Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Jumaat, 21 Ogos 2015

4 Martabat Ibadah Haji


Ibadah haji merupakan rukun Islam yang kelima yang wajib dikerjakan oleh setiap orang Islam yang mampu memenuhi syarat-syarat untuk melaksanakannya. Setiap Jemaah haji yang mengunjungi Baitullah al-Haram pasti menginginkan dan mendambakan pencapaian ke tahap Haji Mabrur iaitu haji yang diterima oleh Allah dan balasan yang akan diterimanya iaitu syurga, tetapi tahukah  bahawa terdapat 4 tingkatan (martabat) dalam pelaksanaan Ibadah Haji?

Firman Allah dalam al-Qur’an surah Al-Baqarah ayat 197;
الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ ۗ
“Masa untuk mengerjakan Ibadah Haji itu ialah beberapa bulan termaklum, oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya dengan niat mengerjakan Ibadah Haji itu, maka tidak boleh mencampuri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan Haji.”

Tazkirah ini akan mengulas sedikit tentang peringkat ibadah haji tersebut. Adapun empat peringkat ibadah haji tersebut adalah :-
  1. Haji Mardud
  2. Haji Maqbul
  3. Haji Makhsus
  4. Haji Mabrur
Haji Mardud

Haji Mardud ialah haji yang tidak diterima oleh Allah kerana tidak sempurna syarat-syarat dan rukunnya atau sebab-sebab yang lain yang menyebabkan hajinya tidak diterima atau ditolak oleh Allah.

Haji Maqbul

Haji Maqbul ialah haji yang sah dan diterima oleh Allah dan orang yang mengerjakan Haji Maqbul ini dianggap sebagai telah menunaikan perintah Allah secara fekahnya dan telah menyempurnakan rukun Islam yang kelima tanpa diberi pahala. Hal ini disebabkan kerana akhlak yang tidak dipelihara semasa melaksanakan ibadah haji tersebut.

Haji Makhsus

Haji Makhsus ialah Ibadah haji yang dilakukan oleh orang-orang yang tertentu yang sempurna segala syarat dan rukunnya, ia bukan sahaja sekadar dianggap sah dan diterima oleh Allah tetapi diampunkan segala dosanya. Rasulullah saw bersabda:
مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ، فَلَمْ يَرْفَثْ وَلَمْ يَفْسُقْ، خَرَجَ مِنْ ذُنُوْبِهِ كَيَوْمٍ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ
“Sesiapa yang menunaikan ibadah Haji, tidak ia melakukan keburukan dan kekejian, maka kembalilah ia seperti hari yang dilahirkan oleh ibunya.” (riwayat al-Bukhari, Ibnu Majah, al-Nasaie dan Ahmad)

Haji Mabrur

Haji Mabrur ialah tingkatan haji yang paling tinggi dan istimewa, tidak semua boleh mendapatkannya. Haji Mabrur bukan sahaja sekadar dianggap menunaikan kewajipan, tetapi selain dari diampunkan segala dosanya, ia juga akan dimasukkan ke dalam syurga. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda;
والْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ
“Haji Mabrur itu tiada balasan (ganjarannya), melainkan syurga.” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Di manakah kedudukan kita di antara empat kategori ibadah Haji di atas? Alangkah bertuah dan bersyukurnya kita jika dapat meraih tahap Haji Mabrur kerana janji Allah SWT itu adalah pasti. Dalam sebuah hadis qudsi Rasulullah saw bersabda:
قَالَ اللَّه: أَعْدَدْتُ لِعِبَادِى الصَّالِحِينَ مَا لاَ عَيْنَ رَأَتْ، وَلاَ أُذُنَ سَمِعَتْ، وَلاَ خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ
“Allah berfirman; Telah Aku siapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh kenikmatan yang tidak pernah dilihat mata, tidak pernah didengar telinga, dan tidak pernah terdetik di hati manusia.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ya Allah terimalah semua amalan dan ibadah kami. Jadikan haji kami adalah haji yang mabrur yang akan mendapatkan janji daripada-Mu pahala berupa syurga yang Engkau janjikan.

Biodata Penulis

Ustaz Sihabuddin Muhaemin (USM). Kritik dan saranan yang membina sangat dialu-alukan. SMS (012-6653988) atau layari laman facebook USM - Sihabuddin Muhaemin

0 ulasan:

Catat Ulasan

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews