Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Memaparkan catatan dengan label Dunia Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dunia Islam. Papar semua catatan

Ahad, 4 Jun 2017

Islam Membangunkan Masyarakat Bertamadun

Tamadun secara harfi ertinya berada ditahap maju. Para pengkaji membahagikan tamadun kepada dua pengertian iaitu pengertian yang objektif dan pengertian yang subjektif. Pengertian yang objektif iaitu suatu himpunan fenomena kemajuan dalam bidang kesusasteraan, teknik, keilmuan dan undang-undang yang dipindahkan dari satu generasi ke satu generasi di dalam suatu masyarakat.

Pengertian yang subjektif bermaksud tamadun digambarkan sebagai satu peringkat perkembangan kehidupan yang tinggi, yang berlawanan dengan kehidupan liar atau ganas atau digambarkan kehidupan yang dapat atau hampir dapat mencapai ideal atau bentuk kehidupan yang tinggi yang hendak dicapai. Bentuk ideal kehidupan itu adalah subjektif sifatnya, bergantung kepada masa, tempat dan kepada nilai-nilai yang dianuti.

Sesuatu tamadun akan mengalami 3 peringkat iaitu:
  1. Peringkat kelahiran hingga mencapai peringkat puncak
  2. Peringkat beku dan menurun
  3. Peringkat keruntuhan dan kemusnahan
Ibn Khaldun menyatakan bahawa bangsa-bangsa dan peradaban mengalami naik turunnya  dalam bentuk pusingan. Titik-titik yang menghubungkan pusingan atau gliliran ini kerapkali terbayang dalam perangai dan tabiat para pemimpin atau penguasa dan juga tabiat dan perbuatan ahli masyarakat yang berkenaan.

Menurut Malik bin Nabi pula, tamadun peringkat kelahiran ditunjangi oleh idea keagamaan (fikrah diniyah) atau kerohanian dan ia bertemu puncak apabila kerohanian bercantum dengan akal. Kemudian tamadun itu akan menurun apabila unsur-unsur kerohanian sudah diketepikan. Tinggallah akan sendirian, tanpa bimbingan roh.

Kemudian ia akan sampai kepada peringkat kehancuran apabila roh dan akal tidak lagi memandu kehidupan manusia. Ketika itu, hawa nafsu menjadi tuhan, berlaku korupsi dalam pentadbiran, penipuan, rompakan dan berbagai kebejatan moral yang akhirnya mempercepatkan lagi kehancuran sesuatu tamadun itu.
 
Sumbangan Islam Kepada Tamadun Dunia

Sebelum tiba zaman Renaissance, Eropah dilanda zaman gelap (dark age). Maksud “dark age” ini ialah zaman masyarakat Eropah menghadapi kemunduran intelek dan kelembapan ilmu pengetahuan. Sementera masanya pula menurut “Encyclopedia Americana” ialah tempoh 1000 tahun, yang bermula antara zaman kejatuhan Kerajaan Rom dan berakhir dengan kebangkitan intelektual pada kurun ke-15 Masihi.

“Zaman Gelap” juga bermaksud tiada prospek yang jelas bagi masyarakat Eropah. Situasi ini wujud kerana tindakan dan cengkaman kuat pihak berkuasa agama; Gereja Kristian yang sangat berpengaruh. Gereja serta para paderi mengongkong pemikiran masyarakat daripada menerima hujjah-hujjah sains dan juga pemikiran politik. Mereka berpendapat hanya gereja sahaja yang berkelayakan untuk menentukan kehidupan, pemikiran, politik dan ilmu pengetahuan.

Akibatnya kaum cendekiawan yang terdiri daripada ahli-ahli sains berasa mereka ditekan dan dikawal oleh gereja. Pemikiran mereka ditolak. Sesiapa yang mengeluarkan teori yang bertentangan dengan pandangan gereja akan ditangkap dan didera malah ada yang dibunuh. Hal ini menyebabkan golongan-golongan cendekiawan sentiasa memberontak terhadap dan kongkongan gereja tersebut.

Pada kurun ke-12 M, gerakan intelek telah mula berjalan. Cerdik pandai Eropah mula bersikap lebih berminat untuk tahu dan lebih ghairah terhadap kebudayaan bangsa Timur (Timur Tengah) ialah masyarakat Islam yang telah lama maju walaupun dengan menjunjung sistem kepercayaan terhadap syariat agama. Beberapa kota besar Islam sangat terkenal di kalangan Barat sebagai kota ilmu pengetahuan seperti Iskandariah di Mesir, Baghdad di Iraq, Harran dan Antioch di Turki.

Diskusi akademik yang melibatkan tajuk besar seperti metafizik, perubatan, astronomi, etika (akhlak), politik, fizik dan seumpamanya dibahas secara terbuka dan akademik. Hal ini bermakna sewaktu Dunia Islam sudah menikmati tamadun yang tinggi dalam bidang keilmuan, Eropah masih diselimuti kegelapan dan kemunduran. Masyarakat dunia ketika itu telah diperlihatkan tentang betapa hebatnya perkembangan intelektual dan ilmu pengetahuan di negara-negara Islam antara kurun ke-9 M hingga ke-12 M.

Kawasan Islam yang dekat dengan Eropah ialah Sepanyol (Andalus). Di sini perkembangan intelek berlaku dengan pesat sehingga hal ini dibuktikan sendiri oleh Philip K Hitti dalam bukunya yang berjudul “The Arabs: A Short History”. Beliau menukilkan seperti berikut:

“Moslem Spain wrote one of the brightest chapters in the intellectual history of medieval Europe. Between the middle of the eighth and the beginning of the thirteenth centuries, the Arabic-speaking peoples were the main bearers of the torch of culture and civilization throughout the world, the medium through which ancient science and philosophy were recovered, supplemented and transmitted to make possible the renaissance of Western Europe.”

Banyak karya-karya berbahasa Arab diterjemahkan ke dalam bahasa Latin untuk Barat mendapatkan sumber ilmu daripada Islam. Antara penterjemah Barat, perintis daripada bahasa Arab ke bahasa Latin ialah Adelard of Bath (1090 - 1150) yang telah pergi ke Sepanyol dan kepulauan Sicily. Khidmat beliau yang terkemuka ialah bidang matematik apabila beliau menterjemahkan seluruh karya-karya al-Khawarizmi dan diperkenalkan kepada Barat. Proses penterjemahan pelbagai ilmu dari Timur khasnya di Sepanyol ini turut dibantu oleh kaum Yahudi kerana bahasa Arab adalah bahasa pertuturan rasmi mereka pada waktu itu. 

Malangnya, suasana sekarang ini apabila Amerika Syarikat menentang aktiviti keganasan (terrorisme), dalam banyak analisis di negara itu, sering kali gambaran yang dipaparkan ialah ia merupakan pertarungan antara Barat dengan Islam. Barat dianggap sebagai mewakili ketamadunan sementara Islam dipandang mereka sebagai “barbarism” (kebiadaban) tinggalan sejarah yang mengancam kemajuan manusia dan perlu dihapuskan. Walaupun mungkin istilah “barbarism” merujuk kepada keganasan tetapi ramai orang di Barat akan mengaitkan imej barbarik dengan Islam.
 Nilai-Nilai Agama Pendorong Memperkasa Tamadun
 
Peradaban Islam yang dibina mestilah memelihara keselamatan dan kesucian agama. Sebarang kemajuan dan tamadun yang boleh mengancam dan menggugat keutuhan Islam maka ia bercanggah dengan prinsip dan dasar pembinaan tamadun Islam. Pembinaan tamadun yang berteraskan materialistik semata-mata yang melahirkan manusia yang meminggirkan nilai-nilai akhlak dan moral tidak mustahil akhirnya akan merungkai ikatan akidah di kalangan umat Islam.

Malik bin Nabi menegaskan lagi bahawa tamadun tidak mungkin lahir melainkan dengan adanya kepercayaan agama. Malah tamadun sesuatu umat itu tidak akan lahir melainkan mengikut wahyu yang diturunkan dari langit.  Jelaslah bahawa nilai-nilai agama yang diturunkan dari langit merupakan pengatur dalam pembinaan sesuatu tamadun. Oleh sebab itu, golongan yang menyeru manusia supaya kembali kepada ajaran agama dan keimanan dalam usaha membentuk tamadun lebih hampir kepada kebenaran dari golongan ahli politik dan islah yang memisahkan agama dari kehidupan.

Pemisahan iman dari kehidupan menjadikan menjadikan manusia hidup tanpa erti yang menghilangkan ghairah untuk memahami sesuatu dan akan hilang nafsu untuk bekerja. Itulah sebab kebangkitan umat Islam sekarang mengalami kegagalan. Sedangkan pembinaan tamadun hendaklah berpaksikan kepada kerohanian dan akhlak Islam yang benar untuk menjamin kesejahteraan hakiki.

Krisis besar yang melanda umat Islam ialah krisis pemikiran dan kebudayaan. Apabila berlakunya krisis kebudayaan orang ramai tidak dapat lagi berfikir secara praktikal dan melihat persoalan yang sebenar yang menimpa dirinya.  Akhirnya lahirlah ulama, sarjana dan masyarakat yang berbicara persoalan yang remeh temeh seperti membincangkan jantina malaikat dan sebagainya. Sedangkan persoalan membina tamadun dan memajukan umat diketepikan sahaja. 

 Membina Semula Tamadun

Untuk membina semula tamadun Islam, umat Islam harus kembali merenung diri sendiri untuk mencari penyakit yang dihadapinya. Mencari jalan untuk bangun tanpa mengetahui penyakitnya yang menyebabkan kejatuhan tidak dapat memperolehi kejayaan.  Tiga penyakit yang sedang dihadapi oleh masyarakat Islam hari ini ialah:
  1. Pemikiran yang mati
  2. Jiwa yang lemah; dan
  3. Iman yang telah padam sinarnya
Oleh itu, untuk membangun semula hendaklah diubati ketiga-tiga penyakit ini. Umat Islam perlu menghargai pemikiran dengan menganggap ia sebagai satu yang amat tinggi nilainya, bukan memilih jalan ‘benda’ (material) untuk bangkit atau berada di bawah pemikiran penjajahan yang mendewakan Barat. Umat Islam jangan terikat dengan pemikiran asing yang diimport dalam membentuk pemikiran mereka. Mereka perlu berpegang teguh kepada pemikiran Islam sendiri dan selari dengan nilai-nilai ajaran agama Islam. Di samping itu, kekuatan jiwa merupakan benteng utama dalam menghadapi cabaran zaman dan gelombang pergolakan dunia.

Umat Islam perlu mengangggap kerohanian sebagai satu aspek yang penting dalam membangunkan umat. Ajaran kerohanian ini perlu dilihat dalam konteks fungsi sosialnya yang mendatangkan faedah dan kebaikan kepada kehidupan manusia. Dari latihan-latihan kerohanian ini akan lahir peribadi-peribadi mulia untuk membentuk suatu dunia yang aman damai. Malangnya, umat Islam tidak menghayati fungsi sosial agamanya di mana agama dan ajaran-ajarannya yang dinamik tidak dihayati dengan sebenarnya. Hasilnya lahirlah ajaran Islam dalam bentuk yang negatif dan beku. Amalan-amalan ibadat yang dilakukan tidak mempengaruhi tingkah laku dan perbuatan mereka.

Oleh itu, masyarakat Islam perlu membebaskan diri dari warisan negatif yang dipusakainya sejak enam abad yang lalu dan selagi mereka ragu-ragu untuk membawa perubahan ke dalam diri manusia sesuai dengan ajaran Islam yang murni maka selama itulah usaha-usaha untuk mewujudkan perimbangan, kestabilan dan kemakmuran di dalam kehidupan serta membentuk tamadun baru akan gagal. Antara sikap negatif yang perlu dielakkan dalam menguatkan tamadun iaitu penghakisan nilai-nilai pokok tentang kebaikan, kebenaran, kesetiaan dan timbulnya aliran kerohanian yang bercanggah  dengan Islam. Perkara ini berlaku akibat pegangan terhadap unsur-unsur fahaman yang salah dan pegangan kepada agama yang sesat serta penafsiran yang tidak benar.

Di samping itu, budaya mendewakan selebriti diutamakan daripada budaya mengikut contoh teladan yang sempurna daripada Para Nabi dan Rasul dan mereka yang telah berjasa dalam sejarah Islam. Budaya ilmu juga diperdagangkan untuk mengaut keuntungan jangka pendek sedangkan ia merupakan teras dalam pembentukan peribadi yang bersepadu dan melahirkan masyarakat berilmu. Apabila al-Quran banyak menceritakan perihal Nabi dan Rasul di dalam ayat-ayatnya, hal itu menggambarkan umat Islam mestilah mengambil pelajaran dari mereka dan generasi-generasi terbaik dididik mereka.

Isnin, 31 Ogos 2015

Barat Tidak Ditentang, Pembaratan (Westernisasi) Yang Disanggah


Barat sebagai suatu entiti politik dan kebudayaan mengundang perspektif pendapat yang pelbagai. Barat sebagai fokus tamadun menggamit penerokaan faktor berbanding yang menarik. Islam tidak mengambil pendekatan anti-Barat. Potensi melakukan dakwah dan mengembalikan manusia ke arah fitrah amat besar sekali. Sehingga kini terdapat lebih 20 juta umat Islam di Eropah. Islamofobia di Eropah harus dilihat sebagai pertanda untuk warga Barat mengetahui apa itu Islam, bagaimana ia pernah lahir sebagai suatu tamadun dan mengapa Barat suatu ketika dulu terhutang ilmu kepada Islam.

Namun, proses pembaratan perlu mengundang kewaspadaan umat Islam. Tamadun sekular Barat tegak atas asas membangun faham liberal dan sistem yang sekular. Ilmu dan juga fokus kemajuan lebih menumpu kepada sains dan teknologi dan wujud kecenderungan menolak agama sebagai asas empirikal. Matlamat Barat ialah memakmurkan ekonomi atas asas kapitalisme yang mengutamakan pertumbuhan dan memaksimumkan keuntungan. Kekuatan ekonomi bakal menjana pembangunan sains dan teknologi dan akhirnya memperkasa senjata-senjata canggih untuk maksud dominasi dan hegemoni.

Apabila Barat tidak ditentang harus wujud usaha menggiatkan dakwah di Eropah. Pertentangan gereja dan saintis di zaman pertengahan, Islam tidak sempat meletakkan asasnya yang mantap di Eropah, kemelut sosial, keluarga dan individu yang parah, faham kebendaan dan individual yang sangat ketara. Semua ini adalah ruang-ruang yang sangat baik bagi Islam tumbuh dan subur supaya pencapaian sains dan teknologi dapat diimbangi dengan kepentingan nilai yang Qurani dan Islami yang boleh membimbing mereka ke arah hidup yang fitrah.

Kecintaan orang-orang Barat terhadap ilmu, tradisi pengkaryaan yang tinggi menghasilkan buku-buku baru, tradisi penyelidikan yang hebat, penghasilan penemuan-penemuan dalam sains dan teknologi, keutamaan kepada membangun modal insan merupakan faktor-faktor berbanding yang patut dipelajari. Darinya umat Islam dapat diperkasakan wibawanya dalam bidang ilmu mengurus sistem.

Umat Islam termaklum hebat dalam ritual dan hal-hal rohaniah yang bersifat intrinsik. Pengaturan sistem, penyusunan sumber, pemerkasaan modal insan berkualiti yang sifatnya holistik amat terbatas. Lalu umat Islam terbelenggu dan tidak mampu melakukan lonjakan dan kekal sebagai pengguna setia kepada citra Barat. Oleh itu Barat tidak harus dimusuhi secara melulu tetapi faktor-faktor berbanding yang bermanfaat bagi umat Islam harus diteroka dan dicari.

Penerokaan faktor berbanding di Barat pula jangan sampai kita terjebak dalam proses pembaratan (westernisasi) sehingga kita hilang peribadi dan diri. Kekentalan akidah, kehebatan ibadah, pemahaman yang baik terhadap syariah, memperakukan kepentingan akhlak adalah asas terbaik untuk memahami ilmu dan tamadun Barat.

Terdapat kecenderungan generasi muda melihat Barat dengan kesegalaannya. Barat dilihat sebagai model maju dan tamadun. Perubahan yang dibawa oleh Barat dianggap mewakili zaman. Generasi muda dalam rasa rendah diri, belum lagi berjiwa merdeka, tidak faham keperluan tradisi dan agama menjadi pengagum budaya popular Barat. Akibatnya mereka terjebak dalam ketagih hiburan dan pengagum artis dan selebriti hingga menyebabkan kelupaan kepada jati diri sendiri.

Islam yang dilalui dan dipelajari tidak menimbulkan kesan penghayatan, hanya merupakan lintasan nipis dalam hidup dan akhirnya menjadi ketagih terhadap gaya hidup Barat yang asing dengan cara hidup Islami. Generasi ini bakal rebah dalam belenggu pembaratan dan akhirnya menjadi penyumbang kepada faham materialistik dan hedonisme dan terus berada dalam amalan nafsu-nafsi yang menyebabkan dayatahan umat akan menjadi tiris.

Para remaja harus insaf bahawa banyak hal yang menyumbang dan boleh dipelajari dari Barat. Mengapa tidak dikuasai ilmu semasanya terutama dalam penyelidikan dan pengembangan. Penemuan-penemuan saintifik yang terkini, penghasilan teknologi canggih seharusnya meningkatkan minat generasi muda untuk menguasainya supaya akhirnya apabila dikembangkan dalam tradisi kita ia memberikan warna dan cita rasa baru yang ada dimensi nilai dan etika di dalamnya. Dimensi nilai dan etika sewajarnya menjadikan ilmu mempunyai arah dan teknologi memberikan manfaat. Generasi muda tidak harus terbawa-bawa dengan fahaman bahawa teknologi adalah matlamat dalam kehidupan.

Teknologi dari sudut Islam selamanya alat. Matlamat yang terhasil, hasil adanya teknologi harus lebih murni dari itu. Di sinilah cabaran yang menunggu generasi muda Islam mengolah kembali aspek-aspek yang mekanistik supaya mempunyai nilai tambah rohaniah yang mampu mengangkat nilai guna ilmu dan teknologi bagi membangunkan peradaban insan.

Masanya sudah lewat untuk membiarkan generasi muda Islam terjebak dan dibelenggu oleh pengaruh budaya popular Barat yang tidak banyak memberi faedah kepada pembangunan generasi muda. Generasi muda Islam tidak sahaja memerlukan upaya berfikir yang tinggi tetapi dalam masa yang sama memerlukan tahap rohaniah yang meningkat di samping ketangkasan fizikal yang baik. Asas-asas yang fundamental ini amat diperlukan terutama dalam dunia pendidikan dan latihan.

Cabaran kini dan masa depan generasi muda tidak hanya bersifat intelektual tetapi berdepan dengan faktor-faktor moral dan akhlak yang sifatnya behavioral. Kemahiran berfikir tidak sahaja memadai untuk menjadikan mereka kreatif, inovatif kritikal, strategik dan lateral tetapi dalam masa yang sama generasi muda harus memiliki kualiti amanah, adil, jujur, telus dan tulus supaya dimensi keinsanan tetap teguh dan utuh. Oleh itu menanggapi Barat dengan segala macam dimensi yang ada harus menjadikan generasi muda bersikap kritis supaya asas-asas yang baik dan bermanfaat diambil dan sesuatu yang boleh mendatangkan mudarat dihindarkan. Dalam masa yang sama generasi muda Islam harus ingat bahawa globalisasi yang sedang melakukan hegemoni mempunyai agenda tersendiri.

Dendam Salibiah yang masih wujud di kalangan mereka dan Zionisme yang berkembang dalam berbagai bentuk adalah asas strategi melakukan deIslamisasi di kalangan umat khususnya di kalangan generasi muda. Sebab itu media cetak dan elektronik, cable tv dan astro, perisian, Internet dan laman web menggambarkan budaya hedonistik yang ketara seolah-olah nilai agama sudah tidak lagi menjadi sandaran hidup mereka. Sebaliknya generasi muda Islam harus kenal asas tradisi Islam yang menampilkan kehebatan ilmu, budaya, seni dan hiburan pada zaman puncaknya. Harus ada kecenderungan di kalangan generasi muda mengkaji secara reflektif terhadap hal-hal tersebut.

Sabtu, 22 Ogos 2015

Catatan Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi (20 Ogos 2015) - Tunisia dan Malaysia: Waqi Berbeza

Tunisia digelar sebagai “Ibu Sekularisme di Negara Arab”. Kesan sekularismenya sangat dahsyat, munasabahlah Harakah an-Nahdhah tidak ambil pendekatan pelaksanaan Syariah terlebih dahulu. Di sini poligami adalah satu jenayah, dikenakan hukuman penjara. Puak Sekular ada usaha utk menghalalkan perkahwinan sejenis. Pernah semasa Harakah an-Nahdhah memimpin kerajaan pada sesi lepas; ada usaha untuk menutup restoran pada waktu siang bulan Ramadhan akan tetapi ditentang oleh puak Sekular. 

Ada pihak di Malaysia bawa wakil Harakah an-Nahdhah untuk menghalalkan perjuangan mereka dengan tidak meletakkan pelaksanaan Syariah sebagai agenda utama. Kalau betul pun tengoklah pada waqi’. Sebab itu Fiqh al-Waqi’ sangat penting; bukan semua yang dilaksanakan di Tunisia atau mana-mana tempat yang ada Gerakan Islam sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia.

Di Malaysia jika PAS tidak bercakap soal pelaksanaan Syariah, umat Islam akan marah kerana jiwa mereka sudah sebati dengan Islam. Islam sudah diletakkan sebagai agama dan dokongan rasmi negara. Undang-undang Syariah sebahagiannya sudah dilaksanakan dan diamalkan. Lompong-lompong yang ada mestilah diisi sekiranya mempunyai peluang dan ruang. Perjuangan PAS untuk melaksanakan enakmen jenayah Islam di Kelantan adalah langkah ke hadapan yang mesti diteruskan. Mereka yang menganggap sebaliknya adalah golongan yang undur ke belakang.

Sedih pun ada geram pun ada; akan tetapi setelah melihat benih-benih baru yang muncul memberikan cahaya baru bahawa bumi Tunisia akan kembali membawa sinar keadilan Islam satu hari nanti in-sya’Allah. # Catatan dari bumi Uqbah bin Nafi’

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews