Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Sabtu, 12 Disember 2015

Ciri-Ciri Manusia Yang Cinta Dunia

Kehidupan di dunia hanya sementara dan hanya persinggahan. Kita tidak akan selamanya berada di atas dunia. Namun seiring dengan berputarnya waktu yang panjang terkadang membuat manusia lupa akan hakikat  kehidupan yang  sebenarnya. Kehidupan manusia di dunia ini pun tak lama, hanya lingkungan umur 60-70 tahun sahaja, kemudian kita semua akan mati dan ruh kita akan berpindah ke alam barzakh (kubur) dan seterusnya menuju Allah, hingga kita sampai pada hari akhirat  nanti.

Kita semua yakin bahwa alam akhirat itu ada, kerana itulah salah satu ciri orang yang beriman yang disebutkan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 4;
وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ
“Dan mereka yang beriman kepada kitab (al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-Kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya kehidupan akhirat.”

Dalam kehidupan dunia seperti sekarang ini, kita dihadapkan kepada berbagai-bagai macam cubaan termasuk di antaranya cubaan dunia. Memang suatu hal yang normal  jika manusia memiliki kecenderungan atau rasa cinta terhadap hal-hal duniawi. Allah berfirman dalam surah Aali-Imran ayat 14;
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ
“Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang terbaik.”

Setiap manusia memiliki cita-cita dalam kehidupannya. Mungkin di antara kita seringkali berfikir untuk menambah kekayaan, berfikir tentang keuntungan esok hari, berfikir masa depan anak-anak, berfikir mendapatkan jawatan, berfikir untuk masa depan yang sebenarnya singkat iaitu nikmat kehidupan di dunia.

Namun, janganlah kita lalai dari memikirkan dan bercita-cita untuk hari yang lebih jauh, hari-hari di kehidupan yang kekal iaitu kehidupan di akhirat. Setiap muslim hendaknya memikirkan bagaimana posisi imannya saat ini. Apakah yang telah kita siapkan bekal untuk menghadapi akhirat nanti?

Salah satu hal yang sangat membahayakan keimanan seorang muslim adalah cinta dunia. Bahaya cinta dunia sangatlah besar sehingga hal tersebut boleh menyebabkan seseorang menjual agamanya. 

Rasulullah saw bersabda;
بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِى كَافِرًا أَوْ يُمْسِى مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا
“Bersegeralah beramal soleh, sebelum datang fitnah-fitnah yang banyak. Seseorang di waktu pagi masih beriman, namun di petang hari dia kafir. Atau seseorang di petang hari dia beriman, dan di pagi hari dia kafir. Dia menjual agamanya dengan secebis kesenangan dunia.” (Riwayat Muslim)

Demikianlah situasi manusia di zaman sekarang, banyak dalil-dalil yang menjelaskan tentang bahayanya cinta dunia. Semoga Allah menyelamatkan kita dari penyakit “al-wahn” atau cinta dunia tersebut.  
Berikut adalah ciri-ciri orang yang terkena penyakit al-wahn;
  1. Tidak senang beribadah atau malas beribadah dan ketika beribadah dia melakukannya secara ekspres dan ingin cepat-cepat selesai. Lebih teruk lagi jika kesibukannya dengan urusan dunia menyebabkan dia lalai bahkan berani meninggalkan ibadah kepada Allah.
  2. Bakhil kerana khuatir jika akan bersedekah nanti akan mengurangi hartanya. Jika dia bersedekahpun dia masih mengharapkan kepentingan diri, publisiti serta populariti.
  3. Suka berdusta walaupun mengaku amanah.
  4. Khianat atau mungkir janji.
  5. Pengecut menyatakan kebenaran lebih teruk lagi jika dia berani mengorbankan agama dan imannya demi mendapatkan kenikmatan dunia.
  6. Tidak mahu beramar ma’ruf dan nahi munkar.
  7. Bermegah-megah dan berbangga dengan apa yang dimilikinya dan mengejek-ejek orang yang tidak mampu sepertinya.
Jika seseorang mencintai sesuatu, maka dia akan diperbudak oleh apa yang dicintainya. Jika orang sudah cinta dunia, maka akan datang berbagai penyakit hati. Ada yang menjadi sombong, dengki, serakah dan mengkhianati orang lain. Penyakit ini sememangnya telah menjadi kronik dalam kalangan umat Islam sekarang. Penyakit ini tiada dalam pengajian ilmu doktor sama ada lama mahupun moden. Penyakit ini disebut oleh Rasulullah saw lebih 14-kurun yang lalu.
يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ
“Nyaris-nyaris umat terdahulu (kalangan kafir) menyerbu kalian (orang beriman) seperti halnya orang-orang yang menyerbu hidangan. Seseorang berkata; Apakah karena sedikitnya kami waktu itu? Baginda bersabda; Bahkan kalian waktu itu ramai sekali, tetapi kamu seperti buih di atas air. Dan Allah mencabut rasa takut musuh-musuhmu terhadap kalian serta menjangkitkan di dalam hatimu penyakit al-wahn. Seseorang bertanya; Apakah wahn itu? Baginda menjawab; Cinta dunia dan takut mati.” (Riwayat Abi Dawud)

Apa yang dikesali ialah walaupun umat Islam boleh di anggap menang dari segi kuantiti tetapi kalah dari segi kualiti. Umum menyedari bahawa umat Islam di kebanyakan negara berada dalam situasi yang tidak boleh di banggakan. Lihat sahaja krisis yang melanda di kebanyakan negara umat Islam.

Realitinya umat Islam tidak saling bantu membantu bahkan bertelingkah antara satu sama lain. Salah satu daripada puncanya ialah kerana penyakit al-wahn. Kerana cintakan dunia maka tamak haloba menguasai umat Islam terutamanya di kalangan pemimpin mereka. Kerana bencikan kematian maka manusia lupa ibadat. Hati mereka hanya untuk hidup senang di dunia walaupun hakikatnya tidak sedemikian.

Maka kita tidak boleh bangga dengan ramainya bilangan kita. Kita mahu manusia seperti sahabat dalam Badar. Walaupun bilangan mereka kecil tetapi dapat mengalahkan musuh yang banyak. Mereka adalah manusia yang cintakan akhirat dan mencari syahid di medan jihad.

0 ulasan:

Catat Ulasan

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews