Sejahtera Bersama Islam
Marilah kita menghayati akan firman Allah di dalam al-Quran, surah al-Taghaabun, ayat 1 :-
يُسَبِّحُ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Senantiasa
bertasbih kepada Allah apa yang di langit dan apa yang di bumi; hanya
Allah-lah yang mempunyai semua kerajaan dan semua puji-pujian; dan Dia
Maha Kuasa atas segala sesuatu.” [al Taghaabun : 1]
Dunia
kini mengeluh kerana dikepung dan dikongkong krisis ekonomi, politik
dan moral. Kedengaran rungutan kezaliman di sana-sini, pencabulan
terhadap hak asasi manusia, rasuah dan merebaknya pelbagai jenis jenayah
dan maksiat.
Agama dianggap urusan peribadi tanpa
hidayah dan dipisahkan daripada urusan duniawi. Politik pula dianggap
urusan dunia dan peluang meraih kepentingan peribadi, keluarga dan puak.
Ekonomi
negara yang diurus secara tidak adil telah mencetuskan kesusahan hidup
rakyat apabila peluang pembahagian harta berpusing di kalangan orang
tertentu sahaja, sehingga berlakunya salah guna kuasa dan harta negara
diambil secara salah. Maka berlaku kebocoran daripada pendapatan negara,
sedangkan majoriti rakyat yang berpendapatan rendah semakin terbeban
dengan harga barangan keperluan yang makin meningkat.
Kerajaan
pula mengambil penyelesaian secara mudah tanpa kajian mendalam dan
menyeluruh, lalu meningkatkan kadar cukai sedia ada atau melaksanakan
cukai baharu seperti GST dan apa-apa sahaja. Maka berlakunya kesan
sampingan dengan peningkatan inflasi, kekurangan pendapatan dan
sempitnya peluang pekerjaan sehingga membebankan kehidupan rakyat
apabila pendapatan tidak lagi mampu menampung perbelanjaan kos sara
hidup yang tinggi, tabungan terjejas, dan hutang isi – rumah melebar.
Lebih
parah lagi, kadar jenayah berat yang membahayakan komuniti masyarakat
semakin meningkat seperti merompak, membunuh, mencuri, menipu dan
lain-lain. Masalah jenayah ringan seperti keruntuhan akhlak, merosakkan
diri dan keluarga dianggap senarai yang dikemudiankan dan dipandang
mudah. Oleh kerana negara kita juga berada dalam dunia, maka kita tidak
terlepas daripada wabak ini. Sebabnya manusia sendiri yang melakukan
kejahatan. Firman Allah :
ظَهَرَ
الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ
لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah
timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan
sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya
yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada
balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya
mereka kembali (insaf dan bertaubat).” [ar-Rum: 41]
Kebanyakan
manusia tidak pedulikan betapa mereka sangat berhajat kepada hidayah
Allah Rabbi al-‘Alamin (Pencipta alam), tidak sedar akan kelemahan diri
sebagai makhluk ciptaan Allah yang tetap punya kelemahan. Namun
seringkali mereka tidak mengaku salah malah mendabik dada mengaku paling
bijak, sehingga melupakan petunjuk Allah Pencipta Alam, Yang Maha
Bijaksana dan Maha Adil terhadap seluruh alam. Punca masalahnya apabila
manusia meninggalkan petunjuk Allah yang bernama Islam.
Firman Allah :
أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ
“Patutkah
sesudah (mengakui dan menerima perjanjian oleh umat terdahulu kepada
Rasul zamannya) mereka mencari lain daripada Agama Allah (Islam)? Pada
hal kepada-Nyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di
bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa (mengikut sifat naluri)
dan kepada-Nyalah mereka dikembalikan.” [Aali-Imran: 83]
Puncanya
adalah meninggalkan Islam, lalu merosakkan diri sendiri apabila melawan
ciri-ciri fitrah manusia, apabila memisahkan jasad daripada akal dan
roh, memisahkan aspek kemasyarakatan, berpolitik, ekonomi dan lain-lain
daripada agama, laksana memutuskan mata rantai yang menjadikannya tidak
berfungsi dengan betul.
Ada pula yang cuba meninggalkan
nas yang nyata dari al-Quran dan as-Sunnah, dengan menjadikan alasan
maqasid syariah, siyasah syar’iyyah dan fiqh aulawiyat dan seumpamanya
untuk mencari alasan meminggirkan Islam dalam kehidupan. Maka di cari
lah pandangan dan tafsiran longgar dari kalangan Islam yang berfikiran
sebegini untuk dijadikan hujah yang diulang-ulangi di atas nama Islam.
Pada masa yang sama kalangan penentang Islam bersorak gembira menumpang
sama menyebar-luaskan hujah sebegini tanpa sempadan, tanpa menyedari
bahawa tindakan seperti itu adalah bercanggah dengan panduan al-Quran
dan as-Sunnah yang mutawatir.
Akhirnya politik juga
dipisahkan daripada agama, menjadikan urusan pemerintahan yang menjadi
payung dan pengawas kepada cara hidup bermasyarakat terkeluar daripada
kawalan petunjuk Allah Pencipta Alam dan terkeluar daripada peranan
manusia sebenar. Fitnah berleluasa, yang akhirnya dikutip oleh “pelampau
media” seolahnya tiada lagi pertimbangan dosa dan pahala; syurga dan
neraka.
Di sinilah hikmahnya Islam menjadikan urusan
negara adalah amanah yang terbesar dalam melaksanakan petunjuk dan
perintah Allah, bukan pada nama dan slogan. Firman Allah :
۞
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا
وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ إِنَّ
اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللَّهَ وَأَطِيعُواْ
الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ
فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً
“Sesungguhnya
Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada
ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di
antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.
Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang
sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi
sentiasa Melihat. Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada
Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri"
(orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu
berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah
kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah)
Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang
demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula
kesudahannya)” [al-Nisa’: 58-59]
Allah menjadikan
kewajipan menegakkan pemerintahan yang adil kepada seluruh manusia
dengan petunjuk dan pelaksanaan hukum syariat-Nya (yang mewajibkan
kepimpinan orang-orang yang beriman dan para ulama’ yang diringkaskan
dengan istilah Ulu al-Amri, sehingga dikaitkan dengan beriman kepada
Allah dan Hari Akhirat menjadi teras kepada segala rukun iman) merupakan
satu-satunya penyelesaian yang datang daripada Allah yang dinamakan
Islam.
Islam berprinsipkan di atas asas-asas
terpentingnya iaitu : aqidah tauhid, beriman kepada Allah dan Hari
Akhirat, dan berkonsepkan taqwa dan adil. Semua asas-asas ini adalah
petunjuk Allah yang dibawa oleh semua para Rasul sehingga Nabi Muhammad
ﷺ, Rasul akhir zaman. Para Rasul terdahulu yang berpeluang
melaksanakannya telah membuktikan akan kebenarannya apabila diimani dan
diamalkan telah mencapai kejayaan di zaman masing-masing.
Allah
telah mengisahkan Nabi Daud, Nabi Sulaiman dan Raja Zulqarnain yang
berjaya bersama Islam di zaman masing-masing. Allah juga menceritakan
kemusnahan Kaum ‘Aad, Thamud, Babylon dan Firaun yang hancur musnah
bersama tamadun kebendaannya yang kaya-raya dibina di atas jahiliyah
yang penuh dengan kejahatan dan kezaliman kerana menentang para Rasul.
Malangnya manusia hari ini semata-mata menjadikannya sebagai tempat
pelancongan di kawasan tinggalan sejarah tamadun kerajaan yang
dimusnahkan kerana kezalimannya, tanpa mengambil iktibar dari peristiwa
yang menjadi bahan sejarah ini.
Walaupun mereka berada
di bumi yang tidak ada sumber ekonomi dan kekuatan politik yang
bertamadun kebendaan, mereka telah berjaya bersama Islam. Mereka berjaya
membawa obor Islam dengan kejayaan di zaman keemasannya, mengumpulkan
ilmu wahyu dan ilmu akal manusia yang ditapis daripada tamadun yang
dicipta oleh berbagai-bagai kaum dengan mengambil kebijaksanaannya
sahaja dan menolak kemungkarannya.
Mereka berjaya
menjadikan jasadnya berakal, berilmu dan roh yang berhidayah, bersama
dengan kemajuan kebendaan yang berkat, untuk melaksanakan perintah
beribadat (hubungan dengan Allah dan mematuhi petunjuknya), berkhilafah
(mentadbir politik, ekonomi dan lain-lain serta urusannya) dan beramanah
(melaksanakan kewajipan syariat yang sempurna).
Berpaksikan
tujuan penciptaan manusia ini, maka di atas empat perkara asas iaitu
(1) Tauhid, (2) Beriman pada hari Akhirat, (3) Taqwa, dan (4) Adil
kepada semua; Islam telah berjaya memimpin dunia dan membina ketamadunan
dalam tempoh beberapa abad keemasan sehingga tamadun Islam telah
menguasai sebahagian besar benua daripada Timur Jauh sehingga Afrika
Utara dan Selatan Eropah.
Bertunjangkan Aqidah Tauhid
Aqidah
tauhid mengesakan Allah sahaja, tuhan yang diibadatkan kepada-Nya
dengan jasad, roh dan akal. Aqidah ini menjadikan manusia itu tidak
berlagak menjadi tuhan apabila berkuasa memerintah negara, diberi nikmat
kehidupan berpangkat atau berharta.
Dengan tegas,
aqidah tauhid menolak kesyirikan secara menyeluruh. Bukan sahaja
diharamkan beribadat menyembah berhala atau patung, termasuk juga
diharamkan menyembah makhluk yang lain dan sesama manusia serta tidak
mengadakan undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh
Allah.
Maka Islam menolak diktator yang bertuhankan
pemimpin individu atau bertuhankan kelompok. Islam menolak bertuhankan
rakyat tanpa hidayah yang bertopengkan demokrasi yang kononnya suara
rakyat adalah suara keramat, seperti tuhan yang diwarisi daripada
demokrasi purba tetapi rakyat yang ditipu.
Islam juga
menolak teokrasi yang bertuhankan agamawan yang bertopengkan agama.
Semuanya menjadikan dirinya seperti tuhan atau memilih wakil rakyat
secara menipu rakyat dan menjadikan rakyat sebagai hamba.
Islam
juga menolak ideologi yang bertuhankan harta, tiba-tiba segala khazanah
negara menjadi miliknya, boleh diambil dengan apa jua cara sekalipun
dan mengunakannya tanpa batas sempadan halal dan haram, sama ada secara
Liberal Kapitalis atau Komunis dan Sosialis.
Aqidah
Islam menjadikan tidak ada manusia yang boleh mengatasi undang-undang
termasuk raja-raja atau ketua negara sehingga mengharamkan mereka
berlagak menjadi tuhan, walaupun dia seorang Rasul. Allah berfirman :
مَا
كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ
وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُواْ عِبَادًا لِّي مِن دُونِ
اللَّهِ وَلَكِن كُونُواْ رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ
الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ
“Tidaklah
patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama
dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian dia tergamak mengatakan kepada
orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan
meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya dia
berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyyin (yang hanya
menyembah Allah Taala dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu
sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu dan kerana kamu selalu
mempelajarinya)” [Aali-Imran: 79]
Firman Allah:
اتَّخَذُواْ
أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ
وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُواْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ
إِلَهًا وَاحِدًا لاَّ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
“Mereka
menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai
tuhan-tuhan selain daripada Allah dan juga (mereka mempertuhankan)
Al-Masih Ibni Mariam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk
menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.” [al-Taubah: 31]
Firman Allah:
أَمْ
لَهُمْ شُرَكَاء شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ
اللَّهُ وَلَوْلا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ
الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
“Patutkah
mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari
agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan
kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari
Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu),
tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat
demikian) dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab
seksa yang tidak terperi sakitnya)” [al-Syura: 21]
Aqidah
beriman kepada Allah menjadikan politik, ekonomi dan segala urusan
manusia tunduk kepada perintah Allah yang wajib bersifat adil.
Istiqamah Dengan Beriman Kepada Hari Akhirat
Adapun
aqidah beriman kepada Hari Akhirat menjadikan semua tindak tanduk
manusia tanpa mengira sesiapa, tetap ada perhitungan dosa dan pahala,
yang menentukannya mengikut hisab amalannya.
Maka yang
terlepas daripada dihukum di dunia kerana kedudukannnya yang bijak
menipu atau dapat mengatasi undang-undang kerana kuasanya, menjadikan
imannya tetap percaya adalah tidak terlepas dari hukuman di Hari Akhirat
yang lebih berat. Firman Allah :
يَوْمَ
نَدْعُو كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَامِهِمْ فَمَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ
بِيَمِينِهِ فَأُولَئِكَ يَقْرَؤُونَ كِتَابَهُمْ وَلاَ يُظْلَمُونَ
فَتِيلاً
“(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap
kumpulan manusia dengan nama imamnya (suratan amal , atau nabi atau
pemimpin) ; kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka
mereka itu akan membacanya (dengan sukacita) dan mereka tidak
dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun)” [al-Isra’: 71]
Firman Allah :
وَعُرِضُوا
عَلَى رَبِّكَ صَفًّا لَّقَدْ جِئْتُمُونَا كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ
مَرَّةٍ بَلْ زَعَمْتُمْ أَلَّن نَّجْعَلَ لَكُم مَّوْعِدًا. وَوُضِعَ
الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ
يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَذَا الْكِتَابِ لا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلا
كَبِيرَةً إِلاَّ أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلا
يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
“Dan mereka tetap akan
dibawa mengadap Tuhanmu dengan berbaris teratur, (sambil dikatakan
kepada mereka): Kamu sekarang telah datang kepada Kami (berseorangan)
sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya; bahkan kamu dahulu
menyangka, bahawa kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang
tertentu (untuk melaksanakan apa yang Kami telah janjikan). Dan
Kitab-kitab Amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat
orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di
dalamnya dan mereka akan berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab
ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang
besar, melainkan semua dihitungnya dan mereka dapati segala yang mereka
kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya) dan (ingatlah) Tuhanmu tidak
berlaku zalim kepada seseorang pun.)” [al-Kahfi: 48-49]
Memahami & Berpegang Pada Konsep Taqwa Dalam Bernegara
Konsep
taqwa menggantikan kebanggaan terhadap asabiyah bangsa, kaum, jantina,
warna kulit, pangkat dan harta. Taqwa menjadikan manusia bermasyarakat
madani secara istiqamah dan tidak boleh melakukan sewenang-wenangnya
kerana perbezaan bangsa, agama, harta, keturunan, pangkat dan jantina.
Firman Allah:
يَا
أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَى
وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ
عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
“Wahai
umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku
puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan
yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang
yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau
bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam
PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” [ al-Hujurat: 13]
Konsep
adil dalam Islam yang lahir daripada konsep taqwa adalah mutlak
terhadap semua dan segala aspek kehidupan manusia, termasuk adil
terhadap musuh sehingga dikaitkan dengan konsep taqwa. Perkara ini
dinyatakan oleh firman Allah :
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاء
بِالْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ
تَعْدِلُواْ اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُواْ اللَّهَ
إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
“Wahai
orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi
orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan
kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum
itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu
berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir
kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan).” [al-Maidah: 8]
Rasulullah
ﷺ menegaskan keikhlasannya menyelamatkan manusia bersama Islam kepada
pemimpin-pemimpin Arab yang mahukan jawatan sebelum menang atau meminta
cadangan kabinet bayangan sebelum menang. Firman Allah :
۞إِنَّ
اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاء ذِي الْقُرْبَى
وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاء وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ
لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
“Sesungguhnya
Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan
kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan
yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan
dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya).” [al-Nahl: 90]
Setelah
Rasulullah ﷺ selesai menegakkan negara yang dididik kepimpinannya
dengan jati diri Islam, maka baginda mengutus surat kepada ketua-ketua
kerajaan kuasa besar dan kecil dikelilingnya supaya menerima tawaran
penyelesaian Islam.
Apabila Raja Habsyah, Raja Oman,
Raja Bahrain dan ketua-ketua kaum menerimanya, mereka semua dikekalkan
di tempat masing-masing. Adapun yang menolaknya, diturunkan daripada
jawatan dan digantikan dengan mereka yang beriman dan bertaqwa bersama
Islam dengan jati dirinya mengikut acuan aqidah tauhid, beriman kepada
Hari Akhirat, taqwa dan adil.
Inilah pendekatan yang
wajib dilakukan oleh kita yang menyambung risalah Nabi Muhammad ﷺ ini.
Tugas kita bukan selesai setakat menukar pemimpin, tetapi perlulah
menukar jati dirinya dengan aqidah, syariat, akhlak dan pendekatan
dengan prinsip dan konsep tersebut.
Maka pemimpin wajib
bertukar sekiranya berdegil dengan prinsip dan konsep yang salah, demi
menyelamatkan umat dan negara. Tegakkan Islam di dalam diri akan
menyelamatkan negara. Manakala menegakkan negara tanpa jati diri
Islamnya negara tetap tidak selamat. Inilah konsep dan falsafahnya
bernegara yang menjadi idaman untuk kita capai di Malaysia, sebagai satu
wawasan yang berterusan hingga ke hari Kiamat.
PAS & Siyasah mendepani PRU-14
Hiruk
pikuk politik pilihanraya di kalangan parti-parti politik dalam negara
kita ini menyebabkan semuanya teruja, sehingga dilihat oleh rakyat
begitu galak mengagih-agihkan jawatan itu dan ini sekiranya menang dalam
PRU-14 nanti. Memang itulah gayanya yang sedang berlaku di luar sana
setiap kali sebelum sesuatu pilihanraya umum, menerusi politik moden –
liberal – pragmatik – sekular.
Bagi PAS, kita ingin
mengambil iktibar dari apa yang di sabdakan oleh Rasulullah ﷺ kepada
Bani ‘Amir ketika ditanya siapakah yang akan menjadi pemimpin dalam
negara yang akan didirikan oleh Nabi ﷺ :
الملك لله يؤتيه من يشاء
Apa
yang kita kesalkan ialah, ada juga di kalangan parti politik yang
berlumba-lumba untuk menjadi penentang agenda untuk meninggikan syiar
Islam di kalangan rakyat beragama Islam dalam negara kita ini. Mereka
saling cabar mencabar, siapa yang lebih dahulu dan paling kuat menentang
syiar Islam, seolahnya menjadi kebanggaan baharu di zaman ini. Tindakan
sebegini sekiranya berterusan, adalah ancaman terbesar kepada
keharmonian dan kebebasan hidup beragama yang dinikmati di Malaysia yang
menjadikan “Islam sebagai Agama Persekutuan”.
Sebagai
sebuah parti yang besar dalam negara ini dan mempunyai jentera yang
menyeluruh di serata negara, kita amat menyedari dan memahami realiti
halangan dan kelebihan yang ada di hadapan kita, malah PAS amat
menyedari kepelbagaian rakyat yang ada dalam negara bernama Malaysia
ini.
PAS yakin bahawa dengan Malaysia didiami oleh
masyarakat plural dan majmuk, berbagai latarbelakang agama dan budaya,
dengan bahasa dan loghat yang berbagai-bagai, sudah tentunya kita mesti
melihatnya sebagai satu kelebihan dalam merencanakan perubahan,
pembangunan fizikal dan spiritual.
Rakan-rakan kita
yang berada di Sabah dan Sarawak tentunya mempunyai begitu tinggi
pengalaman dalam menguruskan hubungan kepelbagian etnik yang wujud
sebegitu lama di sana, tentunya ada sesuatu yang boleh dipelajari oleh
kalangan masyarakat Malaysia yang lain.
Apa yang
pentingnya ialah kita tidak tidur dan hanyut dengan politik moden yang
meminggirkan panduan al-Quran dan as-Sunnah, atau yang hanya mengambil
sekerat-sekerat dari ajaran Islam sehingga menjadi alat mainan kepada
pihak yang terang dan nyata menjadi musuh kepada Islam dengan agenda
pecah perintah dan penyelewengan ilmu yang dirancangkan terhadap umat
Islam.
Ada pula dikalangan umat Islam yang terlalu
teruja, sehingga tidak sedar menjadi biduk di papan catur yang
dipergunakan oleh kalangan yang mempunyai agenda tidak baik terhadap
umat Islam, sedangkan umat Islam ingin kembali pada kehidupan beragama
sebagai satu cara hidup.
Meneruskan Agenda Budaya Politik Matang dan Sejahtera
PAS
akan meneruskan pendekatan dengan mengamalkan Budaya Politik Matang dan
Sejahtera (BPMS) yang diperkenalkan sebelum ini. Pendekatan ini bukan
sahaja lebih berkesan terutama dalam masyarakat Malaysia yang bencikan
budaya keras – kasar dan politiking melampau sehingga semua perkara
dilihat dalam perspektif negatif dan penuh kebencian, sedangkan rakyat
tidak berubah keadaan hidup mereka. Pendekatan ini juga menepati ciri
muwajahah silmiyah yang kita amalkan, bahkan lebih menepati sirah
perjuangan Islam.
Apabila mesej kita bawa menerusi PAS
adalah bertujuan untuk menyelamatkan manusia bersama Islam, maka konsep
“Dakwah bi al-Hikmah” yang mengutamakan damai atau disebut “Muwajahah
Silmiyyah” hendaklah diutamakan. Allah telah mewahyukan kepada
Rasulullah ﷺ dengan firman-Nya yang menjadi petunjuk sehingga akhir
dunia ini :
وَمَنْ
أَحْسَنُ قَوْلا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ
إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ. وَلا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلا
السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ
وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ. وَمَا يُلَقَّاهَا إِلاَّ
الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلاَّ ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ. وَإِمَّا
يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ
هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
“Dan tidak ada yang
lebih baik perkataannya daripada orang yang berdakwah (menyeru kepada
mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan
amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari
orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)! . Dan
tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan
yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara
yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh
rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah
seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima
dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar dan tidak
juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai
bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. Dan jika engkau
dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka hendaklah engkau meminta
perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar,
lagi Maha Mengetahui.” [Fussilat: 33-36]
Rasulullah
ﷺ menjadi contoh yang wajib diikuti, kerana melaksanakan kewajipan
menyelamatkan manusia bersama Islam seberapa ramai. Ini menunjukkan
contoh bahawa kumpulan Islam adalah lebih baik daripada yang lain. Ianya
menjadikan Islam mudah diterima menjadi penyelamat yang diyakini,
bukannya penjajah yang dibenci. Maka kedatangan Islam ke seluruh pelosok
dunia dinamakan Futhuhat (pemecah belenggu kezaliman), bukannya
Isti’amar (penjajah memperhambakan rakyat dan perampas hartanya).
Kita
mesti terus beristiqamah berpegang teguh dengan Islam, sehingga tidak
berganjak daripada Islam menjadi dasar dan tujuan. Kita beramal dengan
apa yang mampu dan berjuang dengan sabar bagi melaksanakan pelaksanaan
Islam yang dihalang.
Berhikmahlah tanpa menyeleweng.
Mendahulukan kemaafan di masa menghadapi lawan yang zalim sehingga
setelah mencapai kemenangan dan berada dalam keadaan paling kuat. Inilah
kebijaksanaan yang paling munasabah dengan konsep demokrasi yang
mengizinkan dakwah seluas-luasnya dan seberapa ramai manusia.
Marilah
kita menilai dengan hati yang tenteram dan jujur, mata yang melihat,
telinga yang mendengar; bahawa pendekatan BPMS yang kita laksanakan ini
mampu untuk meredakan ketegangan di akar umbi rakyat yang sebelum ini
begitu kelam dengan suasana politik melampau yang akhirnya akan
merugikan ummah.
Agenda Pemerkasaan dan Transformasi Imej PAS
PAS
juga sedang melaksanakan pelan pemerkasaan parti terutamanya dari aspek
mengukuhkan perjalanan dan organisasi parti, gerakerja yang lebih
berperancangan, objektif mampu capai yang lebih jelas, dan pengukuhan
imej PAS sebagai parti yang ingin menyumbang dalam pembinaan negara ini.
Agenda
pemerkasaan dan pembinaan imej ini adalah suatu perubahan ke arah yang
lebih baik sebagai parti yang besar dan mampu untuk memerintah dalam
negara ini. Untuk itu, PAS juga mestilah berusaha secara berterusan
untuk menggamit pengundi di pantai Barat, termasuklah pengundi dari
kaum-kaum yang lain dari Melayu – Islam.
Tentunya jelas
bahawa mereka perlu lebih diberi ruang untuk mendengar mesej yang kita
disampaikan dalam bahasa yang paling mudah. Tentunya peranan ahli dan
pimpinan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) wajar diperkukuhkan dan
dibantu dengan sepenuhnya.
Sehubungan dengan itu juga,
maka PAS bersama-sama rakan yang berada dalam Blok Ketiga melalui
Gagasan Sejahtera ini akan terus dimantapkan dengan penyertaan kalangan
rakyat awam, pimpinan masyarakat, mantan pegawai tinggi kerajaan, dan
NGO sebagai asas untuk mendepani suasana politik yang semakin hangat
ini. Agenda yang lebih sistematik dan kemas mestilah dirangkakan sebaik
sahaja selesai Muktamar kita pada kali ini.
Agenda Pemacuan Gelombang Tsunami Hijau
Tentunya
untuk berdepan dalam PRU-14 nanti, kita akan terus memacu Gelombang
Tsunami Hijau pada waktu dan saatnya yang paling sesuai, sebagai suatu
panggilan kepada seluruh warga negara untuk bersama dengan PAS bagi
melakukan perubahan secara harmoni dalam negara kita ini. Tiada siapa
boleh memaksa atau mengugut kita untuk menyatakan pendirian, apatah lagi
apabila ianya melibatkan strategi yang akan kita laksanakan.
Kita
juga memerlukan pendekatan yang boleh menyatukan kepelbagaian kaum,
dengan mereka juga memahami keperluan masyarakat Islam untuk terus
mengamalkan kehidupan beragama di tanah air mereka ini.
Kita
tidak pernah memusuhi mana-mana kaum yang ada dalam negara kita ini
kerana mereka juga adalah menyumbang kepada keharmonian yang
berpanjangan di Malaysia. PAS hanya menentang sikap chauvinis dan
perkauman sempit parti-parti tertentu ini sahaja. Apa yang penting
ialah, kita menyerlahkan keyakinan Islam sebagai penyelesaian dan
melibatkan idea-idea bernas dan kritis dari rakyat untuk perubahan di
Malaysia.
Agenda Pelancaran Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS)
Seterusnya
PAS juga akan melancarkan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) pada
waktunya yang paling sesuai, sebelum menghadapi PRU-14 yang akan datang
nanti. Pelan ini adalah merangkumi asas-asas kenegaraan yang ingin kita
capai, objektif yang ingin dituju, termasuklah kaedahnya.
Secara
umumnya, kita ingin membina sebuah negara yang mempunyai ciri
Keharmonian Dan Keadilan Sosial, Ketelusan dan Kecekapan Urustadbir
(Governance), Kemantapan Dan Kemapanan Ekonomi, Keberkesanan Sistem
Pendidikan, Kecemerlangan Insan dan masyarakat; dengan menjadikan Islam
sebagai asas panduannya sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama
persekutuan.
Perubahan melalui politik pilihanraya yang
kita impikan pula mestilah dicapai tanpa konflik yang merosakkan
rakyat. Keharmonian mestilah dipertahankan. Oleh yang demikian, politik
kebencian, permusuhan kaum, chauvinis, wajar dielakkan.
Kita
juga sedar bahawa ada juga kalangan yang mengaku beragama Islam, tetapi
menolak kehidupan beragama, menyatakan bahawa agama adalah urusan
peribadi dan sebagainya. Kita perlulah mendekati mereka, berbicaralah
dengan mereka ini dengan hikmah, kerana itulah tugas yang semestinya
kita laksanakan.
Sekiranya kita meninjau di bawah, kita
akan merumuskan bahawa kebimbangan rakyat dan prospek masa depan negara
dipengaruhi oleh beberapa isu yang wajar kita tangani bersama.
Antaranya adalah : (1) Masalah Sosial dan kebajikan, (2) Tekanan ekonomi
dan kos sara hidup, (3) Tadbir urus dan rasuah, (4) Ancaman kedaulatan
serantau.
Isu sosial dan kebajikan rakyat dalam negara
ini juga mestilah terus menerus diperjuangkan oleh PAS, terutama dalam
menangani isu peluang kehidupan yang lebih terjamin kepada generasi muda
yang tentunya nanti akan menggalas tanggungjawab pentadbiran negara ini
kelak.
Peluang pekerjaan, khidmat kesihatan, bantuan
untuk mendapat pendidikan ; adalah antara perkara yang perlu ditekankan
terhadap generasi anak muda, dan juga rakyat awam yang terjejas di luar
sana. Sudah tentu hal ini adalah besar dan rumit, tetapi PAS akan terus
memperjuangkan kebajikan ini menerusi Lajnah-lajnah yang
dipertanggungjawabkan oleh organisasi PAS di berbagai peringkat.
Permasalahan
di kalangan rakyat desa dengan berbagai latarbelakang pekerjaan :
petani, nelayan, pekebun kecil, peniaga kecil-kecilan, kelompok industri
kecil dan sederhana di desa, kakitangan sokongan dan lain lain mestilah
terus didekati oleh PAS bagi membawa suara mereka ini.
PAS
juga akan berterusan memperjuangkan falsafah dan dasar pendidikan
negara yang holistik bagi melahirkan insan soleh dan masyarakat madani,
pembinaan sistem keluarga yang sejahtera seimbang fizikal dan spiritual,
menutup ruang – ruang pengaruh luar yang tidak sihat, dan memperkasa
sistem perundangan dalam negara kita.
Kita sepenuhnya
percaya bahawa mengubah minda rakyat di Malaysia, dari aspek pembinaan
ekonomi dan lain-lainnya juga perlulah mengikut acuan Islam kerana acuan
selain Islam untuk rakyat majoriti Islam seperti Malaysia akan berakhir
dengan kegagalan. Di sinilah cabaran besar yang akan kita hadapi, dan
ianya perlu dihadapi secara bersama oleh kita semua.
Pertama,
kelemahan kita sendiri, di mana kita berdepan dengan ke tidak yakinan
kita sendiri terhadap penyelesaian sistem ekonomi Islam; Kedua, kita
belum sepenuhnya menggali, mengolah, dan memberikan cadangan yang
benar-benar difahami dan praktikal serta dapat diterima oleh masyarakat
yang ada dalam negara kita; Ketiga, kita teruja dengan pembangunan
ekonomi Barat dan Timur Jauh, tetapi kita gagal memasukkan nilaian
akhlak dan ibadah (iaitu ada perkiraan dosa – pahala) dalam kita
melaksanakan aktiviti ekonominya.
Negara juga mestilah
menerokai dan mempunyai strategi yang lebih praktikal dalam menguruskan
sumber-sumber baharu hasil negara kerana sumber minyak dan gas tentunya
akan berkurangan, dan banyak bergantung pada turun naik pasaran dunia.
Pembahagian
yang jelas antara kepentingan membangunkan ekonomi rakyat di luar
bandar mestilah diperhebatkan berbanding dengan segmen bandar, kerana
merekalah yang paling terkesan dengan kegawatan ekonomi yang sedang
dialami di waktu ini.
Untuk itu, PAS akan berusaha
untuk mengemukakan pandangan membangunkan ekonomi masyarakat dan negara
berasaskan Islam menerusi satu Jawatankuasa Khas yang akan
diperkembangkan di kalangan rakyat dan berbagai pihak, selain dari
keanggotaan pakar-pakar ekonomi dari PAS sendiri. Idea-idea itu pula
mestilah praktikal dan mampu dicapai dalam meringankan masalah ekonomi
rakyat, selain dari mencadangkan penyelesaian untuk berdepan dengan isu
liberalisasi ekonomi di waktu ini. Antara cadangan penyelesaian terhadap
beberapa masalah ekonomi yang dialami oleh rakyat telah pun dibentang
oleh PAS kepada rakyat menerusi pelancaran Dokumen Hijau.
Persoalan
tadbir urus, ketelusan, akhlak dan sebagainya dalam pentadbiran negara
pada waktu ini adalah antara topik yang hangat diperkatakan kerana ianya
adalah satu aspek yang sangat penting dalam pembinaan negara Malaysia.
PAS
akan terus komited memperjuangan Malaysia yang bebas rasuah dan
pentadbiran yang telus dengan cara yang membina sebagaimana yang kita
tunjukkan selama ini. Selama puluhan tahun ini juga lah PAS telah
menentang penyelewengan sumber dan dana negara dalam isu BMF, skandal
matawang asing Bank Negara (forex), PKFZ, Skandal MAMINCO, Perwaja
Steel, 1MDB dan lain-lainnya, dengan cara kita sendiri.
Kekurangan
integriti, akhlak dan kejujuran, adalah antara masalah yang wujud
berakar umbi dalam negara ini. Ianya menyebabkan indeks persepsi rasuah
yang buruk, sehingga menimbulkan krisis keyakinan ekonomi kepada
persekitaran pelaburan dalam negara kita ini.
Ancaman dan Cabaran Antarabangsa
Kita
berada dalam dunia yang semakin maju tanpa sempadan dan terus bergolak
dengan berbagai konflik serta peristiwa yang berlaku. Penjajahan waktu
kini bukan sahaja dalam bentuk geografi, tetapi penjajahan ekonomi dan
kuasa.
Pada masa yang sama kita melihat terdapat
kecenderungan yang amat merbahaya apabila setengah pihak ini secara
tersusun telah dan sedang meminggirkan kewujudan politik Islam, yang
akhirnya menyebabkan kelangsungan kelompok yang “bermudah-mudah” dan
“ekstrem” dalam beragama. Akhirnya semua ini menatijahkan kerosakan yang
nyata di kala ini. Ini diburukkan dengan kepimpinan negara umat Islam
yang mabuk kuasa – takhta – harta sehingga akhirnya umat Islam menjadi
biduk di papan catur yang akan menjadi mangsa di makan oleh musuh.
Apa
yang menjadi kebimbangan kita ialah, kesabaran umat Islam dan
masyarakat antarabangsa berbagai etnik di seluruh dunia boleh menjadi
tidak terkawal dan merebak kepada masalah lain yang lebih parah
sekiranya kezaliman dan kekejaman terhadap umat manusia di merata tempat
tidak dirungkaikan dengan segera.
Islam memberi
penyelesaian dengan mendahulukan perdamaian dan mengambil langkah
diplomatik dan diplomasi dalam merungkai konflik dari berlarutan. PAS
akan terus memperjuangkan isu kemanusiaan yang bertali arus berlaku
dalam dunia tanpa sempadan ini dan penindasan terhadap etnik minoriti di
mana jua dalam dunia ini, tanpa mengira fahaman politik, agama, kaum,
etnik, gender, dan persekitaran kita berada. Ianya juga memerlukan usaha
dan tindakan pro-aktif yang drastik bagi memastikan penindasan ini
tidak lagi berlaku di depan mata kita.
Sehubungan
dengan itu, PAS akan berusaha bersama dengan berbagai agensi bantuan
kemanusiaan yang ingin berperanan untuk menyampaikan bantuan makanan
yang halal, air bersih yang berkekalan, tempat perlindungan, ubatan dan
khidmat pemeriksaan kesihatan, pakaian, dan segala bentuk bantuan
kemanusiaan.
Kerajaan Malaysia juga wajib bersama
dengan negara-negara lain dan bekerjasama agar tidak membuka peluang
kepada campur tangan kuasa besar dalam menangani isu ini yang akan
menyebabkan kemudaratan yang lebih besar.
Mendepani
suasana ini adalah satu tugas berat, dan ianya memerlukan kerjasama dan
kesepaduan di kalangan umat Islam untuk mengharunginya. Marilah
sama-sama kita beristiqamah dengan Islam.
Marilah sama
– sama kita yakin dengan janji Allah kepada sesiapa yang berjuang di
jalan-Nya sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah :
لاَّ
يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ
وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ
فَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ عَلَى
الْقَاعِدِينَ دَرَجَةً وَكُلاًّ وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَى وَفَضَّلَ
اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ عَلَى الْقَاعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًا
“Tidaklah
sama antara mukmin yang duduk (yang tidak turut berperang) yang tidak
mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan
harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad
dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk satu derajat.
Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (syurga)
dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk
dengan pahala yang besar.” [al-Nisa’ : 95]
0 ulasan:
Catat Ulasan