Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Khamis, 27 Ogos 2015

5 Faktor Pentingnya Menjaga Waktu Dalam Kehidupan


Ramai manusia di akhir zaman seperti sekarang ini, yang hidupnya menyia-nyiakan waktu dan umurnya dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Kebanyakannya hanya mengisi waktu dengan melakukan dosa dan maksiat, lalai dari ketaatan dan ibadah kepada Allah, gemar melakukan hal yang sia-sia serta perkara yang melalaikan dari mengingat Allah.

Padahal kita mengetahui bahawa kehidupan di dunia ini adalah kehidupan yang sangat singkat, tetapi kebanyakan kita lalai memanfaatkan waktu yang telah di berikan Allah secara percuma. Antara perkara yang perlu kita ketahui mengenai kepentingan waktu dalam kehidupan seorang muslim adalah :-

(1). Bahawa Hidup Manusia Itu Seperti Hari-hari Yang Digunakannya 

Imam Hasan al-Bashri mengatakan;
يابن آدم إنما أنت أيام كلما ذهب يوم ذهب بعضك
“Wahai manusia, sesungguhnya kalian hanyalah kumpulan dari hari-hari. Tatkala satu hari itu hilang, maka akan hilang pula sebahagian dirimu (umur dan nyawamu).” (Hilyatul Awliya’, 2/148)

(2). Waktu Pasti Berlalu, Maka Beramallah Untuk Bekalan Hidup di Akhirat Kelak

Ja’afar bin Sulaiman berkata bahawa dia mendengar Rabi’ah menasihati Sufyan al-Tsauri;
إنما أنت أيام معدودة، فإذا ذهب يوم ذهب بعضك، ويوشك إذا ذهب البعض أن يذهب الكل وأنت تعلم، فاعمل
“Sesungguhnya engkau adalah kumpulan hari. Jika satu hari berlalu, maka sebagian dirimu juga akan hilang. Bahkan hampir-hampir sebahagian harimu berlalu, lalu hilanglah seluruh dirimu (baca: mati) sedangkan engkau mengetahuinya. Oleh kerana itu, beramallah (untuk bekal akhirat nanti).” (Kitab Shifatush Shofwah, 1/405)

(3). Waktu Itu Bagaikan Pedang

Imam al-Syafi’e rahimahullah pernah mengatakan;
صحبت الصوفية فلم أستفد منهم سوى حرفين أحدهما قولهم الوقت سيف فإن لم تقطعه قطعك
“Aku pernah bersama dengan orang-orang sufi. Aku tidaklah mendapatkan pelajaran darinya selain dua perkara. Pertama, dia mengatakan bahawa waktu bagaikan pedang. Jika kamu tidak memotongnya (memanfaatkannya), maka dia akan memotongmu.”

(4). Jika Tidak Sibuk Dengan Kebaikan, Pasti Kita Akan Terjatuh Kepada Perkara Sia-sia

Imam al-Syafi’e berkata bahawa seorang ahli sufi berkata kepadanya;
نفسك إن أشغلتها بالحق وإلا اشتغلتك بالباطل
“Dirimu tidak disibukkan dengan hal-hal yang baik (haq), pasti akan di sibukkan dengan hal-hal yang sia-sia (batil).” (Kitab al-Jawab al-Kafi, 109, Darul Kutub al-‘Ilmiyah)

(5). Waktu Berlalu Begitu Cepatnya

Ibnu al-Qayyim rahimahullah mengatakan (maksudnya), “Waktu manusia adalah umurnya yang sebenarnya. Waktu tersebut adalah waktu yang dimanfaatkan untuk mendapatkan kehidupan yang abadi, penuh kenikmatan dan terbebas daripada kesempitan dan azab yang pedih. Ketahuilah bahawa berlalunya waktu lebih cepat daripada berjalannya awan (mendung). Barangsiapa yang waktunya hanya untuk ketaatan dan beribadah pada Allah, maka itulah waktu dan umurnya yang sebenarnya.”

Selain daripada itu, masa yang disia-siakan tidak dinilai sebagai kehidupannya, namun ia hanya dianggap seperti kehidupan binatang ternak. Allah berfirman dalam al-Quran, surah al-A’raf, ayat 179;
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”

Ibnu al-Qayyim melanjutkan perkataannya yang sangat menyentuh qalbu (maksudnya), “Jika waktu hanya dihabiskan untuk hal-hal yang membuat lalai, untuk sekadar memperturutkan syahwat (hawa nafsu), berangan-angan dengan perkara yang batil, hanya dihabiskan dengan banyak tidur dan digunakan dalam kebatilan (baca: perkara yang sia-sia), maka sungguh kematian lebih layak bagi dirinya.” (Kitab Jawab al-Kafi, 109)

Wahai saudaraku sekalian, janganlah sia-siakan umurmu dan waktu mudamu selain untuk mengingati Allah serta melakukan perkara-perkara yang  positif sebagai bekalan untuk kehidupan akhiratmu.

Biodata Penulis

Ustaz Sihabuddin Muhaemin (USM). Kritik dan saranan yang membina sangat dialu-alukan. SMS (012-6653988) atau layari laman facebook USM - Sihabuddin Muhaemin

0 ulasan:

Catat Ulasan

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews