Islam Liberal: Satu Pendedahan
Peredaran
masa telah membuktikan kepada kita apa yang dinyatakan oleh Nabi
Muhammad sallallahu’alaihi wasallam kepada para sahabat. Selaku orang
yang mengaku beragama Islam, al-Quran dan al-Sunnah merupakan jalan
penyelesaian yang paling selamat dengan berpaksikan kepada aqidah Ahlu
al-Sunnah wa al-Jamaah. Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam bersabda;
افترقت
اليهود على إحدى وسبعين فرقة، وافترقت النصارى على اثنتين وسبعين فرقة،
وستفترق هذه الأمة على ثلاث وسبعين فرقة كلها في النار إلا واحدة وهي
الجماعة
“Umat
Yahudi telah berpecah menjadi tujuh puluh satu golongan maka hanya satu
golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh lagi masuk neraka.
Umat Nasrani telah berpecah-belah menjadi tujuh puluh dua golongan maka
tujuh puluh satu masuk neraka dan hanya satu golongan masuk syurga.
Umatku akan berpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan, hanya satu
golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh dua lagi akan masuk
neraka dan ia adalah jamaah (golongan Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah).” (riwayat Ibnu Majah)
Sehingga
kini telah berlaku bermacam-macam perkara dan perpecahan di kalangan
umat Islam, mereka menamakan kumpulan mereka dengan bermacam-macam
gelaran dan berselindung di bawah naungan kerajaan dan juga persatuan
bebas (NGO) sama ada dengan nama Islam Liberal dan sebagainya. Aliran
ini menyeru ke arah pembukaan pintu ijtihad dan penyeruan ke arah
kefahaman Islam yang terbuka dan progresif dengan tujuan untuk memajukan
pemikiran umat Islam. Namun yang demikian, mereka mempunyai
kecenderungan untuk melewati batas keagamaan apabila mereka menuntut
tafsiran Islam yang pelbagai (pluralis), mempertikai syariat Allah dan
hukum-hukum fiqah dengan hujah rasional serta menolak penguatkuasaan
undang-undang moral agama. Gerakan Islam Liberal di Malaysia, sekalipun
tanpa memakai lencana ‘Islam Liberal’, ianya lebih banyak bersifat
meniru apa yang sebelum ini wujud di negara-negara Timur Tengah dan
Indonesia contohnya pertubuhan Sisters in Islam (SIS) yang banyak
menimbulkan isu-isu kontroversi mengenai hak-hak wanita atas dasar
liberalisasi.
Latar Belakang
Sebagaimana
yang kita maklumi bahawa pensyariatan hukum Islam telah diamalkan oleh
umat Islam sejak zaman Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam sehinggalah
Mustafa Kamal al-Tarturk menghancurkan kekhilafahan Islam di Istanbul
pada tahun 1924. Sepanjang kurun tersebut, tidak seorangpun ilmuwan
pernah mengatakan bahawa umat Islam “meminjam” hukum-hakam yang lain
untuk menutupi kekurangan - apatah lagi mengganti - hukum Islam. Para
fuqaha’ Islam pada masa lalu, telah mampu meng-istinbath (menggali)
berbagai-bagai hukum sebagai penyelesaian terhadap pelbagai masalah
melalui sumber-sumber hukum Islam. Sebaliknya, pada hari ini, di tengah
kemunduran tahap berfikir umat Islam serta penjajahan pemikiran terhadap
mereka, umat Islam menjadi bingung, tidak tahu jalan menuju kemajuan
yang sahih.
Ini
berikutan perubahan teknik peperangan musuh daripada menggunakan
senjata kepada kaedah merosakkan aqidah dan pemikiran umat Islam. Hal
ini lebih jelas dalam ucapan Raja Louis ke 9 di hadapan tentera
Salibiyah selepas dibebaskan daripada penjara Dar Ibnu Luqman, Mansurah
Mesir, katanya;
إذا أردتم أن تهزموا المسلمين فلا تقاتلوهم بالسلاح وحده، فقد هزمتم أمامهم في معركة السلاح، ولكن حاربوهم في عقيدتهم
“Jika
kamu ingin menewaskan orang-orang Islam maka jangan perangi mereka
dengan senjata semata-mata, telah terbukti kamu tewas, akan tetapi
tumpukanlah serangan kamu terhadap akidah mereka.”
Sekarang
mereka telah berjaya mewujudkan kelompok umat Islam yang liberal
terhadap agama. Maka timbullah apa yang dipanggil Islam Liberal. Setiap
individu dengan mudah boleh menyatakan, “hukum ini dan itu adalah tidak
bertentangan dengan Islam”; “pemikiran ini dan itu adalah bersumber
daripada Islam”. Pada akhirnya mereka tidak terpanggil untuk menggali
lebih mendalam akan khazanah ilmu Islam. Jadi, menurut mereka, setiap
orang berhak menyatakan pemahamannya (pemikiran liberal) atas
nilai-nilai Islam.
Padahal
sesungguhnya, pemikiran Islam liberal ini tidak lain merupakan usaha
untuk mempermainkan nas-nas syariat, melakukan interpretasi yang salah
terhadapnya dan menundukkan kesimpulan hukum pada akal fikiran. Saidina
Ali bin Abi Talib radhiallahu anhu meriwayatkan sebuah hadis daripada
Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam yang berbunyi;
لو كان الدين بالرأي لكان أسفل الخف أولى بالمسح
“Sekiranya
agama itu berdasarkan akal (pemikiran liberal dan logik) maka bahagian
tapak khuf lebih layak untuk disapu (dibersihkan).”
Sesungguhnya
kehadiran pemikiran Islam Liberal adalah dengan maksud dan tujuan untuk
memutarbalikkan kebenaran Islam, menabur keraguan, untuk mendangkalkan
keyakinan umat, dan berusaha untuk menjauhkan mereka. Bahkan, sampai
satu tahap, mereka berusaha mendorong umat agar memeluk keyakinan baru
iaitu peri pentingnya masyarakat beragama Islam menerima sekularisasi,
emansipasi wanita (pembebasan wanita dan feminisme) dan menyamakan agama
Islam dengan agama lain (pluralisme teologis). Gerakan feminisme yang
timbul di Barat sebagai contoh adalah bertujuan mewujudkan persamaan di
antara lelaki dan perempuan (gender equality), juga mempengaruhi
pemikiran Islam liberal. Aliran feminisme Islam Liberal biasanya
menuntut persamaan hukum-hakam syariah antara lelaki dan wanita.
Perbezaan hukum syarak antara wanita dan lelaki Islam dianggap tidak
adil oleh mereka. Oleh yang demikian, setiap apa yang menjadi hak kaum
lelaki, mestilah juga menjadi hak kepada wanita. Maka, sebarang
perbezaan hak atau keistimewaan yang terdapat di antara lelaki dan
wanita mestilah dihapuskan kerana bagi mereka ia bersifat diskriminasi
dan menindas kaum wanita.
Makna Islam Liberal
Sebagaimana yang kita ketahui antara takrif Islam dinyatakan oleh Dr. Abd al-Karim Zaidan adalah istislam (menyerah diri), khudhu’ wa al-iz’an (tunduk dan patuh), dan inqiyad liLlah (taat kepada Allah). Firman Allah;
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
“Dan
sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima
daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang
rugi.” (surah Aali-Imran ayat 85)
Maka
jelaslah kepada kita bahawa perkataan Islam membawa maksud menyerah
diri, patuh dan taat kepada titah perintah Allah. Manakala perkataan
Liberal bermaksud pandangan yang terbuka dan tidak terkongkong. Dalam
Laman Jaringan Islam Liberal (JIL) mereka telah menafsirkan diri mereka
sendiri dengan kata mereka;
“Nama
Islam Liberal menggambarkan prinsip-prinsip yang kami anut, iaitu Islam
yang menekankan kebebasan peribadi dan pembebasan dari struktur
sosio-politik yang menindas. Liberal di sini bermakna dua: kebebasan dan
pembebasan. Kami percaya bahawa Islam selalu dilekati kata sifat, sebab
ada kenyataannya Islam ditafsirkan secara berbeza-beza sesuai dengan
keperluan penafsirnya. Kami memilih satu jenis tafsir, dan dengan
demikian satu kata sifat terhadap Islam, iaitu Liberal.”
Penggabungan
dua perkataan ini dilihat sebagai satu usaha daripada pendokong aliran
ini untuk menyandarkan diri kepada Islam, tetapi pada masa yang sama
mereka tidak mahu terikat dengan prinsip-prinsip Islam, atau dalam erti
kata lain kebebasan dan pembebasan daripada kekangan akidah, ibadah dan
akhlak.
Apa
yang saya perhatikan aliran ini seakan menganggap Islam yang terkandung
nas-nas al-Quran dan al-Sunnah adalah Islam terkongkong dan terbelenggu
serta tidak bebas. Maka mereka berusaha untuk mebebaskan Islam dari
sebarang keterikatan terhadap nas-nas syara’. Caranya ialah dengan
menafsirkan, mangolah atau menafikan apa jua dalil syara’ agar
bersesuaian dengan kehendak pemikiran mereka. Padahal pemikiran mereka
berteraskan falsafah yang dipegang oleh Dunia Barat yang mereka anggap
bertamadun.
Oleh
itu dapatlah kita nyatakan bahawa Islam Liberal adalah satu ungkapan
yang membawa erti “Islam yang menuju ke arah kebebasan dan lebih moden”.
Ini merupakan satu penyelewengan yang jelas lagi nyata kerana Islam
Liberal lebih menekankan kepada kebebasan dalam kehidupan tanpa ada
sekatan dan halangan. Mereka berhujjah dengan salah satu daripada firman
Allah yang berbunyi;
لاَ
إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ
يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ
بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىَ لاَ انفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
“Tidak
ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata
kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa yang tidak
percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya
ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak
akan putus. dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (surah al-Baqarah ayat 256)
Ayat
ini sebenarnya menerangkan tentang paksaan dalam berdakwah kepada
golongan non-Muslim, tiada paksaan kepada mereka sama ada untuk menerima
Islam mahupun tidak. Akan tetapi jikalau telah memeluk Islam dan
sememangnya berketurunan Islam, maka wajib ke atas mereka untuk berada
dalam Islam dan memegang agama dengan sebenar-benarnya tanpa ada
penambahan atau pengurangan.
Maksud Pluralisme
Pluralisme
yang dimaksudkan di sini ialah fahaman yang manganggap dan menyamakan
agama Islam dengan agama lain (pluralisme teologis). Pemikiran yang
menganggap semua agama itu sama telah lama masuk ke beberapa negara
Islam. Akhir-akhir ini pemikiran ini menjelma menjadi sebuah gerakan
baru. Sebenarnya umat Islam sejak duhulu telah biasa hidup dalam
kepelbagaian agama dan menerimanya sebagai realiti masyarakat. Piagam
Madinah dengan jelas telah berjaya menyusun kepelbagaian agama ini dan
para ulama telah pula menjelaskan hukum-hukum yang berkaitan.
Kesalahan
yang paling ketara ialah apabila menganggap realiti kepelbagaian agama
dan fahaman pluralisme teologis sebagai sama sahaja. Lalu menganggap ia
adalah sunnatullah. Padahal kedua-duanya sangat berbeza. Yang pertama
(kepelbagaian agama) adalah satu keadaan di mana berbagai-bagai agama
wujud dalam suatu masyarakat atau negara. Sedangkan yang kedua
(pluralisme teologis) adalah suatu fahaman yang menjadi fokus dalam
disiplin sosiologi, teologi dan falsafah agama yang berkembang di Barat
dan juga agenda penting globalisasi.
Oleh itu pluralisme teologis adalah bertentangan dengan Islam. Firman Allah berbunyi;
إِنَّ
الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسْلامُ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُواْ
الْكِتَابَ إِلاَّ مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ
وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ
“Sesungguhnya
agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. dan
orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu tidak
berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan
setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya.
(Perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam
kalangan mereka. dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan
ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan
hisab-Nya.” (surah Aali-Imran ayat 19)
Oleh
itu, menganggap pluralisme agama sebagai sunnatullah adalah anggapan
yang berlebihan dan tidak benar. Dalam fahaman pluralisme teologis yang
berkembang di Barat sendiri terdapat sekurang-kurangnya dua aliran yang
berbeza: iaitu fahaman yang dikenali dengan program teologi global
(global theology) dan fahaman kesatuan agama-agama (Transcendent Unity
of Religions). Kedua-dua aliran ini telah berkembang dan mempunyai
gagasan, konsep dan prinsip masing-masing yang akhirnya menjadi fahaman
yang sistemik.
Islam Liberal : Anak Kandung Barat
Barat
sengaja melontarkan pelbagai istilah dan pemikiran dengan trend politik
mahupun ideologi. Semua itu bertujuan untuk meragukan keyakinan umat
terhadap pemikiran Islam serta melakukan permainan istilah yang
berbahaya; semata-mata kerana ketakutan mereka melihat kebangkitan umat
Islam. Mereka mecipta pemikiran nasionalisme, demokrasi, hak asasi
manusia, kebebasan, globalisasi, dan sebagainya; termasuk dalam hal ini
adalah apa yang dikenal dengan istilah “Islam Liberal” dan “Pluralisme
teologis”. Mereka beranggapan bahawa gerakan liberalisasi yang dilakukan
adalah satu-satunya alternatif yang melakukan usaha penyatuan di antara
agama (faith) dan akal fikiran (reason). Mereka melihat majoriti umat
Islam mengikut aliran tradisionalis konservatif yang jumud dan tidak
memberi ruang kepada akal fikiran untuk berperanan dan berijtihad. Lebih
dari itu, golongan fundamentalis dikatakan telah berusaha untuk
memonopoli pemahaman Islam, sehingga apa sahaja pandangan yang tidak
sesuai dengan kerangka berfikir mereka akan dicap sebagai tidak Islamik.
Charles
Kurzman, profesor sosiologi agama di Universiti North Carolina,
memperkenalkan istilah atau gerakan baru di Dunia Islam ini dalam
bukunya, Islamic Liberalism. Sebenarnya, Kurzman bukan orang pertama,
kerana sebelumnya telah muncul Leonard Binder seorang sarjana
berketurunan Yahudi yang cuba menyebarkan fahaman tersebut dalam
bukunya, Islamic Liberalism: A Critique of Development Ideologies.
Kurzman menyatakan tiga gagasan mengenai Islam liberal (hal ini mungkin
boleh dijadikan asas aliran tersebut), iaitu:-
- Syariah liberal, (“liberal shari’a” argues that the revelations of the Quran and the practices of the Prophet command Muslims to follow liberal positions).
- Syariat senyap, (the “silent shari'a’ holds that coexistence is not required by the shari'a, but is allowed. This trope argues that the shari'a is silent on certain topics-not because divine revelation was incomplete or faulty, but because the revelation intentionally left certain issues for humans to choose).
- Penafsiran syariat (interpreted shari’a, this third trope suggests that religious diversity is inevitable, not just among religious communities but within Islam itself).
Selain
itu, secara ringkas, aliran Islam Liberal ini sebenarnya berakar pada
idea demokrasi. Pemikiran-pemikiran lain sebagai asal-usulnya akan
terlihat sangat bertumpu di atas fahaman demokrasi ini; seperti gagasan
pemisahan negara dengan agama, hak-hak wanita dalam kepemimpinan politik
dan kekuasaan, kebebasan penafsiran teks-teks agama, kebebasan berfikir
dan berpendapat, toleransi beragama, dialog dan keterbukaan antara
agama, pluralisme dan sebagainya.
Pemikiran
mengenai hubungan negara dengan agama (Islam) merupakan persoalan
kritikal yang paling banyak mendapat penolakan dan tentangan dari
pendokong Islam Liberal. Pemahaman yang sering dipakai;
- Negara Islam tidak pernah dikenal dalam sejarah.
- Negara adalah kehidupan duniawi, berdimensi rasional, dan kolektif; sedangkan agama berdimensi spiritual dan peribadi.
- Masalah kenegaraan tidak menjadi sebahagian hubungkait (integral) dari Islam.
- Islam tidak menggariskan konsep asas pemerintahan (definitive), misalnya dalam bab kekuasaan.
- Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam hanya menjadi penyampai risalah, tidak mengepalai suatu institusi politik.
- Al-Quran dan Sunnah tidak pernah menyebut, “Dirikanlah negara Islam!” dan sebagainya.
Penolakan
gagasan ini, pada akhirnya menerima secara total idea demokrasi dalam
urusan kenegaraan, politik, dan pemerintahan. Hasilnya, menolak
kebolehan seorang wanita terlibat dalam urusan kekuasaan adalah
bertentangan dengan prinsip demokrasi. Menolak keterlibatan warga negara
berdasarkan perbezaan prinsip agama adalah tidak sesuai dengan
demokrasi. Mengambil peraturan dan hukum-hukum kemasyarakatan dari satu
agama sahaja merupakan diskriminasi atas agama lain. Kebebasan
beragamanya ialah dengan menafsirkan teks-teks agama (dalil-dalil) yang
menjadi gagasan liberal dan kebebasan berfikir serta berpendapat.
Demikianlah, semua pemikiran asal ini akan berlindung di belakang
induknya: pemikiran Barat.
Demokrasi
merupakan medium paling dominan yang sekaligus melahirkan sejumlah
pemikiran asas (derivation) seperti kebebasan berpendapat dan berfikir,
persamaan kedudukan agama (pluralisme), hak sama rata, pergaulan antara
budaya dan peradaban, dan sebagainya. Membetulkan kerosakan idea
demokrasi ini akan menjadi penyelesaian primer bagi persoalan-persoalan
lain.
Ini
kerana, idea ini menjadi pintu masuk dan prasyarat tertegaknya
idea-idea asasnya. Kurzman sendiri mengungkap, “The first trope of
liberal Islam holds that the shari’a requires democracy, and the second
trope holds that the shari’a allows democracy.”
Plato
sendiri menilai betapa mustahilnya idea demokrasi ini. Pemerintahan
demokrasi dianggap sebagai bentuk pemerintahan yang tidak sempurna,
penuh dengan kecelaruan dan kekacauan. Jika rakyat diizinkan untuk
membuat keputusan secara kolektif, mereka pasti hanya akan
membesar-besarkan kepentingan mereka sendiri.
Parti-parti
berkuasa dalam sistem demokrasi telah menjadi “Tuhan” bagi rakyatnya.
Mereka menentukan halal dan haramnya suatu perkara semahu mereka.
Padahal, Islam telah menetapkan bahawa pemutus halal-haram, baik-buruk,
salah-benar, terpuji-tercela hanyalah Allah semata-mata sebagai
Musyarri’. Kaum Muslim tidak dibenarkan berpendapat dan berperilaku
liberal. Mereka mesti tunduk kepada apa yang ditetapkan oleh syariat.
Mereka tidak boleh menggantikan hukum hudud dengan hukum lain
berdasarkan pertimbangan akal; menggantikan sistem khilafah dengan sitem
demokrasi atau kerajaan, atau meletakkan kekuasaan tertinggi negara di
tangan seorang wanita, sekalipun ia Muslimah.
Allah berfirman;
وَمَا
كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ
أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ
اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالا مُّبِينًا
“Tidaklah
patut bagi laki-laki Mukmin dan tidak (pula) bagi wanita Mukmin, jika
Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi
mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Siapa sahaja yang
menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguh dia telah sesat dengan
kesesatan yang nyata.” (surah al-Ahzab ayat 36)
Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam juga bersabda;
من قال في القرآن برأيه فأصاب فقد أخطأ
“Siapa
sahaja yang menghuraikan al-Quran dengan akal fikirannya sendiri,
meskipun benar, maka sesungguhnya dia telah berbuat kesalahan.” (riwayat al-Tirmidzi dan Ahmad)
Faktor Kemunculan Aliran Liberal
Liberalisme
merupakan suatu falsafah yang muncul di Eropah kerana pergolakan kelas
menengah ketika menentang hak-hak khusus pihak kerajaan, aristokrat, dan
pihak gereja. Liberalisme muncul pada masa renaissance yang menjadi
punca tercetusnya Revolusi Perancis dan Amerika. Yang menjadi fokus
dalam fahaman liberalisme adalah kebebasan individu. Kekuasaan negara
harus dipisahkan dari campurtangan agama (gereja). Liberalisme
mencetuskan gagasan-gagasan liberalisasi politik (John Locke), ekonomi
(Adam Smith), dan pemikiran (Jeremy Bentham dan John Stuart Mill).
Di
samping itu, kebebasan beragama (liberal religious) meletakkan para
pemeluknya sebagai pemegang kuasa mutlak dalam menilai teks-teks sumber
agama. Liberalisme memungkinkan mereka menerima unsur-unsur asing dari
luar, mereka memiliki kebebasan untuk meyakini atau menolaknya.
Selain
itu khilafah Uthmaniyah pada abad ke-15 M yang menguasai sebahagian
besar Dunia Islam, lebih menumpukan kekuatan fizikal dan ketenteraan.
Mereka mengabaikan pengembangan Bahasa Arab, padahal ia sangat penting
untuk memahami Islam dan menjadi salah satu syarat untuk berijtihad. Ia
juga tidak memperhatikan masalah Islam sebagai pemikiran dan susunan
hukum. Akibatnya, tahap berfikir dan praktikal tasyri’ merosot teruk.
Pada
masa yang sama Eropah menemukan berbagai-bagai kemajuan di antara abad
ke-16 M dan akhir abad ke-18 M. Hal ini telah menyebabkan sebahagian
Dunia Islam terutamanya Timur Tengah terpesona dengan Eropah. Kaum
Muslim merasakan perlunya untuk melakukan transformasi ilmu pengetahuan
dari Barat pada awal abad ke-19 M.
Kesannya
terjadilah pertembungan di antara umat Islam dengan peradaban Barat,
meskipun pada awalnya hanya dalam aspek material (teknologi) untuk
pembangunan, tetapi bersama dengan modenisasi tersebut, meresap juga
pandangan-pandangan politik, unsur-unsur kemanusiaan, falsafah dan
pemikiran Barat.
Sebenarnya
umat Islam tidak perlu mengambil asas Barat dalam membangunkan umat.
Islam mempunyai asas ketamadunannya yang tersendiri. Kelemahan dan
kemunduran umat Islam bukan kerana Islam, sebaliknya kerana mereka
meninggalkan Islam. Islam tulen yang sebenarnya telah dipinggirkan
daripada kehidupan umat. Firman Allah;
وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا
“Dan
berkatalah Rasul; Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan
al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.” (surah al-Furqan ayat 30)
Dalam
membina tamadun kegemilangan, kita tidak boleh bebaskan diri daripada
ikatan-ikatan Islam, kononnya kerana inginkan kemajuan dan ketamadunan.
Jika kita inginkan ketamadunan dengan memisahkan dan membebaskan diri
daripada ikatan Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah, maka tidak perlu
kita membinanya atas nama Islam.
Apabila
kita ingin membina kemajuan dan ketamadunan atas nama umat Islam, maka
kita mesti terikat dengan kehendak dan peraturan Islam. Pembebasan
daripada peraturan Islam ini menjadikan kemajuan dan tamadun yang
dicapai tidak bererti dan sangat rapuh. Dalam hal ini kata Syaikh Dr.
Yusof al-Qaradawi dalam al-Sunnah Masdaran Li al-Ma’rifat wa
al-Hadharat;
“Hadharah
(ketamadunan) yang Islam hendak dirikannya bukan seperti
tamadun-tamadun yang lain yang lebih mementingkan sudut kebendaan dalam
kehidupan, yang lebih mementingkan sudut jasad dan nafsu pada insan.
Mementingkan kelazatan yang segera di dunia. Maka ia menjadikan dunia
itu perkara terbesar yang diambil berat dan sekadar itu ilmunya. Ia
tidak meletakkan bagi Allah suatu kedudukan yang disebut di dalam
falsafahnya. Akhirat tiada ruang baginya dalam sistem pemikiran dan
pendidikan. Ini bercanggah dengan hadharah Islamiyah (Tamadun Islam). Ia
menyambungkan antara insan dengan Allah, mengikat antara bumi dengan
langit. Ia menjadikan dunia untuk akhirat. Mencampurkan antara roh dan
kebendaan. Ia sebenarnya tamadun kerohanian dan kebendaan, impian dan
realiti, rabbani dan insani, akhlak dan pembangunan, individu dan
jemaah. Ia adalah tamadun yang seimbang dan wasatiyyah.”
Ideologi Liberal
Dalam
artikel ini, kita akan melihat sepintas lalu idea-idea pokok Islam
liberal dan sekaligus melihat latar belakang ideologinya;
- Kritikan terhadap teks al-Quran;
- Idea pluralisme teologis;
- Penolakan terhadap Syari’at Islam.
Bagi
Islam Liberal teks al-Quran perlu ditafsirkan melalui kaedah
hermeneutik ataupun melalui pemahaman substantif agar tidak lagi terpaku
kepada pemahaman literal terhadap syari’ah, akan tetapi pemahaman yang
liberal. Antara tokoh pemikiran Islam liberal yang menimbulkan
kontroversi terhadap penafsiran al-Quran saat ini ialah Nasr Hamid Abu
Zaid. Anak kelahiran Mesir yang kini sedang bertugas di Institut
Pengajian Asia, Universiti Leiden, Belanda, telah dihukum murtad oleh
Jawatankuasa Fatwa, Universiti al-Azhar, Mesir beberapa tahun lalu
kerana kritikannya kepada al-Quran al-Karim dan lain-lain aspek
terpenting dalam agama Islam. Dia telah menulis beberapa buah karya
mengenai teks al-Quran seperti “Mafhum al-Nas: Dirasah fi ‘Ulum
al-Qur’an” (Kefahaman Mengenai Teks: Satu Kajian Mengenai al-Qur’an).
Mengenai
konsep wahyu dan Nabi Muhammad sallallahu’alaihi wasallam versi Nasr
meletakkan Nabi Muhammad sallallahu’alaihi wasallam seorang pengarang
al-Quran. Katanya lagi bahawa Nabi Muhammad sallallahu’alaihi wasallam
sebagai seorang yang ummi, bukanlah penerima wahyu yang pasif, tetapi
juga mengolah al-Quran, sesuai dengan keadaannya sebagai manusia biasa.
Pandangan ini adalah rentetan dari pemikiran orientalis-orientalis Barat
generasi awal yang telah mendakwa bahawa Islam itu adalah “agama
ciptaan Muhammad” dan hukum Islam disebut sebagai “Muhammadan Law”,
sementara umat Islam digelar sebagai “Mohammadun”. Seterusnya, Nasr
mengkritik keras method tafsir para mufassir ternama Ahlu al-Sunnah wa
al-Jamaah. Katanya anggapan yang menyebut bahawa autoriti tafsir adalah
milik mutlak mufassirin terdahulu adalah salah.
Tuduhan
itu timbul kerana golongan Islam Liberal sering melihat bahawa autoriti
agama hanya akan memberi kesan negatif. Pada anggapan mereka monopoli
ulama akan menatijahkan hukum pandangan selain daripada ulama sebagai
tidak Islam, sesat dan sebagainya. Selain daripada Nasr, seorang lagi
pemikir kontroversi liberal Muslim ialah Muhammad Arkoun, professor
pemikiran Islam di University Sorbone, Perancis. Arkoun banyak
terpengaruh dengan pemikiran postmodenisme khususnya Jacques Derrida.
Amat jelas terlihat metode “deconstruct” dan “no truth-claim” dalam
pemikiran Arkoun. Robert D. Lee dalam kata pengantarnya terhadap buku
Arkoun, “Rethinking Islam”, mengatakan;
“In
the world Arkoun proposes, there would be no margins and no center, no
marginalized groups and no dominant ones, no inferior beliefs and no
superior, truth-producing logic.”
Kajian
Arkoun mengenai al-Quran adalah dengan menggunakan pendekatan “sejarah”
atau “historical method”. Antara karya-karya Arkoun yang sangat
disanjung di Dunia Barat serta dalam beberapa buah Negara Islam saat ini
ialah The Unthought in Contemporary Thought (2002) dan Min al-Ijtihad
Ila Naqd al-Aql al-Islami (1992). Arkoun yakin bahawa kajian kritis
sejarah tentang al-Quran adalah satu bentuk ijtihad. Menurut Arkoun lagi
bahawa pendekatan terhadap fenomena wahyu dari perspektif umum. Dia
memasukkan berbagai fenomena kitab suci dari komuniti agama lain,
seperti kitab agama Hindu, Buddha, dan lebih penting lagi kitab Injil
Perjanjian lama dan Perjanjian Baru.
Selain
daripada bidang kajian kritis mengenai al-Qur’an, satu lagi aspek
pemikiran Islam liberal yang sedang merebak saat ini ialah peri
pentingnya masyarakat beragama Islam menerima adanya plurisme teologis.
Alwi Shihab daripada Indonesia salah seorang pendokong aliran ini
mendakwa dalam bukunya “Islam Inklusif: Menuju Sikap Terbuka dalam
Beragama”, beliau mendakwa bahawa terdapat ayat al-Quran dalam surah
al-Baqarah ayat 62 dan surah al-Ma’idah ayat 69 yang membuktikan agama
Islam sama dengan agama lain.
Golongan
liberal turut menolak pelaksanaan Syari’at Islam dengan mengatakan
bahawa pelaksanaan hukum Islam pada saat ini hanya akan memberi kesan
negatif kerana pelaksanaannya dianggap sangat bertentangan dengan
hak-hak asasi manusia dan tidak sesuai dengan perkembangan zaman.
Abdullah al-Naim, seorang penulis yang berasal dari Sudan telah
menghasilkan sebuah karya yang berjudul “Toward an Islamic Reformation”
(1989) yang isinya menolak pemahaman orang Islam terhadap syari’at.
Al-Naim berpendapat bahawa syari’at Islam khususnya Islamic Public Law
mesti diubah kerana nas syara’ tidak perlu diikuti secara literal
(harfiyyah). Kata al-Naim;
“I
have shown that shari’ah was in fact constructed by Muslim jurists over
the first three centuries of Islam. Although derived from the
fundamental divine sources of Islam, the Qur’an and Sunnah. Shari’ah is
not divine because it is the product of human interpretation of those
sources.”
Sebenarnya
penolakan syariat Islam secara terang dan sembunyi boleh menjejaskan
akidah seseorang Muslim. Kepentingan perlaksanaan syariat melalui kuasa
undang-undang dapat memperlihatkan ketinggian dan keadilan Islam.
Saidina Uthman bin Affan menyebut;
إن السلطان يزع ما لا يزع بالقرآن
“Sesungguhnya kekuasaan mampu menerapkan sesuatu yang tidak mampu diterapkan oleh al-Quran.”
Melekatkan
perkataan Islam dengan Liberal sama sekali tidak menjunjung Islam,
malah sebaliknya. Sebenarnya Islam Liberal adalah ancaman yang merbahaya
yang akan dihadapi oleh rakyat negara ini. Pelbagai peraturan akan
diwujudkan atas nama agama, atau hujah yang berbau agama untuk
menghidupkan masyarakat yang hidup tanpa sempadan dan batasan peraturan
agama. Pemikiran “Islam Liberal” ini perlu ditolak disebabkan ia boleh
membahayakan akidah umat Islam. Walaupun idea Islam Liberal dilihat
bersifat reformasi tetapi ia adalah satu pembohongan terhadap Allah
kerana mencampur-adukkan kebenaran dengan kebatilan.
Berdasarkan
ideologi-ideologi aliran Islam Liberal ini, dapatlah kita simpulkan
juga bahawa pluralisme teologis adalah salah satu juzu’ daripada Islam
Liberal. Perbincangan mengenai Islam Liberal sekaligus akan
membincangkan juga plural. Bahaya aliran ini perlu didedahkan dan
dibincangkan dengan lebih meluas untuk menjamin ketulenan Islam tetap
terpelihara. Semoga Allah memelihara kita semua.
Terima kasih telah mengizinkan saya untuk berkomentar di sini.
BalasPadamARTIKEL ANDA SANGAT BAGUS !!
WhatsApp: 081396610615
Cara Menang Situs Judi Online ERAQQ
Situs Poker Online
Situs Judi Online Terpercaya ERAQQ
Daftar Situs Judi Online ERAQQ
Login Situs Judi Online ERAQQ
LiveChat ERAQQ
Download Aplikasi ERAQQ
Poker Online
Domino99
Poker
Bandar Poker
Domino99
Bandar Q
Bandar 66
Sakong
Capsa Susun
Perang Baccarat
Domino qiu qiu
QQ Poker
Poker QQ
Judi Domino
QQ Online Terpercaya
Situs Judi QQ Online Terpercaya