Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Rabu, 30 Disember 2015

Bersangka Baik Sesama Muslim Suatu Tuntutan Keagamaan

Menganggap baik sesuatu perkara itu sangat dituntut dalam ajaran Islam kerana bersangka baik itu lebih baik, mulia dan dapat mengelakkan dari pada menuduh orang lain berbuat jahat atau melakukan keburukan. Dalam pergaulan sehari-hari, baik sangka menjadi amat penting. Sebab, betapa banyak konflik, permusuhan, bahkan pembunuhan, timbul hanya karena persangkaan yang buruk. 

Umar bin al-Khattab radhiallahu anhu telah berkata;
لا تظن بكلمة خرجت من أخيك المؤمن شرًّا، وأنت تجد لها في الخير محملاً
“Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimat yang keluar daripada seorang saudara mukminmu (sangkaan)  keburukan, selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik.”

Sangkaan ialah pendapat yang hanya diagak-agak sahaja, dugaan, kira-kira, menaruh syak, curiga, berasa sangsi, ragu-ragu, was-was dan menganggap persepsi jadi fakta. Jadi, sangka ialah pendapat yang berdasarkan agakan, keraguan, kesangsian, anggapan, kewas-wasan, kiraan dan syak.

Buruk sangka membawa maksud menaruh curiga kepada seseorang yang belum terbukti orang tersebut melakukan kesalahan atau menafikan sesuatu kesalahan tetapi terus dimusuhi dan dilemparkan kata-kata kesangsian. Islam sangat melarang umatnya berburuk sangka sesama Islam, kerana berburuk sangka akan mengundang malapetaka kepada orang tersebut.
Orang yang bersangka buruk seolah-olah memfitnah orang, kerana sangkaan buruknya itu tidak mempunyai bukti yang nyata dan kukuh. Gejala ini dibimbangi terjadinya fitnah yang membawa kepada dosa besar, kerana Islam sangat melarang umatnya memfitnah orang lain.
Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 12;
يَا أَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah dari banyak berprasangka buruk; Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang menggunjing sebahagian yang lain. Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Orang yang berburuk sangka juga sama dosanya seperti memakan daging saudaranya yang telah mati. Jauhilah sifat penyakit hati ini, kerana ia juga dapat merugikannya juga. Kembalilah ke jalan Allah dengan sebenar taubat dan tidak akan mengulangi lagi perbuatan tersebut. Perkara buruk ini telah menjadi darah daging umat Islam sekarang ini terutama melayu Islam yang sentiasa iri hati dan bersangka buruk terhadap saudara Islamnya. Dengan menuduh orang melakukan perbuatan mungkar tanpa mempunyai bukti yang kukuh. Malah orang yang bersangka buruk itulah yang diagungkan sebagai orang yang hebat dan bijak. Inilah petanda akhir zaman kerana umat Islam tidak lagi berbangga dengan kerja-kerja amalnya dan mereka merasa besar dan gah dengan dosa yang dilakukan oleh mereka. Jika perkara ini tidak ditegah, maka ia juga akan merugikan semua pihak dan mengundang bala Allah yang datang tidak mengira darjat, iman dan bangsa.
 
Bersangka baik dalam kehidupan muslim juga mempunyai banyak kebaikan dan kelebihannya. Antaranya adalah;
  1. Mengelakkan manusia dan ummat daripada berpecah-belah antara satu sama lain yang akan merugikan masyarakat dan negara seperti kata pepatah ‘mencegah lebih baik dari mengubati’.
  2. Dapat membersihkan hati dari titik-titik hitam dan mencegah perkara-perkara mungkar dari terus bersarang di hati kita.
  3. Selalu merasa bahagia atas kejayaan yang dicapai orang lain walaupun diri sendiri belum berjaya dalam hidup.
  4. Mewujudkan sikap ingin bersaing yang positif antara satu sama lain. Kerana umat Islam yang mempunyai sikap ingin bersaing dengan orang yang telah berjaya akan mendatangkan keuntungan kepada semua umat Islam termasuk dirinya sendiri.
  5. Hubungan persahabatan dan persaudaraan akan menjadi lebih baik. Apabila hati bebas dari bersangka buruk terhadap, maka yang ada dalam hatinya adalah sangkaan yang baik-baik sahaja. Sudah pasti hatinya bertambah cinta pada saudaranya itu dan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama manusia.
  6. Mengelakkan daripada penyesalan dalam hubungan manusia sesama manusia kerana telah  menuduh manusia lain tanpa bukti yang kukuh.
Sumber Abu Hurairah radhiallahu anhu. memberitakan Nabi Muhammad sallallahualaihi wasallam bersabda;
إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ
“Jauhilah kamu dari prasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu adalah sebohong-bohong rekaan rasa hati (berita hati).” (Mutafaqun alaihi)

Pengajaran hadis ini;
  1. Islam mengajarkan umatnya agar memiliki hati yang suci-bersih, ikhlas dan tidak mudah menaruh prasangka buruk terhadap kata-kata atau perlakuan seseorang saudara Islam.
  2. Rasulullah sallallahualaihi wasallam melarang orang Islam memasang prasangka dan tohmah, sebab dia (prasangka dan tohmah) adalah tipu daya hawa nafsu atau andaian buruk semata-mata.
  3. Sesungguhnya prasangka itu tidak ada bukti dan dia tidak membawa kebenaran sedikit pun. Kesan dari sifat prasangka ini akan menimbulkan keretakan dalam masyarakat dan akan mengganggu keharmonian.
Firman Allah dalam al-Quran surah al-Hujurat ayat 6;
يَا أَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍۢ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَٰلَةٍۢ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَٰدِمِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya), sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Firman Allah dalam ayat yang lain dalam surah al-Israk ayat 36;
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۚ إِنَّ ٱلسَّمْعَ وَٱلْبَصَرَ وَٱلْفُؤَادَ كُلُّ أُو۟لَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـئُوْلًا
“Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang tidak kamu ketahui; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati nurani, semua anggota itu tetap akan diminta pertanggungjawabannya (ditanya di akhirat) tentang apa yang dilakukannya.”

Akhirnya marilah kita merenung syair yang ditulis Imam al-Syafi’ie tentang tips membuang jauh-jauh sifat buruk sangkan dalam diri kita;
وَعَيْنُ الرِّضاَ عَنْ كُلِّ عَيْبٍ كَلِيْلَةٌ.كَمَا أَنَّ عَيْنَ السُّخْطِ تُبْدِيْ الْمَسَاوِيْ
“Mata apabila dibalut dengan rasa cinta, maka yang nampak hanyalah yang indah-indah sahaja, tetapi apabila mata dibalut dengan rasa benci, maka yang nampak hanyalah yang keji-keji sahaja.”

0 ulasan:

Catat Ulasan

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews