Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Sabtu, 22 Ogos 2015

Khurafat di Kalangan Jemaah Haji Asia Tenggara


Pengaruh khurafat ternyata masih kuat. Di dalam masyarakat Islam Asia Tenggara masih terdapat amalan-amalan khurafat di dalam berbagai-bagai lapangan kehidupan. Di dalam perniagaan masih percaya kepada Feng Shui. Dalam pertanian masih percaya kepada Semangat Padi. Dalam mencari rezeki di lautan masih ada yang percaya kepada Gamala Ikan dan berbagai-bagai lagi. Bukan sahaja di dalam mencari rezeki ada berbagai-bagai khurafat, ketika hendak melakukan ibadat kepada Allah pun masih diresapi berbagai-bagai khurafat. Antara yang ketara ialah khurafat-khurafat di dalam ibadat haji.

Khurafat di Tanah Air Sebelum Tiba di Tanah Suci
  1. Tidak boleh memijak bendul rumah. Kalau dipijak alamat tidak balik semula.
  2. Sesudah bertolak dari kawasan rumah, tidak boleh memandang ke belakang melihat rumah. Kalau dipandang, pekerjaan hajinya tidak sempurna kerana hatinya teringat-ingat ke rumah.
  3. Membawa uri, rambut dan kuku bayi untuk ditanam di Tanah Haram supaya anak tersebut menjadi orang ternama dan disukai ramai.
  4. Setelah balik dari menunaikan haji, mesti berkurung diri di rumah selama 40 hari yang disebut iddah haji. Barulah haji itu berkat dan melekat di hati, kalau melanggar, sia-sialah haji.
Khurafat di Tanah Suci Makkah
  1. Mesti mencari tiang Jin di dalam Masjid al-Haram. Peluk kuat-kuat boleh memanjangkan umur.
  2. Boleh mendapat toyol dengan bersembahyang sunat sebanyak-banyaknya secara menghadap tiang tersebut untuk dibawa balik toyol itu sebagai khadam.
  3. Jin yang dibawa balik dari Makkah adalah Jin yang baik kerana mereka adalah Islam.
  4. Menampal duit syiling yang siap bergam di bawah pintu Baitullah dan dibawa balik untuk dibuat ibu duit bagi tujuan melariskan perniagaan, mendapat jodoh dan memurahkan rezeki.
  5. Memungut anak-anak batu di Arafah untuk dibawa balik bagi pelaris, jika dicampak di dalam perigi ikan, maka ikan akan menjadi banyak. Jika ditabur di kebun tanaman, maka buah-buahan akan menjadi. Jika diletak di dalam kedai, maka akan ramai pelanggan.
  6. Mencuri tali-tali khemah di Padang Arafah dan Mina untuk dijadikan tangkal bagi tujuan pelaris jualan dan memperbanyakkan tangkapan ikan.
  7. Membawa balik Tanah Arafah untuk upacara “Memijak Tanah” buat pertama kali bayi untuk menghindarkannya dari sebarang penyakit dan gagah berani.
  8. Tidak boleh melihat cermin semasa di dalam Ihram. Jika dilihat muka akan menjadi hodoh dan orang tidak suka melihatnya.
  9. Menyapu-nyapu tiang masjid dan diusap ke muka untuk menambah seri wajah.
  10. Mengetuk-ngetuk pintu dan gelang kuncinya di kawasan Sa’ie sebagai simbolik kepada mengetuk pintu rezeki. Jika tidak membuatnya, rezeki akan tertutup selama-lamanya.
  11. Bersetubuh dengan isteri di dalam Masjid al-Haram boleh mendapat anak yang mudah masuk syurga.
  12. Orang yang mandul boleh segera mendapat anak jika bersetubuh dengan suaminya di dalam Masjid dua kali dari arah pancur emas sekali kerana kepercayaan pancur emas itu melambangkan kemaluan Nabi Adam dan sekali lagi dari arah yang menghala ke Hajar Aswad kerana Hajar al-Aswad melambangkan kemaluan Siti Hawa.
  13. Kain ihram perlu dibawa balik dan diwasiatkan bila mati nanti hendaklah dikafan dengan kain itu bagi menghindar diri dari seksa kubur.
  14. Beli kain putih khusus yang hendak dijadikan kafan dan basuh dahulu dengan air zam-zam di Mekah, disimpan dan diwasiatkan untuk dijadikan kain kafan. Dengannya Munkar dan Nakir tidak berani memukul badan yang dibalut dengan kain tersebut.
  15. Kalau berlaku hujan, maka mandilah di bawah curahan air dari pancur emas agar sembuh segala penyakit dan tidak akan terkena penyakit hawar.
  16. Tiang-tiang masjid boleh dibeli untuk diwakafkan. Sekiranya ada orang yang menawarkannya, maka jangan disoal banyak, beli sahaja akan menjaminkan masuk syurga.
  17. Mandi bertelanjang di telaga Ja’aranah boleh memikat suami dan cepat mendapat jodoh bagi yang belum bersuami.
Dan berbagai-bagai khurafat lagi yang masih diamalkan oleh masyarakat Islam Asia Tenggara.

Amalan Khurafat dan Kaitannya dengan Hukum Syarak

Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut adalah ditegah oleh syarak kerana di samping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan akidah seseorang dan ia juga menambahkan amalan-amalan bid’ah yang buruk sepertimana tersebut dalam hadith Rasulullah saw;
إياكم ومحدثات الأمور فإن كل بدعة ضلالة
“Jauhilah oleh kamu akan perkara-perkara bid’ah (yang diada-adakan), setiap yang bid’ah itu sesat.”

Sabda Rasulullah saw lagi;
من أحدث فى أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد
“Siapa mengada-adakan di dalam agama kami sesuatu yang tidak ada di dalamnya, maka yang dikerjakannya itu adalah tertolak.”

Mengamalkan amalan khurafat dengan tidak disedari boleh menjauhkan diri daripada Allah, walhal kedatangan jemaah haji ke Tanah Suci ialah untuk menghampirkan diri kepada Allah serta menyucikan diri dari segala dosa dengan tujuan mandapat haji mabrur. Amalan khurafat adalah bertentangan dengan akidah Islam sekali gus menjejaskan iman seseorang atau menyebabkan syirik kepada Allah, iaitu salah satu dosa yang tidak diampuni Allah. Firman Allah (surah al-Nisa’, ayat 48);
إِنَّ اللَّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاء وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa juga), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa besar.”  

Oleh demikian, setiap Muslim wajib berhati-hati ketika menelusuri pentas kehidupan global supaya tidak mudah terjerumus ke kancah khurafat dengan memperkukuhkan ilmu akidah di samping mengenal pasti ciri amalan khurafat.

Punca Terpautnya Seseorang Kepada Amalan Khurafat

Di antara punca-puncanya adalah seperti berikut :-
  1. Tidak mempunyai asas yang kukuh di dalam pengetahuan agama di mana mudah menerima perkara-perkara yang dianggap menarik baginya.
  2. Mempelajari daripada guru-guru atau ketua-ketua yang tidak bertanggungjawab.
  3. Terikut-ikut dengan amalan jemaah haji lain kerana menyangka amalan itu adalah amalan yang betul.
  4. Sudah terbiasa melayani nafsu ammarah.

0 ulasan:

Catat Ulasan

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews