مُجَالِدٍ عن الشَّعْبِي عن النُعْماَنِ بْنِ بَشِيْرٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه و سلم يَقُولُ الْحَلاَلُ بَيِّنٌ وَ الْحَراَمُ بَيِّنٌ وَ بَيْنَهُماَ أُمُورٌ مُشْتَبهَاتٌ لاَ يَدْرِي كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ أَ مِنَ الْحَلاَلِ هِيَ أَم مِنَ الْحَرَامِ فَمَنْ تَركَهاَ اِسْتَبْرَأَ لِدِيْنِهِ وَ عِرْضِهِ فَقدْ سَلِمَ وَ مَن وَقَعَ شَيئاً مِنهاَ يُوشِكُ اَنْ يُوَاقِعَ الْحَرَامَ كَماَ أَنَّهُ يَرْعَى حَولَ الْحِمَى يُوشِكُ اَنْ يُواقِعُهُ أَلآ وَ إِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلآ وَ إِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ
“Qutaibah bin Sa’id menceritakan kepada kita, Hammad bin Zaid mengkhabarkan kepada kita dari Mujalid dari Sya’bi dari Nu’man bin Basyir berkata, saya mendengar Rasulullah sallallahualaihi wasallam bersabda; Halal itu jelas dan haram itu jelas, dan di antara keduanya ada perkara-perkara syubhat (yang samar-samar), banyak orang yang tidak mengetahuinya. Maka barangsiapa yang meninggalkannya, maka ia telah membersihkan dirinya untuk agamanya dan kehormatannya, maka selamatlah dia dan barangsiapa jatuh kepada syubhat, maka ia seakan-akan jatuh kepada yang haram. Umpama seorang yang menggembala dekat daerah yang terlarang, seakan ia nyaris jatuh (memasuki) daerah itu. Ketahuilah bahawa setiap negara ada batasnya, dan batas Allah adalah yang diharamkannya.” (riwayat al-Tirmidzi)

Dalam hadis yang lain Rasulullah sallallahualaihi wasallam bersabda;
دَعْ مَا يَرِيْبُكَ، إِلَى مَا لاَ يَرِيْبُكَ
“Tinggalkan apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu.” (riwayat al-Tirmidzi)


لَا يَبْلُغُ الْعَبْدُ أَنْ يَكُونَ مِنْ الْمُتَّقِينَ حَتَّى يَدَعَ مَا لَا بَأْسَ بِهِ حَذَرًا لِمَا بِهِ الْبَأْسُ 
“Seorang hamba tidak akan mencapai tingkat muttaqin (orang yang bertaqwa) sehingga dia meninggalkan apa yang harus kerana khuatir terjerumus ke dalam apa yang dilarang.” (riwayat al-Tirmidzi)

Maka sesuatu yang masih diragukan kehalalan atau keharamannya harus dibuktikan kebenaran akan halal atau haramnya sehingga seseorang menjadi jelas dan yakin untuk melakukannya apabila termasuk barang halal dan meninggalkan apabila itu telah jelas keharamannya. Sesuai dengan kaedah Usul Fiqh;
الْيَقِيْنُ لاَ يُزَالُ بِالشَّكِّ
“Keyakinan itu tidak dapat dihilangkan dengan keraguan.”

Seorang ulama’ yang bernama Syeikh Ahmad Batahi al-Khatabi, menjelaskan hukum meninggalkan syubhat ada tiga, iaitu: Wajib, Sunat dan Makruh. Jika yang syubhat itu diyakini membawa kepada yang haram, maka meninggalkannya adalah wajib. Jika perkara yang syubhat itu lebih berat kepada yang makruh, maka meninggalkannya adalah sunat. Jika lebih berat kepada yang halal, maka meninggalkannya adalah makruh.

Sekarang ini orang ramai masih kurang kesedaran akan keperluan untuk meninggalkan perkara yang syubhat ini. Bahkan, sesuatu yang jelas pengharamannya pun mereka kurang peduli. Oleh kerana itulah, kita sangat memerlukan para alim ulama’, untuk terus bersama mendampingi mereka agar dapat memandu kita ke jalan yang benar, in’sya-Allah.

0 ulasan:

Catat Ulasan

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews