Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Khamis, 5 November 2015

Hakikat Mensyukuri Nikmat Allah

Allah memberikan banyak nikmat kepada makhluk-Nya. Sebagai tanda terima kasih terhadap Zat yang telah memberi nikmat, diwajibkan kita bersyukur. Berbagai cara dan bentuk yang  boleh digunakan untuk menunjukan rasa syukur dan berterima kasih sama ada kepada Allah mahupun sesama manusia.

Seorang muslim sejati tidak pernah terlepas dari tiga keadaan yang merupakan tanda kebahagiaan baginya, iaitu apabila dia mendapat nikmat maka dia bersyukur, apabila mendapat kesusahan maka dia bersabar, dan bila berbuat dosa maka dia beristighfar. Sabda Rasulullah saw;
عَجَبًا ِلأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ لَهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَلِكَ ِلأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْراً لَهُ
“Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya adalah baik baginya. Hal ini tidak didapati kecuali pada diri seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya apabila ditimpa kesusahan, dia pun bersabar, maka yang demikian itu juga merupakan kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim)

Dalam Islam ada tiga cara yang boleh digunakan untuk menunjukkan rasa syukur, dan menggabungkan ketiga-ketiga cara tadi adalah syukur yang paling sempurna. Tiga cara tersebut iaitu;
  1. Syukur dengan hati
  2. Syukur dengan lisan
  3. Syukur dengan perbuatan atau anggota badan
Syukur dengan hati adalah dengan mengakui bahawa segala nikmat tersebut datang dari Allah, dan atas keutamaan-Nya. Apabila hati sudah bersyukur maka akan lahirkan bentuk syukur yang kedua dan yang ketiga iaitu syukur dengan lisan dan perbuatan.

Syukur dengan lisan pula iaitu dengan selalu memuji kepada Yang Memberi nikmat iaitu Allah, menyebut nikmat itu, mengulang-ulangnya serta menampakkan nikmat tersebut. Allah berfirman dalam al-Quran, surah al-Dhuha ayat 11;
وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ 
“Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut-Nya (dengan bersyukur).”
Syukur dengan perbuatan atau anggota badan iaitu tidak menggunakan nikmat tersebut, kecuali untuk tujuan ketaatan kepada perintah Allah berwaspada dari menggunakan nikmat untuk kemaksiatan dan kemungkaran kepada-Nya. 

Allah berfirman dalam al-Quran surah Saba’ 13;
اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْراً وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِي الشَّكُورُ
“Bekerjalah hai keluarga Daud untuk bersyukur (kepada Allah). Dan sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang berterima kasih.”

Ayat di atas mengandungi maksud, “Wahai keluarga Daud bersyukurlah kepada Allah atas nikmat yang diberikan kepada kamu iaitu dengan mentaati dan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya, kerana sedikit dari kalangan hamba-Nya yang banyak bersyukur kepada Allah dan Nabi Daud dan keluarganya adalah tergolong dalam golongan yang sedikit itu.”

Adapun hakikat syukur itu didirikan di atas lima asas yang  utama. siapa yang mengamalkannya serta menghayatinya maka dia adalah hamba-Nya yang benar-benar bersyukur;
  1. Merendahkan diri terhadap Zat yang disyukuri iaitu Allah. Orang yang bersyukur tidak akan sombong, tidak akan takabbur samada kepada Allah swt atau sesama manusia.
  2. Rasa cinta terhadap Pemberi Nikmat iaitu Allah, kerana rasa syukur itu tidak akan timbul pada diri seseorang yang tidak suka, benci terhadap orang lain, lebih-lebih lagi kepada Allah.
  3. Mengakui seluruh nikmat yang Dia berikan. Tanpa pengiktirafan terhadap jasa, kebaikan atau  nikmat yang diberikan bagaimana rasa syukur akan timbul dalam diri seseorang apabila merasakan apa yang dimilki adalah dari dirinya sendiri, tanpa bantuan orang lain.
  4. Sentiasa memuji-Nya atas nikmat yang diberikan kerana gembiranya, penghargaannya, pengiktirafannya terhadap nikmat yang diberikan tersebut.
  5. Tidak menggunakan nikmat untuk sesuatu yang dibenci oleh Allah kerana ia akan mengundang kemarahan, kebencian orang yang memberi nikmat, dan tindakan tersebut menunjukkan sikap biadap, tidak mengharmati serta tidak mengenang jasa.
Firman Allah dalam surah Fatir ayat 3;
 يَا أَيُّهَا النَّاسُ اذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ هَلْ مِنْ خَالِقٍ غَيْرُ اللَّهِ يَرْزُقُكُم مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ لا إِلَهَ إِلاَّ هُوَ فَأَنَّى تُؤْفَكُونَ
“Wahai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepada kalian. Adakah Pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepada kalian dari langit dan bumi? Tidak ada yang berhak disembah selain dia, maka mengapa kalian berpaling?”

Di dalam ayat ini  Allah memerintahkan kepada seluruh manusia agar mengingat akan nikmat-nikmat-Nya. Kerana dengan berbuat demikian, ia akan mendorong kita untuk  bersyukur kepada Allah.

Bersyukur kepada Allah itu bukan hanya dapat memelihara nikmat yang dikurniakan kepada seseorang. Bahkan, ia juga mampu menyubur dan melahirkan nikmat-nikmat baru. Sebagaimana yang diterangkan oleh Imam Ibnu al-Qayyim, syukur itu tidak akan wujud kecuali ia disuburkan dengan  lima perkara. Iaitu, merendahkan dirinya kepada Allah, mencintai-Nya, mengakui bahawa nikmat tersebut merupakan kurnia dari Allah, memuji Allah dengan lisannya, dan tidak menggunakan nikmat tersebut untuk perkara yang dibenci oleh Allah.
Sebenarnya jika diukur, rasanya syukur kita masih belum cukup berbanding segala nikmat yang telah Allah kurniakan. Malah, perbuatan dan ucapan kita juga banyak mengandungi pengingkaran dan penafian terhadap nikmat. Ramai di kalangan manusia  mudah  terpesona dengan nikmat tetapi mengabaikan Allah, Maha Pemberi nikmat. Bahkan, memanfaatkan pemberian-Nya dengan  menderhakai-Nya. 
Betapa melimpahnya kenikmatan yang Allah berikan kepada kita, yang tidak terhingga jumlahnya. Allah memberikan kita kehidupan, kesihatan, makanan, minuman, pakaian dan begitu banyak nikmat yang lainnya. Jika kita berusaha menghitung nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, niscaya kita tidak akan mampu menghitungnya.
وَإِنْ تَعُدُّوْا نِعْمَةَ اللهِ لاَ تُحْصُوْهَا
“Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya.” (surah al-Nahl ayat 18)

Pelbagai nikmat membuatkan manusia lupa diri. Seakan berasa tidak malu menikmati kesenangan dan bersenang-senang dengan kenikmatan duniawi kurniaan-Nya. Fikirannya bukan untuk memenuhi amanah, tetapi bermegah-megah. Mereka lupa bahawa semua nikmat dan kurniaan itu adalah cubaan yang harus dipertanggungjawabkan. Seperti  firman Allah dalam surah al-Naml ayat 40;
 هَذَا مِن فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ
“Ini termasuk kurniaan Tuhanku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya).”

Sedikit atau banyak, syukurilah nikmat yang ada dengan ikhlas dan sebenar-benarnya. Iaitu, dengan melakukan amal saleh dan mentaati-Nya. Kalaulah hanya dengan nikmat yang sedikit, kita masih tidak mampu untuk bersyukur, apatah lagi nikmat yang banyak? Silap-silap ia menjadi penyebab datangnya azab dan laknat. Seperti  firman Allah dalam surah al-Takathur ayat 8;
ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ
“Kemudian kamu pasti akan ditanya  pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).”
Sebenarnya terdapat satu lagi nikmat yang sangat besar yang harus kita syukuri. Iaitu, kekuatan agar kita boleh memanfaatkan segala nikmat dari Allah untuk melakukan amal kebaikan dan beribadah kepada-Nya. Sekiranya Allah telah menolong kita untuk meraih nikmat tersebut, maka berusahalah untuk berbuat lebih baik lagi untuk Allah. Sehingga Allah berkenan memberikan kita rasa nikmat luar biasa ketika kita beribadah kepada-Nya.

Sesungguhnya Para Nabi dan Rasul adalah manusia pilihan yang diutus Allah ke dunia sebagai suri tauladan bagi umatnya. Mereka adalah manusia terkehadapan dalam setiap amal kebajikan. Salah satu sifat yang sangat menonjol pada diri mereka adalah sentiasa bersyukur terhadap nikmat yang telah Allah limpahkan kepada mereka. Allah menceritakan keutamaan mereka dalam al-Quran sebagai panduan kepada kita.

0 ulasan:

Catat Ulasan

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews