Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Memaparkan catatan dengan label Sifat Mazmumah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sifat Mazmumah. Papar semua catatan

Sabtu, 12 Disember 2015

Ciri-Ciri Manusia Yang Cinta Dunia

Kehidupan di dunia hanya sementara dan hanya persinggahan. Kita tidak akan selamanya berada di atas dunia. Namun seiring dengan berputarnya waktu yang panjang terkadang membuat manusia lupa akan hakikat  kehidupan yang  sebenarnya. Kehidupan manusia di dunia ini pun tak lama, hanya lingkungan umur 60-70 tahun sahaja, kemudian kita semua akan mati dan ruh kita akan berpindah ke alam barzakh (kubur) dan seterusnya menuju Allah, hingga kita sampai pada hari akhirat  nanti.

Kita semua yakin bahwa alam akhirat itu ada, kerana itulah salah satu ciri orang yang beriman yang disebutkan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 4;
وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ
“Dan mereka yang beriman kepada kitab (al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-Kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya kehidupan akhirat.”

Dalam kehidupan dunia seperti sekarang ini, kita dihadapkan kepada berbagai-bagai macam cubaan termasuk di antaranya cubaan dunia. Memang suatu hal yang normal  jika manusia memiliki kecenderungan atau rasa cinta terhadap hal-hal duniawi. Allah berfirman dalam surah Aali-Imran ayat 14;
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ
“Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang terbaik.”

Setiap manusia memiliki cita-cita dalam kehidupannya. Mungkin di antara kita seringkali berfikir untuk menambah kekayaan, berfikir tentang keuntungan esok hari, berfikir masa depan anak-anak, berfikir mendapatkan jawatan, berfikir untuk masa depan yang sebenarnya singkat iaitu nikmat kehidupan di dunia.

Namun, janganlah kita lalai dari memikirkan dan bercita-cita untuk hari yang lebih jauh, hari-hari di kehidupan yang kekal iaitu kehidupan di akhirat. Setiap muslim hendaknya memikirkan bagaimana posisi imannya saat ini. Apakah yang telah kita siapkan bekal untuk menghadapi akhirat nanti?

Salah satu hal yang sangat membahayakan keimanan seorang muslim adalah cinta dunia. Bahaya cinta dunia sangatlah besar sehingga hal tersebut boleh menyebabkan seseorang menjual agamanya. 

Rasulullah saw bersabda;
بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِى كَافِرًا أَوْ يُمْسِى مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا
“Bersegeralah beramal soleh, sebelum datang fitnah-fitnah yang banyak. Seseorang di waktu pagi masih beriman, namun di petang hari dia kafir. Atau seseorang di petang hari dia beriman, dan di pagi hari dia kafir. Dia menjual agamanya dengan secebis kesenangan dunia.” (Riwayat Muslim)

Demikianlah situasi manusia di zaman sekarang, banyak dalil-dalil yang menjelaskan tentang bahayanya cinta dunia. Semoga Allah menyelamatkan kita dari penyakit “al-wahn” atau cinta dunia tersebut.  
Berikut adalah ciri-ciri orang yang terkena penyakit al-wahn;
  1. Tidak senang beribadah atau malas beribadah dan ketika beribadah dia melakukannya secara ekspres dan ingin cepat-cepat selesai. Lebih teruk lagi jika kesibukannya dengan urusan dunia menyebabkan dia lalai bahkan berani meninggalkan ibadah kepada Allah.
  2. Bakhil kerana khuatir jika akan bersedekah nanti akan mengurangi hartanya. Jika dia bersedekahpun dia masih mengharapkan kepentingan diri, publisiti serta populariti.
  3. Suka berdusta walaupun mengaku amanah.
  4. Khianat atau mungkir janji.
  5. Pengecut menyatakan kebenaran lebih teruk lagi jika dia berani mengorbankan agama dan imannya demi mendapatkan kenikmatan dunia.
  6. Tidak mahu beramar ma’ruf dan nahi munkar.
  7. Bermegah-megah dan berbangga dengan apa yang dimilikinya dan mengejek-ejek orang yang tidak mampu sepertinya.
Jika seseorang mencintai sesuatu, maka dia akan diperbudak oleh apa yang dicintainya. Jika orang sudah cinta dunia, maka akan datang berbagai penyakit hati. Ada yang menjadi sombong, dengki, serakah dan mengkhianati orang lain. Penyakit ini sememangnya telah menjadi kronik dalam kalangan umat Islam sekarang. Penyakit ini tiada dalam pengajian ilmu doktor sama ada lama mahupun moden. Penyakit ini disebut oleh Rasulullah saw lebih 14-kurun yang lalu.
يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ
“Nyaris-nyaris umat terdahulu (kalangan kafir) menyerbu kalian (orang beriman) seperti halnya orang-orang yang menyerbu hidangan. Seseorang berkata; Apakah karena sedikitnya kami waktu itu? Baginda bersabda; Bahkan kalian waktu itu ramai sekali, tetapi kamu seperti buih di atas air. Dan Allah mencabut rasa takut musuh-musuhmu terhadap kalian serta menjangkitkan di dalam hatimu penyakit al-wahn. Seseorang bertanya; Apakah wahn itu? Baginda menjawab; Cinta dunia dan takut mati.” (Riwayat Abi Dawud)

Apa yang dikesali ialah walaupun umat Islam boleh di anggap menang dari segi kuantiti tetapi kalah dari segi kualiti. Umum menyedari bahawa umat Islam di kebanyakan negara berada dalam situasi yang tidak boleh di banggakan. Lihat sahaja krisis yang melanda di kebanyakan negara umat Islam.

Realitinya umat Islam tidak saling bantu membantu bahkan bertelingkah antara satu sama lain. Salah satu daripada puncanya ialah kerana penyakit al-wahn. Kerana cintakan dunia maka tamak haloba menguasai umat Islam terutamanya di kalangan pemimpin mereka. Kerana bencikan kematian maka manusia lupa ibadat. Hati mereka hanya untuk hidup senang di dunia walaupun hakikatnya tidak sedemikian.

Maka kita tidak boleh bangga dengan ramainya bilangan kita. Kita mahu manusia seperti sahabat dalam Badar. Walaupun bilangan mereka kecil tetapi dapat mengalahkan musuh yang banyak. Mereka adalah manusia yang cintakan akhirat dan mencari syahid di medan jihad.

Ahad, 30 Ogos 2015

Ananiah


Ananiah berasal dari bahasa arab iaitu kata “ana” yang bererti “saya”. Adapun yang dimaksudkan dengan ananiah adalah sikap mementingkan diri sendiri atau ego atau ingin menang sendiri tanpa mempedulikan orang lain disekelilingnya. Sifat ini sangat tercela, dan membahayakan di dalam pergaulan masyarakat. Ananiah termasuk penyakit hati, apabila dibiarkan akan berkembang menjadi sombong, kikir, takabur yang diiringi sifat iri dan dengki. Sifat Ananiah akan mendatangkan kebinasaan bagi pemilik sifat tersebut dan termasuk sifat tercela yang harus dijauhi oleh setiap orang mukmin sebab dapat menjerumuskan manusia kepada sikap individualistik dan membuka jalan kepada sikap permusuhan dan kebencian di antara sesama manusia. Firman Allah;
وَلا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلا تَمْشِ فِي الأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (surah Luqman: 18)

Nabi Muhammad saw bersabda;
دَبَّ اِلَيْكُمْ دَاءُ الْاُمَمِ قَبْلَكُمْ الْبَغْضَاءُ وَالْحَسَدُ هِيَ حَالِقَةُ الدِّ يْنِ لاَحَالِقَةُ الشَّعْرِ
“Telah menimpa kepadamu suatu penyakit umat-umat sebelum kamu iaitu benci membenci dan dengki. Dialah pencukur agama, bukan pencukur rambut.” (riwayat al-Thabrani)

Semua penyakit, pasti mendatangkan bahaya. Sifat ananiah akan mendatangkan bahaya bagi dirinya sendiri dan orang lain. Bahaya ananiah bagi diri sendiri ialah dimurkai Allah, dijauhi kawan-kawan, menyeksa diri sendiri, orang lain enggan untuk menolongnya dan dibenci ramai orang. Bahaya ananiah bagi orang lain pula ialah haknya berkurangan dalam berkawan dan bergaul, hak orang lain untuk memperoleh bantuan akan berkurangan dan orang lain akan merasa tergganggu ketenteram dan keselesaan dalam hidupnya.

Cara untuk menghindari sifat ananiah ini ialah kita harus sedar bahawa ananiah akan berbahaya untuk dirinya sendiri dan orang lain. Ingatlah bahawa ananiah adalah penyakit hati, tiada seorang pun yang dapat menyembuhkan kecuali dirinya sendiri. Nabi saw bersabda;
اَلاَ وَاِنَّ فِى الْجَسَدِ مُضْغَةً اِذَا صَلُحَتْ صَلُحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَاِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ اَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ
“Ketahuilah, di dalam tubuh manusia ada segumpal daging. Apabila segumpal daging itu baik, baiklah tubuh seluruhnya, dan apabila daging itu rosak, rosaklah tubuh seluruhnya. Ketahuilah olehmu, bahawa segumpal daging itu adalah qalbu (hati).” (riwayat al-Bukhari)

Kita juga harus menyedari bahawa manusia mempunyai hak dan martabat yang sama, menyedari bahawa perbuatan ananiah termasuk perbuatan dosa dan kita perlu membiasakan diri untuk bersedekah.

Kerana pada dasarnya, manusia adalah makhluk yang selalu hidup berdampingan bersama dalam rangka untuk memenuhi keperluan hidupnya. Manusia tidak dapat memenuhi keperluannya sendiri, melainkan selalu mahu untuk bekerja sama dengan orang lain. Allah memerintahkan agar kita hidup untuk saling tolong-menolong dan memiliki ambil berat terhadap orang lain serta setiasa menyedari bahawa setiap manusia mempunyai kekurangan dan kelebihan masing-masing. Sebagaimana Firman Allah;
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبَرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.” (surah al-Maaidah: 2)

Sikap seperti ini sangat dilarang di dalam Islam kerana akan menimbulkan bibit-bibit perpecahan di kalangan umat manusia, hingga Nabi Muhammad saw bersabda;
أحب الناس إلى الله تعالى أنفعهم للناس
“Manusia yang paling disukai Allah ialah manusia yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain.” (riwayat Muslim)

Riwayat lain menyebut;
خير الناس أنفعهم للناس
“Manusia yang baik adalah yang bermanfaat kepada manusia yang lain.” (riwayat al-Thabrani)

Serta dalam hadith lain menyebutkan;
مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ، وَمَنْ لَمْ يُصْبِحْ وَيُمْسِ نَاصِحًا لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِكِتَابِهِ ولإِمَامِهِ ولِعَامَّةِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ
“Barangsiapa tidak mementingkan urusan umat islam, maka tidaklah ia termasuk dari golongan mereka itu. Dan barangsiapa yang dalam sehari-hari tidak berlaku jujur kepada Allah, kepada rasul-Nya, kepada kitab-Nya, kemudian kepada imam (pemimpin) mereka dan kaum Muslimin, tidaklah ia dari mereka.” (riwayat Muslim)

Sikap ananiah sangat tidak patut dimiliki oleh manusia kerana bertentangan dengan naluri manusia itu sendiri, akan tetapi realitinya di dunia ini masih sahaja ada orang yang memiliki sikap ananiah. Mereka tidak peduli terhadap orang lain bahkan orang lain dianggapnya hilang  dalam kehidupannya. Sifat ini juga sangat merugikan, baik dirinya sendiri mahupun orang lain seperti sahabat, rakan taulan yang lazimnya kehidupan sosial harus saling memahami, akan tetapi apabila salah satunya itu ego atau mementingkan diri dan yang lain turut takut menegurnya dan hanya berani bercakap di belakang, lalu timbul masalah dan ikatan sahabat itu hancur menjadi bermusuhan secara tidak langsung kerana ego kita tidak mempunyai kawan. Orang akan benci pada kita dan bahkan mungkin boleh membuat putusnya hubungan silaturrahim. Kerana itulah Islam melarang umatnya memiliki sifat dan perilaku ananiah. Islam menganjurkan untuk saling mengambil berat dan tolong menolong antara satu sama lain.

Setiap muslim harus mampu menghindari perilaku ananiah kerana ananiah adalah sikap yang tidak terpuji, dapat mendatangkan merbahaya dan petaka bagi diri sendiri dan juga orang lain. Perkara yang harus diperhatikan untuk menghindari perilaku ananiah dalam kehidupan seharian kita ialah tanamkan keimanan yang kuat agar tidak mudah tergoda oleh pujuk rayu syaitan yang selalu berusaha menjerumuskan manusia ke jurang kesalahan dan dosa. Banyakkan membaca dan belajar pelbagai ilmu pengetahuan, serta bergaullah dengan orang-orang yang bijak, banyak ilmunya, mulia akhlaknya, serta taat beribadah, sehingga kelak dapat meneladaninya dalam kehidupan sehari-hari. Hindari pergaulan dengan mereka yang memiliki sikap ego, suka mementingkan diri sendiri dan tidak memiliki ilmu yang cukup. Justeru, kita perlu hindari sikap ananiah itu mulai sekarang.

Biodata Penulis

Dr. Muhammad Faisal Ashaari merupakan pensyarah di Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Ahad, 16 Ogos 2015

Haru dan Ragu Penyimpangan Kaum Yahudi & Nasrani


Kaum Yahudi dan Nasrani sering mendakwa di hadapan Rasulullah sallallahualaihi wasallam dan kaum Muslimin bahawa Nabi Ibrahim alaihi salam adalah merupakan “team” atau kelompok mereka. Orang-orang Yahudi ber“andaian”, kalaulah Nabi Ibrahim alaihi salam masih hidup pasti dia akan bersama mengikut Yahudi, begitulah juga bagi orang-orang Nasrani yang turut menaruh andaian kalaulah Nabi Ibrahim alaihi salam masih hidup pasti dia akan bersama mengikuti jejak langkah Nasrani.

Allah menempelak dakwaan-dakwaan rapuh mereka di dalam Aali-Imran ayat 66-67 apabila potret kebodohan kaum Yahudi dan Nasrani ini turut menjadi ikutan oleh bangsa Arab jahiliyah;
هَاأَنتُمْ هَؤُلاء حَاجَجْتُمْ فِيمَا لَكُم بِهِ عِلْمٌ فَلِمَ تُحَاجُّونَ فِيمَا لَيْسَ لَكُم بِهِ عِلْمٌ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
“Ingatlah! Kamu ini orang-orang (bodoh), kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat), maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya.”
مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلاَ نَصْرَانِيًّا وَلَكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
“Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian (Nasrani), tetapi beliau seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.”

Arab jahiliyyah mencabar Rasulullah sallallahualaihi wasalam, sama seperti cabaran yang pernah dilakukan oleh kaum yang ragu Yahudi dan Nasrani. Mereka mendakwa di hadapan Rasulullah saw bahawa penyimpangan-penyimpangan mereka direstui oleh nenek moyang mereka di kalangan orang-orang soleh termasuklah Nabi Ibrahim alaihi salam, ketokohan Nabi Ibrahim alaihi salam sebagai bapa sekalian Rasul yg diimani oleh setiap penganut samawi dijadikan sandaran palsu demi meneruskan survival sesat dan fahaman politik thaghut. Tentulah malang jika potret sedemikian masih menghantui umat kita di zaman ini...

“Kalaulah al-marhum Dato Fadzil Noor masih hidup pasti jadi begini...”
“Kalaulah al-marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz masih hidup pasti tak jadi begini...”
“Kalaulah al-marhum fulan-fulan masih hidup pasti dia merestui kami...”


Konteksnya masih sama, justeru bertaubatlah kepada Allah yang memiliki pengetahuan di langit dan di bumi, yang terang mahupun yang tersembunyi.

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews