Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Jumaat, 21 Ogos 2015

Beza Memang Berbeza


Ikhtilaf adalah lawan dari ittifaq/ kesepakatan. Dalam kamus Lisanul Arab, “Ikhtalafa al-amr in lam yattafiqa” – Sesuatu disebut ikhtilaf ketika belum dapat bersatu/ bersepakat. Setiap yang tidak sama boleh juga disebut dengan ikhtilaf (perbezaan).

Sedangkan khilaf mempunyai makna sedikit lain pula, iaitu; Berlawanan/ sebaliknya, ertinya lebih khusus dari sekadar berbeza. Beza memang berbeza. Kita boleh berbeza tetapi kita jangan dibeza-beza.

Pencerahan

Namanya pun perbezaan, apapun bentuknya daripada perbezaan warna kulit, bahasa, hingga perbezaan akidah atau keyakinan sekalipun, semua itu adalah sunnah al-kawniyah yang telah ditakdirkan oleh Allah ke atas makhluknya. Dalam al-Quran Allah berfirman;
وَلَوْ شَاء رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلاَ يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ. إِلاَّ مَن رَّحِمَ رَبُّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ
“Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka...” (Huud: 118-119)

Namun, perbezaan sebagai sebuah sunnah al-kawniyah bukan bererti kita tidak diperintahkan untuk berusaha menghindarinya. Ini sebagaimana ada pada kekufuran dan maksiat, yang tidak akan menimpa seseorang kecuali atas takdir Allah.

Meskipun sedemikian kita semua diperintahkan untuk menghindarinya, kerana pada dua perkara itu tetap sahaja mengandungi unsur kehendak (Iradat) dan pilihan manusia (Ikhtiar). Bahkan secara umum, para ulama menyatakan bahawa manusia wajib berusaha menghindari sunnah al-Kawniyah yang bersifat buruk (seperti maksiat atau kekufuran).

Ikhtilaf terbahagi kepada dua, iaitu (1) Terpuji (Mahmud) dan (2) Tercela. (Mazmum). Ikhtilaf disebut terpuji jika merupakan hasil ijtihad yang berlandaskan niat mencari kebenaran dan memenuhi syarat dan adabnya, meskipun hasil ijtihad tersebut terkeliru. Dari Amr bin Ash Rasulullah saw bersabda;
إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ
“Jika seorang hakim menghukumi (suatu urusan) kemudian dia berijtihad dan benar maka baginya dua pahala, dan jika ia menghukumi lalu berijtihadi kemudian salah, maka baginya satu pahala.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ikhtilaf yang terpuji ini sebagaimana perbezaan yang ada di antara para sahabat dalam masalah fiqh yang cabang (furuk). Maka perbezaan yang terpuji ini justeru merupakan satu bentuk rahmat dan kelonggaran bagi umat manusia.

Adapun bentuk ikhtilaf yang tercela, adalah hasil ijtihad yang keliru kerana bukan berlandaskan kepada kebenaran, tetapi permusuhan, nafsu, fanatik, taksub dan sikap tercela lainnya. Maka kemudian mereka berusaha menafsirkan, mentakwilkan hal-hal yang sebenarnya sudah tetap, mengikut kepentingan mereka sendiri.

Kesimpulan

Beradablah kita dalam keadaan kita berikhtilaf pendapat. Namun, raikanlah kebenaran sekalipun ia datang dari lidah musuh kita. Besarkan persamaan, kecilkan perbezaan. Bersamalah kebenaran walaupun penyokongnya sedikit, jauhilah kebatilan walaupun ia mendakwa ada 3 juta penyokongnya atau yang mendakwa mereka golongan profesional sekalipun! #Ukay

Memancing ikan dapat ikan Sepat,
Masukkan dalam botol dapat berbotol-botol,
Marilah kita meraikan perbezaan pendapat,
Mungkin kita betul mungkin mereka yang betul.

Biodata Penulis

Himpunan catatan Ustaz Kay berkaitan kehidupan berlandaskan Islam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews