Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Khamis, 27 Ogos 2015

Nasihat Perjuangan


Seorang sahabat Nabi bernama Khabbab al-Arat atau gelarannya Abu Abdillah adalah antara sahabat awal memeluk Islam dan telah menerima seksaan yang sangat berat. Pernah satu ketika Khabbab bin al-Arat bertemu baginda Nabi saw yang sedang beristerehat melayani terik mentari di bawah bayangan Kaabah. Lantas beliau segera bertanya kepada baginda saw sebagaimana riwayat;
عن أبي عبدِ اللهِ خَبَّابِ بْنِ اْلأرَتِّ رضي الله عنه قال؛ شَكَوْنَا إلى رسولِ اللهِ صلى اللهُ عليه وسَلَّمَ وَهُوَ مُتَوَسِّدٌ بُرْدَةً لَهُ في ظِلِّ اْلكَعْبَةِ ؛ فقُلْنَا أَلاَ تَسْتَنْصِرُ لَنَا؟ ألاَ تَدْعُوْ لنَا؟ فقال؛ قد كان مَنْ قَبْلَكُمْ يُؤْخَذُ الرَّجُلُ فيُحْفَرُ له في الأرض فيُجْعَلُ فيها ثُم يُؤْتَى بالمِنْشَارِ فيُوْضِعُ على رأسِهِ فيُجْعَلُ نِصْفَيْنِ و ُيمْشَطُ بأمْشاطِ اْلحَدِيْدِ ما دُوْنَ لَحْمِهِ و عَظْمِهِ ما يَصُدُّهُ ذلك عن دينه؛ و اللهِ لَيُتِمَّنَّ اللهُ هذا الأمرَ حتَّى يَسِيْرَ الرَّاكِبُ مِنْ صَنْعَاءَ إلى حَضْرَ مَوْتَ لاَ يَخَافُ إلاَّ اللهَ وَ الذِّئْبَ على غَنَمِهِ وَ لكِنَّكُمْ تَسْتَعْجِلُوْنَ؛ رواه البخاري و في رواية وهو مُتَوَسِّدٌ بُرْدَةً وَ قَدْ لَقِيْنَا مِنَ المشركينَ شِدَّةً
Dari Abi Abdillah Khabbab bin al-Arat Rha. telah berkata; Kami telah mengadu kepada Rasulullah saw sedang baginda berbaring di bawah lembayung Kaabah berbantalkan selendangnya. Lantas kami berkata: Apakah tidak engkau memohon kemenangan (pertolongan) bagi pihak kita? Apakah tidak engkau berdoa bagi (kejayaan) kita?

Lalu Nabi saw menjawab; Sesungguhnya terdapat pejuang sebelum kamu yang ditangkap lalu digali lubang dan ditanam separuh badan kemudian dibawa datang gergaji lalu diletakkan di atas kepalanya maka dibelah sehingga terbelah dua dan ia disikat dengan sikat besi sehingga meluruhkan daging dan tulangnya namun (penyeksaan itu) tidak memalingkan ia dari agamanya. Demi Allah! Pasti sahaja Allah swt akan menyempurnakan agama-Nya sehingga seseorang yang berkenderaan dari Sana'a ke Hadhra al-maut tidak lagi takut melainkan hanya kepada Allah swt, dan Serigala yang mengancam kambingnya. Namun begitu, kamu terlalu gopoh! - Diriwayatkan oleh Imam Bukhari rhm.

Dalam satu riwayat yang lain; Baginda baring (isterehat) berbantalkan selindangnya padahal kita sedang berhadapan dengan ancaman dahsyat dari golongan Musyrikin.

Syarah Hadis :-
  • Rawi as-Sahabi
Khabbab al-Arat atau gelarannya Abu Abdillah adalah antara sahabat awal memeluk Islam dan telah menerima seksaan yang sangat berat. Berkata Mujahid rhm, “Mereka yang awal mengisytiharkan Islam di hadapan Rasulullah saw ialah, Abu Bakar, Khabbab, Suhaib, Bilal, Ammar dan Ibu Ammar (Sumayyah). Sementara Rasulullah saw, dilindungi oleh Allah swt dengan menghadirkan Abi Talib, Abu Bakar al-Siddiq dilindungi oleh Allah swt dengan pertolongan kaumnya, adapun yang lain mereka diseksa dengan pasung besi dan diuji kesabaran mereka dengan panas terik matahari. Mereka berjaya melepasi ujian tersebut dengan tahap kesungguhan dan kesabaran yang luar biasa sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt.”

Telah berkata al-Sya’bi rhm, “Saidina Umar al-Khattab pernah bertanya Khabbab mengenai penderitaannya diseksa oleh kaum musyrikin. Berkata Khabbab; Wahai Amirul Mukminin Lihatlah belakangku ini. Lalu berkata Umar al-Khattab; Tidak pernah aku lihat belakang seseorang seperti hari ini.”

Khabbab berkata, “Sesungguhnya telah dinyalakan api lalu aku disalai di atasnya sehinggalah padam api tersebut akibat lelehan lemak dari jasadku.”

Khabbab wafat di Kufah pada tahun 37 hijriah dalam usia 73 tahun dan beliau adalah sahabat yang paling awal dikebumikan di Kufah.

Khabbab al-Arat adalah seorang sahabat yang telah mengalami penderitaan kerana mempertahankan iman dan Islamnya. Di belakang jasadnya meninggalkan bukti parut yang sangat hodoh akibat dikelar dan disalai di atas bara api oleh kuffar Quraish.

Namun pada suatu hari, Khabbab bertemu baginda Nabi saw sedang beristerehat di bawah bayangan Kaabah. Lantas Khabbab sebagai seorang pejuang yang sekian lama di seksa dan memahami betapa getirnya berdepan dengan kuffar Quraisy segera bertanya kepada Nabi saw, “Apakah Tuan tidak memohon kepada Allah swt agar memberi kemenangan kepada kita? Adakah Tuan tidak berdoa bagi pihak kita?”

Pertanyaan ringkas ini seperti membangkitkan emosi Nabi saw, lantas menegaskan betapa orang-orang terdahulu sebahagian mereka berjuang sehingga digergaji kepalanya dan dibelah dua jasadnya. Bahkan sebahagian mereka disikat dengan sikat besi sehingga bercerai daging dari tulangnya namun mereka tetap bersama Iman dan Islam.

Nabi saw menggambarkan betapa sakit dan seksanya orang-orang yang terdahulu dalam mempertahankan Islam. Biarpun sebesar mana mehnah dan ibtila’ yang mereka hadapi, tidak menjadikan mereka berpaling dari perjuangan Islam yang suci ini.

Seterusnya Nabi saw meyakinkan Khabbab al-Arat ra, bahawa sesungguhnya Allah swt pasti akan menyempurnakan agama ini dengan lahirnya pejuang yang sanggup berkorban dan bergadai nyawa. Sehingga dunia menjadi aman dari sebarang ketakutan melainkan hanya takut kepada Allah swt, Tuhan yang Maha gagah lagi Maha Perkasa. Malangnya kamu terlalu gopoh!
  • Kesimpulan
Cubalah kita bayangkan, insan sehebat Khabbab al-Arat yang telah berjaya melepasi ujian penderitaan serta penyeksaan yang dahsyat masih dianggap gopoh oleh Nabi saw. Apabila beliau bertanya kepada Nabi saw, apakah baginda tidak memohon kejayaan atau kemenangan bagi pihak Islam dan ummatnya? Bagaimana kedudukan kita hari ini? saban waktu asyik bertanya bila nak menang sedang kita belum menempuh ujian kelayakan untuk menggapai kemenangan yang pasti terlalu mahal harganya?

Lebih malang jika sebahagian kita hanya leka bertanya bila nak menang, kenapa kita tidak menang lagi dan sebagainya tetapi dia sendiri berpeluh tubuh tanpa mengerah tenaga untuk merencana sebuah kemenangan, hanya mampu mengkritik hasil kerja orang lain tetapi tidak menginsafi kelemahan diri untuk diperbaiki.

0 ulasan:

Catat Ulasan

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews