Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Selasa, 22 Disember 2015

Hadirlah Jiwa Yang Ikhlas

Ikhlas ialah melakukan amalan semata-mata mencari keredhaan Allah, tanpa dicampuri dengan tujuan dunia. Amalannya tidak dicampuri dengan keinginan dunia, keuntungan, pangkat, harta, kemasyhuran, kedudukan tinggi di kalangan manusia, meminta pujian, lari dari kejian, mengikut hawa nafsu yang tersembunyi atau lain-lain lagi yang boleh dihimpunkan dalam, “melakukan amalan bukan kerana Allah.” Ikhlas dengan makna ini adalah buah dari tauhid yang sempurna iaitu mengesakan Allah dalam ibadat. Kerana itulah riya’ (menunjuk-nunjuk) yang merupakan lawan kepada ikhlas adalah perbuatan syirik.

Al- Imam Asy Syahid Hasan Al-Banna berkata;
وأريد بالإخلاص أن يقصد الأخ بقوله وعمله وجهده وجهَ الله، وابتغاءَ مرضاته وحُسْنَ مثوبته، من غير نظرٍ إلى مغنم أو مظهر أو جاه أو لقب أو تقدُّم أو تأخُّر، وبذلك يكون جندي فكرة وعقيدة لا جندي غرض ومنفعة
“Yang saya maksudkan dengan ikhlas ialah saudara mestilah mengharapkan segala aspek lisan, amalan dan perjuangan kerana Allah. Mengharapkan keredhaan Allah sebaik-baik ganjaran dengan tidak memandang kepada sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran, kedudukan terkemuka atau mundur. Dengan itu saudara menjadi pejuang fikrah dan aqidah, bukan pejuang yang mengejar sesuatu atau kepentingan.”

Firman Allah di dalam surah Al-Ana’am 162-163;
قُلْ إِنَّ صَلاتِيْ وَنُسُكِيْ وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِيْ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ. لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ
“Katakanlah olehmu: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian itulah aku diperintahkan.”

Setiap amal soleh mempunyai dua rukun. Allah tidak menerima sesuatu amalan melainkan jika memenuhi dua rukun tersebut iaitu;
  1. Ikhlas
  2. Bertepatan dengan sunnah dan syara’
Dengan rukun yang pertama tercapailah kesahihan batin dan dengan yang kedua tercapailah kesahihan lahir. Berkenaan dengan rukun yang pertama. Allah mengingatkan;
قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ 
“Sesungguhnya aku diperintahkan supaya mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama.” (surah al-Zumar ayat 11)

Ikhlas mempunyai banyak tanda dan alamatnya yang banyak. Ia terserlah di dalam kehidupan orang yang ikhlas akhlaknya dan pandangannya kepada diri sendiri dan manusia. Di antara tanda dan alamat tersebut ialah :
  1. Orang yang ikhlas takutkan kemasyhuran dan sanjungan yang boleh membawa fitnah kepada diri dan agamanya. Lebih-lebih lagi jika beliau seorang yang berkebolehan. Beliau meyakini bahawa Allah menerima sesuatu berdasarkan batin bukannya zahir, jika seseorang manusia itu memiliki kemasyhuran di seluruh pelusuk dunia sekalipun, sedangkan niatnya bercampur-baur, maka ia tidak memberi apa-apa makna.
  2. Orang yang ikhlas sentiasa menganggap dirinya cuai terhadap Allah, lalai dalam melaksanakan ibadat, tidak dapat mengawal hati dan dimasuki oleh sifat megah dan taajub dengan diri sendiri.
  3. Orang yang ikhlas lebih suka melakukan amalan kebaikan secara tersembunyi dari amalan yang dipenuhi dengan iklan dan irama paluan kemasyhuran. Di dalam jamaah beliau lebih suka menjadi seperti tunjang pokok. Walaupun tunjang tersembunyi di dalam perut bumi dan tidak dapat dilihat mata, namun ia adalah asas untuk pokok itu tegak dan hidup.
  4. Sama sahaja di sisi orang yang ikhlas sebagai pemimpin atau tentera, selagi mana kedua-duanya adalah berkhidmat dengan dakwahnya. Hatinya tidak dapat dikuasai oleh perasaan cinta untuk muncul ke depan, berada di barisan hadapan, mahu menjadi pemimpin dan menjawat bahagian kepemimpinan. Bahkan mungkin beliau lebih mengutamakan untuk menjadi tentera biasa kerana takut berlaku cuai dalam melaksanakan kewajipan dan tugas kepimpinan. Dalam setiap perkara, beliau tidak berusaha untuk menjadi ketua dan tidak memintanya. Tetapi jika beliau dibebankan dengan tugas tersebut, beliau memikulnya dan memohon pertolongan dari Allah dalam melaksanakannya.
  5. Orang yang ikhlas tidak menghiraukan keredhaan manusia jika disebaliknya adalah kemurkaan Allah. Sesungguhnya manusia berbeza-beza dari sudut tabiat, kecenderungan, cara berfikir dan matlamat mereka. Jadi percubaan untuk mendapat keredhaan mereka adalah satu matlamat yang tidak akan tercapai.
  6. Orang yang ikhlas segala cinta dan benci, memberi dan menahan, redha dan marah, adalah kerana Allah bukan kerana diri dan manfaatnya. Dia tidak menjadi orang seperti orag-orang yang mengejar manfaat yang terdiri dari golongan munafiq yang dicela Allah.
  7. Orang yang ikhlas tidak bersifat malas, lembab atau ketinggalan kerana perjalanan yang jauh, buah yang lambat dapat dipetik, lambat mendapat kejayaan dan penat bekerja dalam menghadapi manusia yang bermacam ragam.
  8. Orang yang ikhlas gembira dengan setiap kemunculan orang yang mempunyai kelayakan dalam barisan orang-orang yang bekerja untuk membawa panji-panji, memberi saham kepada amal dan memberi peluang kepada setiap yang berkebolehan menggantikan tempatnya tanpa cuba menyekat dan menghalangnya, atau menghina dan marah kepadanya. Bahkan kita melihat bahawa orang yang ikhlas itu, apabila melihat ada orang yang lebih baik darinya dalam memikul tugas, beliau mengundur diri dalam keadaan redha. Beliau akan mengutamakan orang itu dari dirinya dalam keadaan taat dan bahagia kerana beliau mengundur setapak ke belakang.
Mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah dalam ibadat adalah satu perkara asasi untuk amalan diterima dan berjaya. Niat yang bercampur-baur merosakkan amalan, mencemarkan jiwa, melemahkan saf dan menghilangkan pahala.
Sesungguhnya kebenaran tidak akan memimpin, kebaikan tidak akan tersebar, keadilan tidak akan tertegak, panji-panji kemuliaan akan jatuh dengan wujudnya orang-orang yang menggadaikan prinsip semata-mata mencari keuntungan duniawi dan orang-orang yang bersifat riya’ yang hanya mahu diri mereka dilihat orang, kata-kata mereka didengar, mereka menjadi buah mulut masyarakat dan boleh mengarahkan orang lain dengan jari telunjuk. Kebenaran, kebaikan dan kemuliaan hanya akan tegak dengan orang-orang yang ikhlas, yang berpegang teguh dengan prinsip, yang boleh mempengaruhi orang lain, bukan dipengaruhi. Mereka adalah orang-orang yang berkorban bukannya mengambil manfaat, memberi bukannya mengambil.
Penyakit-penyakit hati yang bercampu-baur dengan ikhlas dan merosakkan niat lebih bahaya dari penyakit tubuh badan. Ia boleh menggugurkan pahala dan menjauhkan orang dari jalan da’wah yang betul. Ia memang wujud dalam diri kita, tetapi kita boleh membendungnya dengan iman dan taqwa. Perkara ini memerlukan kesedaran dari kita, sentiasa muhasabah niat dan membersihkannya dari bercampur dengan penyakit-penyakit hati.

Rasulullah sallallahualaihi wasallam menyatakan sebuah hadis yang panjang yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, no 3527, Kitab al-Imarah;
إِنَّ أَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ قَاتَلْتُ فِيكَ حَتَّى اسْتُشْهِدْتُ قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ قَاتَلْتَ لِأَنْ يُقَالَ جَرِيءٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ 
“Antara yang terawal diadili di hari kiamat kelak adalah mereka yang mati syahid. Kemudian ditanya kepada mereka: Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)? Jawabnya: Aku telah berjuang untuk-Mu (wahai Allah) sehingga mati syahid. Dibalas: Kamu berbohong, tetapi kamu berjuang untuk digelar  “WIRA”, maka dikatakan, telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.”

وَرَجُلٌ تَعَلَّمَ الْعِلْمَ وَعَلَّمَهُ وَقَرَأَ الْقُرْآنَ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ وَعَلَّمْتُهُ وَقَرَأْتُ فِيكَ الْقُرْآنَ قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ عَالِمٌ وَقَرَأْتَ الْقُرْآنَ لِيُقَالَ هُوَ قَارِئٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ 
“Lelaki kedua pula seorang yang belajar ilmu, mengajar al-Quran dan baca ditanya: Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu) dengan ilmu itu? Jawabnya: Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membacakan al-Quran kerana-Mu. Dijawab semula: Kamu berbohong, kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar “ALIM”, kamu membaca Al-Quran agar digelar “QARI”, maka dikatakan, telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.”

وَرَجُلٌ وَسَّعَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَعْطَاهُ مِنْ أَصْنَافِ الْمَالِ كُلِّهِ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ مَا تَرَكْتُ مِنْ سَبِيلٍ تُحِبُّ أَنْ يُنْفَقَ فِيهَا إِلَّا أَنْفَقْتُ فِيهَا لَكَ قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ فَعَلْتَ لِيُقَالَ هُوَ جَوَادٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ ثُمَّ أُلْقِيَ فِي النَّارِ
“Ditanyakan kepada (orang ketiga) yang diberikan kekayaan untuk diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak lalu ditanya tentang nikmat tersebut: Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)? Jawabnya: Tidak aku sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali telah aku dermakannya kerana-Mu. Dijawab semula: Kamu berbohong kamu mendermakannya agar kamu digelar “DERWAMAN”, maka dikatakan kepadanya, telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.”

Semoga kita semua dijauhkan kita semua dari racun hati oleh si musuh Allah yang sentiasa bekerja keras untuk istiqamah atas landasan ikhlas yang sebenarnya. Bagi sesiapa yang telah berjaya ikhlas, tiba-tiba dipuja dan puji oleh manusia atas sumbangan dan kebaikannya, segala itu tidak memberikan kesan kepada kecintaan dan niatnya yang ikhlas kepada Allah.

0 ulasan:

Catat Ulasan

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews