Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Jumaat, 27 Mei 2016

Keluarga Haraki Asas Kekuatan Gerakan Islam

Seorang muslim yang berjuang untuk menegakkan agamanya pasti mempunyai kesedaran dan kefahaman yang jelas bahawa perjuangan ini mempunyai maratib (peringkat-peringkat) amal Islami yang mesti diselesaikan oleh setiap individu pejuang Islam. Peringkat yang paling asas kepada perjuangan ini ialah pembentukan peribadi atau syakhsiah yang solehah. Subjek utama dalam pembentukan peribadi pejuang ini pula berpaksi pada 3 noktah :-
  1. Pembentukan aqidah yang benar
  2. Pembentukan fikrah Islam yang jelas
  3. Pembentukan akhlak yang soleh
Peribadi yang lahir dari acuan aqidah Islam yang benar, fikrah Islam yang jelas dan akhlak Islam yang soleh inilah yang akan mewarnai kehidupan yang sejahtera di dunia dan terpelihara di akhirat.

Justeru peribadi-peribadi yang soleh dan solehah ini akan berpasangan membina rumahtanga dan kemudiannya akan lahirlah keluarga yang besar seterusnya membentuk sebuah masyarakat yang bertamadun. Masyarakat ini pula akan menegakkan sebuah negara yang mempunyai sistem pentadbiran dan pemerintahan guna menyelia dan mengendali sebuah kehidupan bermasyarakat pada skala yang lebih besar dan luas peradabannya.

Pembentukan Rumahtangga Pejuang

Mendirikan rumahtangga adalah impian semua orang. Namun bagi seorang pejuang Islam, ia bukan sekadar impian apatah lagi sekadar melempiaskan sebuah keinginan sebaliknya ia adalah untuk merealisasikan sunnah Rasulillah sallallahu’alaihi wasallam dan berusaha untuk memberi kegembiraan kepada baginda Rasulillah sallallahu’alaihi wasallam. Sabda Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam dari Anas bin Malik telah berkata :-
جَاءَ ثَلَاثَةُ رَهْطٍ إِلَى بُيُوتِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُونَ عَنْ عِبَادَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا أُخْبِرُوا كَأَنَّهُمْ تَقَالُّوهَا فَقَالُوا وَأَيْنَ نَحْنُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ قَالَ أَحَدُهُمْ أَمَّا أَنَا فَإِنِّي أُصَلِّي اللَّيْلَ أَبَدًا وَقَالَ آخَرُ أَنَا أَصُومُ الدَّهْرَ وَلَا أُفْطِرُ وَقَالَ آخَرُ أَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلَا أَتَزَوَّجُ أَبَدًا فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ فَقَالَ أَنْتُمْ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي
“Telah datang 3 orang lelaki ke rumah isteri Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam dan mereka bertanya mengenai ibadat Nabi sallallahu’alaihi wasallam. Tatkala diberitahu mengenai ibadat Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam, keadaan mereka seperti tertanya-tanya apalah kedudukan kami berbanding Nabi sallallahu’alaihi wasallam sehingga Nabi sallallahu’alaihi wasallam diampunkan dosanya yang terdahulu dan kemudian. Telah berkatalah salah seorang dari mereka berazam sembahyang malam sepanjang masa. Berkata yang lainnya, aku berpuasa dan tidak berbuka sepanjang hari, berkata sebahagian yang lain pula, aku meninggalkan perempuan, aku tidak berkahwin selamanya. Maka datang Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam lantas berkata : adakah kamu yang berkata begitu dan begini? Adapun demi Allah sesungguhnya aku orang yang paling takut kepada Allah dari kalangan kamu dan yang paling bertaqwa kepada Allah, akan tetapi aku berpuasa kemudian aku berbuka, aku sembahyang kemudian aku tidur dan aku mengahwini perempuan, maka barangsiapa yang berpaling daripada sunnahku maka dia bukan dari kalanganku.” (Riwayat al-Bukhari, 5063 dan Muslim, 1401)

Dari Ma’qil bin Yaasar berkata, Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam pernah bersabda :-
تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمْ الأُمَمَ
“Kahwinilah wanita yang penyayang dan melahirkan maka sesungguhnya aku bergembira dengan ramainya ummat.” (Riwayat Abi Daud)

Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam turut menggariskan pedoman asas pembentukan sebuah rumahtangga yang diredhai dan diberkati oleh Allah :-
تُنْكحُ الْمَرْأَةُ لأرْبَعٍ: لمالها ولِحَسَبها ولِجَمَالها وَلدينها: فَاظْفَرْ بذاتِ الدِّينِ تَربَتْ يَدَاكَ
“Dikahwini perempuan itu kerana empat perkara: kerana hartanya, kedudukannya, kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah kerana agama lantaran ia akan membahagiakanmu.” (Muttafaqun A’laihi)

Rumahtangga yang dibina bertiangkan taqwa kepada Allah, berlantaikan syariat, beratapkan ilmu, berdindingkan syiar dan bertanggakan akhlak Islam adalah sebuah rumahtangga yang menepati piawaian yang dikehendaki oleh Nabi sallallahu’alaihi wasallam. Perabot utama kepada rumahtangga pejuang Islam ialah kepercayaan antara satu sama lain, kasih sayang yang sentiasa mekar dan bersemi cinta kerana Allah. Motto pembentukan rumahtangga pejuang ialah “Sakinah” (tenang), “Mawaddah” (cinta) dan “Rahmah” (kasih) berasaskan firman Allah :-
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan keagungan-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu tenang hati dengannya dan Ia menjadikan di antara kamu perasaan cinta dan kasih. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi golongan yang berfikir.” (Surah al-Ruum : ayat 21)

Jangan Bina Rumahtangga di Lembah Dosa

Seorang pejuang jangan sekali-kali terjebak dalam perkara dosa sewaktu berusaha membina rumahtangga. Tidak kira pasangan muda-mudi yang belum berkahwin atau orang dewasa yang merancang perkahwinan kedua. Mereka mesti mengetahui batas-batas syariat dalam pergaulan dan hubungan yang melibatkan lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Harus disedari bahawa Islam bukan sahaja mengharamkan perbuatan berdua-duaan tetapi juga mengharamkan perbuatan, tulisan, perkataan yang membangkitkan nafsu liar diluar batas perkahwinan. Demikian juga Islam tidak hanya membataskan aurat anggota badan pada kaum wanita dan lelaki tetapi Islam juga menghadkan keperluan interaksi serta komunikasi yang melibatkan lelaki dan perempuan yang bukan mahram justeru ia mencetus fitnah.

Feqh pelaksanaan amal Islami dalam kehidupan seorang pejuang Islam sudah tentu berbeza dengan orang awam apatah lagi berbanding dengan manusia fasiq yang sering bergelumang dalam dosa dan noda. Usahkan pada hukum yang jelas maksiat dan mungkar, hanya pada perkara biasa seperti minum berdiri di khalayak dengan lagak seorang samseng dan bengis sudah tentu amat tidak wajar dilakukan oleh seorang pejuang Islam yang telah dihiasi dengan akhlak Islam.

Rumahtangga yang terbina di tebing noda dan lembah dosa tentu sahaja tidak berkat dan tiada rahmat dari Allah. Rumahtangga sedemikian tidak akan mencapai ketenangan dan cinta kasih yang diharapkan. Malah ia berpotensi menjadi igauan ngeri bagi pasangan rumahtangga tersebut. Impian Rumahku Syurgaku hanya tinggal kenangan sebaliknya rumah mereka akan dirundung malang yang bertimpa-timpa.

Rumahtangga Sebagai Markaz Dakwah

Pejuang Islam tentunya akan mewaqafkan diri dan rumahtangganya untuk Islam. Bahkan pembinaan rumahtangganya juga adalah sebahagian daripada usaha para pejuang untuk menyempurnakan perjuangan Islam yang didukung. Lantaran Islam tidak menggalakkan pembujangan, sebaliknya pemuda-pemudi Islam digesa berkahwin untuk menyempurnakan urusan hidup, ibadah dan perjuangan mereka. Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam telah bersabda :-
يا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ البَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ، وَأَحْصَنُ لِلْفَرجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِيعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ، فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
“Wahai pemuda! Barangsiapa yang mampu dari kalangan kamu maka hendaklah ia berkahwin maka sesungguhnya perkahwinan menundukkan pandangan dan memelihara faraj. Barangsiapa yang tidak mampu berkahwin, maka hendaklah ia berpuasa" sesungguhnya puasa itu adalah perisai.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rumahtangga yang dibina adalah menjadi markaz pertama para pejuang untuk menyusun langkah dan mengendali kehidupan dengan lebih teratur dan sistematik berbekalkan ketenangan jiwa yang dianugerahkan oleh Allah melalui institusi perkahwinan tersebut. Markaz pertama ini berfungsi untuk menyediakan persiapan awal para pejuang sebelum turun ke medan dakwah sekaligus melahirkan tunas-tunas pejuang yang soleh guna mewarisi perjuangan Islam agar terus berkesinambungan disepanjang zaman.

Persiapan awal yang dimaksudkan adalah melibatkan persediaan ruhiyah (spiritual), fikriyah (mental) dan syakhsiyah (jatidiri) seorang pejuang itu sendiri. Malah turut melibatkan persediaan dari aspek disiplin dan pengurusan hidup.

Rumahku Syurgaku

Kita biasa mendengar ungkapan “Baiti Jannati” atau “Rumahku Syurgaku” yang pastinya menjadi idaman setiap insan. Namun ianya tidak mudah dipraktis melainkan kita mempunyai kesungguhan, kekuatan dan kesabaran yang tinggi bermodalkan kefahaman dan ilmu Islam yang mantap.

Rumahku Syurgaku mempunyai objektif tersendiri. Kejayaan membina Rumahku Syurgaku adalah diukur sejauh mana kita mencapai objektifnya. Objektif ini pula adalah manifestasi daripada tiga (3) matlamat utama pembentukan institusi rumahtangga yang telah digariskan oleh Allah dalam surah al-Ruum ayat 21, iaitu :-
  1. Sakinah / سكينة  (tenang)
  2. Mawaddah / مودّة (cinta)
  3. Rahmah / رحمة (kasih)
Objektif “Rumahku Syurgaku” adalah sebagaimana butiran berikut :-
  1. Mendirikan rumahtangga atas dasar taqwa dan kesinambungan perjuangan serta dakwah Islamiyah. Jangan bina atas kepentingan lain seperti harta, pengaruh, rupa paras, nafsu syahwat dan kedudukan duniawi.
  2. Menghiasi rumahtangga dengan bi’ah (persekitaran) Islamiyah. Jangan izinkan maksiat dan mungkar bersarang dalam rumahtangga yang dibina.
  3. Mengisi rumahtangga dengan pengisian ruhiyah (spiritual), fikriyah (pemikiran) dan syakhsiyah (akhlak) berteraskan Islam yang syumul. Jangan jadikan rumahtangga seperti kubur yang sunyi tanpa aktiviti amal Islami.
  4. Rumahtangga sebagai Markaz Dakwah yang merencana orientasi dan gerakkerja melalui perbincangan dan penglibatan bersama seisi keluarga di arena dakwah sekaligus mengkaderkan anak-anak supaya menjadi pejuang. Jangan benarkan seorang pun anggota keluarga memisah diri dari suasana perjuangan.
  5. Mewujudkan budaya Tanasuh (nasihat menasihati) dan Tafahum (saling memahami) dalam mendepani apa jua situasi rumahtangga. Jangan terlalu emosi apatah lagi menggunakan kekerasan seperti memukul isteri dan mengherdik menggunakan bahasa yang kasar dan kesat.
  6. Melaksanakan tanggungjawab dan menunaikan hak isi keluarga (suami, isteri dan anak). Jangan abaikan tanggungjawab seperti nafkah zahir dan batin jua jangan rampas hak yang wajib ditunai terhadap keluarga seperti hak mendapat perhatian, kasih sayang dan perlindungan.
  7. Menangani permasalahan rumahtangga yang melanda secara matang dan harmoni. Jangan buat keputusan terburu-buru dan emosi seperti cepat menjatuhkan talak atau suka meminta cerai.
  8. Menghindari 1001 anasir negatif seperti buruk sangka, fitnah dan sebagainya. Jangan izinkan anasir yang merosakkan kedamaian rumahtangga seperti hilang thiqah (kepercayaan) kepada pasangan tumbuh dan berbunga di laman rumahtangga kita.
  9. Pengurusan ekonomi yang stabil dan kreatif menambah sumber kewangan untuk keluarga dan dakwah Islam. Jangan malas berdikari untuk mencari rezeki pula malas berfikir untuk merancang kebahagiaan masa depan keluarga.
  10. Melibatkan diri dengan Amal Jamaei (aktiviti berjamaah) dan Amal Ijtimaei (aktiviti bermasyarakat). Jangan jadi kera sumbang tanpa penglibatan aktif dalam amal Jamaei seperti menghadiri usrah, tamrin, liqa fikri, dakwah fardiah, majlis ilmu dan sebagainya.
Keluarga Sakinah

Ketenangan atau sakinah dalam rumahtangga banyak bergantung kepada keharmonian dan kebahagiaan yang berjaya dicipta. Sementara keharmonian dan kebahagiaan itu pula terhasil dari pasangan yang saling percaya mempercayai, cinta mencintai dan faham memahami antara satu sama lain. Kekayaan dan kemewahan tidak boleh menjamin kebahagiaan. Kebahagiaan bukan nilai tukaran semasa dengan material. Kebahagiaan adalah anugerah Allah yang dikurnia kepada mereka yang menepati objektif “Rumahku Syurgaku”.

Seorang pejuang yang hebat adalah pejuang yang memiliki keluarga sakinah. Keluarganya menjadi markaz atau pusat tarbiyah yang akan membekalkan “energy” dan motivasi perjuangan. Ia akan lebih bertenaga dan hebat di medan juang. Benarlah kata hukama’, “Mujahid yang hebat di medan, di belakangnya Mujahidah yang gigih berperanan...”

Para pejuang Islam mesti menginsafi betapa perlunya keluarga sakinah dalam kehidupan mereka. Setelah lesu anggota beraksi dan tepu otak berfikir, maka keluarga sakinah ini akan menjadi destinasi berlabuh. Ia bagai sebuah dermaga damai dan indah untuk mengumpul kembali tenaga dan daya fikir. Isteri penyayang menanti di pintu rumah dengan penuh beradab dan menyambut kepulangan seorang pejuang dengan penuh rindu. Ia menjadi protokol rutin keluarga sakinah. Anak-anak riang lantas menerpa ke arah ayahnya sang pejuang dengan kegembiraan yang bukan kepalang.

Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam pernah ditanya, bagaimana isteri yang solehah?

Jawab Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam :-
التي تَسُرُّهُ إذا نَظَرَ و تُطِيْعُهُ إذا أَمَرَ و لا تُخاَلِفُه فيما يَكْرَهُ في نَفْسِها و مَالِهِ
“(Isteri) yang menyenangkan dia apabila memandang (kepada isterinya) dan yang mentaatinya apabila dia menyuruh (isterinya) dan dia tidak menyanggahi suaminya dengan melakukan perkara yang dibenci di dalam dirinya (isteri) dan harta suaminya.” (Riwayat Imam Ahmad)

Saban hari suami ke medan juang, perginya diiringi doa munajat penuh redha dan percaya, sementara pulangnya disambut dengan peluk cium penuh kasih dari isteri yang solehah demi berkongsi pahala perjuangan. Isteri seorang pejuang bagai “the first secretaries” tanpa jemu dan lelah membantu mengurus keceriaan di rumah, menyelenggara pembesaran dan pendidikan anak-anak serta mengendali amanah keluarga dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.

Suami pula tidak mempersia-siakan keadaan. Fokus memacu perjuangan Islam dengan penuh optimis dan semangat. Menghargai kepercayaan isteri dan pengorbanannya. Berhari-hari bahkan berminggu-minggu di tengah medan perjuangan, biarpun sibuk dan sukar bagaimana sekalipun, tanggungjawab dan keperihatinan terhadap anak dan isteri dirumah tidak pernah dialpakan. Memanafaatkan teknologi komunikasi untuk bertanya khabar anak isteri dan melepaskan kerinduan mereka di rumah, tika jauh musafir ke tengah medan dakwah lalu menitipkan buah tangan biarpun tidak seberapa buat anak dan isteri tika menjengah pulang.

Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam telah bersabda :-
أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا , وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِكُم
“Orang beriman yang paling sempurna imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya dari kalangan mereka dan orang yang paling baik dari kalangan kamu ialah orang yang paling baik melayani isteri mereka.” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Hibban)

Virus Perosak Keluarga Sakinah

Ketenangan dan kedamaian keluarga pejuang boleh bergoncang dan mungkin retak lalu berakhir dengan belah dan pecah apabila virus perosak berjaya menembusi dinding rumahnya. Justeru itu, sangat wajar buat sang pejuang memasang “firewall” pada keluarganya serta mampu untuk “detect” dan “remove” virus perosak yang menyerang. Jenis-jenis virus itu antaranya ialah :-
  1. Hilang Kepercayaan
  2. Benih Maksiat dan Mungkar
  3. Tiada Tolak Ansur

Hilang kepercayaan adalah virus yang paling merbahaya. Sukar dikesan dan sangat cepat merosakkan sel-sel kebahagian rumahtangga kita. Tanpa cegahan awal, struktur utama rumahtangga boleh lumpuh dan runtuh. Justeru selayaknya seorang pejuang mengemudi bahtera kehidupan berkeluarga ini dengan bijak dan matang. Pastikan keluarga pejuang dibentengi kebahagiaan dan keharmoniannya dengan “firewall” yang berkesan :
  1. Kenali pasangan secara mendalam
  2. Amalkan sikap berterus terang
  3. Selidik maklumat yang diterima
  4. Jangan layan fitnah liar
  5. Berlapang dada
  6. Banyak berbincang
  7. Suburkan kasih sayang
  8. Jangan khianati kepercayaan
Keluarga seorang pejuang mesti bebas daripada sebarang benih maksiat dan mungkar. Andai tumbuh benih-benih maksiat dan mungkar di dalam rumahtangganya, maka hilanglah keberkatan dan redha Allah. Bukan sahaja pasangan dan anak-anak tetapi juga mesti bermula dari diri sendiri. Jadikan rumahtangga yang dibina laksana sebuah masjid yang di-imarah dengan pelbagai aktiviti amal Islami yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selayaknya rumahtangga seorang pejuang tidak dijadikan seperti kelab malam untuk berhibur sepanjang masa dengan hiburan yang bertentangan dengan syariat, bertukar ganti pasangan, rumah menjadi tempat singgah sekadar melepaskan nafsu tanpa tanggungjawab.

Struktur Keluarga Haraki tidak boleh menjadikan isteri seolah-olah “perempuan simpanan” sebagaimana suami pula seolah-olah “sugar daddy”. Keluarga Haraki adalah sebuah institusi yang diperkukuh dengan syariat Islam dan diperkaya dengan syiar Islam yang mulia dan terpuji.

Virus seterusnya ialah hilang tolak ansur. Lagikan lidah tergigit, inikan pula suami isteri. Khilaf, berbeza pandangan, salah faham dan sebagainya mungkin boleh berlaku pada bila-bila masa. Penting bagi pasangan suami isteri untuk bertolak ansur dalam menghadapi karenah hidup berumahtangga.

Terima kelemahan pasangan kita sebagaimana kita menerima kelebihan yang ada padanya. Sentiasa fikir positif mengenainya dan mudah memaafkan kesalahan yang dilakukan terutama pada kesalahan kecil dan tidak disengajakan. Jangan mudah memperbesarkan perkara kecil dan jangan mendedahkan masaalah rumahtangga kecuali pada pihak yang berkenaan untuk tujuan penyelesaian.

Ketua keluarga berstatus suami, pula seorang pejuang selayaknya melayani isteri dengan sebaiknya. Tidaklah hebat seorang suami menyelesaikan masalah dengan memukul isterinya sedang ia seorang perempuan yang lemah. Sebaliknya suami sebegitu adalah lelaki pengecut dan tidak bertanggungjawab. Justeru tanggungjawab suami ialah melindungi isteri bukan menyakitinya. Sabda Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam :-
تُطْعِمُها إذا أَكَلْتَ و تَكْسُوْها إذا اكْتَسَبْتَ و لا تَضْرِبِ الْوَجْهَ و لا تُقَبِّحْ و لا تَهْجُرْ إِلّاَ في الْبَيْتِ
“Engkau berilah makan kepadanya (isteri) apabila engkau makan dan berikan pakaian kepadanya apabila engkau berpakaian dan jangan engkau pukul wajahnya dan jangan engkau perlekehkannya dan jangan engkau menjauhinya melainkan di dalam rumah (jika berlaku nusyuz).” (Riwayat Ahmad, Abi Daud dan al-Nasa’ie

Isteri sebagai  sumber sakinah (ketenangan) dengan layanan mesra dan mendamaikan suami setelah penat dan lelah berjuang di medan. Jangan sekali-kali meninggikan suara dihadapan suami, menghilangkan seri rumahtangga dengan bebelan dan mencemek wajah yang meresahkan hati suami. Sabda Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam :-
خَيْرُ النِّسَاءِ إِذَا نَظَرْتَ إِلَيْهَا سَرَّتْكَ وَإِذَا أَمَرْتَهَا أَطَاعَتْكَ، وَإِذَا غِبْتَ عَنْهَا حَفِظَتْكَ فِي مَالِكَ وَنَفْسِهَا
“Sebaik-baik wanita ialah apabila engkau memandang ke arahnya, ia menyenangkanmu dan jika engkau menyuruhnya ia mentaatimu dan jika engkau tinggalkannya ia menjaga hartamu dan dirinya.” (Riwayat Abi Daud)

Aktif di Medan Amal Islami

Keluarga Haraki ialah sebuah keluarga yang seluruh anggotanya berjuang dan aktif melaksanakan aktiviti amal Islami bersama gerakan Islam. Malah sebagaimana yang telah ditegaskan pada awalnya bahawa rumahtangga atau keluarga haraki adalah markaz pertama untuk mengkaderkan tenaga juang yang soleh peribadi, mantap fikrah dan kental aqidahnya. 

Firman Allah :-
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagiannya menjadi penolong bagi sebahagian yang lain; mereka berjuang menegakkan yang makruf (syariat) dan mencegah kemungkaran; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (surah al-Taubah : ayat 71)

Ertinya suami, isteri dan anak-anak mesti mempunyai penglibatan dengan gerakan Islam berasaskan feqh perjuangan (jihad) yang telah ditetapkan oleh Islam. Jangan hanya encik suami sahaja ke hulu dan ke hilir berdakwah dan berjuang untuk menegakkan Islam, sementara puan isteri diperap dalam rumah dan berteleku di hadapan skrin tv melayani agenda astro dengan pelbagai channelnya.

Puan Isteri jua sedemikian. Jangan lincah di medan tetapi encik suami pula dipacak dalam rumah bagai menara pemancar yang kemudiannya di-remote control pada jarak jauh.

Anak-anak pejuang pula mesti dilatih penyertaan mereka bersama amal Islami. Bebaskan mereka dari pengaruh gajet dan aneka game yang memenjara mereka tanpa interaksi dengan dunia luar. Sebaliknya bina fikrah dan dedahkan mereka agar terlibat di lapangan dakwah dan perjuangan Islam yang mulia ini.

Paling penting dalam mengurus keluarga haraki agar aktif berjuang ialah pengurusan masa dan jadual penglibatan. Memahami bahawa urusan dalaman rumahtangga perlu diselia dengan baik dan sempurna maka schedule penglibatan di pentas perjuangan mestilah disusun dengan teratur dan seimbang. Jangan pula keaktifan kita di medan juang membuatkan tanggungjawab dan perhatian pada rumahtangga terabai atau tidak sempurna. Begitu jua sebaliknya, jangan sampai kita tidak memperuntukan masa bagi bersama dengan jamaah dan berbakti kepada ummah serta memimpin dan mendidik mereka bersama Islam dan syariatnya.

Tidak dinafikan betapa ia adalah suatu yang sukar namun inilah cabaran yang terpaksa ditangani oleh pejuang. Rumahtangga pejuang mesti menjadi qudwah dan uswah (teladan) kepada pihak lain. Malah sayugia diamati oleh pejuang agar rumahtangganya tidak menjadi fitnah kepada diri, jamaah dan agama.

Tatkala kita mewaqafkan diri dan keluarga untuk perjuangan Islam. Maka diri dan keluarga bukan lagi milik kita, sebaliknya ia adalah milik Islam. Anggota keluarga haraki mesti siap sedia pada bila-bila masa untuk memenuhi tuntutan dan melengkapkan keperluan gerakan Islam tanpa syarat.

Tugas ini berat namun menjadi ringan apabila semua pihak saling memahami. Encik suami mesti faham bahawa, adakalanya ia terpaksa membantu tugasan di rumah, mengurus anak dan menghantar puan isteri ke medan juang sebagaimana puan isteri sentiasa sabar menahan rindu, menanggung beban kerja rumah dan memahami kerapnya ketiadaan encik suami di sisi kerana tanggungjawab perjuangan di medan.

Memahami Feqh Perjuangan Satu Kewajipan

Setiap individu muslim wajib berjuang bagi mempertahankan Islam dan mendaulatkannya di atas tanahair tercinta ini. Firman Allah :-
انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Berangkatlah kamu (untuk berjuang pada jalan Allah), sama ada dalam  keadaan ringan (mudah) ataupun dalam keadaan berat (sukar); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (surah al-Taubah : ayat 41)

Keluarga haraki sayugianya mempraktiskan perintah Allah dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran. Tiada lagi alasan dan helah melepaskan diri dari kewajipan perjuangan. Semua komponen keluarga haraki yang terdiri daripada suami, isteri dan anak mesti memberi intima’ (penglibatan) kepada gerakan Islam. Namun pada masa yang sama, perjuangan ini mestilah diurus dengan ilmu dan feqhnya yang betul.

Noktah pertama, kita mesti bertolak dengan ilmu yang mantap supaya kita tidak melakukan sesuatu dengan cara yang tidak betul termasuklah perjuangan. Perjuangan juga mempunyai feqhnya yang tersendiri. Lantaran itu kaedah yang kita guna pakai dalam perjuangan Islam ini antaranya ialah :-
الغَايَةُ لا تُبَرِّرُ الْوَسيلَة
“Matlamat tidak menghalalkan cara.”

Sebagai contoh, seorang pejuang yang meninggalkan keluarganya untuk turun ke medan juang mestilah terlebih dahulu meninggalkan nafqah atau perbelanjaan yang mencukupi bagi sepanjang tempoh ia berada di medan. Jangan sampai anak isteri terpaksa menadah tangan mengemis ke sana kemari untuk mencari sesuap nasi, sedang suaminya berjihad di medan. Termasuklah soal keselamatan. Pejuang mesti memastikan terlebih dahulu keadaan isteri dan anak dalam keadaan selamat sebelum ditinggal pergi. Meskipun perginya seorang pejuang ke medan adalah urusan jihad, namun ia tidak boleh mengabaikan keselamatan isteri dan anaknya.

Setelah langkah ikhtiar diambil sebaik mungkin, maka barulah bertawakkal kepada Allah. Firman Allah :-
 فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ
“Apabila engkau telah berazam (dengan segala ikhtiar yang dilakukan) maka bertawakkal lah kepada Allah...” (surah Aali-Imran : ayat 159)

Seperkara lagi, suami juga tidak boleh terlalu lama meninggalkan isteri kesepian di rumah meskipun atas urusan jihad. Diriwayatkan dari Zaid bin Aslam dari Umar al-Khattab bahawa ketika beliau meronda negerinya di waktu malam, beliau terdengar rintihan seorang perempuan :-
تَطَاوَلَ هَذَا اللَّيْلُ وَاسْوَدَّ جَانِبُهْ
وَطَالَ عَلَى أَلاَّ خَلِيلَ أُلاَعِبُهْ
فَوَاللهِ لَوْلاَ خَشْيَةُ اللهِ وَحْدَهُ
لَحُرِّكَ مِنْ هَذَا السَّرِيرِ جَوَانِبُهْ
“Malam ini benar benar terasa panjang dan sebahagiannya telah berlalu begitu saja. Kesepian tiada kekasih untuk bercanda ria. Demi Allah, jika tidak kerana takut kepada Allah yang Maha Esa. Nescaya tepian ranjang ini akan bergegar...”

Lalu Saidina Umar menghampiri wanita seraya bertanya kemanakah suamimu? Lantas ia menjawab, “...ia telah lama pergi berperang di jalan Allah.”

Saidina Umar pulang ke rumah dan bertanya kepada puterinya Saydatina Hafsah, “berapa lamakah seorang perempuan boleh menahan dirinya dari melakukan hubungan asmara (setubuh) dengan suaminya?”

Hafsah menjawab, “4 bulan, lebih daripada itu kesabarannya akan berakhir atau hanya tinggal sedikit...”

Sejak itu, Saidina Umar sebagai ketua negara menetapkan peraturan bahawa seorang pejuang hanya boleh berpergian ke medan jihad tidak melebih 4 bulan. Kemudiannya pejuang itu wajib pulang mendapatkan isterinya yang kesepian dan memerlukan sentuhan suaminya yang dicintai.

Justeru keluarga haraki mesti bijak mengurus dan merencana antara urusan perjuangan, dakwah dan aktiviti amal Islami di medan dengan rumahtangga dan ahli keluarga. Jangan sampai kita sibuk berdakwah ke hulu dan ke hilir mengajak masyarakat kembali kepada Islam, rumahtangga sendiri hilang seri, huru hara dan terabai. Pendidikan anak-anak terabai lalu pelajarannya merosot dan gagal. Rumah bagaikan tongkang pecah, seluar dan baju dalam tersidai di kerusi ruang tamu, pinggan gelas berselerak tidak ubah seperti stor barang terpakai. Kononnya sibuk berjuang dan mengurus urusan ummah, malangnya urusan rumah sendiri failed. Situasi ini menjadi fitnah kepada jamaah dan perjuangan Islam.

Islam mementingkan disiplin. Begitulah selayaknya pejuang Islam. Mempunyai disiplin yang tinggi. Utamakan kebersihan, kekemasan, keceriaan, ketenangan dan kebahagiaan rumahtangga, nescaya kelak ia akan membekalkan energy dalaman buat seorang pejuang untuk beraksi di medan. Ceria di rumah maka bersemangatlah ia di medan juang. Kusut di rumah jawabnya sugul lah ia di medan juang. Akhirnya, sentuhan perjuangan menjadi hambar, strategi perjuangannya tumpul malah tindakannya serba tidak menjadi.

Bagi mujahidah (pejuang wanita) pula terdapat feqh perjuangan tersendiri yang mesti dipatuhi. Antaranya, seorang isteri sebelum siap turun ke medan juang sedang ia terpaksa keluar dari rumahnya, maka pada asasnya terlebih dahulu ia perlu mendapatkan izin dari suaminya (kecuali dalam keadaan yang sangat mendesak di mana tenaga muslimah sangat diperlukan pada waktu itu untuk kesinambungan perjuangan Islam atau suasana yang kritikal dan huru hara seperti negara sedang diserang oleh musuh).

Selayaknya pula, encik suami mengizinkan isterinya melibatkan diri dengan perjuangan Islam dan aktiviti amal Islami justeru telah dipertegaskan berulangkali bahawa perjuangan adalah satu kewajipan yang mesti ditunai oleh semua. Sabda Nabi sallallahu’alaihi wasallam :-
إذَا اسْتَأْذَنَكُم نِسَاؤُكُمْ بِاللّيْلِ إلَى الْمَسْجِدِ فَأْذَنُوْا لَهُنَّ
“Apabila isteri kamu meminta izin kepada kamu pada malam hari untuk pergi ke masjid, maka izinkanlah mereka.” (Riwayat al-Bukhari)

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah telah menaqalkan ucapan Imam Nawawi rahimahullah, “berdasarkan hadis ini, diambil dalil bahawa isteri tidak boleh keluar dari rumah suaminya kecuali dengan izin suami, kerana perintah untuk memberi izin tersebut ditujukan kepada para suami.” (Rujuk Fathul Bari, 3/266)

Inilah asas kenapa kita menegaskan bahawa pembentukan rumahtangga haraki mementingkan pasangan yang saling memahami dan memiliki fikrah Islam yang syumul. Ia adalah supaya kerja Amal Islami ini tidak tergendala.

Mahram Sebagai Pengiring

Seorang muslimah pasti mengetahui betapa tingginya nilai maruah dan kehormatan mereka sebagai seorang pejuang. Tidak mungkin Islam membiarkan para mujahidahnya turun ke medan yang ganas dan berisiko tinggi tanpa memelihara maruah dan kemuliaan dirinya. Islam mensyariatkan mahram bagi menemani dan mengiringi mujahidah beraksi.

Sejurus mendapat izin dari encik suami yang memahami betapa perjuangan ini memerlukan penyertaan dan pengorbanan isterinya, maka mujahidah ini mesti merancang siapakah mahram yang perlu dibawa untuk mengiringinya ke medan. Terlebih afdhal ia diiringi oleh encik suami, namun jika encik suami berhalangan, maka penyertaan mahram yang lain diperlukan. Nabi sallallahu’alaihi wasallam berkhutbah :-
لا يَخْلُونَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إلاَّ وَمَعَهَا ذُوْ مَحْرَمٍ، ولا تُسَافِر ُالْمَرْأَةُ إلاَّ مَعَ ذِيْ مَحْرَمٍ. فقام رجلٌ فقال : يا رسولَ اللهِ إنَّ امْرَأَتِي خَرَجَتْ حَاجَّة، وأنِّي اكْتُتِبْتُ في غَزْوَةِ كذا وكذا. قال : اِنْطَلِقْ فَحُجَّ مَعَ امْرَأَتِك
“Janganlah berdua-duaan lelaki dan perempuan kecuali bersamanya mahram, jangan bermusafir seorang wanita kecuali ditemani mahramnya. Lalu bangun seorang lelaki lantas bertanya, Ya Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam sesungguhnya isteriku telah keluar untuk mengerjakan ibadah haji sedang aku telah disenaraikan di medan perang begitu dan begini. Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam bersabda : berangkatlah kamu dan tunaikan ibadah haji bersama isterimu.” (Muttafaqun Alaihi)

Andai tiada mahram dari kalangan lelaki, maka sekurang-kurangnya 2 orang muslimah diperlukan bagi menggantikan tempat mahram lelaki. Bagi muslimah yang terlibat aktif dengan gerakan Islam, tidak selayaknya menganggap ini sebagai kesukaran. Sebagaimana kita boleh mengatur jentera muslimah turun ke berdakwah dan menjalankan gerak kerja amal jamaei, kenapa sukar bagi mujahidah mencari team atau pasukan yang sedia membantunya turun ke medan.

Amal Nisa’, Skuad Khas Muslimah atau Briged Amal Muslimah atau apa jua nama boleh dibentuk dalam sayap perjuangan muslimah bagi mengatasi masalah mahram kepada pejuang-pejuang muslimah yang turun ke medan. Sangat tidak manis, malah terdedah kepada fitnah dan bahaya yang tidak dijangka bagi muslimah yang ke hulu dan ke hilir berjuang berseorangan tanpa mahram menempuh perjalanan yang jauh dan kadangkala terpaksa meredah gelap malam. Tambahan mutaakhir ini, situasi negara kita sangat terdedah kepada jenayah dan mungkar. Perjalanannya bukan sahaja tidak selamat, bahkan dalam situasi begini, ianya tidak direstui syariat.

Berbeza situasi yang hanya melibatkan perjalanan yang dekat, pula diyakini selamat seperti menghadiri markaz dalam kampung yang jaraknya hanya berselang 4 atau 5 buah rumah, maka tidaklah syariat Islam mengetatkan hukum mahram ke atas mujahidah yang mahu menjalankan tanggungjawab perjuangannya. Namun, izin suami tetap diperlukan kerana bimbang ketika itu, isteri diperlukan oleh suami sementelah suami baru pulang dari musafir yang jauh. Usahkan keluar dari rumah, berpuasa sahaja perlu mendapatkan izin dari suaminya. Sabda Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam :-
لا يَحِلُّ لِلْمَرْأَةِ أَنْ تَصُومَ وَزَوْجُهَا شَاهِدٌ إِلا بِإِذْنِهِ
“Tidak halal bagi wanita berpuasa (puasa sunat) sedang suami ada bersamanya melainkan dengan izin suami.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Keluarga Haraki Asas Kekuatan Gerakan Islam

Kekuatan sebuah gerakan Islam banyak bergantung kepada kualiti anggotanya. Sama ada pemimpin atau ahli biasa, mereka adalah anggota yang bertanggungjawab untuk memastikan gerakan Islam ini mempunyai energy yang tinggi mendepani ganasnya cabaran yang dihadapkan oleh musuh Islam dan bonekanya.

Anggota gerakan Islam juga bertanggungjawab penuh bagi mengukuhkan benteng dalamannya dari pelbagai rupa virus yang boleh melumpuhkan organ dalaman perjuangan ini. Selain daripada aneka aktiviti dalaman gerakan Islam untuk mentarbiyah dan membentuk anggotanya, keluarga haraki bagaikan kilang yang melahirkan tunas-tunas baru perjuangan. Berfungsi sebagai mata rantai perjuangan dan meneruskan kesinambungannya

“Rumahtangga Haraki” sangat berbeza “pattern”nya dengan rumahtangga biasa. Lagi bertambah jauh dengan rumahtangga yang huru-hara dan tunggang terbalik atau kacau bilau dengan pertelagahan, curiga mencurigai antara satu sama lain, pukul sana, maki sini, menjerit jerit saban ketika dan sebagainya.

Rumahtangga haraki adalah sebuah rumah bertanggakan perjuangan Islam. Orientasinya adalah perjuangan Islam. Persekitarannya juga adalah perjuangan Islam. Justeru itu, matlamat pembentukan keluarga haraki, objektif dan hala tujunya juga adalah berpaksikan perjuangan Islam.

Perjuangan Islam memerlukan pejuang yang faham, ikhlas, berilmu, sanggup berkorban untuk Islam, kental mendepani cabaran, fizikal yang mampu merealisasikan  aktiviti amal Islami, aktif dan mempunyai wibawa kepimpinan yang hebat. Ertinya, keluarga haraki mesti memenuhi kriteria tersebut.

Biodata Penulis

YB Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan ahli Parlimen Temerloh (P.88). Ketua Lajnah Penerangan PAS Pusat sesi 2015-2017. Mantan Ketua Pemuda PAS ini pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir.

  1 ulasan:

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews