Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Ahad, 4 Jun 2017

Islam Membangunkan Masyarakat Bertamadun

Tamadun secara harfi ertinya berada ditahap maju. Para pengkaji membahagikan tamadun kepada dua pengertian iaitu pengertian yang objektif dan pengertian yang subjektif. Pengertian yang objektif iaitu suatu himpunan fenomena kemajuan dalam bidang kesusasteraan, teknik, keilmuan dan undang-undang yang dipindahkan dari satu generasi ke satu generasi di dalam suatu masyarakat.

Pengertian yang subjektif bermaksud tamadun digambarkan sebagai satu peringkat perkembangan kehidupan yang tinggi, yang berlawanan dengan kehidupan liar atau ganas atau digambarkan kehidupan yang dapat atau hampir dapat mencapai ideal atau bentuk kehidupan yang tinggi yang hendak dicapai. Bentuk ideal kehidupan itu adalah subjektif sifatnya, bergantung kepada masa, tempat dan kepada nilai-nilai yang dianuti.

Sesuatu tamadun akan mengalami 3 peringkat iaitu:
  1. Peringkat kelahiran hingga mencapai peringkat puncak
  2. Peringkat beku dan menurun
  3. Peringkat keruntuhan dan kemusnahan
Ibn Khaldun menyatakan bahawa bangsa-bangsa dan peradaban mengalami naik turunnya  dalam bentuk pusingan. Titik-titik yang menghubungkan pusingan atau gliliran ini kerapkali terbayang dalam perangai dan tabiat para pemimpin atau penguasa dan juga tabiat dan perbuatan ahli masyarakat yang berkenaan.

Menurut Malik bin Nabi pula, tamadun peringkat kelahiran ditunjangi oleh idea keagamaan (fikrah diniyah) atau kerohanian dan ia bertemu puncak apabila kerohanian bercantum dengan akal. Kemudian tamadun itu akan menurun apabila unsur-unsur kerohanian sudah diketepikan. Tinggallah akan sendirian, tanpa bimbingan roh.

Kemudian ia akan sampai kepada peringkat kehancuran apabila roh dan akal tidak lagi memandu kehidupan manusia. Ketika itu, hawa nafsu menjadi tuhan, berlaku korupsi dalam pentadbiran, penipuan, rompakan dan berbagai kebejatan moral yang akhirnya mempercepatkan lagi kehancuran sesuatu tamadun itu.
 
Sumbangan Islam Kepada Tamadun Dunia

Sebelum tiba zaman Renaissance, Eropah dilanda zaman gelap (dark age). Maksud “dark age” ini ialah zaman masyarakat Eropah menghadapi kemunduran intelek dan kelembapan ilmu pengetahuan. Sementera masanya pula menurut “Encyclopedia Americana” ialah tempoh 1000 tahun, yang bermula antara zaman kejatuhan Kerajaan Rom dan berakhir dengan kebangkitan intelektual pada kurun ke-15 Masihi.

“Zaman Gelap” juga bermaksud tiada prospek yang jelas bagi masyarakat Eropah. Situasi ini wujud kerana tindakan dan cengkaman kuat pihak berkuasa agama; Gereja Kristian yang sangat berpengaruh. Gereja serta para paderi mengongkong pemikiran masyarakat daripada menerima hujjah-hujjah sains dan juga pemikiran politik. Mereka berpendapat hanya gereja sahaja yang berkelayakan untuk menentukan kehidupan, pemikiran, politik dan ilmu pengetahuan.

Akibatnya kaum cendekiawan yang terdiri daripada ahli-ahli sains berasa mereka ditekan dan dikawal oleh gereja. Pemikiran mereka ditolak. Sesiapa yang mengeluarkan teori yang bertentangan dengan pandangan gereja akan ditangkap dan didera malah ada yang dibunuh. Hal ini menyebabkan golongan-golongan cendekiawan sentiasa memberontak terhadap dan kongkongan gereja tersebut.

Pada kurun ke-12 M, gerakan intelek telah mula berjalan. Cerdik pandai Eropah mula bersikap lebih berminat untuk tahu dan lebih ghairah terhadap kebudayaan bangsa Timur (Timur Tengah) ialah masyarakat Islam yang telah lama maju walaupun dengan menjunjung sistem kepercayaan terhadap syariat agama. Beberapa kota besar Islam sangat terkenal di kalangan Barat sebagai kota ilmu pengetahuan seperti Iskandariah di Mesir, Baghdad di Iraq, Harran dan Antioch di Turki.

Diskusi akademik yang melibatkan tajuk besar seperti metafizik, perubatan, astronomi, etika (akhlak), politik, fizik dan seumpamanya dibahas secara terbuka dan akademik. Hal ini bermakna sewaktu Dunia Islam sudah menikmati tamadun yang tinggi dalam bidang keilmuan, Eropah masih diselimuti kegelapan dan kemunduran. Masyarakat dunia ketika itu telah diperlihatkan tentang betapa hebatnya perkembangan intelektual dan ilmu pengetahuan di negara-negara Islam antara kurun ke-9 M hingga ke-12 M.

Kawasan Islam yang dekat dengan Eropah ialah Sepanyol (Andalus). Di sini perkembangan intelek berlaku dengan pesat sehingga hal ini dibuktikan sendiri oleh Philip K Hitti dalam bukunya yang berjudul “The Arabs: A Short History”. Beliau menukilkan seperti berikut:

“Moslem Spain wrote one of the brightest chapters in the intellectual history of medieval Europe. Between the middle of the eighth and the beginning of the thirteenth centuries, the Arabic-speaking peoples were the main bearers of the torch of culture and civilization throughout the world, the medium through which ancient science and philosophy were recovered, supplemented and transmitted to make possible the renaissance of Western Europe.”

Banyak karya-karya berbahasa Arab diterjemahkan ke dalam bahasa Latin untuk Barat mendapatkan sumber ilmu daripada Islam. Antara penterjemah Barat, perintis daripada bahasa Arab ke bahasa Latin ialah Adelard of Bath (1090 - 1150) yang telah pergi ke Sepanyol dan kepulauan Sicily. Khidmat beliau yang terkemuka ialah bidang matematik apabila beliau menterjemahkan seluruh karya-karya al-Khawarizmi dan diperkenalkan kepada Barat. Proses penterjemahan pelbagai ilmu dari Timur khasnya di Sepanyol ini turut dibantu oleh kaum Yahudi kerana bahasa Arab adalah bahasa pertuturan rasmi mereka pada waktu itu. 

Malangnya, suasana sekarang ini apabila Amerika Syarikat menentang aktiviti keganasan (terrorisme), dalam banyak analisis di negara itu, sering kali gambaran yang dipaparkan ialah ia merupakan pertarungan antara Barat dengan Islam. Barat dianggap sebagai mewakili ketamadunan sementara Islam dipandang mereka sebagai “barbarism” (kebiadaban) tinggalan sejarah yang mengancam kemajuan manusia dan perlu dihapuskan. Walaupun mungkin istilah “barbarism” merujuk kepada keganasan tetapi ramai orang di Barat akan mengaitkan imej barbarik dengan Islam.
 Nilai-Nilai Agama Pendorong Memperkasa Tamadun
 
Peradaban Islam yang dibina mestilah memelihara keselamatan dan kesucian agama. Sebarang kemajuan dan tamadun yang boleh mengancam dan menggugat keutuhan Islam maka ia bercanggah dengan prinsip dan dasar pembinaan tamadun Islam. Pembinaan tamadun yang berteraskan materialistik semata-mata yang melahirkan manusia yang meminggirkan nilai-nilai akhlak dan moral tidak mustahil akhirnya akan merungkai ikatan akidah di kalangan umat Islam.

Malik bin Nabi menegaskan lagi bahawa tamadun tidak mungkin lahir melainkan dengan adanya kepercayaan agama. Malah tamadun sesuatu umat itu tidak akan lahir melainkan mengikut wahyu yang diturunkan dari langit.  Jelaslah bahawa nilai-nilai agama yang diturunkan dari langit merupakan pengatur dalam pembinaan sesuatu tamadun. Oleh sebab itu, golongan yang menyeru manusia supaya kembali kepada ajaran agama dan keimanan dalam usaha membentuk tamadun lebih hampir kepada kebenaran dari golongan ahli politik dan islah yang memisahkan agama dari kehidupan.

Pemisahan iman dari kehidupan menjadikan menjadikan manusia hidup tanpa erti yang menghilangkan ghairah untuk memahami sesuatu dan akan hilang nafsu untuk bekerja. Itulah sebab kebangkitan umat Islam sekarang mengalami kegagalan. Sedangkan pembinaan tamadun hendaklah berpaksikan kepada kerohanian dan akhlak Islam yang benar untuk menjamin kesejahteraan hakiki.

Krisis besar yang melanda umat Islam ialah krisis pemikiran dan kebudayaan. Apabila berlakunya krisis kebudayaan orang ramai tidak dapat lagi berfikir secara praktikal dan melihat persoalan yang sebenar yang menimpa dirinya.  Akhirnya lahirlah ulama, sarjana dan masyarakat yang berbicara persoalan yang remeh temeh seperti membincangkan jantina malaikat dan sebagainya. Sedangkan persoalan membina tamadun dan memajukan umat diketepikan sahaja. 

 Membina Semula Tamadun

Untuk membina semula tamadun Islam, umat Islam harus kembali merenung diri sendiri untuk mencari penyakit yang dihadapinya. Mencari jalan untuk bangun tanpa mengetahui penyakitnya yang menyebabkan kejatuhan tidak dapat memperolehi kejayaan.  Tiga penyakit yang sedang dihadapi oleh masyarakat Islam hari ini ialah:
  1. Pemikiran yang mati
  2. Jiwa yang lemah; dan
  3. Iman yang telah padam sinarnya
Oleh itu, untuk membangun semula hendaklah diubati ketiga-tiga penyakit ini. Umat Islam perlu menghargai pemikiran dengan menganggap ia sebagai satu yang amat tinggi nilainya, bukan memilih jalan ‘benda’ (material) untuk bangkit atau berada di bawah pemikiran penjajahan yang mendewakan Barat. Umat Islam jangan terikat dengan pemikiran asing yang diimport dalam membentuk pemikiran mereka. Mereka perlu berpegang teguh kepada pemikiran Islam sendiri dan selari dengan nilai-nilai ajaran agama Islam. Di samping itu, kekuatan jiwa merupakan benteng utama dalam menghadapi cabaran zaman dan gelombang pergolakan dunia.

Umat Islam perlu mengangggap kerohanian sebagai satu aspek yang penting dalam membangunkan umat. Ajaran kerohanian ini perlu dilihat dalam konteks fungsi sosialnya yang mendatangkan faedah dan kebaikan kepada kehidupan manusia. Dari latihan-latihan kerohanian ini akan lahir peribadi-peribadi mulia untuk membentuk suatu dunia yang aman damai. Malangnya, umat Islam tidak menghayati fungsi sosial agamanya di mana agama dan ajaran-ajarannya yang dinamik tidak dihayati dengan sebenarnya. Hasilnya lahirlah ajaran Islam dalam bentuk yang negatif dan beku. Amalan-amalan ibadat yang dilakukan tidak mempengaruhi tingkah laku dan perbuatan mereka.

Oleh itu, masyarakat Islam perlu membebaskan diri dari warisan negatif yang dipusakainya sejak enam abad yang lalu dan selagi mereka ragu-ragu untuk membawa perubahan ke dalam diri manusia sesuai dengan ajaran Islam yang murni maka selama itulah usaha-usaha untuk mewujudkan perimbangan, kestabilan dan kemakmuran di dalam kehidupan serta membentuk tamadun baru akan gagal. Antara sikap negatif yang perlu dielakkan dalam menguatkan tamadun iaitu penghakisan nilai-nilai pokok tentang kebaikan, kebenaran, kesetiaan dan timbulnya aliran kerohanian yang bercanggah  dengan Islam. Perkara ini berlaku akibat pegangan terhadap unsur-unsur fahaman yang salah dan pegangan kepada agama yang sesat serta penafsiran yang tidak benar.

Di samping itu, budaya mendewakan selebriti diutamakan daripada budaya mengikut contoh teladan yang sempurna daripada Para Nabi dan Rasul dan mereka yang telah berjasa dalam sejarah Islam. Budaya ilmu juga diperdagangkan untuk mengaut keuntungan jangka pendek sedangkan ia merupakan teras dalam pembentukan peribadi yang bersepadu dan melahirkan masyarakat berilmu. Apabila al-Quran banyak menceritakan perihal Nabi dan Rasul di dalam ayat-ayatnya, hal itu menggambarkan umat Islam mestilah mengambil pelajaran dari mereka dan generasi-generasi terbaik dididik mereka.

0 ulasan:

Catat Ulasan

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews