Pemikiran Imam Hasan al-Banna Terhadap Ikhtilaf Umat Islam
Pada zaman dunia di hujung jari, sangat 
jarang kita dapat menjumpai para pendakwah Islam dan tokoh-tokoh ulama 
masa kini yang benar-benar memahami adab ikhtilaf seperti kefahaman yang
 dilumati oleh Imam Hassan al-Banna. Beliau mentarbiyah para pengikutnya
 dengan fahaman jernih. Ini kerana keinginannya yang sangat kuat melihat
 kesatuan umat Islam, dan usahanya yang bersungguh-sungguh, diiringi 
kesedarannya menyatukan gerakan-gerakan Islam. Biarpun usaha beliau 
tidak sepenuhnya terlestari pada zaman ini, bahkan ada yang sinis 
menggelarnya “utopian” dan “aspiran”, sekurang-kurangnya beliau dapat 
menyatukan usul dan fahaman Islamiyyah dalam gerakan dakwah. Dalam 
hubungan ini beliau telah membina – Usul 20 – yang terkenal menjadi 
rujukan seluruh gerakan Islam di seluruh dunia.
Adalah
 terlalu ideal untuk membayangkan terciptanya perpaduan secara drastik. 
Prosesnya mungkin memakan masa (tadarruj); yang penting semua pihak 
harus dirangsang terus-menerus ke arah perpaduan. Hassan al-Banna 
mengakui bahawa perbezaan pendapat dalam perkara-perkara furu’ dan 
hukum-hakam amaliah tidak mungkin dapat dihindarkan. Oleh itu, beliau 
telah mengutarakan masalah ini pada beberapa risalah dakwahnya. Sungguh 
indah dan banyak memberi faedah. Dalam risalahnya yang bertajuk – 
“Dakwatuna” (Dakwah Kita) – beliau berbicara tentang ciri-ciri dakwah 
adalah bersifat umum, tidak hanya disalurkan secara selektif, tidak 
memihak kepada pendapat yang mahsyur di kalangan manusia dengan corak 
yang tertentu sahaja, tetapi tepat menuju kepada inti agama dan jiwanya,
 bercita-cita untuk menyatukan matlamat sehingga amal yang dilakukan 
menjadi lebih positif dan hasilnya menyeluruh.
Hassan
 al-Banna bersama kebenaran di mana sahaja, beliau gemar melakukan 
permuafakatan dan bencikan anasir pertikaian melampau dalam masyarakat 
Islam. Baginya, cubaan yang paling berat kepada umat Islam ialah 
perpecahan dan pertikaian, sedangkan asas kemenangan itu ialah kesatuan.
 Sedangkan natijah tidak akan berakhir dengan baik khususnya kepada 
Gerakan Islam yang berpecah melainkan jika mereka memulakan langkah awal
 dengan perpaduan dan ukhuwah.
Imam Malik radhiallahu anhu pernah berkata kepada Abu Ja’afar;
لا
 تفعل فإن أصحاب رسول الله - صلى الله عليه وسلم - اختلفوا في الفروع، 
وتفرقوا في البلدان، وكل مصيب في رأيه، فلا نستطيع أن نخطئ أحدا منهم في 
اجتهاده، أو نلزم الناس برأي أحد منهم.
“Jangan kamu buat begitu kerana Para Sahabat Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam juga berselisih dalah perkara furuk (masing-masing mempunyai ilmu hujah)
 dan masing-masing telah bertebaran di beberapa buah kota, pandangan 
mereka juga masing-masing berada di atas kebenaran. Kita tidak mahu 
menyalahkan salah seorang daripada mereka kerana masing-masing 
berijtihad, kita juga tidak mahu manusia hanya mengagungkan satu 
pendapat sahaja (nescaya nanti akan berlaku fitnah).”
Lihatlah
 Imam al-Syafi’e rahimahullah membentuk “qaul qadim” di Iraq, 
kemudiannya membentuk qaul “jadid” di Mesir. Kedua-dua aliran pandangan 
itu diambilnya dengan apa yang terang dan nyata, beliau berusaha dengan 
sesungguhnya (berijtihad) supaya umat Islam berada dalam kebenaran. 
Ijma’ atas perkara furu’ adalah tuntutan yang mustahil, bahkan tidak 
mungkin berlaku dengan tabiat agama ini kerana itulah ketetapan Allah 
yang mengkehendaki bagi fekah agama ini sejalan dengan perkembangan 
semasa. Dengan itu seharusnya kita bersifat lembut, tidak “rigid” 
terhadap satu-satu pandangan.
Sedangkan Para Sahabat Nabi juga berbeza pendapat sekalipun mereka orang yang paling dekat dengan Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam, dan paling tahu mengenai qarinah-qarinah hukum. Lalu mengapa pula halnya kita bertegang urat, bersumpah seranah dalam perkara-perkara yang remeh-temeh yang tidak ada kepentingannya? Begitu juga para imam mazhab, manusia kurniaan Allah yang paling alim tentang Kitab-Nya dan Sunnah Rasul-Nya, turut berbeza pendapat antara satu sama lain, lalu kenapa kita tidak berlapang dada seperti mereka?
Sikap
 Hassan al-Banna tentang perbezaan pendapat dalam masalah fekah 
menunjukkan kedalamannya mengenai tabiat agama, sejarah dan realiti yang
 berlaku kepada umat Islam. Di antara pendirian bersifat amaliyah yang 
diceritakan mengenainya, beliau pergi menziarahi salah sebuah kampung 
untuk menyampaikan kuliyah. Kebetulan hari itu bulan Ramadan. Penduduk 
kampung di situ telah berpecah kepada dua golongan yang saling 
berselisih-faham tentang jumlah rakaat solat Tarawih. Adakah 20 rakaat 
sebagaimana yang dilakukan semasa pemerintahan Umar al-Khattab dan terus
 diikuti oleh manusia berabad-abad selepasnya, ataupun 8 rakaat sahaja 
sebagaimana telah warid dari perbuatan Baginda Nabi sallallahu‘alaihi 
wasallam?
Pendapat
 yang bertentangan dianut dengan fanatik oleh tiap-tiap golongan 
sehingga menyebabkan mereka berkelahi kerana masing-masing mendakwa 
bahawa kebenaran berada di pihaknya. Justeru Hassan al-Banna menerangkan
 kepada mereka sejelas-jelasnya; 
 التراويح
 سنة واتحاد المسلمين فريضة، فكيف نضيع فريضة من أجل سنة؟! وأنهم لو صلوا 
في بيوتهم دون أن يتعادوا ويتشاجروا، لكان خيرا لهم وأقوم.
“Mengerjakan
 tarawih itu hukumnya sunat, adapun kesatuan kaum Muslimin ini wajib. 
Adakah patut (dalam syariat Allah yang suci ini) kita abaikan yang wajib
 kerana hendak memelihara yang sunat? Seandainya mereka (tetap 
memelihara ukhuwah) balik ke rumah tanpa berkelahi dan berbantah-bantah 
(agar tiap-tiap kamu dapat mengerjakan solat tarawih mengikut bilangan 
yang dianggapnya lebih kuat dalilnya) itu adalah lebih baik.”
Dalam peristiwa yang lain Hassan al-Banna pernah ditanya mengenai perkara “tawassul”, belum sempat orang yang bertanya itu melanjutkan lagi persoalannya lantas beliau menjawab;
يا
 أخي أظنك لا تريد أن تسألني عن هذه المسألة وحدها، ولكنك تريد أن تسألني 
كذلك في الصلاة والسلام بعد الأذان، وفي قراءة سورة الكهف يوم الجمعة، وفي 
لفظ السيادة للرسول الجس في التشهد، وفي قراءة القرآن وهل يصل ثوابها إلى 
الميت أو لا يصل، وفي هذه الحلقات التي يقيمها أهل الطرق وهل هي معصية أو 
قربة إلى الله؟ وأخذت أسرد له مسائل الخلاف جميعا التي كانت مثار فتنة 
سابقة وخلاف شديد فيما بينهم.
“Saudaraku,
 aku rasa engkau tidak hanya ingin bertanya tentang ini sahaja bukan? 
Tetapi engkau juga ingin bertanya tentang bacaan doa dan salawat setelah
 azan, bacaan surah al-Kahfi pada hari Jumaat, lafaz Sayyidina untuk 
Rasulullah dalam tasyahud, bacaan al-Quran adakah sampai pahalanya 
sampai kepada mayat atau tidak? Termasuklah perkumpulan yang diadakan 
ahli-ahli tarekat, apakah hal itu merupakan bentuk kemaksiatan ataukah 
taqarrub kepada Allah? Aku sengaja mengungkapkan kepada mereka tentang 
pelbagai masalah khilafiyah yang menjadi sebab terjadinya fitnah lampau 
dan perselisihan keras di antara mereka.” 
Pemuda itu kehairanan dengan apa yang dikemukakan oleh Hassan al-Banna sambil mengatakan;
نعم أريد الجواب على هذا كله
“Ya, benar. Saya memang ingin jawapan mengenai itu semua.”
Antara kenyataan Hassan al-Banna kepada pemuda tersebut;
هذه
 المعرفة لا تفيدكم شيئا، وقد قضيتم في جو الفتنة منذ سنوات، وفيها 
الكفاية. وهذه المسائل اختلف فيها المسلمون مئات السنين ولا زالوا مختلفين 
والله تبارك وتعالى يرضى منا بالحب والوحدة ويكره منا الخلاف والفرقة، 
فأرجو أن تعاهدوا الله أن تدعوا هذه الأمور الآن وتجتهدوا في أن نتعلم أصول
 الدين وقواعده، ونعمل بأخلاقه وفضائله العامة وإرشاداته المجمع عليها، 
ونؤدي الفرائض والسنن وندع التكلف والتعمق حتى تصفو النفوس ويكون غرضنا 
جميعا معرفة الحق لا مجرد الانتصار للرأي.
“Pengetahuan
 kamu tentang hal ini sama sekali tidak akan membawa manfaat. Kalian 
sudah tenggelam dalam iklim fitnah sejak bertahun-tahun. Itu sudah 
cukup. Masalah seperti ini telah diperselisihkan kaum Muslimin ratusan 
tahun lamanya dan mereka masih saja berselisih. Meskipun demikian, Allah
 tetap redha apabila kita saling mencintai dan saling menjalin 
perpaduan. Allah benci apabila kita berselisih dan berpecah belah. Oleh kerana
 itu, saya berharap agar kamu berjanji kepada Allah untuk dapat 
meninggalkan persoalan-persoalan seperti ini mulai sekarang. Kita 
bersungguh-sungguh untuk bersama-sama mempelajari dasar-dasar agama dan 
kaedah-kaedahnya, mengamalkan ajaran-ajaran agama secara umum dan yang 
kita sepakati bersama, serta kita amalkan kewajipan-kewajipan dan 
sunnah-sunnahnya sekaligus. Kita tinggalkan sikap takalluf (mengada-ada)
 dan ta’ammuq (terlalu dalam menyelami persoalan) agar jiwa kita dapat 
jernih. Tujuan kita hanyalah mengetahui kebenaran, bukan sekadar memenangkan suatu pendapat.” 
Dalam
 “al-Sohwatu al-Islamiyah Bayna al-Juhud wa al-Tatorruf”, ketika 
pemikiran Hassan al-Banna ini diceritakan Syaikh Dr Yusuf al-Qaradawi, 
tiba-tiba muncul persoalan lain yang ditujukan seseorang kepadanya;
 هذا فرار من قول الحق، وبيان السنة من البدعة، وهذا واجب. 
“Kenyataan
 (Hassan al-Banna) adalah melarikan diri dari kebenaran, lari 
menjelaskan sunnah dari perbuatan bidaah sebagai urusan yang wajib 
dilakukan.”
Lalu al-Qaradawi menjawab membela reaksi Hassan al-Banna menangani isu-isu ikhtilaf;
 هذا
 صحيح حين يدور الأمر بين حلال و حرام، أو بين حق وباطل، أما الأمور التي 
اختلفت فيها المدارس الفقهية، وغدا لكل منها فيها وجهة، ودار الأمر فيها 
عادة بين الجائز والأفضل فلا داعي للتشدد والتعنت فيها.
“Betul
 jika perkara itu berkisar di antara yang halal dan haram, di antara hak
 dan yang batil. Adapun perkara-perkara yang menjadi perselisihan dalam 
aliran-aliran fikah, di mana masing-masing mempunyai hujjah yang 
pelbagai, dan perkara itu biasanya berkisar di antara yang harus dan 
yang lebih afdhal, maka tidak ada sebabnya kita bersikap keras dan 
menyusahkan orang untuk berpegang dengan satu pendapat sahaja.” 
Demikianlah
 beberapa butiran kisah Hassan al-Banna yang dapat kita 
jadikan bahan renungan dalam rangka menggagaskan sebuah Piagam Perpaduan
 Ummah. Tidak ada formula sebaik manapun yang dapat mewujudkan perpaduan
 andainya hati mereka yang terlibat tidak bersedia untuk berpadu. 
Mudah-mudahan Allah berkenan melimpahkan nikmat kelembutan dan kedamaian
 hati kita semua. Usaha mengatasi bencana akibat khilaf ini harus 
bermula dengan muhasabah diri melakukan penilaian introspektif untuk 
mengenal pasti pengetahun, hukum-hakam dan ayat mana yang telah kita 
abaikan. 
Gagasan kesatuan umat Islam ini sama sekali tidak boleh diabaikan kerana;
- Allah dan Rasul memerintahkan umat Islam bersatu-padu
- Musuh Islam tidak menjalankan agenda menjatuhkan Islam secara individual tetapi secara berorganisasi di samping hubungan yang padu di antara organisasi-organisasi yang lain
- Tidak akan mampu jamaah bersendirian mengenepikan jamaah-jamaah yang lain dalam mengangkat syiar Islam
Sesungguhnya
 memelihara perpaduan memang sukar, dan lebih sukar lagi memadukan 
semula yang sudah pecah bertaburan. Demikianlah kalau sudah tidak ada 
lagi sikap saling percaya di kalangan umat. Bagaimana mungkin kita 
mengharapkan berlakunya pertemuan, perundingan dan perdamaian yang tulen
 kalau di lubuk hati masing-masing tersimpan rasa tidak percaya kepada 
pihak lain. Kerana itu langkah ke arah mewujudkan perpaduan harus juga 
bermula dengan usaha menumbuhkan sikap saling percaya dan 
hormat-menghormati di kalangan sesama umat sepertimana sikap yang pernah
 ditunjukkan oleh Hassan al-Banna.
 
0 ulasan:
Catat Ulasan